Showing posts with label Sabah fixed deposit BN. Show all posts
Showing posts with label Sabah fixed deposit BN. Show all posts

17 September 2010

Sabah tetap Fixed Deposit BN: Najib

Sabah kekal menjadi 'akaun tetap' Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 berdasarkan sokongan kuat yang diterima parti itu daripada masyarakat pelbagai kaum di negeri tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan yang diberikan oleh rakyat terhadap majlis-majlis anjuran BN dan UMNO seperti program Juara Rakyat peringkat negeri semalam yang membuktikan parti itu masih diterima di Sabah.

Beliau berharap sokongan terhadap BN akan terus meningkat hasil kerja keras kerajaan dan pemimpin-pemimpin parti berkenaan.

"Kepada sesiapa yang menyangkal bahawa UMNO dan BN sudah tidak kuat di Sabah, sesiapa yang mencanang cerita kononnya BN dan UMNO lemah sokongan, tengok sahaja majlis ini yang saya lihat seolah-olah lautan manusia.

"Saya tidak payah bagi dalil dan bukti lain buktinya sambutan amat hebat dan luar biasa yang saya saksikan ini. Kesimpulannya Sabah masih merupakan akaun tetap (BN)".

"Insya-Allah akaun tetap ini tidak cair dan kita masih lagi boleh mempertahankannya berdasarkan sokongan yang kita" katanya ketika berucap pada Program Juara Rakyat peringkat negeri Sabah dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Bandaran Sandakan semalam.

Kira-kira 50,000 penduduk pelbagai kaum di Sabah membanjiri program berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, semua pemimpin BN harus bersama-sama bekerja keras bagi menjadikan UMNO serta BN parti 'juara rakyat'.

Justeru katanya, kegiatan turun padang harus diamalkan secara telus oleh semua pemimpin BN bagi meletakkan kepentingan rakyat di tempat teratas.

Dalam pada itu katanya, UMNO dan BN terbukti mempunyai rekod sebagai parti yang membela nasib rakyat sejak sekian lama termasuk memerdekakan Sabah dan Malaysia daripada penjajah.

Selain itu jelasnya, transformasi yang dilaksanakan kerajaan BN adalah jelas dan dirancang begitu teliti demi kepentingan rakyat.

Katanya, pembaharuan itu yang dilakukan melalui Pelan Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 juga dilaksanakan dalam semangat 1Malaysia.

"Ini bukan impian kosong, bukan angan-angan Mat Jenin tetapi ia sesuatu yang sudah kita rancang dengan begitu teliti.

"Kita buat kajian begitu mendalam, kita buat pelbagai makmal untuk membincangkan apa yang patut kita lakukan supaya 10 tahun akan datang impian kita akan kesampaian dan perubahan besar akan berlaku kepada negara Malaysia tercinta ini," katanya.

Menurut Najib, kerajaan juga tidak pernah mengabaikan masyarakat luar bandar di Sabah apabila memperuntukkan RM6.18 bilion bagi membangunkan pelbagai infrastruktur.

Menurutnya, peruntukan itu akan digunakan untuk tempoh dua tahun hingga 2012 bagi membina pelbagai kemudahan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air serta projek perumahan rakyat.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels