12 May 2015

Umno Mahu Najib Meneruskan Kepimpinan

1. Presiden Umno tidak akan terguling, selagi para ahlinya masih dibelakang Presidennya. Dalam perjumpaan dengan Ketua-Ketua Bahagian Umno menjelang mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pada Isnin, rata-rata Ketua-Ketua Bahagian Umno menyokong kepimpinan Najib sebagai Presiden parti. Juga melalui mesyuarat AMT, juga keadaan yang sama berlaku. Ertinya para pemimpin Umno masih yakin, bahawa DS Najib masih merupakan pemimpin yang diperlukan untuk mengetuai parti terbesar barisan nasional itu.

2. Memang Najib berdepan berbagai isu khususnya 1MDB, atas sebab beliau merupakan penasihat kepada syarikat milik Kementerian Kewangan itu. Siapa yang tidak khuatir, sebuah syarikat yang hanya ditubuhkan 6 tahun, namun telah mempunyai hutang sehingga RM42bilion.

3. Sebuah syarikat sebesar 1MDB, sudah tentu telah mengemuka SWOT, ROI bagi setiap tindakannya. Semua itu, tentu dibincangkan melalui mesyuarat Lembaga Pengarah. Keputusan BOD, akan dilaksanakan oleh pihak pengurusan yang diketuai oleh CEO bersama-sama para pengurus yang lain. Jika berlaku, penyimpangan, atau kebocoran pelaksanaan, bukannya disebabkan oleh BOD, akan tetapi oleh pasukan pengurusan.

4. Melalui laporan audit, akan diketahui kelompangan dan kebocoran. Atas sebab itu, DS Najib Razak sebagai penasihat kepada syarikat gergasi itu, perlu menunggu laporan audit negara, sebelum dapat menjawab sebarang kemuskilan berkaitan syarikat itu.

5. Isu yang berlegar-legar, kononnya berbilion wang telah lesap, kerana urusniaga syarikat yang tidak telus dan tertutup. Benar kah? hanya melalui angka-angka sahaja, ianya boleh dirungkai. Kehilangan wang, tidak boleh disandarkan kepada persepsi. 

6. Pada mulanya, ramai juga para pemimpin bersetuju dengan kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir apabila bercakap berkaitan 1MDB. Namun, apabila disertai dengan masalah peribadi, maka para pemimpin Umno tersedar, bahawa semua itu beragenda, bukan lagi bertujuan mengetahui berkaitan 1MDB, akan tetapi menjurus kepada menjatuhkan DS Najib sebagai Perdana Menteri.

7. Setiap pemimpin mempunyai kelemahan dan kelebihan. Setiap pemimpin ada kekuatan. Kalau dilihat daripada kekuatan, Najib lebih menonjol dalam memperkuat perekonomian negara. Bayangkan defisit kewangan negara Tahun 2009 adalah 6.7 peratus, kini sudah diambang 3.2 peratus.

8. Jika pada suatu ketika, rakyat Sabah dan Sarawak merasa dianaktirikan sekian lama, namun sebaik sahaja DS Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, rakyat dua negeri itu merasa diambil berat. Sebagai bukti, Najib melantik ramai pemimpin daripada dua negeri itu menganggotai kabinet Persekutuan, yang belum pernah berlaku sebelum ini. Malahan kementerian yang diberikan kepada pemimpin Sabah dan Sarawak adalah kementerian penting antaranya Kerjaraya, Pembanguan wilayah dan luar bandar, Perumahan dan kementerian sumber.

9. Kemajuan sesuatu wilayah sangat bergantung kepada infrastruktur. Atas sebab itu, Tran-Borneo dibangun. Hanya melalui DS Najib pembinaan terealisasi selepas lebih setengah abad.

10. Para pemimpin Sabah, tidak terikat kepada Umno sahaja, malahan semua pemimpin komponen BN Sabah telah sepakat berdiri teguh dibelakang DS Najib. Perkara ini terbukti pada Ahad, melalui himpunan solidariti bersama PM di Tawau, Sabah, di mana semua pemimpin turut hadir, malah sanggup menunggu bermula daripada jam 1 petang. Ketibaan PM di lokasi perhimpunan hanya pada 16.35 petang. Lebih 4 jam, para pemimpin Bn Sabah sanggup menunggu ketibaan Perdana Menteri.

11. Tahniah kepada Ketua Bahagian Umno Kalabakan- Datuk Abdul Ghafur Salleh dan Ketua Bahagian Tawau- Datuk Tawfiq Titingan, kerana berjaya mengumpulkan rakyat lebih 40 ribu semasa perjumapaan itu.

12. Rakyat Sabah, bukan lagi seperti dahulu, senang berubah-ubah sokongan, seperti mana dakwaan penulis Pakatan Rakyat Sayuti Omar, rakyat Sabah tahu menilai mana satu intan mana satu batu. Rakyat Sabah senantiasa memilih intan, atas sebab itu, di masa lalu kerap bertukar-tukar kerajaan. Namun selepas tahun 1994, rakyat Sabah sudah berjumpa intan itu. Atas sebab itu, rakyat Sabah akan teguh mengenggam intan itu.

13. Kepada DS Najib, jangan gusar dan ragu, rakyat Sabah yang diketuai Datuk Musa Aman dan Timbalannya Datuk Salleh Said, akan terus bersama-sama Perdana Menteri.

1 comment:

Master Jaguh said...

This Is What Women Really Want !!
>>> KLIK HERE !! <<<

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels