11 July 2014

Apa Khabar Strategi Lautan Biru Kota Belud?

Januari lalu, Menteri Kesahjetaraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahalan melancarkan Pelan Tindakan Stategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi Pekan Kota Belud.

Pelan Tindakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang pertama peringkat bandar dilancarkan itu membabitkan 21 projek bernilai RM37.2 juta bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini. 

Semasa melancarkan pelan tindakan itu, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata daripada jumlah projek yang dikenal pasti, 11 adalah projek 'Quick Wins' bernilai RM7.47 juta yang akan dilaksanakan tahun ini di daerah yang mendapat jolokan nama Daerah Koboi Timur itu. 

"Kementerian akan melaksanakan peruntukan serta-merta dan disiapkan tahun ini, antaranya projek menaik taraf sistem perparitan bandar di Kompleks Centenary dan Pasar Tani, menyediakan tempat letak kereta baharu, naik taraf jalan dan padang serta mercu tanda Kota Belud," katanya. 

Beliau berkata komponen utama projek mesra rakyat itu ialah pembinaan Bazar Rakyat tiga tingkat di tapak pasar tani sedia ada dan menaik taraf padang pekan itu membabitkan kos RM9.8 juta. 

Abdul Rahman berkata kementerian juga akan membina terminal bas bersepadu, tempat letak kereta bertingkat dan menempatkan semula secara berpusat gerai pasar tani, pasar malam dan gerai kecil selain menaik taraf Arked Kota Belud dan kajian sistem lalu lintas bandar. 

"Pelan tindakan ini adalah hadiah kepada warga Kota Belud yang akan memberi perkhidmatan menyeluruh serta mewujudkan esplanad sebagai tumpuan pengunjung dan tempat persinggahan kepada lebih 91,000 penduduk dari pantai barat utara Sabah seperti Kota Marudu, Pitas, Matunggong, Banggi dan Kudat," katanya. 

Semalam OKB sempat berbual-bual dengan beberapa pemuda Umno  Kota Belud yang aktif bukan sahaja turun padang, malah aktif dalam dunia siber. Antara perbualan kosong itu terbangkit juga isu NBOS Kota Belud, selain beberapa projek atau program yang pernah diumumkan di Kota Belud baik sebelum PRU-13 ataupun selepas itu. Sebagai pemuda kata mereka, memang keinginan semua projek/program yang diumumkan itu cepat dilaksanakan terutama yang berkait rapat dengan mereka, misalnya peluang pekerjaan atau peluang-peluang lain yang bakal timbul daripada semua itu. Namun, apa yang menyedihkan, kata mereka, hingga setakat ini, selepas lebih setahun selepas PRU-13; belum ada tanda-tanda projek/program itu lepas landas, malah kedengarannya terlalu banyak karenah birokrasi sedang dihadapi.

Program perumahan rakyat yang berjumlah 1,000 unit di Kampung Pirasan Kota Belud misalnya, yang sangat diharapkan oleh pemuda yang bakal berkeluarga; dikatakan indah khabar daripada rupa; antara penyebabnya; dikatakan perancang bandar tidak meluluskan projek itu; walaupun ianya telah diumumkan.

Juga, pembangunan Pusat Minyak dan Gas di Kuala Abai, Kota Belud juga tidak serancak sepertimana yang diharapkan; di mana projek itu telah menjanjikan 1,200 peluang pekerajaan.

Nampaknya usaha Ahli Parlimen Kota Belud yang juga seorang Menteri Persekutuan-Datuk Rahman Dahalan tidak selancar tulisan di atas kertas; antara penyebabnya; kerana usaha-usaha itu berdepan dengan berbagai kekangan terutama daripada segi human capital; para pejawat awam yang kurang pengetahuan serta kurang pengalaman.

Bagi OKB, jika Rahman mahu merealisasikan apa-apa sahaja rancangan yang mahu dibina di Kota Belud, beliau sendiri terpaksa mempraksanya, kerana jika tidak, semuanya tidak akan berjaya walaupun masa tempoh sepanggal sebagai Menteri akan berakhir.

Memang tugas menteri persekutuan meliputi seluruh negara, selain itu perlu melawat negara-negara luar bagi menyahut tugas-tugas rasmi.  Menteri hanya seorang; untuk menjadi superman bukan mudah dilakukan; untuk itu, seorang menteri perlu mencipta dirinya berpuluh-puluh; dan menzahirkan misinya kepada individu-individu; namun Rahman tidak melakukan pendekatan itu, sebaliknya para individu disekelilingnya 'berusaha" bagaimana menyelimuti menteri itu daripada pandangan umum atau rakyat. Mungkin MP itu sedar? ataupun tidak? tetapi inilah yang terlihat pada ketika ini. 

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels