23 June 2010

Membantu Penduduk Gaza Wakil Rakyat Negara Boleh Bersatu-Membantu Penduduk Sendiri Wakil Rakyat Negara Terus Bercakaran

APABILA dua kapal misi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserang dan ditahan pihak regim zionis Israel dimana dalam kapal itu terdapat warga Malaysia, maka berbagai pihak mengutuk serangan itu, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Ceritanya menjadi hangat dan isu perbualan memandangkan ramai rakyat Malaysia, terdiri daripada sukarelawan, Ahli Parlimen dan juga wakil media, berada di atas kedua-dua kapal berkenaan, iaitu Mavi Marmara dan Rachel Corrie.

Berbagai komen dan pandangan diberikan oleh pelbagai pihak dari pelbagai sudut yang berlainan latarbelakang, kepercayaan anutan dan fahaman politik mengenai serangan ke atas dua kapal itu.

Secara umumnya melalui komen-komen dan ulasan-ulasan adalah jelas bahawa rakyat di negara kita mempunyai satu nada suara dalam hal-hal bersangkutan kemanusiaan.

Dalam hal yang berlaku ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza ini, pemimpin dan rakyat Malaysia bersatu suara mengecam dan mengutuk keganasan Israel, malahan mendesak agar Tel Aviv diheret ke muka pengadilan antarabangsa.

Suara lantang ini bukan saja datang daripada pemimpin parti kerajaan, tetapi juga dari kalangan parti pembangkang dan rakyat biasa.

Ini jelas dapat dilihat pada satu-satu demonstrasi yang telah diadakan di serata tempat yang digerakkan oleh pertubuhan politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai bersama-sama oleh orang politik yang berlainan ideologi.

Di peringkat pimpinan lebih tinggi, pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang telah membuat kenyataan dan ulasan tegas sebagai menunjukkan kemarahan dan ketidakpuasan terhadap keganasan yang dilakukan rejim zionis Israel.

Dan sebagai bukti kesatuan pemimpin dan rakyat mengutuk perbuatan tersebut, Dewan Rakyat yang bersidang pada hari Isnin lepas telah sebulat suara meluluskan usul mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, sehingga mengakibatkan sembilan aktivis terkorban dan 12 rakyat Malaysia ditahan pada 31 Mei lepas.

Usul yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta dibahaskan selama lebih lima jam oleh 28 Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan Bebas, sebelum diluluskan sebulat suara.

Keputusan sebulat suara itu diumumkan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, ketika majoriti Anggota Parlimen berada dalam dewan kecuali mereka yang mempunyai urusan rasmi di luar, termasuk Anggota Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, yang turut mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza bersama Perdana Global Peace Organisation (PGPO) dengan kapal MV Rachel Corrie.

Dewan Rakyat mempunyai 222 anggota dengan 137 mewakili Barisan Nasional, 77 pembangkang dan lapan anggota Bebas. Pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (25), DAP (29), Pas (23) dan Bebas (lapan).

Daripada 28 Ahli Parlimen yang membahaskan usul tersebut, 12 orang adalah daripada BN dan 13 daripada pakatan pembangkang serta dua anggota Bebas.

Suara senada Ahli-Ahli Parlimen ini untuk meluluskan usul tersebut menunjukkan betapa rakyat negara ini sememangnya bersatu hati dalam menangani isu-isu keganasan dan ketidakadilan global. Ia bukti pendirian Malaysia menyokong misi kemanusiaan ke Gaza yang digerakkan oleh NGO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam kenyataannya selepas meraikan enam sukarelawan Malaysia dalam kapal Rachel Corrie yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dibebaskan oleh tentera Israel Sabtu lepas, menyatakan bahawa beliau tetap akan menyokong program dan usaha NGO untuk meneruskan penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Najib berkata misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin telah membuka mata masyarakat dunia tentang kekejaman rejim zionis di Israel yang bertindak menghalang pasukan misi bantuan itu di perairan antarabangsa.

"Kita dapat lihat sekarang ini, betapa perubahan dari segi pendapat dunia, yang sudah pun memihak kepada rakyat Palestin dan rata-rata kerajaan Israel dikutuk oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Namun, hakikatnya apabila kesengsaraan berhubungkait dengan penduduk negara ini, sepertimana yang selalu kita nampak melalui siaran TV3 melalui program KERANAMU, tidak pun kedengaran para wakil rakyat atau para NGO yang kononnya membela kemanusian tampil ke depan untuk menjadi wira bagi membantu rakyat yang terlibat itu.

Kesengsaraan penduduk Gaza kerana masalah politik dan kerana itu berlaku perang. Dalam negara masalahnya adalah berurusan dengan kehidupan di negara yang aman damai, namun ada juga penduduk yang mengalamai kesengsaraan hidup.

Sekiranya sejak 50 tahun lalu, agihan kekayaan negara dilakukan dengan adil dan seksama, maka sepatutnya tiada lagi penduduk yang berada dalam keadaan daif, terutama di Sabah dan Sarawak.

Namun kerana keraksuan para pemimpin serta wakil rakyat yang diamanahkan, maka mengakibatkan mereka kayaraya, sementara rakyat senantiasa berada dalam keadaan papa kedana.

Benarlah ada pemimpin yang dipuja-puja pada masa kini, kerana kononnya pemimpin itu telah memberi peluang kepada para pengikutnya. Jika dahulu para pengikutnya hanya individu jalanan, kini telah mejadi hartawan, ke sana kemari dengan kereta model terkini, terutama Toyota Ninja King.

Wakil rakyat dipilih oleh semua lapisan masyarakat, dari yang miskin dan yang kayaraya. Pengalaman dalam politik, pengundi yang papa kedanalah yang paling setia mengundi. Dengan uluran RM10, sudah bersyukurlah pengundi itu, namun yang hartawan, kalau bukan projek jutaan, itupun belum tentu memangkah seseorang calon itu .

Dalam kejadian di Gaza, sayang para wakil rakyat kita lebih rela menyusukan kera di hutan dibanding anak yang kelaparan di serambi rumah usang.

6 comments:

2718 said...

jauhi persepsi negatif terhadap usaha membantu penduduk Gaza dan tidak perlulah kita samakan dengan apa yang berlaku di Malaysia. kehidupan kita jauh lebih baik dari mereka.. apa yang lebih penting, kita sama2 mendesak kerajaan untuk lebih peka dengan permasalahan rakyat dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

2718 said...

diharapkan RMK10 akan menjadi jawapan kepada masalah2 rakyat selama ini dan benar2 membawa perubahan khususnya di Sabah dan Sarawak. kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan untuk mencapai matlamat dalam RMK10 bagi menepis semua tanggapan negatif rakyat terhadap parti pemerintah.

POP said...

Saya setuju. ini memang dapat membantu penduduk gaza wakil rakyat negara boleh bersatu padu.

uranglama said...

kesengsaraan yang dihadapi penduduk Gaza berlainan dgn penduduk di negara kita, bagaimanapun, wakil rakyat harus peka dgn kesusahan rkyat dan berusaha menaikkkan taraf hidup rakyat.

boY said...

memang begitu sengsara penduduk gaza dengan apa yang berlaku sekarang. oleh itu, pemimpin haruslah lebih bijak dan jujur dalam pengurusan negara. jangan biarkan rakyat kita diabaikan. tolonglah rakyat kita sendiri, dan jadikan negara yang aman damai dan tenteram dan wakil rakyat carilah cara lain untuk membantu rakyat gaza yang memerlukan pertolongan.

toM said...

RMK10 adalah penentu nanti untuk rakyat, ini untuk sabah dan sarawak yang menjadi tumpuan utama. jadi keita akan tunggu dengan tindakkan kerajaan yang ingin membantu rakyat. harap kerajaan akan melakukan dengan sebaik yang mungkin dan menyelesaikan permasalahan yang dihapai oleh rakyat.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels