Nampaknya kemasukkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ke Sabah akan terbantut, ekoran sabotaj oleh pihak-pihak tertentu di Sabah.
Laporan media tempatan, terdapatnya sekurang-kurangnya empat kumpulan menjadi pencadang kemasukan parti pimpinan Tun Dr Mahathir itu ke Sabah, namun yang kelihatan paling agresif adalah kumpulan Datu Akjan Ali (mantan tahanan ISA) dan kumpulan Datuk Lajim Ukin, Presiden Parti Harapan Sabah (bersedia membubarkan parti jika dipilih menerusi PPBM di Sabah), manakala kumpulan mantan-mantan pemimpin dan wakil rakyat Umno belum secara terang-terangan menjadi pencadang kepada komponen PH itu, walaupun tersebar beberapa gambar membabitkan ketua kumpulan itu Datuk Hajiji Haji Noor menyerahkan borang PPBM.
Melihat keadaan yang melingkari kemasukkan PPBM ke Sabah,khususnya ketidak sediaan Parti Warisan Sabah (PWS), maka tindakan pihak-pihak tertentu yang mengambarkan "mereka" berlumba-lumba menyertai parti ketiga terbesar daripada jumlah kerusi dalam kalangan parti PH itu, sebenarnya satu tindak terselubung bagi mengekang kemasukan parti itu ke Sabah.
Tujuan hakiki sesebuah parti politik, adalah untuk penyatuan berbagai segmen rakyat, namun melihat latar belakang yang berbeza yang mahu menjadi pencadang kepada parti itu, kemasukkannya akan menambah kecelaruan politik Sabah, selain faktor itu boleh digunakan oleh Datuk Shafie Apdal sebagai alasan kuat untuk menghalang kemasukan parti nasional itu ke Sabah.
Penulis melihat tindakan 3 kumpulan (tidak termasuk kumpulan mantan-mantan pemimpin Umno) adalah usaha sabotaj, kerana mereka berada pada kedudukan "nothing to lost", manakala kumpulan mantan-mantan pemimpin Umno bukan sahaja terperangkap akan tetapi berada dalam persimpangan.
Matlamat parti politik adalah untuk mendapatkan sokongan seramai mungkin rakyat, tanpa mengira latar belakang, namun memandangkan PPBM diuar-uarkan oleh "mereka" yang "tinted" dan jelas tidak akan mendapat sokongan rakyat, maka akan mendorong pucuk pimpinan parti itu untuk sementara waktu tidak akan melebarkan sayap ke Sabah setidak-tidaknya dalam sepenggal ini.
Berasaskan pada senario semasa, ke mana kah arah tuju mantan-mantan pemimpin Umno? Sedangkan pada masa ini, "kelihatannya" Umno akan bangkit semula. Dalam politik, semua berkemungkinan, tidak mustahil, mereka itu akan kembali bertaut semula dalam parti tertua negara itu.