8 September 2021

TAMAN TANJUNG DIKEKALKAN: DATUK HAJIJI

Datuk Hajiji Menyerahkan Watikah Perlantikan CEO TAED pada Datuk Ismail Abdulllah

Destinasi rekreasi dan perkelahan ikonik di Sabah, Pantai Tanjung Aru dan Taman Prince Philip, Kota Kinabalu, tidak dikorbankan untuk memberi laluan kepada projek Tanjung Aru Eco Development (TAED).

Jaminan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah TAED yang diadakan di Menara Kinabalu, di sini, pada Selesa.

Sebaliknya, Hajiji berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan kedua-dua lokasi kunjungan popular itu, malah akan dinaik taraf dan dicantikkan lagi untuk kegunaan awam.

"Langkah itu sejajar dengan keputusan untuk mengkaji semula dan mengecilkan skala projek TAED dengan menggabungkan ciri berpusatkan rakyat bagi menyediakan lebih banyak akses dan ruang untuk orang ramai.

"Pembangunan baharu akan memastikan TAED dilaksanakan secara lestari dan mengambil kira inisiatif hijau," katanya.

TAED adalah projek pembangunan bercampur yang merangkumi pembinaan hotel resort, kawasan kediaman dan marina membabitkan keluasan kira-kira 300 hektar dengan anggaran kos pembangunan lebih RM7 bilion di Tanjung Aru.


Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata pelaksanaan TAED tidak membabitkan sebarang kos kepada kerajaan memandangkan semua projek dibiayai sepenuhnya oleh pelabur yang dipersetujui kerajaan.

Walaupun begitu, katanya projek itu bukan saja mengutamakan keuntungan kewangan, malah turut mengambil kira kepentingan ekonomi dan sosial.

"Kita mesti ingat bahawa di samping keuntungan kewangan, pulangan sosial dan ekonomi juga tidak kurang penting. Ini termasuk peluang pekerjaan dan ekonomi yang akan diwujudkan menerusi TAED dan sumbangannya kepada pembangunan sektor pelancongan," katanya.

Hajiji berkata, beberapa syarikat sudah menyatakan minat dalam projek itu, antaranya syarikat berkaitan kerajaan China, iaitu China Railway Construction Company International Investment Group Ltd melalui syarikat usahasama tempatan, Mesra Melia Sdn Bhd.

Katanya, selepas mengambil alih kerajaan negeri pada September tahun lalu, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan projek TAED diteruskan selepas dikaji semula untuk mengecilkan skala pembangunannya.

Sementara itu, Lembaga Pengarah TAED turut memutuskan, untuk tidak memasukkan dua sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru I dan SK Tanjung Aru II sebagai sebahagian daripada kawasan projek pembangunan berkenaan.

Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan sebelum ini, kedua-dua sekolah itu dicadang dipindahkan ke Kampung Tanjung Aru yang akan membabitkan pengambilan tanah.

Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan dan bantahan terhadap projek TAED berikutan pelaksanaannya dikatakan bakal memusnahkan destinasi rekreasi popular warga bandar raya Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels