20 February 2011

Prestasi, ilmu antara syarat penting kepemimpinan:Najib

Berita Harian (21/9/2005)
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menggariskan beberapa ciri kepemimpinan penting pada abad ke-21, termasuk perlunya membuktikan prestasi, memiliki wawasan, agenda dan ilmu pengetahuan luas.

Bagi saya, aspek kepemimpinan yang paling penting pada abad ke-21 ialah membuktikan prestasi.

Prestasi sudah sinonim dengan kepemimpinan dan pada hari ini, disebabkan persaingan serta permintaan yang kian meningkat, prestasi menjadi perkara yang harus ada dalam setiap pemimpin.

Bersama prestasi cemerlang, seorang pemimpin juga perlu ada visi, mempunyai agenda sebagai panduan kepada kepimpinannya serta mengikuti perkembangan persekitaran, katanya pada Persidangan Kepimpinan Belia-Cabaran Globalisasi anjuran Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC) di sini, semalam.

Najib berkata, seseorang pemimpin itu tidak semestinya pakar dalam sesuatu bidang, tetapi perlu ada ilmu pengetahuan mengenainya, mengenai sejarah dan isu kontemporari.

Katanya, pemimpin juga perlu berpengetahuan luas seperti diperkatakan Perdana Menteri Britain ketika era Perang Dunia Kedua, Sir Winston Churchill: Semakin lama anda menoleh ke belakang, semakin jauh anda boleh melihat ke hadapan.

Sehubungan itu Najib berkata, dalam kedua-dua sektor awam dan swasta, usaha untuk melahirkan seramai mungkin pemimpin berpotensi perlu diutamakan.

Justeru beliau mencadangkan semua pertubuhan di negara ini supaya memberi perhatian serius kepada soal kepemimpinan dan membuat pelaburan ke arah pembentukan pemimpin.

ULASAN

Dalam ajaran Islam, syarat-syarat dan ciri-ciri kepimpinan adalah amat ketat. Bukan sebarang orang yang boleh dengan mudah mengaku mampu menjadi pemimpin. Lebih-lebih lagi Islam amat menolak orang yang bersungguh-sungguh mahu menjadi pemimpin. Dalam soal kepimpinan, bukan soal siapa mahu, tetapi ialah siapa yang mampu. Sedangkan yang mampu itu sudah menjadi sunnatullah amat sedikit jumlahnya.

Kerana pada asasnya pemimpin sejati yang ada jaminan selamat dan menyelamatkan ialah mereka yang dipimpin oleh Tuhan. Mereka adalah para nabi dan rasul serta pemimpin pilihan Tuhan yang berwatak nabi dan berwatak rasul. Antara kedua-dua pemimpin ini, yang berwatak rasul saja yang layak memimpin seluruh kehidupan manusia, walaupun tidak salah untuk manusia mengikut pemimpin yang berwatak nabi. Ini kerana para nabi dan pemimpin berwatak nabi hanya memimpin di bidang ibadah dan akhlak sahaja.

Tugas dan peranan para pemimpin ialah banyak memberi tunjuk ajar kepada manusia. Maka yang lebih utama didahulukan telah memberi tunjuk ajar kepada diri sendiri. Mesti mampu mendidik diri, mampu menundukkan nafsu sendiri, mampu berakhlak sempurna dan mampu menjadi model dalam segala hal khususnya ilmu dan minda, ibadah, akhlak, kepimpinan dan rumahtangga. Manusia terjamin selamat di bawah naungan Pemimpin super model ini.

Pemimpin pilihan yang bertaqwa ini sentiasa dinaungi oleh Tuhan. Rezekinya Tuhan yang tanggung. Masalahnya Tuhan yang selesaikan. Ilmu dan mindanya Tuhan yang ajarkan dalam bentuk ilham atau firasat. Strateginya tepat kerana ilham dari Tuhan. Dia adalah sumber kekuatan, kekayaan, kebijaksanaan, keupayaan, kepintaran dan kemampuan. Musuh-nya Tuhan yang tewaskan. Kerananya maka orang lain dibantu. Dengan kehadiran pemimpin pilihan Tuhan ini, bumi menjadi dingin kerana turunnya rahmat Tuhan. Kepalsuan menjadi reda. Kejahatan merosot. Ketegangan menjadi kendur. Hati menjadi lembut dan lunak serta mudah menerima kebenaran dan kebaikan. Hati yang degil menjadi luntur. Maksiat dan kemungkaran menurun kerana hati-hati manusia turut terproses dengan sendiri. Manusia merasa gentar dan gerun untuk bertindak di luar batasan. Musuh mengakui kebenarannya tetapi hasad dengki mengongkong mereka lantas menolak kebenaran yang dibawa dan diperjuangkan oleh pemimpin bertaqwa seperti ini.

Sepanjang sejarah, Tuhan telah buktikan bahawa pemimpin inilah akhirnya yang beroleh kemenangan, kerana Tuhan kehendaki mereka menang. Tiada kuasa yang berupaya menembusi kuasa Tuhan. Musuhnya Tuhanlah yang menumpaskan kerana Tuhan kehendaki yang batil dan pemimpin zalim itu tumpas.

SEKIAN

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels