HONG KONG, 9 Jan - Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong tidak akan mengkaji semula siasatan ke RM40 juta yang didakwa dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Menurut sumber, badan anti rasuah itu mendapati tiada bukti-bukti kukuh yang baru untuk dibawa kepada suruhanjaya itu dalam mengaitkan kes tersebut.
"Suruhanjaya mendapati bahawa tidak terdapat sebarang bukti baru bagi memulakan kembali siasatan.
"ICAC mengambil sikap dan prinsip tidak akan meneruskan kes-kes dan adalah jelas bahawa badan ini menjauhkan diri dari permainan politik," kata sumber.
ICAC, di bawah undang-undang, mewajibkan siasatan dijalankan jika terdapat sebarang aduan yang dilaporkan.
Sebelum itu, parlimen telah diberitahu mengenai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keputusan ICAC pada Oktober lalu membersihkan Musa dari dakwaan rasuah.
Walaubagaimanapun, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli telah melobi ICAC untuk membuka semula siasatan ke atas kes melibatkan Ketua Menteri Sabah itu.
Pada bulan November, Rafizi dan tiga pengamal undang-undang PKR telah membuat laporan dengan ICAC, menyenaraikan tiga sebab utama mengapa perlu agensi Hong Kong itu untuk membuka semula siasatan.
Tindakan tersebut dilakukan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberitahu Parlimen pada Oktober bahawa Musa telah dibersihkan daripada sebarang dakwaan rasuah selepas SPRM dan ICAC mendapati bahawa wang tersebut bukan untuk kegunaan peribadi Musa.
Nazri memberitahu Parlimen bahawa wang RM40 juta adalah "derma politik" kepada Umno Sabah yang sebelum ini didakwa sebagai wang sogokan dari firma-firma perkayuan untuk Musa Aman.
Menurut sumber lagi, ICAC yang pada awalnya tidak menemui "bukti yang mencukupi untuk meneruskan kes itu", berkata tiada sebab untuk menjalankan siasatan semula buat kali kedua.
Berikutan dengan keputusan tersebut, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Henrynus Amin berkata keputusan oleh kedua-dua badan siasatan juga membuktikan bahawa dakwaan pembangkang adalah salah dan berbaur politik malah disifatkan sebagai pembangkang adalah dalang konspirasi untuk mencemar nama baik Ketua Menteri Sabah ini.
"Pihak pembangkang jelas mempunyai kepentingan dan telah sedaya upaya menghalalkan cara untuk mencapai matlamat mereka, iaitu untuk melemahkan kerajaan Barisan Nasional sebagai satu cara untuk sampai ke Putrajaya," katanya.