ADA dua faktor mengapa Pendatang Tanpa Izin (PATI) membanjiri Sabah. Pertama kerana pergolakan di Selatan Filipina dan kedua adalah faktor ekonomi.
Pergolakan di Filipina pada tahun 70-an menyebabkan ramai rakyat Filipina terpaksa menjadi pelarian; pada tahun 70-an juga ramai pendatang daripada Indonesia, datang ke Sabah semata-mata untuk tujuan perladangan terutama ladang kelapa sawit. Upah merupakan tarikan daripada pendatang ini.
Pada mulanya yang datang itu mempunyai dokumen yang sah, namun lama kelamaan, apabila dokumen itu luput, maka mereka menjadi PATI.
Mereka yang menjadi PATI awal itu, datang bersendirian tanpa keluarga, namun oleh kerana keperluan tenaga buruh di sabah, maka mereka menjemput sama keluarga mereka datang, ada yang menggunakan dokumen sah akan tetapi ada juga yang menggunakan saluran tikus.
Panjangnya pantai Sabah yang meliputi 1400 km menjadi pemangkin kepada mudahnya PATI masuk, selain adanya dalang-dalang tempatan terutama penguasa ladang, penternakan dan perikanan serta pembinaan.
Oleh kerana mereka yang datang ini, bukan tinggal di Bandar, melainkan di kawasan-kawasan terpencil, maka mereka bebas bergerak, berasimilasi dengan penduduk tempatan, malah mempelajari Bahasa tempatan selain Bahasa melayu; sebab itu, ada dikalangan mereka apabila ditanya, mengaku daripada suku dusun, tetapi menyebutnya “dusong” atau “iranong” bagi suku iranun.
Sejak awal 90-an apabila jumlah PATI mula dirasai, kerajaan beberapa kali mengadakan operasi pemutihan untuk merekod PATI; sehingga tindakan kerajaan itu dimanafaatkan oleh dalang-dalang dan menjadikannya suatu bisnes. Dalang-dalang itu menjadi kayaraya, dengan menjual surat beranak dan kad pengenalan. Dalang-dalang ini, tidak akan berjaya, jika tidak terdapat kerjasama dengan pegawai-pegawai tidak amanah di Jabatan Pendaftaran negara. Dalang-dalang merekrut para pegawai dengan membayar dalam bentuk wang untuk memperlancar kegiatan mereka.
Apabila pihak kerajaan mengetahui adanya kegiatan subersif ini, maka diadakan penangkapan beramai-ramai; dan di antaranya ada juga yang melibatkan ahli-ahli poliitik.
Sebenarnya, tiada kerajaan di dunia ini sanggup mengimport rakyat asing untuk bersaing dengan rakyat sendiri; seperti sangkaan pihak-pihak tertentu, bahawa kerajaan merupakan dalang kepada kebanjiran PATI dalam negeri ini.
Untuk merungkai penyebab utama kebanjiran PATI di Sabah, maka diwujudkan RCI PATI pada ogos 2012. Kini tugas RCI itu telahpun tamat dan laporannya sudah diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong, yang kemudiannya YDP Agong menyerahkan laporan itu kepada kerajaan untuk dibentangkan di dewan rakyat.
Kini, semua rakyat Sabah sedang menunggu pembentangan RCI itu; dan sedang menunggu, apa kah isi laporan itu; apa kah sama dengan persepsi kebanyakan rakyat termasuk penulis.
Sebenarnya, punca kedatangan PATI hanya berasaskan kepada dua faktor yang disebut pada mukidamah tulisan ini; namun faktor-faktor lain akan terungkai melalui RCI itu.
Sebagai rakyat, baik yang menyokong pembangkang atau kerajaan, sebenarnya dirugikan oleh kebanjiran PATI; antaranya kerajaan terpaksa berbelanja besar membina depo-depo penahanan, menanggung makan minum semasa di depo-depo dan juga terpaksa berbelanja bagi proses penghantaran pulang ke negara-negara di mana PATI itu berasal.
Kerajaan juga berdepan dengan gejala sosial yang ditimbulkan oleh PATI, selain penyebab berbagai sumber penyakit yang sebenarnya sudah tidak menjadi apidemik dalam negara seperti polio; kusta dan tibi.
Selain gejala sosial, PATI juga penyumbang kepada jenayah, jika dahulu di Sabah tiada yang mengenal apa itu menghisap gam, menghisap syabu, namun kedatangan PATI, mereka membawa sama budaya itu; sehingga menjadi apidemik di negara ini.
Juga kegiatan pelacuran, jika pada tahun 70-an atau lebih awal daripada itu; para pelancur kebanyakannya berketururan tionghua, di mana mereka ditempatkan di hotel-hotel di Bandar; namun akibat kedatangan PATI, pelacur bukan lagi di monopoli oleh kaum tionghua, malah diambil alih oleh PATI. Kini, di mana-mana, apabila berlaku penangkapan, warganegara yang paling ramai adalah daripada Filipina atau Indonesia.
Kebanjiran PATI sebenarnya menjadi cabaran kepada kerajaan, apatah lagi perkara itu dipolitikkan, kononnya sebagai usaha untuk mendapatkan kuasa.
Sebenarnya jika diteliti dengan seteliti-telitinya, sebenarnya hanya penduduk yang bertambah dengan drastic; namun daripada segi jumlah pengundi; pertamabhannya adalah sesuai dengan pertumbuhan penduduk secara natural; itupun jika dibandingkan dengan jumlah yang layak mengundi; hanya 70 peratus secara keseluruhan; ertinya masih ramai penduduk asal yang belum mendaftar mengundi.
Sistem pengundian negara kita berasaskan kepada Pusat Daerah Mengundi; walaupun banyak sangat dakwaan terdapatnya PATI yang mengundi; namun setakat ini tiada laporan daripada mana-mana pihak; bahawa terdapatnya pengundi yang tidak dikenal mengundi pada pusat-pusat mengundi. Ertinya; kehadiran PATI tidakpun menjadi punca kepada parti-parti yang menang; kerana memang PATI tidak mengundi.
Sebenarnya, kebanjiran PATI, bukan penentu kepada kemenangan sesebuah parti; kemenangan sesebuah parti ditentukan sendiri oleh rakyat tempatan.
Sebagai contoh, jika benar PATI dapat menentukan kemenangan sesebuah parti seperti mana anggapan selama ini, USNO tidak akan kalah, demikian juga Berjaya; dan jika benar bahawa PATI boleh menjadikan sesebuah parti boleh menang, maka BN yang ditunjangi Umno pada PRU-1994 pasti menang, kerana pihak-pihak tertentu menuding jari kepada Umno/Usno kononnya mendaftar PATI sebagai pengundi.
Kemenangan BN bukan kerana PATI, akan tetapi peralihan selera rakyat tempatan daripada PBS kepada BN pada PRU 1999. Dengan adanya peralihan selera itu, maka PBS memutuskan untuk kembali kepada pangkuan BN pada tahun 2002, menjelang PRU-11.
Pendek kata, kehadiran PATI tidak menambah jumlah rakyat yang mengundi sebaliknya menambah jumlah rakyat negeri ini. Dengan pertambahan itu; bukan sahaja menyusahkan kerajaan dalam perancangan pebelanjaan juga mempengarui stok keperluan rakyat seperti keperluan ruji dan sebagainya.