5 January 2013

Tiada Sebab Rakyat Menyokong Pemimpin Yang Suka Berubah Wajah: Salleh

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mahu rakyat Sabah berwaspada dengan pendirian politik pihak tertentu yang sering berubah wajah semata-mata untuk mengekalkan kelangsungan politik mereka.

Beliau berkata semasa memegang jawatan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka sentiasa mendukung agenda pembangunan negeri dan negara serta memuji keprihatinan kerajaan terhadap permasalahan rakyat namun nada mereka kini berubah apabila berada dalam kem pembangkang.

“Kini kita lihat mereka menyerang agenda pembangunan yang pernah mereka dukung dan menabur pelbagai janji manis atau luar biasa semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

“Sebenarnya ada di kalangan pemimpin pembangkang ini yang pernah menjadi pembantu menteri, menteri dan timbalan ketua menteri dalam barisan kabinet negeri Sabah selama bertahun-tahun sebelum menyeberang ke pakatan pembangkang. Bolehkah rakyat mempercayai “political chameleon” (pendirian politik berubah wajah) ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA)  penghujung tahun lalu di Kota Belud.

Sehubungan itu, Salleh berharap rakyat Sabah tidak mudah termakan janji manis pakatan, sebaliknya menilai kualiti kepemimpinan tokoh politik yang menyokong pakatan pembangkang sewaktu mereka masih berkuasa dan “bukan sewaktu mereka tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan”.

Sambil mengetepikan dakwaan pakatan pembangkang kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak ada membawa apa-apa pembangunan untuk rakyat Sabah, Salleh berkata pemimpin pakatan rakyat sudah ketandusan isu, dan kini hanya bersandarkan kepada janji manis dan pembohongan untuk mendapatkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya yang ke-13.

“Saya percaya rakyat bijak menilai kemajuan yang dibawa oleh kerajaan BN dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan taktik kotor pembangkang,” katanya.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri yakin BN yang kini berada di tahap yang kuat akan mencapai kemenangan yang cemerlang pilihan raya umum akan datang.

Mengenai RELA, Salleh berkata anggota RELA seharusnya menjadi menjadi ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan terutama dalam aspek keselamatan termasuk yang berkaitan dengan isu kehadiran pendatang tanpa izin.

4 January 2013

Apa Sumbangan Lajim Ukin?

MUNGKIN Lajim ada sumbangan pada suku sakatnya di kawasannya; tetapi bukan kepada keseluruhan rakyat di kawasan yang diwakilinya 26 tahun lalu.

Di kawasannyapun beliau tidak mempunyai sumbangan yang ketara, apatah lagi di kawasan-kawasan lain.

Lajim pernah menjadi menteri kabinet negeri pada beberapa kementerian, antaranya Kementerian Pertanian dan perumahan. Cuba tanya rakyat apa sumbangan Lajim?

Semasa ditampuk kuasapun tidak mampu memberi sumbangan, kini pula menyenaraikan perjuangannya melalui PPS dengan menggariskan berbagai janji. Rupanya beliau baru terbangun dari tidur yang amat lena sepanjang lebih 26 tahun sebagai wakil rakyat.

Padan muka Anwar, kerana kerja pembohongannya kepada rakyat kini berbalas dan terpaksa menerima lakonan Lajim; kononnya MP Beaufort itu mampu menggalas sokongan rakyat Sabah merealisasikan impiannya ke Putrajaya.

Anwar lupa, bahawa Lajim sudah mula ditolak oleh sebahagian besar pengundi yang diwakilinya, atas sebab itu semasa Lajim dalam barisan nasional, bukan cerita rahsia lagi di kalangan pengundi, bahawa beliau bukan winnable candidate bagi Bn; atas sebab Lajim mahu juga memaksa menjadi calon, maka beliau tiada pilihan, melainkan keluar daripada Bn.

Pada Sabtu malam, Anwar mengumumkan bahawa calon pembangkang bagi parlimen Beaufort dan Dun Klias adalah Lajim Ukin. Lajim akhirnya jadi calon juga pada PRU-13, tidak kiralah menang atau kalah, janji jadi calon.

Nafsu besar Lajim, biasalah dalam permainan politik bohong, kalaupun cacat tetap mengaku sihat, kalaupun tiada kemampuan, tetap mengaku berkemampuan, kerana dalam politik bohong, yang berbicara adalah isi bakul sendiri dan kemudian angkat sendiri.

Dalam paparan Lajim melalui PPS yang dilancarkan semalam, ketara sangat, bahawa apa yang dicakapnya sungguh mengarut. Beliau fikir, zaman ini zaman kuda gigit besi lagi, beliau lupa bahawa zaman sekarang adalah zaman IT dan zaman kebijaksanaan.

Penulis malas nak ulas janji-janji Lajim memlalui PPSnya, kerana tiada unsur ilmupun, tiada unsur ekonomik dan tiada pengajaran yang mampu diperolehi.

Hanya mereka yang buta hati, buta akal, buta mata dan tiada pelajaran yang boleh tertarik apa yang dicakap Lajim. Selagi rakyat bukan tergolong dalam kategori ini, adalah pasti mentertawakan apa yang Lajim katakan.

Sebenarnya para pemimpin dalam pembangkang mengetahui kedalaman ilmu dan kemampuan Lajim, apakan daya, tiada manusia lagi menjadi pilihan sestandard Lajim. Jadi, tanya diri sendiri bagaimana kualiti para pemimpin pembangkang.

3 January 2013

Nasib Orang Sabah Di Semenanjung-Loghat Sabah dikira Orang Indonesia

'Saya bukan pendatang asing'
AZIZAN INCHE HARUN (Sinar Harian)
3 Januari 2013

PASIR GUDANG – Hasrat seorang gadis mencari rezeki di sebuah kedai runcit di Rawang, Selangor sekitar 2009 bertukar episod hitam apabila dia mendakwa ditahan polis yang mengesyakinya warga Indonesia.

Mariam menunjukkan sijil lahir Ida yang disimpan.
Faizada Aldam, 23, berkata, meskipun salinan sijil kelahiran dikemukakan, namun dia tetap dibawa ke pusat tahanan Imigresen kerana didakwa memiliki sijil kelahiran palsu.

Menurutnya, hidupnya gelap dan seperti orang sasau kerana terpaksa meringkuk di Penjara Kajang selama enam bulan selepas ditahan di pusat tahanan Imigresen selama 14 hari dan seterusnya dihantar ke Tanjung Pinang, Indonesia.

“Sudah kering air mata saya menangis dan merayu minta mereka percaya bahawa saya bukan orang Indonesia, tapi tiada seorang pun yang mahu mendengar rayuan saya.

“Bayangkan saya seorang diri dihantar ke negara asing hanya mampu menumpang teduh di masjid dan berdoa agar ada insan yang sudi menghulurkan bantuan.

“Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan seorang makcik yang kemudiannya membawa saya pulang ke Lombok dan mengahwinkan saya dengan salah seorang anak lelakinya untuk mengelakkan timbul masalah pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Faizada yang mesra disapa Ida berkata, hidupnya derita di tempat orang walaupun dilayan dengan baik oleh keluarga suami, malah bertambah sukar melalui kehidupan selepas melahirkan seorang anak perempuan.

Menurutnya, hatinya tidak pernah tenang meskipun sudah bersuami dan mempunyai anak kerana sering merindui ibu dan ayahnya serta keluarga di negara ini.

“Saya hidup susah di sana terpaksa menanam padi dan bercucuk tanam untuk mendapatkan sesuap nasi dan tak pernah kering dengan air mata kerana terlalu rindukan mak dan keluarga di sini.

“Melihat keadaan saya begitu, suami dan keluarga mentua membantu saya mengumpul wang sebanyak RM2,000 sedikit demi sedikit untuk membolehkan saya pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Katanya, sepanjang perjalanan pulang, dia tidak pernah berhenti berdoa agar diselamatkan daripada segala kemungkinan memandangkan bot yang dinaiki memuatkan 40 hingga 50 penumpang.

“Saya hampir mati lemas ketika diarahkan turun di dalam laut separas dagu sekitar jam 2 pagi, tapi sempat diheret seorang lelaki yang melihat keadaan saya tercungap-cungap kelemasan.

“Akhirnya, saya selamat sampai dan dijemput adik di Stesen Bas Larkin walaupun masih terasa seperti bermimpi dapat menjejakkan kaki semula di negara kelahiran saya.

“Sebaik sampai di rumah, saya seperti nak pengsan kerana terlalu gembira dapat menatap wajah mak selepas kali terakhir dapat melihatnya ketika pulang berhari raya pada 2009,” katanya.

Ida selamat sampai ke pangkuan keluarga 16 Disember lalu selepas didakwa dihantar pihak Imigresen ke Indonesia kerana dikatakan salinan sijil kelahirannya palsu.

Dalam pada itu, ibunya, Mariam Sarian, 48, berkata, kepulangan anak ketiganya itu merupakan satu kejutan dan seolah-olah masih bermimpi kerana doanya selama ini telah dimakbulkan ALLAH SWT.

Menurutnya, pelbagai usaha telah dibuat termasuk memohon bantuan daripada pelbagai pihak untuk membawa pulang anaknya ke pangkuan keluarga, namun tidak membuahkan hasil.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana ALLAH SWT telah makbulkan doa saya selama ini selepas pelbagai usaha telah dibuat termasuk cubaan mendapat bantuan daripada pelbagai pihak tidak berjaya.

“Saya masih terkejut dengan kepulangan Ida walaupun keadaannya kelihatan agak cengkung, kurus dan tidak terurus sehingga membuatkan saya menangis dengan penderitaan yang dialaminya,” katanya.

Mariam berkata, lima hari Ida terpaksa dirawat di hospital kerana mengalami jangkitan kuman pada kaki dan masih trauma seolah-olah berada di negara asing.

Menurutnya, minggu depan, dia akan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menguruskan MyKad Ida memandangkan hasil semakan beberapa bulan lalu, nombor MyKad anaknya sudah dikenal pasti.

“Dia masih berada dalam keadaan takut dan bimbang ditangkap pihak bertanggungjawab walaupun kami berusaha menenangkannya dengan menunjukkan salinan sijil kelahiran asli yang disimpan.

“Selepas MyKad Ida sudah dapat, saya akan usahakan anaknya yang kini berada bersama suaminya di Indonesia pulang ke pangkuan Ida kerana tak sampai hati nak pisahkan kasih ibu dengan anak,” katanya.

Mariam berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kecuaian semua pihak yang terlibat sehingga anaknya yang tidak bersalah terpaksa hidup menderita di negara orang.

Sinar Harian April tahun lalu menyiarkan hasrat seorang ibu yang merayu anaknya yang didakwa dihantar pihak Imigresen ke Indonesia selepas salinan sijil lahir yang ditunjukkan dikatakan palsu dibawa pulang.

Mariam yang kecewa dengan tindakan pihak Imigresen berkenaan turut menunjukkan 10 anaknya termasuk Ida mempunyai MyKad dan sijil kelahiran walaupun berdepan masalah kerana berasal dari Sabah.

2 January 2013

BR1M punya Impak positif pada BN- Turut diakui Pembangkang

Kerajaan Barisan Nasional (BN) dijangka akan menerima sokongan pengundi yang tinggi dalam pilihan raya tahun ini, memandangkan Putrajaya akan mula mengedarkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bermula Febuari depan.

Penganalisis politik, pemimpin politik daripada Pakatan Rakyat (PR) dan BN mengakui faktor BR1M akan memancing undi untuk golongan pengundi luar bandar, serta mengukuhkan sokongan pengundi tetap BN.

“BR1M akan memberikan impak multipler, bukan sahaja kepada ekonomi, tetapi turut diistilahkan di dalam undi,” kata pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Asri Salleh.

“Penerimanya adalah golongan miskin tegar dan miskin bandar, sudah pasti ia akan meraih undi,” kata DAP pula.

“Impaknya besar, terutamanya mengekalkan pengundi “tradisional” mereka di luar bandar, itu sebabnya kenapa (Perdana Menteri) menangguhkan pilihan raya,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP, Tony Pua.

“Beliau sedar pilihan raya akan dilaksankan dalam tempoh tiga bulan selepas BR1M 2.0 jadi kesan positif BR1M tidak akan habis,” kata Pua lagi.

PR jelas Pua tidak memiliki dana sekukuh BN, terutamanya di negeri-negeri yang bukan di bawah bidang kuasa mereka seperti di Johor, Pahang, dan Perak, dan itu menyukarkan mereka untuk mendapatkan sokongan masyarakat luar bandar.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad turut menyokong kenyataan Pua, namun mengingatkan BN BR1M hanya mengukuhkan sokongan penyokong tegar mereka, bukannya kumpulan pengundi muda yang merangkumi sekitar 30 peratus daftar pemilih.

“Sementara sekelompok rakyat yang tidak dapat akses kepada media alternatif, mereka semakin yakin untuk menyokong BN.

“Namun kelompok 30 peratus yang menjadi rebutan BN dan PR adalah kelompok yang tidak dapat dikelabui mata dan pendirian mereka, kumpulan pengundi baru,” katanya dan menegaskan, kumpulan pengundi itu sedar, sejumlah RM3 bilion untuk BR1M 2.0 adalah dana kutipan cukai daripada rakyat.

“Kelompok 30 peratus itu adalah kelompok penentu dalam pilihan raya umum,” tegasnya.

Peruntukan untuk BR1M 2.0 meningkat 40 peratus daripada BR1M sebelumnya, yang hanya menelan perbelanjaan RM2.1 bilion.

Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali, bagaimanapun tidak melihat BR1M sebagai “rasuah” politik BN, sebaliknya ia adalah manifestasi BN dalam menepati janji mereka.

“Jika benar BR1M untuk pilihan raya, kenapa kerajaan telah memulakannya sejak tahun lepas?

“Ia bukan kerana BN, ia manifestasi kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Professor Dr Jayum Jawan, penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata beliau tidak terkejut jika BR1M akan berupaya menarik undi rakyat menyokong BN, namun mengkritik tindakan itu kerana apa yang utama adalah polisi ekonomi untuk jangka panjang.

“Jika BN mahu menawan hati pengundi, mereka perlu mengemukakan pelan jangka panjang ekonomi yang komprehensif dan merangkumi keseluruhan masyarakat,” kata Jayum.

“BR1M hanya one-off ... rakyat sedar ia untuk pilihan raya,” tambahnya.

Lebih 2.3 juta permohonan diterima untuk BR1M 2.0 pada 17 Disember, dengan lebih 1.6 juta untuk penerima bujang dan 720,000 isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan layak menerima RM500 wang tunai.

Bagi penerima bujang, mereka di bawah umur 21 tahun dan berpendapatan bawah RM2,000 sebulan layak menerima RM250 wang tunai.

BR1M 2.0 dijangka akan memberikan manfaat kepada 4.3 juta isi rumah dan 2.7 kumpulan bujang berbanding 4.2 juta penerima BR1M pertama tahun lalu.

1 January 2013

PRU-13: Semua sudah bersdia

TIADA lagi permainan teka-teki apabila pilihan raya umum pastinya akan diadakan pada tahun ini.

Kehadiran tahun 2013 merupakan permulaan kiraan detik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), di mana tarikhnya menjadi perbualan hangat pemimpin politik dalam tempoh dua tahun lalu.

Dengan hanya tinggal 17 minggu saja lagi sebelum penggal Dewan Rakyat tamat pada 28 April ini, semua parti politik bersedia menghadapi pilihan raya yang dianggap paling sengit.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR sudah 100% bersedia menjelang penghujung Februari, ia merupakan tarikh akhir untuk menyiapkan segala persiapan untuk pilihan raya seperti menjamin penggunaan dakwat kekal buat pertama kalinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan menyelesaikan lawatan kerja ke luar negara terakhir selewat-lewatnya bulan depan (Februari).

Selepas itu mereka akan berada di dalam negara untuk membuat persiapan terakhir menjelang pilihan raya, kata sumber.

Jadual perjalanan Najib ke luar negara termasuklah Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland manakala Muhyiddin akan melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) bulan ini.

Ucapan Tahun Baru Najib yang menggariskan pencapaian kerajaan pada tahun lalu berkata, hala tuju negara bergantung kepada pilihan 13.1 juta rakyat Malaysia yang akan keluar mengundi dalam masa terdekat.

"Kerajaan dan saya sendiri tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh rakyat.

"Beri kami mandat jelas dan kami berjanji untuk memenuhi kepercayaan anda dengan cara terbaik bagi membina negara Malaysia untuk semua.

"Malah buat masa ini, ia terbukti bahawa kami sudah memenuhi segala janji dan komitmen," kata Najib.

Muhyiddin dalam ucapan Tahun Barunya menggesa rakyat untuk menyokong kerajaan dalam usaha meletakkan Malaysia di landasan yang tepat untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, Tahun Baru ini menjanjikan sesuatu yang menarik kerana parti itu akan berdepan pertempuran hidup atau mati.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ibu pejabat bersedia mengeluarkan arahan kepada peringkat bahagian untuk bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja.

"Ia seperti bersedia untuk peperiksaan; kami sudah melakukan persediaan asas dan sedang menunggu semboyan daripada Perdana Menteri," kata Setiausaha Agung MIC, Datuk S.Murugesan.

Sementara itu, Pakatan Rakyat turut memasuki tahun 2013 dengan semangat yang membara.

Satu perhimpunan besar oleh Pakatan dijangka menghangatkan arena politik negara menjelang pilihan raya.

30 December 2012

Keamanan perlu- untuk menjamin pembangunan Negara: Salleh

TANPA keamanan, pembangunan negara akan terbantut. Justeru itu, keamanan diperlukan bagi memberi peluang kepada kerajaan membangun negara demi kesejahteraan rakyat.

Speaker Dewan Undangan Negeri- Datuk Salleh Tun Said telah menggariskan tiga pokok utama berkaitan dengan keamanan negara semasa merasmikan Program RELA Bersama Pemimpin peringkat Parlimen P169 Kota Belud pada Ahad. Keselamatan Negara menjamin kesejeteraan..2. RELA turut main peranan bantu pihak Keselamatan. .3. Rakyat pilih Negara Aman dan Keselamatan terjamin.

Apabila keamanan sesebuah negara terjamin, bukan sahaja perkembangan ekonominya menjadi pesat, malah negara itu akan menjadi pilihan pelancong untuk tujuan melancong; rakyat negara itu bebas bergerak tanpa sekatan, malah negara itu menjadi tumpuhan pelaburan asing.

Melalui keamanan sahaja, kerajaan mampu menggerakan sumberdaya sesebuah negara untuk mencipta kemakmuran negara.

Salleh berterima kasih kepada pasukan keselamatan sukarela (RELA) kerana peranan pasukan itu dalam keamanan negara.

Kehadiran RELA untuk membantu pasukan keselamatan dalam urusan keamanan, sedikit sebanyak mengurangkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku, seperti jenayah, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

Timbalan Pengerusi  Perhubungan Umno Sabah itu berkata, kewujudan pasukan RELA di kawasan Kota Belud mempunyai sumbangan yang besar dalam meminimakan kadar jenayah di kawasan itu.

Peranan Rela bukan sahaja meminimakan kadar jenayah dan membantu keamanan, akan tetapi juga pasukan itu menjadi pemangkin kelancaran sesesuatu majlis, misalnya majlis-majlis perkahwinan, majlis-majlis yang memerlukan kehadiran orang ramai dan sebagainya.

Salleh juga berkata bahawa  pasukan Rela merupakan komplimen kepada pasukan keselamatan seperti polis bagi memperlancar keselamatan, demi rakyat.

Lajim Dapat Durian Runtuh: Anwar Umum calon Parlimen Beaufort

Anwar Ibrahim sekali lagi meneruskan sessi jelajah pembohongannya di Sabah. Selaku Ketua Umum PKR mengharapkan satu-satunya peluang beliau yang terakhir iaitu pengundi-pengundi Kristian di Sabah untuk memastikan Pakatan Pembangkang berdaya saing di dalam Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13). Masyarakat di Semenanjung sudah muak dengan janji-jnaji retorik beliau. Pakatan Pembangkang juga gagal melebarkan pengaruh di Sarawak.

Kita semua telah maklum bahawa pada Pilihanraya Negeri Sarawak April tahun lalu di mana hanya DAP yang mampu bertapak di Sarawak. Tidak PKR dan jauh sekali PAS! Mahu tidak mahu Anwar terpaksa mengharapkan peluangnya yang terakhir iaitu di Sabah. Itupun selepas beliau digula-gulakan oleh dua pemimpin Sabah yang berpaling tadah iaitu Lajim Ukin danWilfred Bumburing, yang bercita-cita tinggi untuk terus bertanding di dalam PRU13.

Selepas siri lawatan pembohongan di Sabah, hari ini Anwar terpersona dengan dakwaan Lajim, bahawa MP Beaufort itu mampu menawan Parlimen Beaufort, Dun Klias dan Dun Kuala Penyu, melalui PPSnya.

Serentak dengan itu, Anwar Ibrahim telah mempersonakan Rakyat Kuala Penyu dengan lagu Sabah sudah goyang dan mengumumkan Lajim Ukin kekal sebagai calon bagi Parlimen Beaufort dan John Ghani sebagai calon Kuala Penyu. Bagi Lajim Ukin, cita-citanya untuk terus dicalonkan tercapai. Perdulikan sekiranya beliau tidak dapat mempertahankan kerusi berkenaan, Janji sifat tamaknya dipenuhi.

Lajim Ukin adalah seorang yang opportunis. Masakan tidak seoarang yang menghabiskan RM50,000 semata-mata untuk membodek Anwar Ibrahim dengan membeli surat cinta Anwar Ibrahim kepada Wan Azizah yang dihantar daripada Penjara Sungai Buluh. Surat yang dibida harga pembukaan RM50,000 dibeli oleh beliau pada Majlis Makan Malam Perdana Pakatan Rakyat di Stadium Melawati, Shah Alam tidak lama dulu.

Rakyat tahu hubungan Anwar Ibrahim-Lajim Ukin bukan ikhlas untuk membantu Rakyat sebaliknya masing-masing mempergunakan masing-masing dengan satu matlamat iaitu untuk berkuasa. Lajim Ukin mahu terus bertanding mempertahankan kerusinya. Ini tidak dapat diberikan oleh partinya terdahulu disebabkan ada tanda-tanda awal Rakyat Beaufort sudah menolaknya. Anwar Ibrahim seperti biasa terus dengan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 7 dan mengunakan sisa-sisa pengaruh Lajim Ukin yang ada untuk terus membohogi dan mempergunakan Rakyat Sabah. 

Apapun  Rakyat Sabah tidak tertipu dengan slogan “Ini kalilah!”

29 December 2012

Calon PRU BN dijamin bebas rasuah, jenayah

PUTRAJAYA - Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bebas rasuah dan jenayah, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Beliau berkata, bakal calon BN bagi kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) telah melalui proses saringan teliti termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk memastikan calon tersebut ‘bersih’ dan bebas masalah.

"Semua calon BN yang bakal bertanding telah melalui proses saringan yang teliti,"katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan persekolahan, uniform Rela, ramah mesra bersama pemimpin dan pesta jom makan durian di sini hari ini.

Selain itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, latar belakang bakal-bakal calon BN juga dikaji secara mendalam untuk memastikan mereka adalah pilihan rakyat.

"Kita mahu calon yang bakal bertanding itu adalah mereka yang dikehendaki rakyat, bukannya kehendak parti atau individu-individu dalam parti. Kita mahu calon yang rakyat fikirkan dia boleh mewakili rakyat," katanya.

Mengenai muka baru dan calon wanita yang bakal bertanding dalam PRU13, Tengku Adnan berkata “itu rahsia parti”.

Baru-baru ini, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaaffar mencadangkan semua parti politik menghantar senarai calon yang akan bertanding dalam PRU Ke-13 untuk ditapis SPRM.

Cadangan itu adalah untuk memastikan calon-calon yang bakal bertanding 'bersih' daripada rasuah selain mengelak sebarang tohmahan tidak berasas ke atas mana-mana individu atau parti di belakang calon itu.

Pada majlis yang sama, Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata beliau dan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan terus menggemblengkan tenaga untuk menyediakan keperluan bagi memberikan keselesaan kepada penduduk.

"Saya juga memohon maaf kepada penduduk di sini kalau ada kesilapan-kesilapan yang terlepas pandang atau terlupa perkara-perkara yang patut saya lakukan bagi pihak mereka, tetapi tak dapat lakukan.

"Saya juga mengingatkan mereka agar menjadi masyarakat contoh untuk negara kerana Putrajaya merupakan sebuah bandar lestari," katanya. - Bernama

Dun Tanjong Papat, Elopura dan Karamunting: Mana satu pilihan Pengundi? Parti Kah Pemimpin

KALAU pilhan pengundi jatuh pada pemimpin, maka wakil rakyat yang ada menjadi pilihan. Kalau pengundi  memilih parti, maka SAPP akan menjadi pilihan pengundi bagi DUN Tanjong Papat dan Elopura, manakala parti LDP bagi Dun Karamunting.

Melihat keputusan pengundi sejak tahun 1994, terbukti kawasan-kawasan yang disebutkan memilih pemimpin, kerana sebelum itu, kawasan-kawasan tersebut dimenangi parti Bersatu Sabah (PBS).

Apa kah senario di atas berlaku pada PRU-13? bahawa pilihan pengundi berasaskan kepada pemimpin? Kalaulah andaian itu benar, maka pengundi melihat siapa pemimpin yang bakal dicalonkan.

Tetapi anggapan di atas juga tidak selalu benar, apabila pengundi Batu Sapi pada PRK tahun 2010 memilih parti, bukannya pemimpin.

Berasaskan kepada dua senario di atas, maka di sini lah terletaknya kebijaksanaan strategi yang bakal ditempuh oleh Pengerusi Barisan Nasional Sabah- Datuk Musa Aman.

Kebijaksanaan itu sudah tentunya mencakupi dua pilihan pengundi, yakni parti dan calon. Kalau berasaskan parti tentunya hanya ada satu parti  yakni BN. Calon-calon Bn hanya menggunakan satu simbol, yaitu dacing.

Akan tetapi diperingkat akar umbi, walaupun Bn hanya menggunapakai satu simbol, akan tetapi pengundi melihat komponen parti. 

Bagi kawasan Sandakan, komponen parti yang dominan adalah Umno, PBS dan LDP; sementara parti komponen lain hanya sebagai pelengkap.

Bagi calon-calon yang mewakili Bn daripada parti Umno, siapapun yang bakal dicalonkan akan mendapat sokongan akar umbi Umno, namun tidak bagi parti komponen Bn. 

Masalah utama bagi parti komponen Bn selain Umno adalah kerana parti-parti itu berebut untuk mendapatkan sokongan daripada satu komuniti yang sama. Parti LDP, Gerakan misalnya berebut untuk mendapat sokongan kaum cina. Parti-parti itu berhadapan dengan DAP dan SAPP. 

Dalam beberapa pilihanraya, nampaknya sokongan kaum cina masih kepada DAP; kemenangan calon-calon parti yang mewakili kaum cina datangnya daripada kaum bumiputera.

Disebabkan Umno juga bersaing dengan PAS dan PKR untuk mendapatkan undi bumiputera, maka di sinilah delima calon-calon parti komponen daripada kaum cina. Parti-parti itu tidak lagi mampu menjamin untuk mencapai kemenangan, kerana calon-calon daripada parti yang berasaskan kaum cina, tidak mempunyai sokongan padu daripada kaum mereka sendiri.

Delima berikutnya yang dihadapi parti-parti komponen yang berasaskan kaum cina adalah, apabila parti-parti pembangkang mampu mencapai kesepakatan untuk mengemukakan hanya seorang calon dalam ertikata; satu lawan satu dengan calon Bn.

Apabila ini berlaku, maka tidak lagi berlaku pecah undi; inilah yang menyebabkan calon-calon Bn yang mewakili kaum cina akan kalah.

Selain keadaan di atas, persengkitaan antara pemimpin dalam Bn juga berlaku. Sabotaj tidak akan dapat dielak kalau Peter Pang misalnya dicalonkan di Dun Karamunting; berlainan dengan Dun Tanjong Papat dan Elopura, jika wakil rakyat yang ada dicalonkan, mereka hanya berhadapan dengan akar umbi SAPP, di mana suatu ketika kemenangan mereka sedikit sebanyak ditentukan oleh para pengundi itu.

Juga, jika wakil rakyat Tanjong Papat dan Elopura dicalonkan semula bagi mewakili Bn, namun pengundi melihat mereka mewakili parti Gerakan. Penerimaan pengundi terhadap parti Gerakan tidak boleh disamakan dengan penerimaan rakyat terhadap Umno, kerana kehadiran Umno adalah untuk menggantikan Usno yang telah dibubarkan.

Kehadiran parti Gerakan tidak menggantikan mana-mana parti tempatan. Pembelaan kaum cina sebenarnya digalas oleh dua parti tempatan yakni LDP dan PBS. Atas sebab itu, pada kabinet negeri, hanya dua parti itu di mana wakil rakyatnya pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri mewakili kaum cina.

Atas cara apa?, pucuk pimpinan mengatasi kemelut Dun Karamunting, Tanjong Papat dan Elopura? Apa kah pucuk pimpinan akan memilih calon-calon yang bersifat bebas daripada unsur seperti mana disebutkan di atas? Hanya Datuk Musa mengetahui jawapannya.

27 December 2012

Persepsi Sokongan Rakyat Terhadap BN Meningkat! Atas Faktor Apa?

ADA yang mengatakan bahawa ketepatan BN yang diterajui Najib memilih slogan "Janji Ditepati" dan memilih tindakan "Menepati Janji" sebagai tindakan utama, menyebabkan rakyat kembali menyokong BN.

Tindakan menepati janji merupakan keperhatinan kerajaan BN yang menyebabkan hati nurani rakyat tersentuh.

Dengan mengutamakan kebajikan rakyat, tiada siapa yang ketinggalan termasuk pelajar, wanita, warga emas, usahawan, penjawat awam dan belia merupakan tindakan yang dilakukan melalui slogan :Janji Ditepati".

Tindakan julung-julung dilakukan oleh kerajaan, apabila pada awal tahun ini, Najib menyalurkan bantuan antara RM5,000- RM10,000 bagi kaum nelayan untuk tujuan membaiki rumah kediaman. Bantuan ini merupakan sebahagian daripada dana khas Perumahan Nelayan bernilai RM300 juta sepertimana terkandung dalam bajet 2012.

Selain bantuan kepada nelayan, Najib juga mengambil pendekatan bagi mengurangkan beban rakyat secara keseluruhan melalui berbagai program; antaranya Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM), Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA), Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), dan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M).

Melalui berbagai program yang diperkenalkan kerajaan BN melalui kepimpinan Najib tanpa mengira latar belakang rakyat, samada penyokong Bn ataupun bukan, hasilnya- keikhlasan BN bagi membela rakyat, menimbulkan angin perubahan mula bertiup di negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang.

Di Kelantan misalnya, jarang sekali kita mendengar bahawa penyokong tegar PAS keluar daripada parti itu dan menyertai Umno; malah ada laporan yang mengatakan 3 ribu guru-guru di negeri itu, kini mula kembali menyokong BN.

Di Pulau Pinang pula, akibat cara kerajaan DAP memerintah negeri itu yang bercorak pilih kasih, membuatkan ramai penyokong tegar pembangkang berminat menyokong BN. Perkara ini menjadi kenyataan pada 8 Disember lalu, apabila lebih 350 penyokong tegar PKR daripada Bayan Baru, Bukit Gelugor dan Jelutong menyerahkan permohonan untuk menyertai Umno kepada Perdana Menteri.

Pertanda positif juga berlaku di Kedah dan Selangor, seperti mana kajian para ahli akademik bermula pertengahan tahun ini. Di Kedah misalnya, daripada 10,800 responden; 70 peratus daripadanya tidak yakin dengan kepimpinan Ketua Pembangkang- Anwar Ibrahim.

Selain itu, kerajaan Pas Kedah, sejak akhir-akhir ini telah kehilangan populariti untuk memerintah negeri Jelapang Padi itu; dan keadaan ini adalah peluang terbaik bagi BN memerintah semula pada PRU-13.

Bagi negeri-negeri yang dikuasai kerajaan BN seperti Sabah, Sarawak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Perak; keadaan terkini sungguh terkawal, malah Ketua Penerangan Umno Malaysia- Datuk Ahmad Maslan dengan yakin menyatakan bahawa keseluruhan 140 kerusi dewan rakyat yang dimenangi BN pada tahun 2008 akan mampu dipertahankan, malah 20 kerusi daripada Pakatan Pembankang mampu dimenangi oleh BN.

PRU-13 adalah masa menentukan masa depan negara. Rakyat perlu memberi mandat pada kerajaan yang mempunyai trek rekod mengurus negara. Dan kerajaan itu adalah Kerajaan Barisan Nasional.

Kuburan Batu Gadung: Sampai bila boleh bertahan?

Tahun 60-an, Tapak Perkuburan Islam Batu Gadung, hampir menjadi milik orang-orang tertentu; kerana masa itu, ada cubaan mengerannya.

Haji Mohktar Haji Ibrahim adalah salah seorang pemimpin kampung yang bangkit membantah usaha mengeran tapak dan kawasan itu. Apabila bangkitya bantahan, akhirnya penduduk kampung bersatu menyokong bantahan itu. Akhirnya hingga kini tapak dan kawasan itu masih milik umum tanpa dimiliki atas nama perseorangan.

Namun, akibat fenonima alam, Perkuburan Islam Batu Gadung yang gagal dimiliki orang perorangan, akhirnya kini hampir dimiliki oleh alam.

Kebijaksanaan manusia yang mengusik kawasan ulu sungai, di mana sungai itu menjadi pemisah antara tapak perkuburan itu dengan laut China Selatan; seolah-olah membenarkan alam meneruskan aksinya.

Adalah hukum alam terutama air, di mana keseimbangan jika diganggu, maka alam dengan sendirinya  akan mencari keseimbangan baru. 

Akibat air sungai yang semakin cetek, maka lautan berusaha untuk mendekatinya bagi mengwujudkan keseimbangan. Secara kebetulan, rempuhan alam itu terpaksa merempuh Perkuburan Batu Gadung.

Disebabkan pembangunan di ulu sungai, maka tidak mungkin lagi mengembalikan keadaan semulajadi sungai itu. Apabila demikian, maka Perkuburan Islam Batu Gadung hanya menunggu masa untuk hilang di peta dunia.

Apabila Perkuburan Islam Batu Gadung sirna di peta dunia, maka akan turut juga hilangnya tamadun masyarakat iranun.

Dalam menelusuri, asal muasal seseorang itu, yang pasti seseorang itu dinilai kemampuannya menunjukkan perkuburan nenek moyangnya.

Satu masalah utama yang akan dihadapi generasi kaum iranun di masa akan datang; bahawa suku itu tidak mampu lagi menunjukkan tapak perkuburan asal usulnya.

Perkuburan Islam Batu Gadung merupakan satu bentuk institusi kepada penduduk iranun, kerana perkuburan itu banyak menggambarkan kehidupan suku itu.

Di masa silam, keadaan perhubungan yang begitu sukar; menjadi hambatan penduduk untuk selalu bersua. Kewujudan Perkuburan Islam Batu Gadung merupakan perantara untuk bertemu, bertanya khabar, samada melalui kedukaan  apabila ada kematian mahupun waktu riang ria seperti Hari Raya.

Di masa kedukaan, penduduk kampung berkumpul, untuk menunjukkan simpati kepada keluarga yang kehilangan saudara yang disayangi; di masa itu juga, penduduk kampung menunjukkan bagaimana sifat kerjasama mereka secara spontan; umpamanya menggali liang lahad, membina sulap, mencari daun nipah, menganyam nipah untuk dijadikan atap, mencari tiang sulap, mencari bamban  dan tiak sebagai tali pengikat.

Di masa riang ria seperti Hari Raya, di situ juga berlakunya tukar menukar juadah yang dipersiapkan sebelum menjelang hari raya. (Kini aktiviti itu berganti dengan majlis rumah terbuka). Pada masa itu, asalkan mereka berkunjung ke perkuburan itu, pasti merasakan juadah seperi amik, didiwalan, pirikambing, wadit, barbed dan piusu.

Sungguh riang suasana di perkuburan. Di situ juga berlakunya ketemu jodoh, kerana muda dan mudi berpeluang berjumpa dan menatap wajah masing-masing.

Di situ juga tempat berjumpa antara saudara yang tinggal berjauhan, di situ juga tempat saling bermaaf-maafan. Malah di situ juga berlakunya "ampunan" kerana melarikan anak gadis orang untuk diperisterikan.

Perkuburan Islam Batu Gadung, kalau boleh berbicara, pasti akan menceritakan ketamdunan suku iranun yang mendiami kampung Tamau, Bubong, Lilud dan Magotang.

Malang sungguh, mercu tanda ketamadunan iranun bagi perkampungan itu, sukar sudah untuk diselamatkan, meskipun ada usaha-usaha untuk menyelamatkannya.

Perkuburan Islam Batu Gadung banyak menyimpan kisah silam. Di perkuburan itu juga bersemayamnya seorang auliah yang tidak dikenal. Kubur auliah itu, beberapa kali diusik oleh tangan-tangan gatal dengan membuang nisannya yang berikat tali kuning ke laut atau sungai. Namun, usaha itu berhenti begitu sahaja, kerana semakin kerap dibuang, batu nisan itu akan kembali tertanam di tempat asalnya.

Perkuburan Islam Batu Gadung, sebenarnya banyak menyimpan kisah-kisah silam, tempat pertemuan penduduk di zaman lalu, tempat bersukaria dan tempat menyimpan kenang-kenangan.

Malangnya, Perkuburan itu hanya menunggu masa dan saatnya untuk hilang.

26 December 2012

PRU-13: Apa Yang Rakyat Cari?

APA sebenarnya yang rakyat cari? melalui pilihanraya umum ke-13; sehinggakan ada kalangan yang mendakwa, bahawa lewatnya memanggil pilihanraya itu, kerana kerajaan BN takut.

Hanya ada satu sebab mengapa PRU-13 lambat dipanggil- Negeri-negeri yang dikuasai pembangkang enggan turut serta dalam pilihanraya, kalau PRU dipanggil awal.

Apa yang rakyat cari dalam sesebuah pilihanraya? Pertama kerajaan yang stabil; kedua wakil rakyat yang menjiwai rakyat; ketiga kerajaan yang perhatin terhadap rakyat.

Sesebuah kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihanraya, sudah tentunya kerajaan yang memenuhi tiga sebab yang disebutkan di atas.

Rakyat tidak mahu sebuah kerajaan yang dibentuk nanti lupa akan janjinya semasa membuat rayuan kepada rakyat.

Sesebuah kerajaan adalah terdiri daripada wakil-wakil rakyat yang ditugaskan membuat polisi dan dasar kerajaan; sementara kakitangan kerajaan adalah pelaksana kepada polisi dan dasar itu. Sebenarnya cara ini lah yang sepatutnya berlaku dalam pengurusan kerajaan.

Atas prinsip pengurusan itu, maka sesebuah kerajaan menginginkan satu kerajaan yang kuat dan stabil. Untuk ukuran demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh negara kita, penguasahaan 2/3 kerusi dewan rakyat di peringkat pusat atau dewan undangan negeri di peringkat negeri amat diperlukan.

Rakyat perlu membuat pilihan, parti mana yang perlu diberi mandat membentuk kerajaan. Mandat itu, perlu diberikan dengan kuasa yang membolehkan kerajaan membuat polisi dan dasar yang mapan demi pembangunan negara serta rakyat. Tujuannya agar pelaksana dasar dan polisi itu tidak hanyut dalam suasana politiking. 

Kini, penulis nampak, tidak sedikit daripada mereka yang sepatutnya menjadi pelaksana dasar dan polisi, akan tetapi menjadi musang dalam reban ayam; penyebab kepada keadaan ini berlaku, kerana ada dikalangan daripada mereka, menganggap bahawa kerajaan yang memerintah tidak kuat.

Sebenarnya, yang dicari rakyat dalam sesebuah pilihanraya adalah sebuah kerajaan yang stabil agar polisi dan dasar-dasar yang dibuat dapat dilaksanakan dengan licin dan lancar; dan seterusnya untuk mengelak pelaksana dasar tidak mudah menjadi musang. Pelaksana yang menjadi musang, bukan sahaja merugikan rakyat juga negara, kerana ianya menimbulkan suasana kerja yang tidak kemas.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels