9 December 2009

Apabila Orang Politik Jadi Rujukan

AHLI politik adalah rujukan rakyat. Segala tindak tanduk dan perilaku mereka terkesan di mata rakyat. Kenyataan kontroversi ahli politik akan menjadi bualan rakyat. Sekalipun untuk tujuan menghina musuh politik, sepatutnya harus ditangani dengan cara yang lebih bijaksana, sewajarnya menggunakan akal budi.

Jelas isu ini nampaknya menyakitkan hati masyarakat khususnya orang Melayu. Tidak kira di kalangan pemerintah mahupun parti pembangkang. Barang diingat sekalipun ahli politik yang gambarnya dipijak mungkin bukan pilihan pengundi Melayu semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), penghinaan seperti itu bagaikan cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

Pemimpin DAP harus memahami bahawa kemenangan mereka di kawasan majoriti Melayu tidak sepatutnya dibalas dengan perbuatan memijak gambar pemimpin Melayu. Orang Cina juga tentu tidak suka pemimpin mereka dipijak gambarnya, ajaran agama mana pun tidak membenarkan perlakuan buruk seperti itu.

Sejak PRU12, sudah berlaku beberapa cubaan 'mencabar sensitiviti Melayu' oleh pemimpin bukan Melayu dan menimbulkan kemarahan ramai. Jelas usaha kumpulan ini sebenarnya menunjukkan betapa tidak sensitifnya mereka kepada pengorbanan masyarakat Melayu selama ini.

Malah tindak tanduk mereka ini sebenarnya boleh menggugat usaha dan aspirasi mewujudkan sebuah negara harmoni dan sejahtera. Penulis percaya usaha mereka ini bukanlah mewakili majoriti masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Sebagai contoh ramai rakan penulis berbangsa Cina dan India kesal dengan tindakan pimpinan politik bukan Melayu yang dengan sengaja cuba menimbulkan ketegangan antara ahli masyarakat berbeza etnik, agama dan budaya itu.

Nampak jelas sekali walaupun mereka mempunyai pendidikan tinggi, faham sejarah negara serta tahu akibat buruk kenyataan tersebut, tetapi tindakan mereka tidak pula melambangkan kebijaksanaan mereka sebagai pemimpin.

Kalaulah sesuatu yang buruk berlaku antara kaum di negara ini kerana kenyataan sedemikian, apakah kalangan ahli politik rasis ini akan bersedia dan berupaya menyelesaikan apa yang telah mereka mulakan. Atau mengambil keputusan lari dan bersembunyi membiarkan rakyat menderita dan bermusuhan sesama sendiri? Budaya melabel dan penghinaan berasaskan kaum dan menimbulkan rasa benci antara kaum bukanlah budaya murni yang akan membina negara.

Masyarakat Malaysia harus diterima sebagai sebuah negara multi etnik. Tidak mungkin satu kaum sahaja yang akan berjaya membangunkan negara ini. Kesatuan secara bersama sangat diperlukan untuk memajukan masyarakat. Seharusnya adab dan budi mulia dijunjung dan toleransi disanjung oleh semua pemimpin tanpa mengira kaum. Malah jika mana-mana kaum bercitacita untuk menguasai semua yang ada di negara ini, percayalah akhirnya kaum itu pasti akan kehilangan semua miliknya.

Jika masyarakat Cina ingin menguasai seluruhnya kekayaan ekonomi Malaysia sehingga menjadikan orang Melayu dan India miskin papa kedana, natijah yang telah berlaku di negara jiran sedikit masa dahulu pasti akan berulang di negara ini. Ia perlu dijadikan pengajaran. Begitu juga jika orang Melayu bercita-cita untuk menguasai seluruhnya kuasa politik negara ini, natijah yang sama juga tidak mustahil akan melanda negara.

Hakikat ini penting untuk diterima, difahami dan dipertimbangkan di dalam apa juga perancangan oleh semua pimpinan politik. Itulah sebabnya apabila sekali-sekala orang Melayu membuka mulut untuk mempertahankan hak dan maruah mereka, janganlah mereka akan dianggap rasis dan prejudis kepada kaum lain. Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

2 comments:

DEPU-DEPU said...

salam sdr..

saya begitu yakin bahawa antara cabang ilmu kemasyarakatan/sains sosial, aspek politik begitu mengambil tempat pada hati masyarakat kerana masyarakat begitu melihat seorang pemimpin sebagai idola dan rujukan..

pelbagai masalah kehdiupan yang dialami biasanya dikaitkan dengan kepincangan pemimpin politik dan bukan kerana atas kesilapan peribadi ahli masyarakat..

Isu perkauman..harus dihentikan..kerana lambat laun segala pembangunan dan perpaduan yang disemai akan berkubur..

pagipagi said...

Salam kembali sdr. Terdahulu diucapkan terima kasih kerana berkunjung. Saya hargai komen saudara, sedikit sebanyak membuat saya berfikir. Namun paparan saya berasaskan pandangan pribadi saya berasas pada apa yang terpampang di mata saya.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels