23 September 2021

PANDEMIK COVID-19: TINDAKAN KERAJAAN SABAH


Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung 21-23 September, 2021, Ketua Menteri- DSP Hajiji Haji Noor telah menjawab soalan daripada ADUN Elopura, YB Calvin Chong Ket Kiun mengenai langkah dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memulihkan ekonomi dan sosial di negeri Sabah berikutan penularan COVID-19.

Kerajaan Negeri sedar tentang perlunya keseimbangan antara kesihatan rakyat dan keperluan ekonomi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai strategi jangka pendek dan panjang untuk memulihkan ekonomi dan sosial negeri akibat pandemik COVID-19 menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya Pelan Pembangunan SMJ 1.0.

Pemulihan ekonomi akan difokuskan kepada pertumbuhan sektor utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan meliputi 145 inisiatif dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur dan sumber daya sedia ada, menggalakkan pelaburan, menyediakan peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah.

Sektor pertanian negeri telah menampakkan perkembangan positif dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri dengan sebuah syarikat untuk membangunkan Projek Penanaman Kelapa Berhasil Tinggi dengan nilai pelaburan RM420 juta dan Kilang Pemprosesan Kelapa di Pitas dengan nilai pelaburan RM200 juta. Inisiatif ini dijangka akan mewujudkan 3,250 peluang pekerjaan.

Dalam Sektor Perindustrian, galakan terus diberikan kepada industri berorientasikan eksport dan penggantian import sebagai langkah untuk memulihkan dan melonjakkan sektor ini termasuk menyediakan insentif pelaburan khas dan memastikan kos pelaburan lebih kompetitif bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.

Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat pelabur pada 26 Julai 2021 dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.2 billion bagi membangunkan industri pembuatan kerajang tembaga yang akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 400 ekar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan dijangka akan mewujudkan sejumlah 400 peluang pekerjaan.

Kerajaan Negeri juga mengutamakan pembangunan sektor pelancongan sebagai salah satu langkah memulihkan sektor ekonomi negeri. Sektor pelancongan mempunyai impak langsung terhadap semua sektor dalam rantaian ekonomi termasuk kerajaan melalui kutipan cukai. Pembangunan Projek Lok Kawi Resort City dengan nilai pelaburan berjumlah RM7 billion akan mewujudkan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan apabila pembangunan projek ini siap sepenuhnya.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan promosi pelancongan yang lebih agresif, menyelenggara produk dan destinasi pelancongan sedia ada, memperkasa infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan serta meneroka tarikan dan peluang baharu khususnya kepada pelancong domestik memandangkan ketika ini penerbangan antarabangsa agak terhad.

Berikutan pemindahan ibu negara Republik Indonesia ke Kalimantan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif Pembangunan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris dengan mengambil kira potensi ekonomi yang ada. Ini juga akan membantu dalam usaha pemulihan ekonomi dan sosial di negeri ini.

Bagi penjanaan ekonomi rakyat dalam jangka masa pendek, setakat ini Kerajaan Negeri telah membelanjakan pakej bantuan berjumlah RM1.25 bilion sejak pandemik COVID-19 melanda termasuk RM324 juta pada tahun 2021. Pakej bantuan khas ini dapat membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dan juga meringankan kesukaran yang dihadapi.

Dalam aspek pemulihan kesihatan, RM256.9 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk pengurusan COVID-19. Manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan sebanyak RM102 juta kepada Kerajaan Negeri.

Keberkesanan langkah dan usaha ini bukan sahaja hasil daripada Kerajaan Negeri semata-mata sebaliknya melibatkan usaha sama Kerajaan Persekutuan yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang turut melibatkan negeri Sabah.

Antaranya melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Pada tahun ini sahaja, seramai 283,745 pekerja telah mendapat manfaat daripada Program Subsidi Upah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM975 juta. Bantuan tunai langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) turut memberi manfaat kepada 782,000 penerima rakyat Sabah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM628 juta manakala Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sedang dalam proses pengagihan ketika ini.

Pencapaian Imuniti Kelompok akan menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi, pembukaan premis-premis perniagaan dan aktiviti sosial di Sabah. Bagi mencapai Imuniti Kelompok (Herd Immunity) sebelum akhir Oktober 2021, Kerajaan Negeri telah membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mempergiatkan pelaksanaan program bergerak CITF Daerah ke kawasan luar bandar, pemberian vaksin secara walk-in serta kerjasama sektor awam-swasta.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels