Tiada catatan bila kampung Tamau, mendapat nama "Tamau". Masa sekolah rendah dulu , ada juga orang kampung berceloteh di warung-warung, kononnya nama "tamau" daripada perkatan "Lamau" sebuah tasek cetek berwarna kemerah-merahan di mana kampung Lilud sekarang terletak. Entah macam mana huruf "L" bertukar kepada huruf "T" tiada siapa yang mengetahui dengan pasti.
Sebenarnya kesealahan sebutan nama, bukan sahaja berlaku pada kampung Tamau, akan tetapi juga berlaku pada nama bapa penulis. Di Sekolah rendah, penulis dan adik-adik lain semua ber "bin" kan Abdul Rahman, entah macam mana nama bapa menjadi "RAKUNMAN". Di kampung, bapa lebih dikenali dengan panggilan "Tengku" sempena mengambil nama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pangggilan itu, begitu melekat sekali, kemudian perlahan-lahan nama bapa bertukar berdasarkan nama anak pertama; suatu kebiasaan kepada suku irranun, di mana bapa atau ibu dinamakan atas nama anak pertama. Biasalah terdengar, si ama e saip, si ama e melin, si ama e mukidin, si ama e suruh, si ama e akiah, si ama e raimah dan seterusnya.
Kampung Tamau, terletak berdekatan dengan pantai, memanjang dari timur ke barat, sesuai dengan garis pantai. Di waktu malam, kerana kegiatan manusia kurang, maka dentuman ombak menghiasi malam; dengan suasana itu, maka betapa dekatnya kampung itu dengan pantai Laut China Selatan.
Tiada bukit, hanya tanah landai berpasir, namun kerana banyaknya tanaman puluhan tahun di atasnya, maka humus atau tanah hitam menjadi penyubur, menjadikan tanah mudah menerima apa sahaja jenis tanaman, kecuali tanaman bermusim seperti durian, manakala tanaman lain, apa sahaja jenis buah-buahan di negeri/negara ini, bisa tumbuh dan berbuah.
Atas sifat tanahnya yang berpasir, maka ianya merupakan penapis air bawah tanah yang berkesan; atas sebab itu, sumber air penduduk yang berasaskan air bawah tanah, kalau dilihat dengan mata kasar, sejernih air terawat yang dibekalkan oleh Jabatan Air. Air itulah yang digunapakai penduduk sejak wujudnya perkampung itu, hingga ke hari ini.
Tahun 1965 dibina sebuah sekolah rendah kerajaan dariada papan beralaskan semen yang boleh menampung 60 murid dan mula dibuka pada 1 Januari 1966. Bangunan sekolah itu, berganti dengan bangunan baru yang bertingkat, dibangun dengan konkrit dan mula beroperasi pada tahun 2013.
Bangunan kedua yang dibiayai kerajaan adalah Klinik Desa, dibangun pada tahun 1996 walaupun sebelumnya telah dibangunkan sebuah balairaya berasaskan kayu di zaman kerajaan Usno.
Pada tahun 1988, ada sebuah balairaya dibangun atas tanah persendirian, namu kali ini balairaya itu bukan berasas kayu akan tetapi zinc, dan digunakan sebagai gelanggang badminton atau sepak takraw oleh pemuda atau penggemar permainan itu. Kini balairaya itu telah usang dan tidak dapat digunakan lagi.
Sabah merdeka sejak tahun 1963, 51 tahun lalu, hanya bangunan-bangunan yang disebutkan di atas sahaja merupakan sumbangan kerajaan kepada penduduk kampung Tamau. Tidak dinafikan dalam bidang keagamaan, memang kampung itu telah dibangun masjid baru di mana secara rasminya digunakan pada tahun 2011.
Kampung Tamau, kalau dikira agak terbelakang dibidang hiburan, walaupun ada dua penduduk kampung itu pernah bergelar artis kerana sempat merakamkan lagu-lagu untuk dijual. Adapun citarasa penduduk kampung adalah dalam bidang keagamaan, atas sebab itu, ramai sungguh anak-anak kampung itu berlatarbelakangkan agama, malah Imam Daerah Kota Belud pada masa ini adalah daripada kampung itu.
Di bidang pendidikan, antara anak-anak kampung yang awal menerima pendidikan adalah Haji Asmad Rudin, Encik Rakim Unang, kemudian diikuti oleh penulis bersama saudara Akiah Haji Barbag@ Haji Abdullah, di peringkat berikutnya diikuti Haji Mausar Dambah, kemudian Haji Akriah Haji Abdullah, Razak Haji Rakunman, kemudian Abdul Naddin Haji Sahiddin dan seterusnya.
Penulis bernasib baik, kerana dinobatkan sebagai anak pertama berjaya memasuki menara gading, kemudian diikuti oleh Razak dan Akriah, kemudian selepas itu ramailah anak-anak kampung mengikuti jejak penulis, antaranya adik-adik penulis sendiri.
Kewujudan sekolah kerajaan Tamau sejak tahun 1966, hanya mampu melahirkan beberapa anak mencapai keputusan cemerlang 5A di peringkat UPSR, bermula pada tahun 2007, apabila anak penulis sendiri mencapainya, kemudian selepas itu, ramailah anak-anak kampung itu mengikuti jejak itu.
Dari segi penduduk dan anutan agama, 100 peratus penduduk kampung adalah beragama islam dan beretnik irranun, dan bajau, walaupun pada zaman kerajaan Berjaya ada kumpulan bugis diambil berkerja oleh penduduk kampung yang bertanah luas, kemudian ada kumpulan itu sudah berassimilasi dengan penduduk kampung, dan telahpun menjadi warganegara.
Akibat pertambahan penduduk, dan matalamat politik, kampung Tamau berpecah kepada beberapa kampung, antaranya Kampung Tamau Selatan dan kampung Pintasan. Kampung Pintasan pada awalnya adalah disebut "Rezab" kerana tanah di kawasan itu adalah "Rezab" kampung. Pada tahun 1986- berlakunya perpindahan penduduk secara beramai-ramai di kawasan itu, atas sebab, ada pihak-pihak tertentu "mahu" memilik sendirikan kawasan itu. Antaranya melalui projek udang yang disebut Aquabayu; bekas projek itu kini dimiliki orang lain apabila membelinya daripada pihak tertentu.
Tanah pintasan tidak sunyi daripada masalah, apabila seluas 200 ekar tanah yang dikategorikan tanah kerajaan, kemudian mahu dibangun oleh SEDIA untuk tujuan Agropolitan, satu program membasmi kemiskinan, kini diceroboh oleh beberapa individu yang mendapat backing daripada pihak tertentu untuk menggagalkan program yang dirancang oleh kerajaan itu.
Daripada segi politik, fahaman penduduk kampung itu pada awalnya adalah penentang kepada kerajaan yang memerintah; atas sebab itu telah lahir beberapa pemimpin irranun, walaupun berasal daripada kampung lain, akan tetapi mula menggerakan kegiatan politik bermula daripada kampung Tamau; atas sebab daripada kampung itu para pemimpin politik itu mendapat sokongan padu.
Bagi perkampungan irranun, sebenarnya, jalanraya bertar pertama dibina di kampung Tamau, kemudian disusuli kampung-kampung lain, atas sebab apa, penduduk kampung itu sangat terbuka terhadap pembangunan, menerima apa sahaja demi kebaikan penduduk; mungkin atas sebab itu, pada awal kemerdekaan, ada pemimpin tidak suka dengan penduduk kampung itu, kerana atas sifat mereka sukar diperkotak katik. Dasar pecah dan perintah, tidak lut, atas sebab itu, apabila tiba sesebuah pilihanraya, apa sahaja bentuk kempen yang dilontarkan oleh calon-calon, tidak akan mampu mempengaruhi penduduk, kerana kepatuhan mereka kepada ketua. Tahun 2008, PDM Tamau pernah memberi undi kepada calon bukan parti kerajaan.
Menjalang lebih setengah abad kemerdekaan Sabah, meskipun kampung Tamau tidak menerima sebarang program kerajaan yang bentuk penjanaan pendapatan, namun atas sebab kejayaan anak-anak penduduk kampung itu, maka bentuk perumahan di kampung itu, bagaikan sebuah taman perumahan, di mana runah-rumah di bangun kiri kanan jalan raya, bukan kepalang, bentuk rumah yang moden dibangun berasaskan konkrit. Rupanya, jika pada awalnya, penduduk begitu tersiksa, akibat kesabaran dan ketekunan, maka berjaya jua.
No comments:
Post a Comment