KESTABILAN POLITIK adalah punca Sabah mampu mengumpul simpanan kewangan sehingga RM3bilion. Kestabilan politik, punca Sabah mampu membentangkan bajet lebih RM4bilion. Kestabilan politik, Sabah mampu mengumpul pendapatan melalui cukai, kerana pihak peniaga senang hati berniaga. Kestabilan politik, menjadikan pemimpin dapat menumpukan pemikiran dan tenaga membangun negeri.
Akibat pertukaran kerajaan yang kerap, Sabah daripada sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam, menjadi negeri termiskin; hanya bermula tahun 1994, Sabah mula mengorak langkah membangun dan secara perlahan-lahan mengumpulkan kewangan demi faedah negeri dan rakyatnya.
Setiap Ketua Kerajaan di Sabah sejak tahun 1994 mempunyai perananan sendiri dalam memajukan Sabah, sehingga mampu mencapai kedudukan pada masa kini.
Menilai pencapaian sesebuah kerajaan, tidak akan dapat dinilai dalam masa singkat, pencapaian hanya akan dapat dilihat sekurang-kurang dalam tempoh 5 tahun.
Pencapaian Kerajaan BN Sabah kini, merupakan sumbangan para pemimpin awal yang mengetuai kerajaan Bn Sabah.
Kerajaan Bn Sabah tertubuh pada awal tahun 1994, selepas beberapa bulan pilihanraya negeri. Pada pilihanraya tahun 1994, Bn Sabah tidak menang pilihanraya, sebaliknya parti pembangkang PBS. Daripada 48 kerusi yang dipertandingkan, PBS mendapat 25 kerusi, manakala Bn 23.
Ekoran gerakan politik yang dijalankan pada ketika itu, maka Bn mampu mencekup dua ADUN PBS, iaitu ADUN Kemabong Rubin Balang (kini Datuk) dan ADUN Klias Datuk Lajim Ukin, untuk menyertai Umno. Akibat gerakan itu, maka kedudukan di DUN Sabah bertukar, Pairin kehilangan sokongan, dan terpaksa melepas jawatan Ketua Menteri.
Tahun 1994, bermulalah kerajaan Bn yang dijenamakan, kerana sejak Sabah merdeka, Sabah diperintah oleh kerajaan Bn, kecuali selama 4 tahun, diperintah oleh parti pembangkang.
Demi memuaskan berbagai etnik, maka diperkenalkan sistem pengelirian Ketua Menteri antara bumi islam, bukan islam dan kaum cina. Selama 9 tahun, sistem pengiliran berjalan, semata-mata untuk menstabilkan politik Sabah. Penggiliran itu untuk mencipta kerukunan, kerjasama berbagai etnik; saling hormat menghormati; bukan atas sebab majoriti kaum seseorang pemimpin, akan tetapi merentasi kaum; apa yang ingin dicipta melalui penggiliran itu, adalah rasa kerja berpasukan, rasa kerja kekeluargaan, rasa kerja kekitaan.
Penutup kepada sistem penggiliran itu apabila Tan Sri Chong Kah Kiat dilantik sebagai ketua menteri; meskipun hanya mewakili satu kerusi Dun, namun semangat kebersamaan telahpun dirintis bermula dengan Tan Sri Sakaran Dandai (kini Tun) dikuti oleh Datuk Salleh Tun Said, Datuk Yong Teck Lee, Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Datuk Osu Sukam. Selepas 9 tahun, masa jinx telah berlalu. Dalam sembilan tahun itu, kestabilan politik telah tercipta.
Akibat kepada kestabilan politik yang dirintis oleh para pemimpin Bn itu, maka Ketua Menteri berikutnya mampu menumpukan kepada pembangunan negeri, pembangunan rakyat serta mengumpul kewangan untuk negeri.
Selama 11 tahun, selepas era penstabilan politik, maka Sabah mengalamai pembangunan yang begitu pesat, selain dapat membentangkan bajet yang senantiasa menjadi rekod.
Kejayaan Musa sebagai Ketua Menteri adalah sebahagian daripada usaha-usaha Ketua Menteri sebelumnya; dan usaha-usaha enam ketua menteri itu, ibarat mengelecek bola bermula daripada bawah, dan selepas itu diumpan kepada Musa, Musa pula menyempurnakannya dengan memasukkan bola itu ke dalam gawang.
Terlihat, akibat kestabilan politik dan kerjasama erat antara etnik, maka pada PRU 2004, 2008 dan 2013, kerajaan Bn Sabah secara maraton membentuk kerajaan dengan kuasa 2/3 di dewan undangan negeri; selain itu menyumbang sejumlah kerusi Parlimen untuk mempertahankan kerajaan Bn pusat.
Kerajaan Sabah pada masa kini, adalah kerajaan Bn yang bermula sejak tahun 1994. Setiap pemimpin, penyokong terlibat erat mempertahankan kerajaan itu. Politik bercorak massa, bukan individu, kemenangan dalam politik, apabila majoriti berkerja secara berpasukan. Kejayaan dalam politik, apabila mendakap dengan erat konsep berketuakan satu.
No comments:
Post a Comment