28 October 2014

Mengapa Ada Pihak Mahu Musa Diganti?

MENGAPA ada yang kurang senang dengan Datuk Seri Musa Aman; sekelumit sebabnya sila ikuti tulisan Saudara Musli Oli disni 

Tulisan saudara Musli itu menghampiri kebenaran fakta. kerana sebelum ini seorang pemimpin yang OKB kenal pernah bercakap secara langsung kepada penulis beberapa tahun yang lalu. Malah pemimpin itu, mengandaikan atas sebab ketegasan Musa itu, maka beliau mendapat musuh dalam lingkungan Bn sendiri.

OKB berulang kali meminta kebenaran daripada pemimpin itu, untuk menerbitkan cerita benar itu melalui blog; namun kebenaran itu sehingga kini belum perolehi.

Alasan pemimpin itu, agar pendedahan itu, tidak menjadi katalis kepada pihak-pihak tertentu  untuk menggunakan cerita itu bagi mengwujudkan suasana tidak tenteram dalam kalangan kepimpinan dalam Bn. Selain itu, Musa sendiri tidak mahu perkara itu dijadikan sebagai bahan percakapan, dan bahan perbalahan antara pemimpin.

Tugas Musa, menurut pimpin itu, akan terus berkerja secara diam berasaskan perlembagaan negeri, dan akan terus bertindak untuk menjaga kepentingan negeri; atas sebab itu, dalam perjalanan pemerintahannya, Musa berusaha mengambil alih sebanyak mungkin syarikat-syarikat yang dahulunya diswastakan, untuk kembali sebagai GLC kerajaan negeri.

Tindakan Musa, antara lain membatalkan perjanjian memajukan Tanah Kerajaan yang terletak berhampiran dengan Taman Prince Philip, Tanjung Aru; yang diberikan kepada pihak swasta untuk dimajukan.

Sehingga kini, menurut pemimpin itu, Musa sangat terkilan dengan penjualan ladang lembu milik Sabah di Darwin, Australia; di mana hasil penjualan ladang itu, telah menyebabkan pembelinya sekelip mata menjadi jutawan.

Berikut Tulisan Saudara Musli yang telah OKB salin dan tampal, di mana isinya sama dengan OKB linkkan.

Pertemuan singkat itu sedikit sebanyak merungkai beberapa persoalan. “Saya minta satu saja. Jangan dedahkan nama saya. Saya tidak mahu sebarang kredit. Saya tidak ada kepentingan dalam hal ini. Soal Musa kekal jawatannya sebagai Ketua Menteri atau tidak, ia tidak akan mengubah kehidupan saya.”

Dia menarik kerusi dan jemput saya duduk. Suasana lobi Magellan pagi ini lengang. Agaknya masih terlalu awal. “Saya baca tulisan saudara minggu lepas. Ramai yang salah faham terhadap saudara. Ramai yang prejudis tanpa baca isi kandungan sebenarnya. Saya kenal saudara dan saya tahu, satu ketika dulu, saudara begitu rapat dengan Datuk Musa Aman. Datuk Syed Abas Ali pernah beritahu saya, dia diarahkan oleh KM untuk melantik kamu. Betul?”

Saya mengangguk, mengiyakan.

Minggu lepas saya dan Zabidi Saidi menulis “Konspirasi Jatuhkan Musa?“ selepas pertemuan 8 ketua Umno bahagian dengan PM mencadangkan peralihan kuasa di Sabah menjadi isu perbincangan. Kumpulan yang kami panggil ‘Kumpulan Pendek’ itu dikatakan mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin kanan Umno dari Pusat.

“Benarkah ada konspirasi seperti yang saudara tulis? Jika saya ditanya, saya akan jawap ya. Memang ramai yang mahu dia turun. Kenapa? Kerana Musa jadi batu penghalang kepada orang-orang yang melihat negeri Sabah sebagai ‘gold mine’. Jika bukan kerana ketegasan Musa, seluruh pantai dan kawasan laut dari Pulau Gaya sebelah Sutera Harbour hingga ke Teluk Likas, beratus-ratus ekar, sudah jadi milik syarikat tycoon dari Sarawak”. Menurutnya, kelulusan tanah itu semasa Tan Sri Dompok atau Datuk Yong Teck Lee. Bagaimanapun, pemilik Sutera Harbour Resorts menghantar satu surat bantahan kerana ada cadangan menimbus kawasan laut bersebelahan dengan resorts itu.

Sudah tentu Sutera Harbour Resorts tidak lagi menarik jika kawasan laut dan pantainya ditimbus dan dibangunkan. Bantahan sampai kepada pengetahuan Musa Aman yang baru dilantik sebagai KM Sabah menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat. Musa minta EIA buat laporan kesan penimbusan kawasan laut tersebut terhadap alam sekitar. Dan seterusnya membawa perkara itu kepada tribunal dan kerajaan negeri dapat membatalkan kelulusan.

Beliau juga bawa perkara itu ke Dewan Undangan Negeri Sabah untuk gazette kawasan tersebut sebagai kawasan yang kekal milik kerajaan dan tidak boleh dipohon atau dianugerahkan kepada mana-mana individu atau syarikat tanpa persetujuan DUN Sabah.

Tindakan Musa membawa perkara itu ke DUN Sabah patut dipuji kerana ia satu langkah mengelak salahguna kuasa berlaku di masa depan. Jika kuasa menganugerah tanah kekal sebagai hak mutlak KM dan kabinet negeri, insiden itu boleh berulang dan negeri bakal kehilangan prime land yang nilainya berbilion ringgit.

“Pemilik syarikat berpangkat Datuk Seri itu seorang Ahli Parlimen yang berpengaruh dan kaya raya. Bayangkan apa perasaannya terhadap Musa selepas kelulusan tanah itu batal. Suka atau marah? Tentu sekali bukan saja marah tapi mungkin berdendam dengan Musa. Wang telah banyak dilaburkan untuk mendapatkan kelulusan tanah itu. Saya dapat tahu ada seorang dua MP dari Sabah yang mendapat payroll darinya.Orang-orang ini juga marah dengan Musa, termasuk pemimpin kanan Umno Pusat yang merupakan rakan niaga pemimpin Sarawak ini.”

Tangannya beri isyarat kepada pelayan. “Dua kopi tenom, boleh?” Saya mengangguk. Tidak kisah minum apa kerana saya lebih berminat mendengar ceritanya daripada memikirkan soal minuman.

“Kamu berani tapi kadang-kadang agak sarcastic. Tapi itu stail masing-masing. Saya suka baca catatan perjalanan dari KK ke Sandakan dan dari KL ke Kuantan baru-baru ini. Satu sindiran yang cukup tajam terhadap Federal Government tentang Pan Borneo Highway. Memang benar Pan Borneo bukan highway seperti kamu kata.” Dia memuji.

Saya tidak balas pujiannya. Hanya senyum dan biarkan dia terus bercerita. “Musli, you are a story teller, saya bukan story teller.

Saya bukan penulis atau novelis. Bukan juga penglipur lara. Saya cerita perkara benar, bukan rekaan. Cerita daripada orang-orang yang rapat dengan Musa dan cerita yang saya dengar sendiri dari mulutnya. Saya tidak paksa kamu percaya sepenuhnya. Terpulanglah. Saya tidak ada kepentingan. Tetapi saya perlu ceritakan perkara yang berlaku. Do justice to him. Saya tidak kata Musa KM Sabah yang terbaik dan tidak ambil kesempatan daripada jawatannya. Begitu juga dengan KM Sabah terdahulu seperti Tun Stephens, Tun Mustapha, Harris Salleh, Pairin dan lain-lain.”

Apa pun tanggapan umum, Tun Mustapha menurutnya seorang KM yang tegas pertahankan hak Sabah. Katanya, jika diletak pistol di kepalanya sekalipun Tun Mustapha tidak akan menyerahkan tanah Sabah kepada syarikat-syarikat dari luar terutama kawasan prime land dalam kawasan bandar. Begitu juga dengan Allahyarham Tun Stephen. Dua pemimpin ini tidak bersetuju dengan pemberian royalti 5% kepada Sabah.

“Jangan samakan pemimpin Sabah dulu dengan sekarang. Amat tidak adil untuk kita bandingkan Tun Mustapha dan Tun Stephens dengan pemimpin Sabah hari ini. Set up tidak sama. Dulu parti dalam negeri. Sekarang parti nasional. Begitu juga dengan politik Sarawak. Kita tidak sama status dengan Sarawak kerana presiden parti yang memerintah Sabah adalah juga Perdana Menteri. Pemimpin BN Sarawak boleh bercakap soal Malaysia Agreement, soal royalty secara terbuka tapi di Sabah, ini tidak boleh dilakukan”.

Ini tidak bermakna pemimpin Sabah tidak pertahankan hak-hak Sabah bila tidak buat kenyataan terbuka, katanya lagi. Musa Aman telah membuktikan dia seorang pemimpin yang tegas dalam soal hak negeri Sabah bukan sahaja dalam kes tanah tetapi juga satu kes yang berlaku sebelum dia menjadi KM Sabah. Peristiwa itu berlaku pada tahun 1994.
“Kes ini telah lama tetapi kesannya membawa kepada persengketaan antara dua pemimpin itu hingga ke hari ini.”

Satu proposal telah dikemukakan kepada KM Sabah ketika itu, Tun Sakaran Dandai untuk menubuhkan syarikat pelaburan atau investment arm kepada Yayasan Sabah. Beberapa pemimpin terlibat termasuk Timbalan Ketua Menteri Datuk Yong Teck Lee dan seorang peniaga dari Sarawak bernama Datuk Ambrose Lee, pemilik syarikat NBT, sebuah listed company. Syarikat yang dicadangkan Aman Takzim. Cadangan itu daripada pemuda Umno, dan semua pemuda Umno seluruh Sabah pada masa itu dijanjikan elaun RM5000 sebulan sepanjang hayat, dengan syarat memberi sokongan sepenuhnya.
Deal untuk ambil alih asset Yayasan Sabah yang bernilai puluhan billion itu telahpun mendapat kelulusan KM Sabah dan kabinet negeri juga tidak menghalang cadangan tersebut.

Pada masa itu Musa bukan anggota kabinet. Dia sekadar Pengerusi GLC. Musa dilantik sebagai pengerusi SEDCO setelah menolak tawaran menjadi pembantu menteri dalam pembentukan kabinet selepas pilihan raya 1994. Pengambil alihan harta Yayasan Sabah oleh syarikat Aman Takzim berjalan lancar tetapi cadangan itu tidak boleh berkuat kuasa jika tidak mendapat persetujuan Ahli Lembagai Pemegang Amanah Yayasan Sabah (BOT) yang dipengerusikan KM Sabah. Secara kebetulan Musa adalah salah seorang daripada anggota BOT Yayasan Sabah. Antara lain anggota termasuk Tan Sri Ampong Puyon dan Datuk Hasbollah Taha.
Maklumat yang diperolehi Musa daripada kakitangan kanan Yayasan Sabah begitu merisaukannya. Setelah Aman Takzim mengambil alih asset Yayasan Sabah, syarikat itu kemudian akan diambil alih NBT secara reverse takeover dan di senaraikan dalam BSKL. Ini bermakna Aman Takzim akan menjadi listed company dan bukan lagi milik penuh Yayaan Sabah dan di luar kawalan setelah ia menjadi syarikat awam. Pada masa itu Musa dapat maklumat Datuk Ambrose Lee adalah orang di belakang idea penubuhan Aman Takzim untuk mengawal syarikat itu melalui NBT.

Dalam mesyuarat pertama BOT Yayasan Sabah, Musa memberi pandangannya dan menyatakan kebimbangan itu kepada ahli-ahli lembaga yang lain tentang kemungkinan Sabah akan hilang kuasa pemilikan saham sekiranya syarikat itu disenaraikan kelak. Jika syarikat itu bukan lagi milik Yayasan Sabah, bermakna harta berbilion ringgit akan berpindah milik. Mesyuarat gagal mencapai kata sepakat dan ditangguhkan.

Pandangan Musa menjadikan dia tidak disenangi. Musa dianggap sebagai penghalang . Oleh itu, satu mesyuarat BOT Yayasan Sabah telah dirancang secara senyap-senyap dan diadakan semasa Musa mengikuti rombongan lawatan menteri, Tan Sri Joseph Kurup ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun Musa telah dihubungi dua pegawai kanan Yayasan Sabah, Datuk Tengku Adlin danDatuk Safari Manan mengatakan keesokan pagi BOT Yayasan Sabah akan mengadakan mesyuarat khas. Musa mendapat panggilan telefon itu pada sebelah malam. Tanpa berlengah, beliau menaiki teksi dari Pulau Pinang ke Airport Subang. Beliau tiba sekitar jam 4 pagi dan sempat menaiki pesawat pertama ke Kota Kinabalu.

Ketibaan Musa dalam mesyuarat itu amat memeranjatkan kerana dia tidak dimaklumkan dan secara sengaja telah dirahsiakan daripada pengetahuannya. Mesyuarat BOT pagi itu khususnya membincangkan proposal Aman Takzim. Selepas beberapa orang memberi pandangan, tiba giliran Musa. Pertama sekali Musa meminta KM Sabah untuk tidak terlibat dalam mesyuarat itu kerana kemungkinan akan berlaku ‘conflict of interest’ disebabkan salah satu nama dalam syarikat Aman Takzim ada hubungan keluarga dengannya.

Tun Sakaran meninggalkan mesyuarat BOT. Timbalan KM, Yong Teck Lee di cadang mengambil alih mempengerusikan mesyuarat tapi Yong juga menolak dan Musa dicadangkan untuk menjadi pengerusi mesyuarat. Musa mencadangkan keputusan hendaklah ditangguhkan dan mohon perkara itu dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir terlebih dahulu sebelum diluluskan.

Tidak lama selepas itu, Musa menjelaskan kepada Tun Mahathir di Kuala Lumpur. Tun Mahathir mengarahkan satu team yang diketuai penasihat ekonomi PM ke Sabah untuk membuat siasatan lanjut mengenai proposal mengambil alih asset Yayasan Sabah. Keputusan Tun Mahathir, cadangan Aman Takzim telah dibatalkan.

“Apakah peranan Musa membatalkan proposal itu, antara sebab Tun Mahathir memilihnya menjadi KM Sabah?” Pertama kali saya bertanya. “Mungkin juga itu salah satu factor” jawapnya ringkas.

Begitulah kisah yang dikisahkan kepada saya. Sebagaimana saya terbuka untuk mendengar apa yang disampaikan oleh mereka yang tidak ‘selesa’ dengan Musa, saya juga sentiasa berbesar hati mendengar apa yang disampaikan kepada saya oleh mereka yang menyenanginya. Saya percaya itulah sebaik-baik cara kerana kita tidak berhak bercakap mengenai kebenaran dan keadilan selagi kita hanya memilih nak mendengar apa yang kita mahu dengar.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels