28 December 2009

Pemikiran Machiavelli Berakar Umbi Di Negara Kita

Artikel saya kali ini berlegar di atas isu kuasa (power). Saya rasa isu ini amat perlu direnungi bagi kita memahami apa itu kuasa politik.

Mungkin tidak keterlaluan jika saya menyimpulkan bahawa pemikiran Machiavelli membawa pengaruh yang besar kepada gerakan sekular yang merupakan pendekatan sebuah parti perkauman di negara kita ini.

Siapa dia Machiavelli ini? Beliau adalah seorang penjawat awam di Florentine, Itali. Beliau juga adalah seorang 'political theorist'. Nama sebenar beliau adalah Niccolò Machiavelli. Pada tahun 1513 beliau telah menulis satu buku bertajuk 'The Prince' atau di dalam bahasa Itali dikenali sebagai De Principatibus (About Principalities), Meskipun ditulis pada tahun 1513 namun buku beliau tersebut hanya diterbitkan pada 1532 iaitu lima tahun selepas kematiannya.

Tujuan asal buku 'The Prince' ditulis adalah sebagai satu panduan atau rujukan kepada seorang anak raja tentang bagaimana beliau mahu mengekalkan kuasanya dan keduanya bagaimana nak mengekalkan wilayah kuasanya.

Dengan lain perkataan tujuan buku tersebut adalah bagi memastikan anak raja tersebut terus berkuasa. Machiavelli berpendapat bagi mengekalkan kuasa, anak raja tersebut berhak menggunakan apa sahaja cara sama ada cara tersebut adil atau zalim. Yang penting bagaimana ia boleh terus berkuasa.

Di dalam 'The Prince' Machiavelli antara lain menyatakan bahawa adalah mustahak seorang pemimpin itu disayangi dan ditakuti oleh rakyatnya. Namun untuk disayangi dan ditakuti dalam masa yang sama adalah sesuatu yang sukar, Machiavelli menasihati adalah lebih baik untuk seorang pemimpin itu ditakuti daripada disayangi oleh rakyatnya

Pemikiran Machiavelli yang mengagungkan prinsip matlamat menghalalkan cara (al-ghayah tubarrirul wasilah) boleh dikatakan sehingga kini mendominasi pemikiran ahli-ahli politik sekular sama ada di negara-negara Barat mahupun negara-negara umat Islam khususnya negara-negara umat Islam yang pernah dijajah seperti Malaysia.

Pemikiran Machiavelli adalah pemikiran yang amat jauh dari cahaya ilahi. Ia amat sesuai dengan para pemimpin yang menganggap dunia adalah segala-galanya  tiada sebarang akauntabiliti di alam yang kekal iaitu alam akhirat. Sebab itu kita boleh melihat pemimpin yang diselaputi oleh pemikiran Machiavelli akan sentiasa memikirkan bagaimana ingin terus berkuasa dan bagaimana rakyat terus takut kepada mereka.

Mereka akan bersedia menindas dan menzalimi rakyat semata-mata kerana ingin terus berkuasa. Sebagai contoh bagi mengekalkan kuasa, mereka akan sanggup melakukan rasuah (diubah dengan kalimah 'politik wang'). Mereka juga tidak kisah menggunakan undang-undang zalim kerana yang penting bagi mereka adalah kuasa. Kuasa adalah segala-galanya.

Mereka tidak peduli dengan kebenaran hatta jika datang dari Allah sekalipun. Ini kerana bagi mereka sepertimana yang dikatakan oleh Hans Morgenthau "kebenaran mengancam kuasa dan kuasa pula akan mengancam kebenaran" (truth threatens power, and power threatens truth).

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels