19 July 2013

RCI PATI Sabah: Lebih menjurus kepada dendam

KETERANGAN saksi ke 187 Mantan Pemimpin PBS Dr Chong Eng Leong dan Saksi ke-188 mantan Setiausaha Kerajaan negeri Sabah Tan Sri Simon Sipaun di mahkamah Kota Kinabalu, berkaitan RCI Pati Sabah, lebih banyak menjurus kepada perasaan dendam.

Kenyataan seperti adanya jawatan kuasa khas bagi mencari pendatang tanpa izin untuk dijadikan ahli Umno dan seterusnya menjadi pengundi; memperbanyak pengundi berketurunan "melayu" untuk membolehkan Umno bertapak di Sabah, serta usaha menjatuhkan kerajaan PBS yang diketuai oleh orang kristian dan "agenda Persekutuan" untuk menjadikan Sabah sebuah negeri islam dengan menggalakkan muslim dari Filipina dan Indonesia untuk datang ke Sabah- semuanya berunsur dendam dan persepsi.

Umum mengetahui bahawa Umno masuk ke Sabah pada tahun 1991, atas sebab jemputan Tun Datu Mustapha untuk menggantikan Parti Usno. Faktor penyebab kepada kemasukan Umno ke Sabah, ekoran tikam belakang Parti PBS kepada BN pada ambang PRU-1990; apabila parti itu keluar BN untuk bersengkokol dengan Pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Pembubaran Parti Usno adalah untuk membolehkan semua ahli parti itu menyertai Umno secara enblock; bukannya seperti mana dakwaan yang diutarakan di Mahkamah RCI Pati Sabah, bahawa wujudnya satu Jawatan Kuasa untuk mencari penduduk "melayu" bagi membolehkan Umno bertapak.

Umum mengetahui bahawa hanya di Sabah sahaja, Umno menerima keahlian daripada berbagai suku dan agama, antaranya daripada kaum KDM. Tidak benar, bahawa bertapaknya Umno ke Sabah, kerana berasas kepada kaum "melayu".

Umum juga mengetahui, apabila Parti AKAR dibubarkan untuk membolehkan semua ahlinya menyertai Umno; atas sebab itu, keahlian Umno Sabah terdapat nama-nama yang "bersiang" nama kaum cina. Malah di Bahagian Umno Kota Belud, ada perwakilan Kumpulan G7 yang bernama cina menang dalam pertandingan menjadi perwakilan.

Antara tahun 1985-awal tahun 1994, Ketua Menteri Sabah adalah Datuk Pairin Kitingan (kini Tan Sri). Sebelum PRU-1990, tiada usaha menjatuhkan kerajaan PBS yang diterajui oleh Pairin, kerana PBS merupakan parti komponen BN, bersama-sama dengan Parti Usno. Di peringkat negeri PBS dan Usno tidak sehaluan.

Disebabkan Parti PBS memilih menyertai Pembangkang pada tahun 1990, maka berlaku pertembungan antara parti itu dengan BN. Biasalah melalui sistem demokrasi, maka adalah lumrah untuk berlawan, parti mana yang menerima sokongan majoriti rakyat, maka itulah yang memerintah.

Pada PRU-1994, Parti PBS mendapat 25 kerusi DUN, manakala BN yang diterajui Umno mendapat 23 kerusi daripada 48 kerusi DUN Sabah. Namun, selepas PRU itu, dua ADUN PBS keluar daripada parti itu- iaitu ADUN Klias-Datuk Lajim Haji Ukin dan ADUN Kemabong- Datuk Rubin Balang untuk menyertai Umno. Akibat daripada itu, maka PBS kehilangan majoriti di DUN Sabah, maka tumbanglah kerajaan PBS yang diketuai Datuk Pairin.

Pada PRU-1999, BN menang pilihanraya, kerana Parti PBS sebagai Parti Pembangkang hanya memperolehi 17 kerusi DUN Sabah daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. Parti PBS hanya bertahan sebagai parti pembangkang sehingga awal tahun 2002; kerana selepas itu, parti itu menyertai BN semula.

Keterangan saksi 187 dan 188 pada pendengaran RCI Pati di mahkamah Kota Kinabalu pada Khamis, bahawa kemasukan Umno ke Sabah untuk menjatuhkan kerajaan Negeri yang diketuai Datuk Pairin yang beragama kristian, adalah satu peranyataan yang kurang tepat dan mengelirukan.

Dakwaan Mantan Senator Dr Chong Eng Leong yang mengaitkan Datuk Musa Aman mengetuai satu Jawatan Kuasa untuk merekrut pendatang asing bagi menambah undi kaum bumiputera islam pada tahun 1991; bercanggah dengan fakta keputusan PRU-1994 dan 1999. Pada PRU-1994, semua kawasan yang majoriti kaum KDM dan Cina masih dimenangi Parti PBS, manakala kawasan kaum bumiputera islam dimenagi BN; manakala pada PRU-1994, perkara yang sama berlaku, bezanya ada kawasan-kawasan majoriti KDM dan kaum cina dimenangi BN, ekoran keluarnya beberapa pemimpin PBS yang menubuhkan parti masing-masing seperti PDS( kini Upko) dan PBRS. Kawasan-kawasan yang ditandingi PDS dan PBRS dimenangi BN, walaupun asalnya kawasan itu adalah wilayah PBS.

Dakwaan Saksi ke-188, yang mengatakan bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai "agenda" menggalakkan penduduk Filipina dan Indonesia untuk menjadi rakyat Sabah adalah bercanggah dengan keterangan mantan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat; bahawa pihak Persekutuan tiada halangan semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah berkaitan usaha "crackdown" pendatang Tanpa Izin di Sabah, malah semua agensi Persekutuan menyokong tindakan itu.

Bagi penulis, keterangan saksi ke-187 dan ke-188 hanya merupakan anggapan mereka sendiri dan "rasa" dendam mereka.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels