7 April 2016

Penutupan Perdagangan Laluan Laut Pantai Timur Sabah

Kabinet Sabah sebulat suara menghentikan serta merta perdagangan laluan laut di kawasan Pantai Timur Sabah, atas sebab keselamatan.

Sebenarnya, sejak tahun 2013, sebaik sahaja serangan pengganas Sulu di Kg Tanduo, Lahad Datu, penulis kerap sekali menulis dan mencadangkan, agar perdagangan laluan laut di Pantai Timur Sabah dihentikan, sebagai cara untuk menghalang tindakan penculikan oleh kumpulan penculik daripada Selatan Filipina.

Perdagangan laluan laut bagi kawasan itu, termasuk sistem barter trade antara dua wilayah, namun ianya juga merupakan punca ketirisan di pihak Malaysia, khususnya berkaitan komoditi bersubsidi, seperi gas LPG, minyak masak, beras, diesel dan petrol, selain komoditi makanan seperti tepung.

Setakat ini, belum ada data statistik yang diterbitkan, keuntungan komparatif bagi Sabah dalam sistem perdagangan barter trade atau perdagangan laluan laut. Apa yang kerap didengar, adalah banyaknya diesel/petrol bersubsidi yang berjaya disita selain tong-tong gas LPG. Malah, di kawasan Tawau, pembeli gas LPG perlu menunjukkan My Kad, bagi membeli gas memasak tersebut.

Sebenarnya, perdagangan laluan laut antara Selatan Filipina dan Tarakan, menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan asas bagi rakyat di kawasan itu, disebabkan faktor permintaan dan penawaran. Barangan yang sepatutnya untuk rakyat kawasan itu berkurangan, atas sebab sebahagian besar di hantar ke negara jiran. Melalui kaedah demikian, maka peruncit mengambil kesempatan menaikan harga. 

Oleh kerana keputusan Kerajaan Negeri bermula daripada semalam, bahawa seluruh aktiviti perdagangan laut dihentikan serta merta, maka dengan sendirinya, barangan keperluan asas, bagi rakyat kawasan itu, akan stabil, malah harga jualan akan terdorong untuk turun. 

Tindakan Kerajaan negeri menghentikan aktivti perdagangan melalui laut sebenarnya mempunyai matalamat serampang dua mata. Pertama untuk mengelak penculikan dan kedua menghalang peyeludupan barangan ke luar atau masuk seperti gas LPG, diesel dan petrol, juga pendorong kepada kestabilan harga barangan keperluan asas.

Tindakan kerajaan Negeri Sabah, memberhentikan perdagangan laut di kawasan Pantai Timur Sabah, sebenarnya satu tindakan yang ditunggu-tunggu, dan seharusnya disokong penuh.

3 April 2016

Taktik Baru Culik Di Pantai Timur Sabah

Rupanya, penculik lebih cepat mengubah taktik berbanding pengawal keselamatan. Intro pada 28 Mac 2016, apabila 10 rakyat Indonesia diculik di laut di kawasan Selatan Filipina/Pantai Timur Sabah, tidak membawa kepada perubahan taktik pasukan keselamatan, sehingga pada jumaat petang empat rakyat Malaysia turut diculik dengan keadah yang sama.

Pada Jumaat petang di sekitar Pulau Ligitan, antara pukul 6.15-6.30 petang, setengah jam sebelum perintah berkurung, kapal tunda Massive 6 yang didaftarkan di Malaysia dipintas 8 penculik dengan menggunakan perahu laju, di mana penculik hanya memilih rakyat Malaysia seramai empat orang, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing,34, Wong Teck Chii,29, dan Johanny Lau Jung Hien,21. Teck Kang dan Teck Chii dipercayai adalah adik-beradik. Kesemua rakyat Malaysia itu berasal daripada Sibu, Sarawak.

Semasa Massive 6 dipintas, kapal tunda itu sedang belayar ke Samarinda Indonesia untuk memuat arang batu tujuan Filipina, selepas menghantar kayu balak ke Filipina. 

Sebelum ini, taktik penculik, menculik daripada darat atau tempat-tempat pelancongan atau kolam-kolam ikan, namun taktik baru penculik adalah mengambil jalan mudah, dengan menyerang kapal yang lalu lalang di kawasan tersebut.

Berkaitan dengan penculikan terbaru, belum dipastikan, apa kah ianya berlaku di kawasan negara, atau perairan antarabangsa. 

Meskipun asset dan pengawal Pantai Timur Sabah melalui Esscom/Esszone diperkuat dan diperketat, namun, perubahan taktik penculik, menyebabkan berlakunya penculikan baru.

Sebenarnya taktik menculik ala sebegini, satu ketika merupakan modus operandi penculik Somalia, di kawasan laut Afrika, satu masa lalu. Rupanya taktik itu disalin atau dicontohi penculik daripada Selatan Filipina. 

Melihat kepada keadaan ini, sebelum lebih ramai menjadi mangsa, dua pendekatan perlu dilakukan. Pertama setiap kapal dagang yang bertujuan melayari kawasan itu, perlu disertai pasukan bersenjata atau perdagangan di kawasan itu, perlu dihentikan sama sekali.

2 April 2016

Apa Kah Pembangunan Kota Belud Di Sabotaj?

Apa kah pembangunan Kota Belud di sabotaj? Penulis ingin membawa peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak tahun 2008. Pertama berkaitan dengan pembinaan empangan Tambuton. Pembinaan empangan itu bertujuan untuk memenuhi keperluan jelapang padi Kota Belud juga sebagai sumber air bersih bagi penduduk Kota Belud dan Kota Marudu, terpaksa dibatalkan, hanya protes daripada penduduk kampung, dan kemudiannya diapi-apikan oleh pembangkang termasuk Lim Kit Siang.

Kedua pelaksanaan Agropilitan Kampung Pintasan. Nampaknya projek itu, tidak akan lepas landas, atas sebab, kawasan itu telahpun dimasuki rakyat yang bukan berasal daripada kampung itu, dan mereka membina rumah-rumah tetap.

Ketiga, penyelesaian Bekalan Air Besih Luar Bandar (BALB). Walaupun kos yang dibelanjakan lebih RM100juta bermula tahun 2011, namun sehingga kini jangkaun bekalan air bersih bagi 95 peratus penduduk Kota Belud tidak menjadi kenyataan. Sebabnya, hanya kecil, ada penduduk kampung tidak membenarkan sambungan paip melintasi tanah mereka. Melalui tindakan itu, maka bukan sebuah kampung, malah ada beberapa buah kampung-kampung tergendala menikmati BALB.

Keempat, peruntukan Dun. Ada sebahagian peruntukan Dun kawasan tertentu terpaksa ditarik balik, kerana kelemahan pentadbiran. Kota Belud mempunyi tiga DUN, Usukan, Tempasuk dan Kedamaian. Dikhbarkan peruntukan DUN itu terpaksa ditarik balik, kerana ketidak cekapan kakitangan yang mengurus peruntukan itu. Oleh kerana ditarik balik, maka rakyat yang memerlukan peruntukan itu yang menjadi mangsa.

Kelima peruntukan Parlimen. Khabarnya keadaan sama juga berlaku, kerana kelemahan pentadbiran, akhirnya ratusan ribu peruntukan parlimen terpaksa ditarik balik. Impaknya sama, rakyat yang memerlukan menjadi mangsa.

Kegagalan merealisasikan peruntukan apakah melalui peruntukan DUN atau Parlimen, tidak boleh diletakan kepada wakil rakyat yang berkenaan, kerana mereka bukan yang mengurus berkaitan pelaksanaan. Wakil rakyat hanya bertugas membawa peruntukan. Pelaksanaan, direaliasaikan oleh pihak pentadbir.

Persoalannya, mengapa soal-soal pentadbiran menjadi penghalang kepada perealisasian peruntukan DUN dan Parlimen? Apa kah ada tangan-tangan ghaib yang terlibat? Jika ada tangan-tangan ghaib yang terlibat, maka ianya satu tindakan menghalalkan cara, kerana sepatutnya, rakyat dibela, tidak mendapat pembelaan, akan tetapi terbantut oleh satu permainan jijik?

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels