21 September 2010

Susu 1Malaysia akan sama kah dengan minuman SUDI-Sudirman Arshad?

“1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.” — YAB Datuk Seri Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

Apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan YAB Perdana Menteri selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2008, ramai yang menganggapnya sebagai satu gagasan yang mampu mengangkat dimensi perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini ke tahap yang lebih tinggi. Malah gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan memungkinkan perpaduan boleh dipupuk berasaskan gagasan ini. Tentulah seluruh rakyat Malaysia turut merasakan semangat ‘kekitaan’, apatah lagi dilaungkan oleh pemimpin nombor satu!

Selepas beberapa ketika satu demi satu 1Malaysia muncul, kelab, yayasan, nombor pendaftaran kenderaan, klinik, dan yang terkini ialah susu 1Malaysia – ketika melancarkan Program Juara Rakyat peringkat negeri Sabah di Sandakan pada 16 September yang lalu. Antara lain tujuan susu 1Malaysia penting bagi melahirkan generasi baru negara yang lebih kuat, tegap dan cerdas, dan dinamik.

Saya bukan mempertikaikan kepentingan susu kepada kanak-kanak, malah susu telah diketahui sebagai sumber kalsium yang tinggi. Saya juga tidak mempertikaikan program susu sekolah ini, program susu sekolah bukanlah sebuah program yang baru. Malah saya tidak mahu mempertikaikan kemampuan Sabah sebagai negeri pengeluar susu terbesar di negara ini.

Program bantuan susu telah bermula sejak tahun 60-an lagi dan telah memberi impak positif terhadap perkembangan tumbesaran kanak-kanak terutamanya kanak-kanak miskin dan kurang berkemampuan. Program ini kemudiannya telah dikenali sebagai Program Susu Sekolah mulai tahun 1981.

Namun begitu Program Susu Sekolah tidak pernah sunyi daripada pelbagai masalah sepanjang pelaksanaannya. Pernah beberapa kali dihentikan akibat keracunan kepada murid-murid yang meminumnya sehingga Kementerian Pelajaran mengambil keputusan memberhentikan Program Susu Sekolah serta merta pada Ogos 2007.

Malah, Timbalan Menteri Pelajaran pernah memberitahu Dewan Rakyat bahawa Program Susu Sekolah ini akan ditangguh sehingga pengilang terbabit mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan sijil “Hazard Critical Control Point” (HACCP), selain memastikan edaran dan penyimpanan yang sesuai dengan keperluan susu yang dibekalkan. Itu ialah apa yang dilaporkan pada April tahun ini.

Soalnya bukanlah mengenai susu yang bakal memberi manfaat kepada ramai murid-murid sekolah randah di seluruh negara bermula bulan hadapan, tetapi ialah reputasi susu yang bakal dibekalkan, bolehkah dijamin akan tidak berulang insiden yang membabitkan kualiti susu tersebut sehingga menjejaskan kesihatan dan mengakibatkan kemudaratan kepada murid-murid ini. Apakah piawaian susu 1Malaysia ini akan jauh lebih baik daripada yang dihasilkan oleh pengilang-pengilang bertaraf multinasional? Apakah kita begitu mudah melabelkan susu yang belum terbukti piawaiannya sebagai susu 1Malaysia?

Kita tentulah tidak mahu, label 1Malaysia menjadi begitu murah dan mudah digunakan sewenangnya berbanding matlamat ketika gagasan ini diperkenalkan pada asalnya. Selepas ini mungkin pelbagai lagi produk akan dilabel dengan 1Malaysia, misalnya selipar 1Malaysia! Apabila kualiti susu 1Malaysia mengalami masalah seperti program susu sebelum ini – maka imej 1Malaysia akan dilihat sebagai satu bahan jenaka, sekurang-kurangnya itulah tanggapan daripada aspek pemasaran! Selamat menikmati Susu 1Malaysia, Oktober nanti.

Nota Kaki: Tulisan ini tidak bermaksud memperlekeh gagasan 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri, sekadar pandangan peribadi dan tidak bermaksud melukakan hati penyokong-penyokong tegar gagasan ini!

14 comments:

zam said...

pemberian susu 1Malaysia adalah baik dan ianya memang wajar diperkenalkan. ia juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi semangat 1Malaysia.

Anak Sabah said...

Jika pembekalan dan pengedaran susu ini dijalankan dengan baik, mematuhi semua peraturan dan penjagaan mutu, maka ia adalah baik untuk para pelajar. Diharapkan syarikat yang layak akan diberikan kontrak pembekalan susu ini.

tombolo said...

susu 1Malaysia adalah sesuatu yang baik, susu adalah minuman berkhasiat. dgn pemberian susu ini, ia dpt meningkatkan khasiat murid2. ia juga dpt menguatkan semangat 1Malaysia dalam diri kita.

Logop said...

Betul tue Tombolo. Murid tidak sahaja dapat menikmati kesedapan susu, tapi juga meningkatkan khasiat mereka dan yang paling penting menterapkan semangat 1Malaysia apabila mereka minum susu sambil berbual dengan rakan sekelas tanpa mengira bangsa dan agama.

Logop said...

Dengan adanya logo 1Malaysia pada kotak susu, murid2x akan selalu meningati kepentingannya perpaduan di Malaysia.

langsat said...

Tiada masalah pemberian susu 1Malaysia ini kepada kanak2 asalkan susu itu berkhasiat dan diperbuat daripada negara kita sendiri. Dengan cara ini konsep 1malaysia dapat diperkenalkan seawal kanak2 agar hidup bersatupadau, aman damai dengan berbilang kaum dapat dieratkan.

Hosie Masie said...

Masalah susu pada masa dahulu yang telah dihentikan ogos 2007 itu bukan satu keadaan yang dijangkakan. Memang kita takut sesuatu berulang lagi, tapi kita haruslah lebih berhati-hati dan memastikan pengilang melakukan dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Unknown said...

Saya rasa persoalan susu 1Msia tidak sepatutnya timbul jika kerajaan mengambil ikhtibar daripada isu yang pernah terjadi sebelum ini. Sokong sajalah niat murni kjaan. Bukan semua murid dapat menikmati khasiat susu.

Anonymous said...

jika insiden keracunan susu seperti sebelum ini berulang kembali, maknanya Malaysia tidak pernah belajar dari kesilapan. hasrat kerajaan ini baik dan yang paling penting sekali makna konsep 1malaysia yang cuba ditonjolkan dalam pemberian susu ini sampai kepada rakyat terutamanya pelajar.

Anonymous said...

susu 1Malaysia selain mempunyai khasiat yang tinggi. ia turut memperkenalkan konsep 1malaysia kepada murid2. ini dpt mengeratkan perpaduan dinegara kita.

joey said...

langkah memperkenalkan susu 1Malaysia kepada pelajar adalah baik. ini bukan saja dapat memberikan susu yang berkhasiat kepada pelajar malah dapat menerapkan semangat 1Malaysia dikalangan pelajar.

Unknown said...

Terdapat berbagai jenis jenama susu dalam pasaran. Tiada masalah bagi orang awam selepas minum susu yang dijual dalam pasaran.
Kenapa jenama-jenama ini tidak menjadi pembekal susu di sekolah?

captain said...

Susu yang bakal diedar kepada murid mestilah bersih dan tidak tercemar. Pembekal yang dipilih mestilah dari kilang yang bersih menepati piawaian.

Unknown said...

Kebersihan paling penting. Carilah pembekal yang benar-benar mampu.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels