21 July 2012

Di mana kah itu Kampung Lilud?

Tiada apa yang dapat dibanggakan oleh penduduk Kampung Lilud Tamau di sini sejak pembentukan Malaysia pada 1963, kecuali cerita duka tentang kampung mereka yang selalu terlepas pandang daripada arus kemajuan.

Mungkin ia amat pahit dan perit untuk diketahui umum, tetapi itulah hakikat yang terpaksa dihadapi oleh mereka saban tahun.

Kampung yang dikelilingi Sungai Magutang itu berjiran dengan Tamau, Merbau, Kotabungan, Kawa-kawa dan Pantai Emas yang begitu gah dengan pelbagai pembangunan seperti pembinaan sekolah baru, masjid, jalan raya dan gelanggang futsal.

Demikian juga dengan program pembekalan air bersih yang giat dijalankan di kampung- kampung berkenaan, membuatkan penduduk Kampung Lilud Tamau 'kempunan' apabila hanya sekadar dapat menyaksikan proses pemasangan sistem pembetungannya melepasi kampung mereka.

Seorang penduduk, Murshid Nanang, 48, memberitahu, kedaifan sebahagian penduduk memaksa mereka menggunakan air sungai untuk mandi, mencuci dan minuman.

"Sedangkan air sungai itu telah disahkan oleh Jabatan Kesihatan Kota Belud sebagai tidak selamat diminum kerana mempunyai tahap pencemaran yang tinggi," katanya.

Sebelum ini sebahagian penduduk telah memasang paip graviti namun air yang disedut keluar turut didapati tidak bersih dengan kehadiran kelodak kekuningan seperti lumpur dalam masa hanya setengah jam setelah disedut dari perut bumi.

Keadaan tersebut memaksa Murshid membeli penapis air berharga RM15 bagi menjamin kesihatan keluarganya di samping terpaksa membeli air bersih dari pekan dengan harga 30 sen seliter.

"Penapis tersebut hanya dapat digunakan dalam sehari kerana ia sering tersumbat oleh sisa kotoran dan akibatnya beberapa hari kemudian saya terpaksa membeli lagi kerana ia tidak dapat digunakan langsung selepas itu," ujarnya.

Murshid yang juga seorang peniaga kecil-kecilan memberitahu, pakaian mereka sekeluarga terutama pakaian anak-anaknya yang bersekolah terpaksa dibawa ke kedai dobi di Pekan Kota Belud untuk dicuci.

"Semua baju sekolah anak-anak di sini menjadi kuning setelah dicuci menggunakan air tarikan graviti atau air sungai," jelasnya.

Sementara itu, suri rumah, Fauziah Lamat, 30, berkata, ada waktu anak-anaknya seperti kehilangan motivasi untuk ke sekolah kerana pakaian 'emas kuning' yang dikenakan oleh anak-anak tersebut selalu dijadikan bahan gurauan dan ejekan rakan-rakan sekelas.

Bagi Munah Lopong, 33, meskipun keadaan ekonomi keluarganya terumbang ambing, suaminya terpaksa membeli air daripada mesin yang disediakan oleh para peniaga di kampung lain atau di pekan.

"Kami terpaksa berbuat demikian daripada terus meneguk air yang tercemar ini, meskipun memerlukan belanja yang agak besar," katanya

Munah menjelaskan, dalam sehari mereka sekeluarga memerlukan belanja sekurang-kurangnya 16 liter air atau RM4.80, namun kosnya akan menjadi RM8 jika terpaksa membeli di pekan kerana kos pengangkutan.
Sementara itu, beberapa penduduk lain yang tinggal di pinggir sungai seperti Baliah Nanang, 58, tidak mempunyai pilihan selain terus menggunakan air sungai untuk minum, mandi dan membasuh.

"Jangankan diminum, digunakan untuk mandi pun air ini membuatkan badan berasa gatal-gatal kerana pencemaran, namun kami tidak dapat berbuat apa selain berdoa semoga penyakit bawaan air tidak akan menyerang kami buat waktu ini," ujarnya pasrah. Kredit pos: wan azry

8 comments:

mantera said...

Kota Belud mempunyai ramai pemimpin hebat, tapi kenapa pembangunan Kota Belud agak lambat berbanding daerah2 lain? seharusnya KB dpt membangun dgn pesat.

mantera said...

masalah di kampung tersebut harus diberi perhatian dan diselesaikan.

Ian Cooper said...

Tidak mungkin masalah ni terlepas pandang oleh pemimpin. keperluan asas penduduk memang harus dipenuhi.

jackie said...

Pemimpin harus turun padang untuk melihat keadaan rakyat.

jackie said...

Keperluan asas ini yang paling penting dalam kehidupan seharian..Harap masalh ini akan segera di ambil perhatian.

Hamdan Hadillah said...

Pastikan keperluan asas dapat diberikan.

Hinamori said...

Lilud Tamau?? Bukan di KB ka sebab ada sekolah Tamau kan sana..hehe kalau tidak silap la

Hinamori said...

Keperluan infrastruktur harus diatasi di setiap pelusuk Sabah

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels