PENDEKATAN orang politik, bertanding dalam pilihan raya adalah untuk meraikan pesta demokrasi. Tidak semestinya bertanding itu boleh menang.
Apabila ada pemimpin politik berkata, parti yang turut dipimpin perlu bertanding “solo” dalam ertikata meletakan calon pada setiap kerusi, pada hakikatnya hanya hujah politik, bukan berpandu pada kerusi yang dimenangi, akan tetapi meraikan pesta demokrasi. Meraikan pesta demokrasi menang atau kalah adalah adat bertanding.
Dalam bertanding, pemimpin politik juga mengambilkira sokongan, kekuatan kewangan, agar tidak membazir, maka perlu hanya bertanding pada kawasan yang boleh dimenangi.
Parti yang mengambilkira sokongan, kekuatan kewangan apabila meletakan calon pada sesuatu kawasan mempunyai data atau profile pengundi di kawasan-kawasan yang ditandingi.
Berpandukan pada senario politik Sabah hari ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai kekuatan sokongan sekurang-kurangnya 40/73 kerusi, dan jika diimbangi dengan kekuatan kewangan yang membolehkan jentera bergerak secara optimum, maka kerusi-kerusi itu boleh dikira dalam genggaman.
Berasaskan “zoning” Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahawa 73 kawasan DUN dibahagikan kepada 12 zon, GRS berpotensi menang 100% di Zon 6, 7 dan 8.
Tiga zon tersebut mewakili 21 kerusi iaitu Dun Klias, Kuala Penyu, Lumadan, Sindumin, Kundasang, Karanaan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Melalap, Kemabong, Tulid, Sook dan Nabawan.
Pada kedudukan hari ini, hanya Dun Melalap tidak disandang GRS. Makna kata pada PRN-17, 20 kerusi dipertahankan oleh gabungan tersebut, manakala Dun Melalap akan cuba dimenangi untuk menjadikan kemenangan 100 peratus.
Kesimpulan yang dibuat bukan berpandukan pada ramalan akan tetapi berpandukan pada fakta lapangan, kerana telah diprofilekan pengundi berasaskan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mana yang berstatus PUTIH lebih ramai berbanding berstatus KELABU dan HITAM.
Oleh kerana tiga zon tersebut mewakli 21 kerusi dan jika dimenangi kesemuanya maka hanya memerlukan 16 kerusi daripada 9 Zon lain untuk melengkapi 37/73 jumlah minimum yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.
Selain isu-isu dan faktor-faktor yang memberi kesan pada kemenangan GRS, di tiga zon tersebut, faktor penguat adalah terdapat pemimpin otai di tiga zon tersebut antaranya Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Seri Dr Jeffery G Kitingan, Datuk Rubin Balang, Datuk Abdul Ghani Yassin dan lain-lain.
PRN-17 bakal diadakan pada suku ke-4 tahun 2025, dan tidak mustahil diadakan pada suku pertama seperti mana PRU-14.
Mengadakan PRN pada suku pertama, dilihat lebih menarik memandangkan rakyat Sabah sedang berpesta Kaamatan, yang sebagai dorongan ramai pengundi akan keluar mengundi, kerana mereka dalam “mode” ceria.
Penulis yakin kepimpinan GRS akan meletakan calon pada kawasan yang benar-benar diyakni untuk dimenangi, tidak terperangkap dengan keadaan menang sorak kampung tergadai. Fikir-Fikirkan.
No comments:
Post a Comment