22 July 2013

Ibadah Puasa dari sudut kerohanian dan sosial menurut HAMKA

BULAN Ramadhan adalah bulan di mana umat Islam diwajibkan berpuasa. Perintah berpuasa ini disebut di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa".

Menurut Allahyarham Profesor Dr. Hamka, perintah puasa seperti juga perintah Allah yang lain, bukanlah satu perintah yang kaku dan kering kerana ibadah puasa berupaya mengetuk hati, iman dan akidah. Amalan puasa dapat menyatukan akal dan perasaan, jiwa dan sanubari.

Ada dua sudut utama yang boleh kita lihat daripada amalan puasa ini, iaitu sudut kerohanian (agama) dan sudut sosial. Dari sudut kerohanian, ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Amalan puasa yang dilaksanakan dengan penuh penghayatan akan dapat membangun dan menyuburkan nilai ketaqwaan dan kemanusian.

Dalam pengertian yang lain, puasa di bulan Ramadhan adalah jalan atau cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia dapat dilakukan melalui pelbagai amalan yang digalakkan kita melakukannya di bulan Ramadhan seperti bertadarus Al-Quran, bertarawih, bertahajud, beriktikaf, memperbanyakkan zikir dan memperbanyakkan sedekah.

Segala bentuk amalan mulia itu dapat meninggalkan kesan positif dalam jiwa kita. Untuk menghidupkan Ramadhan (ihya' Ramadhan) dengan pelbagai bentuk ibadah perlukan kepada 'al-mujahadah' atau bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu.

'Al-mujahadah' dapat membantu kita ke arah pembentukan jiwa yang sentiasa takut (khauf) akan 'balasan akhirat' dan 'pengadilan Ilahi' di Padang Masyar nanti.

Berlapar dan dahaga semasa berpuasa dapat menjernihkan fikiran, mendorong kita lebih banyak beramal dan memperoleh al-hikmah (kebijaksanaan).

Luqmanul Hakim pernah menasihati anaknya: "Wahai anakku, jika perut terisi penuh, fikiran akan tidur, hikmah tidak akan muncul dan anggota tubuh akan malas melaksanakan ibadah".

Dari sudut sosial pula, ibadah puasa dapat mendidik kita menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri. Sifat kehidupan dunia hari ini yang meletakkan hidup dalam lingkungan persaingan telah mendorong ramai di kalangan manusia menjadi individu yang egoistik dan individualistik.

Jati diri manusia mudah tenggelam di tengah-tengah keegoan dirinya sehingga penyakit rohani seperti iri hati, hasad dengki, dendam dan permusuhan sesama manusia semakin berleluasa dalam masyarakat.

Justeru, puasa yang dilakukan dengan penuh penghayatan akan membawa kita kembali untuk hidup bermasyarakat. Ketika berpuasa, semua kehendak nafsu akan dirasionalkan oleh akal sehingga lapar dan dahaga yang dirasai itu mampu menghapus rasa keangkuhan diri.

Kesedaran ini akan menumbuhkan rasa kasih sayang dan tanggungjawab sosial. Sifat ini akan menjadikan kita lebih peka terhadap orang kurang bernasib baik serta mereka yang berada dalam kesulitan dan musibah.

Sifat belas ihsan ini akan mendorongnya menghulurkan pertolongan, terutamanya terhadap golongan yang hidup di bawah paras kemiskinan (fakir dan miskin).

Kesannya akan wujudlah hubungan harmonis antara golongan kaya dan golongan miskin. Ia sekali gus menolak fahaman Marxisme yang mengatakan golongan kaya dan miskin akan selalu bertentangan (bermusuhan) antara satu sama lain kerana si kaya selalunya menindas si miskin.

Hakikatnya, Islam adalah satu-satunya agama yang dapat menempatkan manusia dalam keadaan yang sama-sama lapar dan dahaga melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Justeru, di bulan Ramadhan yang mulia ini tunjukkanlah kemurahan dan kedermawan kita dengan mengeluarkan sedekah, infak dan zakat. Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan, tetapi puncak kedermawanan baginda adalah di bulan Ramadhan.

Justeru, orang mukmin yang ikhlas hatinya akan berlumba-lumba menghulurkan pertolongan kepada golongan yang memerlukan. Hayatilah maksud firman Allah SWT, "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai." (ali-Imran :92).

Apabila kita memberi kepada seseorang maka hendaklah kita beri yang baik-baik kualitinya sesuai dengan apa yang dinyatakan Al-Quran, "Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan darinya." (al-Baqarah:267).

Ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh ikhlas dan keimanan juga akan dapat memupuk persaudaraan dan silaturahim sesama umat Islam. Inilah masanya hubungan dan perpaduan sesama umat Islam yang telah terjejas dipereratkan kembali.

Untuk mencapai semua kebaikan puasa itu maka perlulah kita laksanakan ibadah puasa kita itu dengan sempurna mengikut lunas-lunas Al-Quran dan As-Sunah supaya amalan puasa Ramadhan ini membawa kita kepada matlamat akhir iaitu menjadi insan yang bertaqwa (al-Baqarah: 183).

Amalan puasa tidak sepatutnya dicemari dengan amalan keji seperti buruk sangka, kebencian, permusuhan, hasad dengki dan iri hati. Hendaklah kita menjauhi marah, mencaci dan mengata nista. Rasulullah SAW pernah ditanya, "Apakah yang menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia?" Lalu baginda menjawab, "bercakap dusta dan mengumpat".

20 July 2013

Bulan Ramadhan: Beri Ruang Umat Islam Perbaiki Kualiti Amalan

Sedar mahupun tidak, umat islam telah menyempurnakan 11 hari berpuasa dalam bulan Ramadhan. Bagi umat islam yang bertaqwa, kehadiran Ramadhan sangat dinanti-nantikan, kerana mereka sedar bahawa ia adalah rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Mereka memahami bahawa Ramadhan bukan hadir dengan 'tangan kosong', tetapi dipenuhi ganjaran dan dilimpahi dengan 'buah tangan' daripada Allah SWT.

Justeru, terpulanglah kepada kita sama ada untuk menerima kehadiran Ramadan dengan memuliakannya atau membiarkan ia berlalu begitu saja. 

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang se belum kamu agar kamu bertaqwa.”

Ramadhan adalah bulan tarbiah iaitu bulan yang mendidik setiap individu Muslim agar kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ibadah puasa misalnya, bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga berperanan mendidik mata daripada melihat perkara yang diharamkan, telinga daripada mendengar umpatan, lidah daripada menuturkan fitnah dan cacian, tangan daripada melakukan dosa dan permusuhan, kemaluan daripada melakukan kemaksiatan dan kaki daripada melangkah ke arah kejahatan dan kemungkaran. 

Ibadah puasa juga mendidik kita bersifat ihsan dan melaksanakan tuntutan agama dengan penuh keikhlasan. Fikirkanlah, apakah balasan daripada Allah yang akan kita terima jika kita berpuasa, namun dalam masa, kita masih lagi terus melakukan kemungkaran?

Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah di dalam karya agungnya, Ihya Ulumuddin telah membahagikan puasa kepada tiga tingkatan. Tingkatan paling rendah ialah puasa orang awam iaitu hanya menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum. Tingkatan pertengahan pula ialah puasa orang khusus iaitu turut berpuasa daripada melakukan segala bentuk maksiat dan dosa, manakala tingkatan tertinggi ialah puasa orang khusus lagi istimewa iaitu berpuasa dengan penuh ikhlas dan menjaga hati daripada dikotori dengan sifat mazmumah. 

Pembahagian ini memberikan umat Islam ruang untuk berfikir tingkatan manakah mereka berada, seterusnya memperbaiki kualiti puasa mereka. Justeru, nilailah di manakah tingkatan puasa kita selama ini, mudah-mudahan dengan kehadiran Ramadhan kali ini ibadah puasa kita mencapai matlamat puasa sebenar iaitu taqwa seperti firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang se belum kamu agar kamu bertaqwa.” 

Marilah kita jadikan Ramadhan ini masa yang terbaik untuk kita bermuhasabah dan menghitung diri. Cerminlah diri kita! Adakah selama ini anggota tubuh yang Allah kurniakan terutama mulut, tangan, mata dan kaki kita gunakan untuk beribadah dan memberi manfaat kepada masyarakat, agama dan negara? Ataupun hanya kita gunakan untuk melakukan kerosakan, kehancuran dan kemudaratan.

Renungkanlah, jika selama ini kita tersalah perbuatan, kembalilah ke pangkal jalan sempena kedatangan bulan yang mulia ini. Bayangkanlah, betapa besar fadilat yang pasti dikurniakan Allah SWT kepada hamba-Nya yang ingin merebut peluang ini. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari Rahimahullah, daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW: “Apabila datangnya Ramadhan, nescaya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

Hadis ini menggambarkan keistimewaan bulan Ramadhan dan betapa luasnya kesempatan untuk meraih pahala. Bahkan, Allah SWT juga membuka seluas-luasnya pintu keampunan untuk menerima taubat hamba-hambanya yang benar-benar bertaqwa kepada-Nya.

Ketahuilah! Dari sudut kesihatan, puasa adalah kaedah terbaik bagi memelihara anggota badan daripada penyakit. Melalui berpuasa unsur racun di dalam makanan dapat dihapuskankan. Dr Hisyam Ibrahim AI-Khatib dalam karyanya ‘Al-Wafi Fi Al-Tib’ menjelaskan puasa juga telah memberi peluang kepada organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman. Ia juga menjadi penawar mujarab kepada pe nyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah.

Lihatlah betapa besarnya hikmah Allah SWT mewajibkan hamba-Nya berpuasa. Selain meningkatkan keimanan dan ketaqwaan, ia juga bermanfaat kepada tubuh badan.

Wakil Rakyat BN: Perlu selesai masalah Rakyat: Musa

AMBIL keberkatan Bulan Ramadhan dengan lebih kerap turun padang selain membantu menyelesaikan masalah rakyat adalah pendekatan terpuji yang boleh dilakukan oleh wakil-wakil rakyat Barisan Nasional; demikian gesaan Ketua Menteri Sabah-Datuk Seri Musa Aman, sempena majlis berbuka puasa di Bangunan Umno malam tadi.

"Kita" sebagai wakil rakyat perlu berterima kasih kepada Rakyat, kerana memberi peluang kepada "kita" berkhidmat, untuk itu "kita" perlu menunaikan tanggungjawab mengikut mandat yang diberikan kepada "kita" semasa PRU-13 lalu- demikan menurut Pengerusi Perhubungan Umno Sabah itu.

Para wakil rakyat perlu mengambil iktibar; bahawa kecenderungan rakyat kini mempunyai kemampuan menilai perkhidmatan para wakil rakyat berbanding masa-masa lalu. Perkhidmatan mereka adalah penanda aras kepada sokongan rakyat secara umumnya kepada kerajaan dan parti.

Kegagalan wakil-wakil rakyat memberi perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat boleh mendatangkan kemerosotan sokongan kepada kerajaan dan parti; selain itu, kelemahan mereka itu boleh dimanipulasikan oleh pihak pembangkang yang senantiasa mencari kelemahan-kelemahan kerajaan.

Dalam suasana politik sekarang, setiap wakil rakyat perlu menumpukan sepenuh masanya berkhidmat kepada rakyat; jika tidak, mereka akan menjadi liabilti kepada kerajaan dan parti.

Jangan sampai ada wakil rakyat yang hanya mahu berkhidmat untuk diri sendiri; sehinggakan boleh mencipta imej yang buruk kepada kerajaan dan parti secara keseluruhan; kerana akibat nila setitik, maka susu sebelanga rosak binasa.

Gesaan Musa, agar wakil-wakil rakyat daripada BN senantiasa turun padang dan menyelesaikan masalah-masalah rakyat merupakan gesaaan yang tidak boleh diambil ringan, kerana sebagai ketua kerajaan, beliau tahu denyut jantung dan nadi rakyat.

19 July 2013

RCI PATI Sabah: Lebih menjurus kepada dendam

KETERANGAN saksi ke 187 Mantan Pemimpin PBS Dr Chong Eng Leong dan Saksi ke-188 mantan Setiausaha Kerajaan negeri Sabah Tan Sri Simon Sipaun di mahkamah Kota Kinabalu, berkaitan RCI Pati Sabah, lebih banyak menjurus kepada perasaan dendam.

Kenyataan seperti adanya jawatan kuasa khas bagi mencari pendatang tanpa izin untuk dijadikan ahli Umno dan seterusnya menjadi pengundi; memperbanyak pengundi berketurunan "melayu" untuk membolehkan Umno bertapak di Sabah, serta usaha menjatuhkan kerajaan PBS yang diketuai oleh orang kristian dan "agenda Persekutuan" untuk menjadikan Sabah sebuah negeri islam dengan menggalakkan muslim dari Filipina dan Indonesia untuk datang ke Sabah- semuanya berunsur dendam dan persepsi.

Umum mengetahui bahawa Umno masuk ke Sabah pada tahun 1991, atas sebab jemputan Tun Datu Mustapha untuk menggantikan Parti Usno. Faktor penyebab kepada kemasukan Umno ke Sabah, ekoran tikam belakang Parti PBS kepada BN pada ambang PRU-1990; apabila parti itu keluar BN untuk bersengkokol dengan Pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Pembubaran Parti Usno adalah untuk membolehkan semua ahli parti itu menyertai Umno secara enblock; bukannya seperti mana dakwaan yang diutarakan di Mahkamah RCI Pati Sabah, bahawa wujudnya satu Jawatan Kuasa untuk mencari penduduk "melayu" bagi membolehkan Umno bertapak.

Umum mengetahui bahawa hanya di Sabah sahaja, Umno menerima keahlian daripada berbagai suku dan agama, antaranya daripada kaum KDM. Tidak benar, bahawa bertapaknya Umno ke Sabah, kerana berasas kepada kaum "melayu".

Umum juga mengetahui, apabila Parti AKAR dibubarkan untuk membolehkan semua ahlinya menyertai Umno; atas sebab itu, keahlian Umno Sabah terdapat nama-nama yang "bersiang" nama kaum cina. Malah di Bahagian Umno Kota Belud, ada perwakilan Kumpulan G7 yang bernama cina menang dalam pertandingan menjadi perwakilan.

Antara tahun 1985-awal tahun 1994, Ketua Menteri Sabah adalah Datuk Pairin Kitingan (kini Tan Sri). Sebelum PRU-1990, tiada usaha menjatuhkan kerajaan PBS yang diterajui oleh Pairin, kerana PBS merupakan parti komponen BN, bersama-sama dengan Parti Usno. Di peringkat negeri PBS dan Usno tidak sehaluan.

Disebabkan Parti PBS memilih menyertai Pembangkang pada tahun 1990, maka berlaku pertembungan antara parti itu dengan BN. Biasalah melalui sistem demokrasi, maka adalah lumrah untuk berlawan, parti mana yang menerima sokongan majoriti rakyat, maka itulah yang memerintah.

Pada PRU-1994, Parti PBS mendapat 25 kerusi DUN, manakala BN yang diterajui Umno mendapat 23 kerusi daripada 48 kerusi DUN Sabah. Namun, selepas PRU itu, dua ADUN PBS keluar daripada parti itu- iaitu ADUN Klias-Datuk Lajim Haji Ukin dan ADUN Kemabong- Datuk Rubin Balang untuk menyertai Umno. Akibat daripada itu, maka PBS kehilangan majoriti di DUN Sabah, maka tumbanglah kerajaan PBS yang diketuai Datuk Pairin.

Pada PRU-1999, BN menang pilihanraya, kerana Parti PBS sebagai Parti Pembangkang hanya memperolehi 17 kerusi DUN Sabah daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. Parti PBS hanya bertahan sebagai parti pembangkang sehingga awal tahun 2002; kerana selepas itu, parti itu menyertai BN semula.

Keterangan saksi 187 dan 188 pada pendengaran RCI Pati di mahkamah Kota Kinabalu pada Khamis, bahawa kemasukan Umno ke Sabah untuk menjatuhkan kerajaan Negeri yang diketuai Datuk Pairin yang beragama kristian, adalah satu peranyataan yang kurang tepat dan mengelirukan.

Dakwaan Mantan Senator Dr Chong Eng Leong yang mengaitkan Datuk Musa Aman mengetuai satu Jawatan Kuasa untuk merekrut pendatang asing bagi menambah undi kaum bumiputera islam pada tahun 1991; bercanggah dengan fakta keputusan PRU-1994 dan 1999. Pada PRU-1994, semua kawasan yang majoriti kaum KDM dan Cina masih dimenangi Parti PBS, manakala kawasan kaum bumiputera islam dimenagi BN; manakala pada PRU-1994, perkara yang sama berlaku, bezanya ada kawasan-kawasan majoriti KDM dan kaum cina dimenangi BN, ekoran keluarnya beberapa pemimpin PBS yang menubuhkan parti masing-masing seperti PDS( kini Upko) dan PBRS. Kawasan-kawasan yang ditandingi PDS dan PBRS dimenangi BN, walaupun asalnya kawasan itu adalah wilayah PBS.

Dakwaan Saksi ke-188, yang mengatakan bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai "agenda" menggalakkan penduduk Filipina dan Indonesia untuk menjadi rakyat Sabah adalah bercanggah dengan keterangan mantan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat; bahawa pihak Persekutuan tiada halangan semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah berkaitan usaha "crackdown" pendatang Tanpa Izin di Sabah, malah semua agensi Persekutuan menyokong tindakan itu.

Bagi penulis, keterangan saksi ke-187 dan ke-188 hanya merupakan anggapan mereka sendiri dan "rasa" dendam mereka.

18 July 2013

RCI Sabah: Dr Chong Eng Leong kaitkan Datuk Musa Aman

Datuk Musa Haji Aman-Ketua Menteri Sabah
Seorang bekas ahli politik Parti Bersatu Sabah Dr Chong Eng Leong mendakwa Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman juga terlibat dalam 'Projek IC'.

Chong yang pernah mengarang buku berhubung Projek IC itu mendakwa, Musa mempengerusikan satu jawatankuasa bertindak pada 1991 yang dirancang untuk mendaftar warga asing sebagai anggota Umno selepas pemberian kewarganegaraan.

“Apabila Umno mula memasuki Sabah, pasukan bertindak ini ditubuhkan dan ketuanya tidak lain selain Musa Aman sendiri,” kata Chong kepada suruhanjaya siasatan diraja berhubung isu imigran Sabah hari ini.

Dakwaan ini, bukan sahaja mencemarkan nama baik Ketua Menteri Sabah itu; juga boleh menimbulkan berbagai persepsi terhadap kerajaan yang ditunjangi Umno dan parti Umno sendiri.

Bagi orang Sabah, memang sudah arif dengan Dr Chong Eng Leong, kerana mantan pemimpin PBS itu senantiasa menyimpan perasaan buruk sangka terhadap kepimpinan Umno dan Umno sendiri, selepas parti itu berjaya menumbangkan kerajaan PBS pada tahun 1994.

Sabah sebelum tahun 2004 mempunyai 48 kerusi Dewan Undangan negeri, di mana 40 kawasan dikuasai seimbang antara kaum bumiputra islam dan kaum KDM, manakala 8 dikuasai kaum cina. Akibat persempadan semula yang digunapakai pada PRU-2004, kawasan DUN bertambah kepada 60, di mana kawasan bumiputera islam telah bertambah 12 menjadi 32, manaka kawasan KDM dan kaum cina tetap tidak berubah.

Berasaskan kepada keadaan inilah, ada pemimpin tertentu mempertikai pertambahan jumlah kerusi kawasan majoriti kaum bumiputera islam; dan menghubungkan pertambahan itu dengan penambahan pengundi melalui "pemutihan" pendatang haram, terutama daripada Indonesia dan Filipina.

Pemimpin tertentu mengguna pakai data tahun 1960-an, sebagai dasar mengukur pertambahan penduduk; tanpa mengambil faktor cara pendaftaran penduduk Sabah pada masa itu.

Kerajaan Sabah pada tahun 1970-an berusaha berbagai kaedah menggalakan penduduk mendaftar sebagai penduduk, antaranya melalui Saham Tun Mustapha atau lebih dikenali sebagai "wang kayu balak". 

Pada post kemerdekaan Sabah pada September 1963, memang kerajaan mengalami kesukaran mendaftar penduduk Sabah yang sebenarnya, atas sebab itu berbagai inisiatif diperkenalkan.

Sehingga tahun 1990, memang masih ramai penduduk Sabah yang belum berdaftar sebagai penduduk Sabah, walaupun mereka menduduki negeri ini. Atas kesedaran politik terutama kaum bumiputera islam yang tertindas semasa kerajaan PBS, maka ramai pemimpin islam secara sukarela menjadi pemangkin supaya timbul kesadaran agar bumiputrera islam mendaftar sebagai penduduk dan seterusnya mendaftar sebagai pengundi.

Penulis sendiri, walaupun hanya tinggal di sebuah kampung yang berjarak 16 batu daripada pekan, tidak mempunyai surat beranak, akan tetapi surat akuan bersumpah dan kemudian surat itu digunakan untuk memohon surat beranak daftar lewat.

Bayangkan mereka yang tidak berkesempatan bersekolah pada tahun 60-an, kemungkinan besar mereka ini tidak mempunyai dokumen, walaupun mereka adalah penduduk asli negeri ini.

Seperti penulis katakan di awal tulisan ini, dan tulisan-tulisan sebelum ini baik melalui blog ini ataupun melalui blog APA YANG TERSIRAT DI www.musramrakunman.blogspot.com; kerana kesadaran politik kaum bumiputera islam yang bermula pada tahun 1990, maka ramailah penduduk bumiputera islam berjaya diberi kesadaran untuk mendaftar sebagai warganegara dan seterusnya sebagai pengundi.

Malangnya, gerakaan ini, diambil kesempatan oleh mereka yang bermatalamat mencari keuntungan, sehingga menyalah gunakan peluang itu. Syukur kepada kerajaan, kerana dapat memintas perbuatan itu, melalui penahanan mereka melalui ISA.

RCI Sabah hari ini di Mahkamah Kota Kinabalu menggunapakai data 1960 berkaitan penduduk Sabah, dimana pada masa itu, Sabah hanya dihuni seramai 600,000, dan dikatakan bahawa antara tahun 1970-2000, kaum KDM bertambah 160 peratus, Bajau bertambah 340 peratus, manakala "melayu" bertambah 1,552 peratus.

Sebenarnya pengkelasan ini, tidak tepat, kerana Jabatan Pendaftaran Negara yang memberikan kategori "melayu" kepada penduduk islam, walaupun dalam daftar surat beranak mereka itu adalah daripada kumpulan etnik bumiputera islam. Sebagai contoh, penulis sendiri daripada suku Iranun, namun pada rekod JPN, penulis dikategorikan sebagai "melayu", demikian juga anak-anak penulis. Penulis sendiri tidak tahu, mengapa perkara ini boleh berlaku? 

Sudah sampai masanya, mereka-mereka seperti penulis, perlu memberi pendedahan berhubung status yang diberikan JPN, jika tidak, suatu hari kelak, status "kesukuan" terhapus dengan sendirinya.

Bagi penulis keterangan yang diberikan oleh mantan senator dan Pemimpin PBS Dr Chong Eng Leong, tidak mempunyai merit untuk dipercayai, kerana dakawaannya itu banyak sangat berasaskan persepsi, bukannya berasaskan penyelidikan yang mendalam.

Satu fakta yang boleh dijadikan contoh misalnya, di kampung penulis, akibat gerakan pedaftran penduduk kerana pemberian "Saham Kayu Balak" pada tahun 70-an, ramai penduduk dalam satu keluarga yang berupa adik beradik, mempunyai tarik lahir yang berbeza bulan sahaja, antara abang-kakak atau adik, dan ironinya mereka lahir pada tahun yang sama, asalkan umur mereka cukup 21 tahun, syarat utama mendapatkan "wang Kayu balak" pada masa itu. Malah di antara mereka itu, ada yang menjadi kaki tangan kerajaan; ironinya; ramai juga adik kepada seseorang itu mencapai persaraan lebih awal berbanding abang, kerana catatan tahun penduduk itu dilahirkan semasa gerakan pendaftaran itu.

Adalah tidak pelik, jika belaku pertambahan penduduk secara mendadak, bukan kerana akibat "pemutihan" warga asing, namun kesadaran penduduk asal mendapatkan dokumen kad pengenalan.

RCI yang sedang racak berjalan sejak tahun lepas, kini banyak menimbulkan berbagai persepsi "kosong" selain itu, untuk memperkuat alibi mereka, mereka mengaitkan pemimpin tertentu- antaranya Musa Aman.

Belum terlambat bagi Musa, beliau boleh menjelaskan dengan terperinci dakwaan itu.


17 July 2013

Kenapa Jasad Firaun masih utuh?

Bagaimana jasad Firaun masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Mengapa jasad Firaun yang diawet itu masih lagi tetap utuh walaupun telah beribu tahun diawet?

Kita tidak akan menemui jawapannya dari mana-mana saintis dan dari mana-mana kitab melainkan cuma di dalam al Quran.

Jawapan untuk soalan di atas ada disebutkan di dalam ayat 92 surah Yunus.

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.”

Dari ayat ini tahulah kita bahawa Allah lah yang memelihara jasad Firaun laknatullahi ‘alaih sebagai bukti Kekuasaan Allah SWT dalam menghapuskan makhluk ciptaanNya yang melampaui batas dan lupa akan asal usulnya.Allah akan kekalkan jasad Firaun ini sehingga kiamat untuk diambil iktibar oleh hamba-hambaNYA.

Oleh yang demikian apabila kita terpandang kepada Firaun dan apa-apa sahaja yang ditinggalkan olehnya seperti Piramid maka bertasbih kepada Allah SWT agar Allah SWT mensucikan kita daripada sifat-sifat Firaun laknatullai ‘alaih.

15 July 2013

Kematian Janda di Sandakan- Khianat?

SEORANG ibu tunggal yang mati akibat rentung pada Jumaat, kemungkinan perbuatan khianat.

Hasna Astan, 42 yang juga kakitangan Jabatan Hutan Sandakan ditemui mati di rumahnya di Taman Indah, Batu Empat, Sandakan.

Pihak polis membuat siasatan di bawah skesyen 302 kanun Keseksaan kerana membunuh.

Seorang pemuda berumur 23 tahun telah ditahan bersabit kematian itu, apabila menemukan anak mangsa yang berumur 7 dan 8 tahun di Hotel Hsiang Garden KM2 Jalan Leila pada Ahad.

Menurut seorang penduduk, seorang lelaki secara tergesa-gesa keluar daripada tempat kebakaran itu pada Jumaat.

13 July 2013

AGM Umno Sabah bermula 15 Julai 2013

LEBIH 5000 cawangan Umno seluruh Sabah dengan keahlian lebih 450,000 mula bermesyuarat pada 15 Julai dan dijangka berakhir pada bulan September.

Sabah mempunyai 25 Bahagian Umno yang tersebar di 60 kawasan Dun.

Umno merupakan tulang belakang kerajaan negeri, kerana semua kawasan yang ditandinginya pada PRU-13 telah menangi, kecuali DUN Klias.

AGM kali ini, adalah masa pemilihan semua jawatan baik diperingkat cawangan sehinggalah ke peringkat bahagian.

Pada pemilihan ini juga, diguna pakai kaedah pemilihan baru parti yang telah diperkenal pada tahun 2009.

Disebabkan tiada lagi sistem kuota, maka sesiapa sahaja ahli Umno dan bukan muflis boleh menawarkan diri untuk bertanding. 

Bagi jawatan di peringkat Bahagian, satu syarat tambahan untuk memungkinkan seseorang ahli itu layak bertanding, sekurang-kurangnya telah menjadi ahli 3 tahun.

8 July 2013

Bolehkah Politik Wang Dalam Umno Dihentikan?

Sistem pengundian baru Umno untuk pemilihan parti tahun ini boleh membantu mengurangkan politik wang tetapi ia tidak akan dapat dibendung sepenuhnya.

Sistem pengundian akan menjadikan calon-calon sukar untuk menggunakan wang bagi meraih undi kerana wujud kumpulan perwakilan mengundi yang lebih besar.

Di bawah sistem baru ini, seramai 146,500 ahli parti daripada 191 bahagian akan terlibat dalam memilih presiden, timbalan presiden, naib presiden dan 25 ahli Majlis Tertinggi.

Walau bagaimanapun tidak semua 146,500 undi akan dikira secara langsung kerana parti akan menggunakan sistem "satu bahagian, satu undi" yang serupa dengan sistem daftar pemilih di negara ini.

Sebelum ini, kira-kira 2,500 perwakilan di perhimpunan agung parti itu mengundi untuk memilih pelapis tertinggi parti.

Untuk pemilihan parti tahun ini, sistem kuota yang memerlukan peratusan tertentu pencalonan dari Umno bahagian supaya pemimpin layak bertanding jawatan tertinggi juga telah dihapuskan.

Ini bermakna sesiapa sahaja boleh bertanding untuk jawatan tertinggi sekarang.

Dalam pilihan raya lalu, terdapat dakwaan bahawa undi perwakilan boleh dibeli oleh pemimpin-pemimpin dan proksi mereka yang memberikan wang tunai dan hadiah, mengatur percutian dan lain-lain insentif untuk menarik pengundi.

Apa yang menjadi kebimbangan sekarang adalah sistem baru ini boleh menyebabkan banyak rasa tidak puas hati jika proses mengundi itu tidak dilakukan dengan betul atau terdapat penipuan di peringkat pengundi akar umbi.

Akan tetapi pendapat Bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman, yang telah menyuarakan hasrat beliau untuk bertanding jawatan ketua Wanita Umno, yakin pengundian yang dibuka sehingga ke peringkat akar umbi akan menghapuskan politik wang dalam parti itu.

"Parti cuba untuk membersihkan diri dan ia adalah permulaan yang baik," katanya.

Beliau juga berkata sistem itu bermanfaat untuk golongan 'underdog' seperti beliau kerana lebih ramai orang mempunyai 'suara' untuk memilih pemimpin yang mereka mahu berbanding 3,000 perwakilan dalam dewan.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Shahrir Samad berkata sistem baru ini mengiktiraf watak akar umbi Umno dan beliau tidak fikir akan ada sesiapa yang tidak berpuas hati dengannya.

Salah satu cabaran dalam menjalankan pilihan raya parti adalah mendapatkan anggota yang dan "kakitangan awam" Umno yang benar-benar neutral untuk menyelia pilihan raya, katanya.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng percaya sistem baru ini tidak akan mengekang politik wang kerana struktur politik 'atas ke bawah dalam Umno' sangat jelas dan kuasa berada di tangan beberapa mereka yang dipilih.

7 July 2013

Benarkah BN Bergantung pada Rakyat Miskin?

TAJUK di atas dijawab oleh keputusan PRU-13 lalu. Daripada 133 kawasan yang dimenangi BN, tidak sampaipun 50 peratuspun yang boleh dikategorikan kawasan "maju".

Bagi kawasan ibu negeri, hanya Johor Baharu dan Kangar sahaja pengundinya menyebelahi BN, sementara yang lainnya menyebelahi Pembangkang.

Semalam, MP Kinabatangan-Datuk Bung Moktar Radin, menyuarakan hasratnya, bahawa beliau tidak akan bertanding lagi pada PRU-14, bukan kerana dia tidak berminat, akan tetapi, beliau tidak yakin lagi akan menang, kerana besar kemungkinan pengundi kawasan itu tidak mengundi lagi BN.

Kawasan Kinabatangan yang lebih luas berbanding negeri Pahang, merupakan satu kawasan yang masih terbelakang di Sabah. Menurut Bung, persepsi bahawa kemiskinan penduduk merupakan "tag" kepada sokongan kepada Bn, mungkin tidak berlaku lagi, kerana rakyat mulai celik berkaitan dengan pembangunan.

Melihat kepada jumlah kawasan yang dimenangi BN pada PRU-13 lalu, yang rata-rata kawasan terbelakang terutama di Sabah dan Sarawak, maka ada yang menganggap, bahawa kerajaan BN membiarkan rakyat miskin untuk mengekalkan sokongan.

Anggapan seumpama ini, boleh benar boleh salah. Setahu penulis, sejak BN mengambil alih kerajaan Sabah pada tahun 1994 (contoh) kerajaan dengan sedaya upaya membangun negeri, baik di kawasan bandar mahupun kawasan luar bandar.

Kerajaan Sabah berusaha bersungguh-sungguh dengan berbagai kaedah membangun negeri, walaupun sumber aslinya seperti kayu balak, bukan lagi menjadi sumber utama kewangan.

Sebagai rekod, pada awal tahun 2003, jumlah simpanan negeri hanya berkisar dalam lingkungan RM100 juta, namun atas ketekunan kerajaan, jumlah simpanan kerajaan meningkat ke paras RM3bilion pada tahun 2012. Selain itu, bajet tahun negeri juga terus meningkat, sehingga mencecah melebihi RM4 bilion bagi bajet tahun 2013.

Pada tahun 2009 kadar kemiskinan negeri adalah di atas 19 peratus, namun pada tahun 2012 kadar itu menurut di bawah 9 peratus. Penurunan kadar kemiskinan dua digit, merupakan impak daripada usaha kerajaan membangun negeri.

Kerajaan tidak berhenti-henti melakukan berbagai program untuk meningkatkan sumber pendapatan rakyat. Atas sebab itu, berbagai projek seperti Projek Baja Samur di Sipitang, Projek Pusat minyak dan Gas di Kota Belud dan Kimanis, projek POIC di Lahad Datu, projek Agropolitan di merata tempat di Sabah serta projek Jelapang Padi di Kota belud, antara usaha kerajaan meningkatkan pendapatan dan peluang-peluang pekerajaan bagi rakyat.

Sekiranya benar, bahawa kerajaan BN mahukan agar rakyat terus miskin agar terus menyokong BN, maka program-program peningkatan ekonomi kepada rakyat tidak akan dilakukan.

Empat hari lalu, penulis terbaca kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar Persekutuan, bahawa untuk tahun ini sahaja akan dibelanjakan RM2bilion bagi Sabah dan Sarawak membangun berbagai infrastruktur luar bandar, demi rakyat yang mendiami kawasan-kawasan itu.

Sementara di Sabah pula, sempena lawatannya di kawasan Sipitang Sabah, Ketua Menteri Sabah- Datuk Seri Musa Haji Aman, menyatakan bahawa kerajaan negeri sangat komited terhadap pembangunan negeri. Ketua Menteri itu telah menzahirkan, bahawa bajet negeri akan terus meningkat sesuai dengan keperluan pembangunan.

Kerajaan sangat komited membangun rakyat, atas sebab itu pembangunan lebuh raya yang menghubungkan Kudat dengan Sarawak dipastikan akan dilaksanakan, tujuannya adalah untuk mengwujudkan lokasi atau kawasan-kawasan perekonimian baru.

Sangkaan beberapa pihak, bahawa kerajaan BN, tidak mahu memajukan rakyat dan membiarkan mereka miskin sebagai jaminan sokongan adalah tidak berasas.

Rakyat kini, tidak akan selamanya dapat menerima huluran setiap pilihanraya, kerana trend itu semakin lama semakin pudar.

Bukti jelas pada PRU-13 lalu, walaupun berbagai insentif tunai daripada kerajaan melalui BRIM, namun penerima tidak juga memangkah parti BN, contohnya di Kelantan, yang mempunyai rekod tertinggi dalam bayaran BRIM.

Yang jelas, penyokong BN, bukan diukur pada taraf kehidupan mereka, namun diukur pada keupayaan sesebuah parti menunaikan janji dan keupayaan membangun negara atau negeri.

Percayalah jika suatu hari, kadar pembangunan merata, di semua kawasan, tidak akan berlaku lagi, bahawa kawasan yang dimenangi pembangkang akan selamanya dimenangi pembangkang, demikian juga kawasan tradisi yang dimenangi BN akan dimenangi BN. Pada masa itu, rakyat akan menilai polisi atau kebijaksanaan parti yang bertanding dalam mengelola perekonomian atau pemerintahan.

Untuk sementara, memang terlihat, bahawa kawasan yang masih mundur menyokong kerajaan BN, kerana rakyat di kawasan itu masih menaruh kepercayaan bahawa hanya BN yang mampu dan mahu membela mereka. Rakyat di kawasan itu, sedar, bahawa perjuangan Pembangkang yang berorentasikan kepada merit belum tiba masanya, kerana rakyat yang menyokong BN di kawasan yang masih belum maju, yakin tidak akan mendapat pembelaan; atas sebab mereka belum sampai kepada tahap pelaksanaan yang berasaskan merit.

Dakwaan pihak tertentu, terutama pemikir luar yang berkerja di institusi pendidikan di negara ini, bahawa BN mahukan rakyat miskin agar supaya mudah dibeli semasa pilihanraya, adalah dakwaan yang sungguh menghina rakyat.

5 July 2013

Penggulingan Presiden Mohamed Morsi- Siapa Dalangnya?

MOHAMED Morsi, pemimpin berjiwa rakyat dan juga seorang hafiz, diangkat sebagai Presiden Mesir melalui pilihan raya bebas pertama dalam sejarah negara itu akhirnya digulingkan, dalam rampasan kuasa kedua di Mesir, kelmarin.

Tarikh itu genap setahun beliau dipilih sebagai presiden, 30 Jun tahun lalu, selepas protes besar-besaran rakyat menggulingkan Hosni Mubarak yang memimpin Mesir secara kuku besi selama 30 tahun pada Februari 2011.

Morsi menerima undi 13.2 juta, iaitu 51 peratus undian semasa pilihan raya tahun lalu, menewaskan pesaingnya, Ahmed Shafik yang juga perdana menteri era pemerintahan Mubarak.

Persoalannya, adakah rakyat dahulunya menyokong Morsi dan partinya Ikhwanul Muslimin berpaling tadah terhadap pemimpin mereka?

Atau adakah Morsi menjadi mangsa terbaru dalam percaturan politik kuasa luar di bawah pimpinan Amerika Syarikat (AS) yang disalurkan melalui pemberontakan berterusan rakyat Mesir dengan sokongan tentera negara itu?

Arab Spring jadikan AS selesa

Tatkala pengumuman penahanan Morsi tersebar, pastinya AS dan sekutunya berasa lega dan memikirkan tindakan selanjutnya.

Nasib Morsi dan penyokong Ikhwan Muslimin belum diketahui, kebangkitan rakyat sudah pasti tercetus, kematian akan berlaku malah bumi Mesir terus bergolak dan bermandikan darah.

Setiap hari pasti ada tragedi baru menimpa Mesir. Tetapi semua pergolakan bercirikan Arab Spring menjadikan AS negara paling selesa.

Seorang pegawai pemerhati di Pentagon menyatakan, hubungan AS dengan Mesir berdasarkan kerjasama keselamatan. Kedua-duanya dilihat berada dalam kancah bahaya.

Keutamaan tentera Mesir dalam hal ehwal dalaman masih dalam catuan. Sekiranya kebangkitan rakyat terus berlaku maka AS menjadikan ia sebagai peluang untuk campur tangan.

Drama Pentadbiran Obama mengikut skrip lama ketika pemerintahan Hosni. AS berusaha meletakkan dirinya sebagai orang tengah dalam pentadbiran Mesir dan kemudiannya meninggalkan negara itu kucar kacir.

Pergolakan di Mesir menarik perhatian banyak pihak kerana situasi berlaku mempunyai hubungan rapat dengan nasib dunia Islam.

Namun, adakah lawatan Obama ke Mesir dengan membawa misi dunia Barat sebagai sandiwara supaya dapat mengembalikan hubungan rapat antara Barat dengan Islam melalui kerajaan Mesir, iaitu teraju proksinya di Timur Tengah.

AS pernah cuba berbaik dengan masyarakat Islam dengan mahu berkhutbah di Universiti Kaherah namun hasrat itu tidak tercapai.

Jika diamati, sejarah hubungan Mesir dengan Barat, keadaannya tidak banyak berubah. Pertembungan antara dua tamadun berpunca daripada konflik dalaman negara berterusan.

Situasi yang wujud sebenarnya adalah permusuhan antara dua proksi berbeza budaya. Pergolakan dalaman negara Islam itu sendiri antara golongan pro-Barat dengan pro-Islam tidak akan ada titik noktahnya.

Masing-masing menganggap fahaman, pendekatan, dan amalan politik yang mereka canangkan adalah paling hampir kepada amalan demokrasi tulen.

Obama dalam ucapan sulung sejurus penggulingan Morsi berazam membantu menyelamatkan negara-negara yang berada dalam keadaan huru-hara.

Beliau menggesa tentera Mesir melepaskan kuasa kepada kerajaan awam yang dipilih secara demokrasi dan menentang menangkap Morsi tetapi masih memberikan dana AS$1.5 bilion (RM4.7 bilion) bagi membantu ekonomi dan ketenteraan setiap tahun.

“Perkongsian AS dan Mesir adalah berdasarkan kepentingan bersama dan kami akan terus bekerjasama denganMesir untuk memastikan peralihan Mesir ke arah demokrasi,” katanya.

Campur tangan AS bermula ketika Obama menasihati Morsi mendengar suara rakyat ketika kali pertama protes tercetus di negara itu, tiga bulan selepas beliau menjadi Presiden.

Kongres AS menjadi sumber tuntutan penyaluran bantuan buat pembangkang rejim dan setiap kali protes rakyat tercetus Obama dengan mengkritik dasar pemimpin yang tidak mahu mendengar tuntutan rakyat. Walaupun beliau tidak menyatakan siapa atau di mana namun berulang kali ingatan itu disuarakan.

Buktinya, media Barat menyatakan pendirian Obama menyokong ‘kerajaan Mesir’. Namun, kerajaan terdahulu atau kerajaan sementara yang dibuat dengan tergesa-gesa, semalam?

“Kami mengambil kedudukan di belakang kerajaan ini dan akan membantu untuk bergerak ke hadapan. Kami bersedia menyalurkan bantuan ketenteraan jika mereka inginkan bantuan. Mungkin kumpulan individu yang ditahan akan bangkit bersama kuasa lain. Oleh itu kita perlu berhati-hati demi keselamatan rakyat ,” antara ucapan beliau di Washington, semalam.

Jika benar, sokongan Obama berpihak kepada 'kerajaan sementara Mesir' maka beliau layak digelar sebagai manusia bertopengkan syaitan atau talam dua muka kerana melakukan usaha berterusan untuk menjatuhkan umat Islam dan negara Islam sejagat. 

Boneka AS bakal jadi presiden?

Jika dilihat semula perkembangan politik di negara itu, selepas kejatuhan Hosni, negara Barat menyokong pembangkang Mesir, Mohamed El Baradei untuk diangkat sebagai Presiden.

Kini, khabar angin mula bertiup kencang mengenai kemungkinan El Baradei dilantik sebagai Presiden Mesir selepas kejatuhan Morsi.

Media melaporkan, Ketua Tentera Abdel Fattah al-Sissi bertemu dengan El Baradei, Ketua Ulama Masjid Al-Azhar dan Ketua Paderi negara untuk membincangkan perjalanan politik Mesir beberapa jam sebelum kata dua diberikan tentera kepada Morsi tamat, kelmarin.

El Baradei, pemenang Anugerah Nobel Keamanan pernah mengetuai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memang diketahui sebagai pilihan utama AS.

Malah, Timbalan Pengerusi Ikhwanul Muslimin, Khairat al-Shater awal tahun ini memaklumkan AS menggesa Morsi melantik El Baradei sebagai perdana menteri.
Beberapa persoalan perlu dijawab bagi merungkai faktor sebenar kejatuhan Mesir.

Bagaimanakah campur tangan AS selaku wakil dunia Barat dalam mengambil kesempatan pemberontakan rakyat di Mesir?

Apakah kepentingan AS dengan kerajaan yang ada di Mesir? Benarkah tercetusnya pemberontakan disebabkan masalah ekonomi melanda Mesir sejak akhir-akhir ini?

Apakah kebangkitan rakyat Mesir tiada kaitan sama sekali dengan kebangkitan kuasa Islam di Palestin yang begitu rapat dengan gerakan Ikhwanul Muslimin dan Jamaah Islamiyah di Mesir?

2 July 2013

Kasihan Bumiputera

Melihat laporan daripada Economy Planning Unit (EPU) tahun 2012, kedudukan bumiputera daripada segi pendapatan isi rumah, hampir 80 peratus berada pada pendapatan kurang RM1,000 sebulan; 70 peratus di bawah RM2,000; 66 peratus di bawah RM3,000 dan 37 peratus di bawah RM4,000.

Melihat data ini, adalah pendorong kepada kerajaan yang memerintah, untuk memberi fokus dan keutamaan kepada kaum itu, dalam semua bidang dan peluang; tanpa itu, maka sukar bagi golongan itu terangkat daripada kedudukan yang ada.

Bermula daripada sekarang, jangan lah lokek atau kedekut memberi peluang kepada bumiputera untuk mendapat kontrak, jangan lah kerana mereka tiada rekod, maka tidak diberi peluang. Jangan terperangkap dengan istilah "money make money" kerana kalau itu digunapakai, keadaan bumiputera seperti mana dalam rajah ini, tidak akan terselesaikan, meskipun negara akan tinggal landas sebagai negara maju pada tahun 2020.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels