15 September 2010

Esok 16 September 2010: 47 Tahun sudah Sabah Dalam Malaysia

OKB hanya tua 3 tahun berbanding usia Sabah menyertai Sarawak, Singapura dan Malaya membentuk negara baru dan kemudian dinamakan Malaysia.

Esok 16 September 2010, 47 tahun sudah Sabah dalam Malaysia. Setelah usia itu sudah tentu kedudukan rakyat Sabah dimana majoritinya adalah bumiputera dapat sudah dinilai.

Tahun ini untuk julung kalinya pembentukan negara dirayakan. Secara kebetulan Sabah dipilih sebagai penganjur sulung acara bersejarah itu.

Tidak dapat dinafikan ada juga bumiputera yang berjaya namun peratusan yang mereka yang berjaya terlalu rendah dibanding mereka yang masih terkapai-kapai.

Keperluan asas seperti air bersih, lampu litrik, jalan-jalan berturap masih merupakan masalah utama sebahagian besar penduduk.

Penyediaan keperluan asas seperti yang disebutkan terlalu sukar dipenuhi secara serentak, memandangkan luasnya negeri yakni 3/4 Semenanjung Malaysia (Malaya).

Selain itu taburan penduduk yang berselerak juga menyumbang kepada kesukaran tersebut.

Pada tahun 70-an Sabah merupakan negeri terkaya di Malaysia. Pada masa itu Tuan Yang Terutama (TYT) masih lagi bergelar Yang Dipertua Negara.

Masa berlalu, kekayaan Sabah mula terhakis, dimana pada masa itu pendapatan negeri hanya tergantung kepada balak. Apabila balak mula punah, di mana sebelumnya sumbangan balak kepada perekonomian negeri mencecah 1.3 bilion ringgit, kini hanya 150 juta ringgit setahun.

Di masa-masa puncak perolehan daripada balak cukup tinggi, setiap rakyat negeri ini pada masa itu dibayar RM300 setahun apa yang disebut Amanah Tun Mustapha. Kemudian istilah itu ditukar kepada saham amanah yayasan Sabah.

Setelah tahun 1985, semua pembayaran kepada rakyat negeri telah dibekukan hingga kini.

Pada tahun 1990-an, satu berita yang sungguh mengejutkan, apabila statistik masa itu telah memaparkan bahawa Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia.

Status miskin itu telah bertahan hingga kini.

Di mana kah silapnya?

Sabah kaya dengan dengan sumber alam. Perairan Sabah mengeluarkan minyak. Tanah darat Sabah mengeluarkan hasil pertanian. Laut Sabah mengeluarkan ikan berkualiti.

Produk pertanian Sabah dikenal di dunia, malah menjadi punca eksport negara.

Berasaskan kepada keluaran kasar negeri, sepatutnya rakyat negeri ini tidak tergolong miskin, namun kenapa sebahagian besar rakyat negeri ini miskin?

Juga berasaskan kepada jumlah projek yang mengalir ke dalam negeri ini, kenapa keperluan asas yang merupakan hak sebagai warga merdeka belum terpenuhi?

Usia negeri telah 47 tahun, sepatutnya jika dianalog dengan kerjaya seorang manusia, sepatutnya telah mapan. Namun, hakikatnya, sebahagian besar penduduk negeri ini masih di ambang merdeka.

Jangan salah kan jika ada pemimpin politik mengenegahkan isu kedudukan rakyat negeri ini. Umpamanya Setiausaha Agong DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengatakan bahawa kedudukan bumiputera di Sabah dan Sarawak masih tidak dipedulikan manakala kedudukan ekonomi rakyat di kedua-dua negeri itu juga masih menyedihkan.

Lim Guan Eng juga berkata, pada masa yang sama, ada "pihak-pihak tertentu" yang mengaut keuntungan besar daripada negeri itu tanpa mempedulikan nasib anak negeri.

"Di satu sudut, ada pihak di semenanjung yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewa Bumiputera yang mereka anggap sebagai hak asasi dan dianggap tidak boleh dibincangkan sama sekali.

"Di satu sudut yang lain pula, para pejuang ini tidak mempedulikan kedudukan istimewa yang sama untuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam satu kenyataan sempena sambutan hari Malaysia esok, Lim berkata, gagasan Malaysia diharap membawa kepada perpaduan yang lebih erat di kalangan rakyat melalui perkongsian dan pengagihan sumber yang lebih adil.

Katanya, jika kerajaan pusat benar-benar mahu menjamin dan melindungi keistimewaan Bumiputera, ia perlu memastikan pelaksanaan keadilan untuk semua Bumiputera tanpa mengira suku, kaum, agama dan kedudukan geografi.

Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan perlu memastikan Sabah dan Sarawak menikmati peluang-peluang yang sama seperti yang dinikmati oleh negeri-negeri di semenanjung.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels