13 April 2013

PRU-13 Sabah: Bakal Calon Kota Belud masih menunggu

HANYA calon-calon Umno yang masih ternanti-nanti. Untuk kawasan DUN Kedamaian, sudah pasti Datuk Hebert Timbon Lagadan.

Bagi DUN Tempasuk, nampaknya mantan ADUN Kawasan tersebut Datuk Musbah Haji Jamli sudah melakukan persiapan rapi, termasuk menggerakkan Pusat Operasi di Kampung Taun Gusi.

Bagi kawasan Usukan dan Parlimen, nampaknya masih menunggu pengumuman calon, walaupun Bahagian Umno Kota Belud, sudah menggerakan Jentera Umno/BN yang berpusat di Pejabat Bahagian Umno Kota Belud.

Ketua Bahagian Umno merangkap pengerusi BN kawasan yang juga ketua jentera BN- Datuk Dr Salleh Tun Said sudah sekian lama menggerakan jentera bagi berhadapan dengan PRU-13.

Sebenarnya, hingga setakat ini belum ada pengesahan daripada mana-mana pihak siapa bakal-bakal calon Umno di Kota Belud, walaupun secara tradisi mantan penyandang adalah keutamaan.

Mantan penyandang bagi kawasan Parliemn Kota Belud adalah Datuk Rahman Dahalan, bagi Dun Usukan adalah Datuk Japlin Akim, sementara Dun Tempasuk Datuk Musbah Jamli.

Pada PRU-12 lalu, semua kawasan yang dipertandingkan dimenangi calon-calon BN.

Namun berasaskan persepsi diperingat akar umbi dan pemimpin tempatan mungkin ada perubahan calon-calon; namun semuanya itu hanya cakap-cakap. 

Hanya minggu depan kemungkinan pada Selasa, akan diketahui bakal-bakal calon, kerana inilah pertama kalinya BN akan mengumumkan senarai calon-calon yang dipilih seminggu sebelum penamaan calon.

Penamaan calon telah ditetapkan pada Sabtu 20 April, sementara pengundian pada Ahad 5 Mei 2013.

Bagi Suara Rakyat, siapapun bakal calon yang dipilih BN, calon-calon itu mestilah daripada mereka yang sudah berkhidmat dengan rakyat dan mempunyai sumbangan yang ketara.

Elaklah calon payung terjun, kerana bukan sahaja mencerancatkan kempen, malah boleh mengundang berbagai masalah, yang boleh menjurus kepada kekalahan.

Pada PRU ini, jangan cuba-cuba ambil mudah kecenderungan rakyat, kerana sentimen kini sungguh berbeza dengan PRU-PRU lalu.

Suara Rakyat hanya mampu berhujah namun keputusan ditangan pucuk pimpinan. Bagi Suara Rakyat, utamakanlah Parti, kerana partilah yang membentuk kerajaan.

Bagaimanapun sayangnya kita pada seseorang pemimpin dan kita berkehendakkan pemimpin itu betanding namun keputusan pucuk pimpinan kena diterima oleh semua.

Tugas kita pada PRU-13 adalah mengundi, dan memastikan undi kita HANYA PADA LAMBANG DACING. TATAP BN BAH.

Datuk Rahman Dahalan: Jika Dipilih-Pilihan Utama adalah Kota Belud


: MP KB ke Sepanggar ke atau stay back KB?” If selected first choice is definitely Kota Belud.

: sapa lwn d kb?” Munirah. Tak kenal? Jun bimbang. Orang KB pun tak berapa kenal.

12 April 2013

TATAP BN BAH: Tema Gelombang BIRU BN Sabah

Datuk Musa setibanya di KDCA semalam
Bertempat di KDCA Penampang semalam, meskipun kurang publisiti pelancaran Gelombang Biru BN yang bertemakan TATAP BN BAH mendapat sambutan puluhan ribu.

Majlis pelancaran itu dihadiri semua Presiden Komponen BN Sabah termasuk Pengerusi BN Sabah Datuk Musa Haji Aman.

Dalam ucapan pelancarannya Datuk Musa berkata, rakyat Sabah perlu menyokong BN kerana gabungan berbagai parti itu telah menunaikan tanggugjawabnya sebagai sebagai parti yang membentuk kerajaan lebih setengah abad di negara ini.

BN yang memerintah negara ini melalui sokongan rakyat telah meletakan asas kepada pembangunan negara, dan mengisi asas itu untuk menjadikan negara maju pada tahun 2020.

Membangun sesebuah negara bukan mudah, kerana latar belakang negara daripada negara dijajah, yang tidak mempunyai kepakaran dalam teknologi pada awal kemerdekaan, dan merupakan negara agraria. Disebabkan ketekunan dan diterminasi kepimpinan negara, maka negara berjaya menjadi negara industri yang pesat membangun.

Di samping itu, akibat perancangan dan kebijaksanaan para pemimpin negara, maka sumber pertanian seperti kelapa sawit yang pada mulanya tiada pasaran di luar negara, malah ditentang habis-habisan oleh negara maju, kerana bersaing dengan minyak soya, tetapi kini menjadi komoditi primadona negara.

Sabah dengan dengan keluasan tanahnya, menjadi penyumbang terbesar pengeluaran minyak Sawit negara. Sumber daripada kelapa sawit telah menggantikan kayu-kayan di mana satu ketika merupakan sumber utama negeri di bawah bayu itu.

Selain itu, berbagai industri dan penjanaan ekonomi, dan kemampuan Datuk Musa Aman mengurus negeri sejak tahun 2003, telah membuat rekod apabila bajet negeri Sabah melepasi RM4 bilion setahun. Rekod ini dibuat dikala Sabah tidak mempunyai kekayaan semulajadi lagi seperti kayu.

Sabah di bawah BN, untuk 5 tahun yang lepas, telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada 19.7% pada tahun 2009 kepada 8.1% pada tahun 2012. Kadar kemiskinan ini akan terus menurun apabila berbagai projek luar bandar seperti agropolitan, POIC di Lahad Datu berjalan sepenuhnya.

BN apabila membuat janji maka ditunaikan. Sebelum pemberian BR1M, bantuan pra persekolahan, pembangkang memandang sinis janji itu, namun selepas dua tahun diberikan berturut-turut; pembangkang pula gusar, sehingga mereka mengemukakan berbagai teori tidak berasas berkaitan bantuan kepada rakyat itu.

Kini BR1M dijadikan acara tahunan sebagai bonus kepada rakyat berpendapatan di bawah RM3,000 dan tahun depan jumlahnya menjadi RM1200 naik RM700 daripada jumlah asal RM500.

Sebenarnya banyak lagi faedah kepada rakyat akan mengalir jika BN meneruskan pemerintahan. Sebenarnya BN mengetahui kemahuan rakyat dan tahu apa keperluan rakyat dan negara.

Untuk itu, sebagai pengundi, berilah sokongan tidak berbelah bagi kepada BN untuk masa depan negara dan rakyat. SABAH TATAP BN BAH.

11 April 2013

PRU-13: Siapa Calon-calon Kawasan Kota Belud?

KECUALI calon PBS bagai DUN Kedamaian Datuk Herbert Timbun Lagadan, bagi calon-calon Umno masih menunggu pengumuman Presiden parti,yang seharusnya diketahui semalam, namun ditangguhkan 2-3 hari lagi.

Nama-nama pemimpin seperti Datuk Dr Salleh Tun Said, Datuk Rahman Dahalan, Datuk Musbah Jamli dan Datu Japlin Akim merupakan calon-calon yang bakal diumumkan.

Di antara nama-nama itu, Datuk Musbah Jamli dikatakan nama yang paling pasti diumumkan sebagai calon Tempasuk, kerana saingan utamanya Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, sudah awal-awal lagi memberi tindak balas tidak akan menyertai pilihanraya.

Spekulasi bahawa Datuk Rahman Dahalan akan dipilih bertanding di Parlimen Sepanggar, kawasan pembangkang semakin kencang bertiup, malah sebuah surat khabar tempatan menyiarkannya awal minggu ini.

Berasaskan situasi yang ada, maka samada Datuk Dr Salleh Tun Said kembali ke Dun Usukan, dan Datuk Japlin pula menggalas tugas di peringkat parlimen atau sebaliknya, keputusan mengenainya berdebar-debar untuk ditunggu.

Apa yang menarik untuk dipaparkan, bahawa semua pemimpin Umno yang disebutkan telah awal-awal lagi menyatakan akan terus setia dan membantu kemenangan BN meskipun di antara mereka tidak terpilih. Jiwa besar yang mereka tunjukkan dari awal-awal lagi merupakan faktor kekompakan jentera Bn Kota Belud yang diketuai oleh Dr Salleh sendiri.

Siapapun yang bakal terpilih yang pasti mereka akan berkerja sebagai satu pasukan untuk satu matalamat yakni kemenangan.

10 April 2013

PRU-13: Senarai calon-calon BN- Petang ini akan diketahui?

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak tiba di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini tepat jam 12.15 tengah hari ini bagi menghadiri Majlis Perjumpaan Khas bersama Pengerusi BN negeri. Dan selepas itu, beliau dijangka mengumumkan senarai calon-calon BN.

Jika berlaku pengumuman awal calon-calon BN, maka untuk pertama kalinya berlaku.

Najib banyak melakukan perubahan semenjak menjadi Perdana Menteri. Salah satu perubahan itu, apabila membiarkan salah satu negeri di mana DUNnya terbubar dengan sendirinya.

Najib membuat perubahan apabila tempoh wakil rakyat melebih lima tahun, kerana pembubaran dewan rakyat hanya dilakukan pada 3 April, manakala tempoh wakil rakyat genap 5 tahun adalah 8 Mac.

Penamaan calon bagi PRU-13 adalah 20 April, manakala Hari Pengundian 5 Mei 2013, demikian diumumkan oleh SPR pagi tadi.

Seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi pada PRU-13 berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan esok (11 April), kata Pengerusi SPR

PRU-13: Apa kata kaum cina?

Seorang individu cina yang bernama Thomas Lee, 66 asal Karamunting Sandakan, terdaftar mngundi di tempat yang sama, namun kini menetap di Kota Kinabalu. 

Penulis sempat berjumpa denga beliau semalam, dalam acara ngambi di sebuah restoran di Luyang Kota Kinabalu. 

Mr Lee memberitahu saya, minggu lepas, beliau dan isterinya pulang ke Sandakan untuk menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga, selepas 13 tahun tidak pernah pulang ke tempat kelahirannya. 

Wooo katanya, keadaan Sandakan tidak seperti yang beliau bayangkan. Sandakan begitu maju. Beliau terperanjat dengan jalanraya berkembar daripada lapangan terbang ke Bandar. Selain itu, kadar pembangunan, katanya sungguh di luar dugaan, sehingga beliau tersesat jalan, kerana tidak biasa lagi dengan suasana. 

Taman-taman perumahan dan kawasan rumah-rumah kedai baru telah tumbuh bagaikan cendawan. 

Tetapi yang paling mustahak adalah komennya berkaitan pilihanraya ke-13. Karamunting katanya akan mendapat calon baru, seorang akauntan daripada LDP. Calon itu bernama Pang juga, kerana anak kepada abang kepada Peter Pang, mantan ADUN Karamunting yang tidak dapat mempertahankan kerusi tersebut, kerana bertukar parti. 

Dun Karamunting adalah kawasan LDP, atas sebab itu, pada PRU-13 ini, parti komponen BN itu mempertahankan kerusi itu bagi pihak BN. 

Apabila ditanya peluang BN mempertahankan kawasan Sandakan, semua kawasan kata Thomas Lee akan dimenangi BN, kecuali Tanjong Papat jika Datuk Raymond Tan masih bertanding di kawasan itu. Mr Lee tidak memberi sebab-sebab yang jitu, mengapa menyebut secara khusus nama Raymond Tan. Malah beliau secara berseloroh, kalau beliau bertanding, boleh mengalahkan mantan DUN Tanjong Papat itu. 

Calon-calon lain kata beliau akan menang, termasuk Datuk VKLiew di Parlimen Sandakan tetapi calon BN itu perlu berkerja keras. VK Liew kemungkinan akan berdepan dengan calon DAP Wong Thien Fatt 52, nama baru dalam dalam arena politik. 

Menurut Thomas Lee, rata-rata kaum cina berpuashati dengan kerajaan, terutama pengwujudan kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Kaum cina merasa aman dengan terwujudkan agensi kerajaan itu. 

Selama di Sandakan, ramai kaum cina bercakap dengan kadar pembangunan Sandakan, termasuk “upgrading” Lapangan Terbang Sandakan. Mereka melihat Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman yang merupakan mantan ADUN Sibuga, memang banyak membawa pembangunan di Sandakan dan mencipta alam perniagaan untuk semua. Kaum cina menghargainya, demikian kata Mr Lee. 

Sambung Mr Lee, apa yang kaum cina mahu dengan komposisi kerusi DUN yang ada sekarang? 32 DUN bumiputra islam, 20 DUN bumiputra bukan islam dan 8 kaum cina. Kaum cina perlu berpihak kepada majoriti. 

Kaum cina Sabah kata beliau, tidak perlu terikut-ikut kaum cina Semenanjung, kerana keadaan yang berbeza. Di Sabah katanya, kaum cina perlu berafiliasi dengan kaum majoriti.

9 April 2013

PRU-13: Siapa Calon- Calon BN Kota Belud?

SEBENARNYA Jentera Barisan Nasional Kota Belud lama sudah bersedia berdepan dengan PRU-13. 

Pengerusi BN Kawasan Kota Belud Datuk Dr Salleh Tun Said yang juga Ketua Umno Bahagian sejak awal tahun ini menggerakan sepenuhnya Jentera BN melalui pengaktifan seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Suara Rakyat telah beberapa kali bertanya daripada pihak BN Kota Belud berapa jumlah PDM yang aktif beroperasi, namun setakat ini, jumlah itu belum diperolehi. Oleh kerana Suara Rakyat adalah pengundi Dun Tempasuk, maka mudahlah memaparkan jumlah PDM bagi kawasan Tempasuk. (Tempasuk mempunyai 19 PDM).

Bagi mengaktifkan dan meneruskan memontem pilihanraya, maka taklimat, mesyuarat sering dijalankan oleh pemimpin Kota belud, terutama oleh Datuk Salleh.

Semalam, satu taklimat bagi Jentera Pilihanraya DUN Kedamaian, telah diadakan. Pemudahcara taklimat adalah Datuk Salleh sendiri, dibantu oleh Datuk Rahman dan Datuk Herbert Timbun Lagadan.

Penamaan calon dan hari pengundi bagi PRU-13 belum ditentukan. SPR akan bermesyuarat esok untuk menetapkan dua tarikh tersebut.

Sementara bahang PRU-13 semakin hangat di Kota Belud, persoalan yang sering ditimbulkan adalah apa kah ada perubahan calon-calon bagi BN di kawasan Kota Belud? Di pihak PBS, Datuk Herbert Timbun Lagadan disahkan mempertahankan DUN Kedamaian, sementara di pihak Umno belum ada kepastian, samada mantan-mantan wakilnya yang baru sahaja melepaskan jawatan itu pada 3 April, akan dicalonkan semula.

Apa yang pasti, setakat ini semua pemimpin Kota Belud begitu aktif sekali, nyata belum ada seorangpun diantara mereka kendur dari segi kuantiti dan kualiti kerja.

Jentera BN Kota Belud sudah siap sedia, hanya menunggu pengumuman calon-calon.

8 April 2013

PRU-13 Sabah: Haji Nizam Abu Bakar Titingan-Antara muka Baru BN Sabah

SUDAH tiba masanya pemimpin pelapis seperti Tuan Haji Nizam Abu Bakar Titingan menggalas tugas sebagai wakil rakyat.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah itu, telah melalui liku-liku politik daripada peringkat bawah, sehingga pernah menduduki sebagai Ketua Pemuda Umno Sabah, meangkap Ketua Pemuda BN Sabah, pernah menjadi exco pemuda Malaysia.

Kini, Nizam merupakan Naib Ketua Bahagian Umno Tawau.

Satu kesepakatan yang tidak tertulis, sesiapa sahaja yang menjadi Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri selama sepenggal, maka pada penggal berikutnya akan diberi peluang sebagai calon dalam pilihanraya.

Wakil Rakyat Kota Belud, Datuk Rahman Dahalan, sebelum menjadi wakil rakyat, juga pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah.

Ada desas desus yang bertiup kencang, bahawa Tuan Haji Nizam bakal dicalonkan mewakili BN dalam PRU-13, namun kerusi mana beliau diberikan amanah untuk menggalas tugas itu belum dipastikan; samada  diperingkat DUN ataupun Parlimen.

Tawau mempunyai dua kawasan Parlimen, Parlimen Tawau dan Parlimen Kalabakan. Parlimen Tawau sebelum ini dimenangi calon SAPP ketika mewakili BN. Pada PRU-13 ini parlimen Tawau akan mendapat calon baru dan parti komponen BN mana yang bakal menggalas tugas akan diketahui seminggu sebelum penamaan calon.

Bagi kawasan DUN di Kawasan Tawau, dua kawasan DUN yang hangat diperkatakan bakal mendapat calon baru, dun tersebut adalah DUN Tanjung Batu dan DUN Sebatik, selain DUN Sri Tanjong.

Di peringkat mana Nizam bakal ditugaskan sebagai calon, juga akan diketahui seminggu sebelum penamaan calon.

SPR akan bermesyuarat pada 10 April untuk menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian. 

Calon-calon BN akan diketahui selewat-selawatnya minggu kedua bulan April, dengan ramalan itu, maka kemungkinan besar hari mengundi jatuh pada 28 April, 2013.

PRU-13: Apa Yang Orang Iranun dapat lakukan?

AWAL-AWAL lagi Perdana Menteri menekankan, bahawa kriteria calon-calon BN adalah "winnable candidate" ertinya calon-calon itu selain diterima rakyat juga merupakan pemimpin akar umbi pada satu-satu kawasan.

Winnable candidate adalah seseorang pemimpin yang berjasa kepada rakyat secara amnya dan khususnya akar umbi, selain dekat dengan rakyat.

To the point sahaja.. untuk sementara adakah kalangan kaum iranun memenuhi kriteria itu? Setahu penulis individu yang benar-benar berkerjaya sebagai ahli politik adalah Tan Sri Pandikar, pun demikian, pada PRU-13 ini, Speaker Dewan Rakyat itu telah membayangkan tidak akan menyertainya.

Memang ramai kalangan kaum iranun yang suka dan berminat dalam politik, namun kaki mereka tidak sepenuhnya dalam politik, kaki mereka sebahagian terikat dengan majikan. Mereka rata-ratanya bukan ahli politik tetapi berminat bermain politik.

Bagaimana kah rakyat dapat menilai mereka? sedangkan kalau adapun sumbangan kepada rakyat, bukannya berpunca daripada kerjaya politik, tetapi iksan daripada majikan, atas sebab mereka menggunakan kedudukan jawatan mereka untuk berpolitik.

Penulis bukannya merendahkan keupayaan suku iranun, kerana penulis juga daripada suku itu, tetapi penulis kena mengukur baju di badan sendiri.

Penulis yakin, dalam sanubari suku iranun, berkecamuk apa yang penulis tulis, kerana mereka juga tidak dapat lari daripada kenyataan ini.

Senario di atas adalah jika dalam barisan nasional, akan tetapi jika bercakap di pihak pakatan, maka terdapat beberapa orang yang benar-benar berkecimpung dalam politik sepenuh masa. Dalam pakatan tidak timbul rayuan agar suku iranun perlu dicalonkan, kerana memangpun salah satu pemimpin iranun itu adalah pilihan utama untuk bertanding. Ambil contoh Setiausaha PAS Sabah- Saudara Laiman Haji Ikin, sudah pasti beliau akan menjadi pilihan partinya bertanding; demikian juga Saudara Safian Saluddin Timbalan bendahari PKR Sabah, merupakan pilihan partinya untuk bertanding.

Di pihak BN, setakat ini hanya ada Datuk Almudin Kaida yang benar-benar berkerjaya sebagai ahli politik, namun disebabkan beliau mewakili  parti komponen yang dianggap daripada KDM, maka sukar baginya dipilih bagi kawasan yang bukan bermajoriti kaum KDM.

Berasaskan kepada ulasan di atas, apapun desakan kaum iranun, untuk sementara belum dapat dilayan, kerana belum ditemuinya individu iranun yang benar-benar berkerjaya sebagai ahli politik, dan juga  mempunyai sumbangan dan jasa kepada rakyat. 

Pemilihan calon daripada suku iranun, tidak boleh menggunapakai  slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan sepertimana ungkapan WARIS yang baru ditubuhkan.Fikir-fikirkan lah

7 April 2013

PRU-13: Kerusi Beaufort Paling Panas Di Sabah

ADA yang kata, samada calon BN atau Pakatan, kedudukan masing-masing adalah "sailang", ertinya ke dua belah pihak akan bermati-matian merampas kerusi itu.

Walaupun rekod BN sungguh hebat pada PRU-12 lalu, apabila calon BN menang dengan majoriti 14,870 undi berbanding lawan, namun pada kali ini individu yang dicalonkan itu, bertanding bukan atas tikit BN lagi, melainkan tikit pembangkang.

Parlimen Beaufort sebenarnya wilayah BN, kerana sejak tahun 1994, kawasan tersebut terus dimenangi BN. Tiga pemimpin BN yang pernah memenagi Beaufort, Datuk Anifah Aman, Datuk Azizah Dun Banir dan Datuk Lajim Ukin. Lajim merupakan calon BN pada PRU-2008.

Di atas kertas BN mempunyai peluang yang baik, namun rekod Lajim yang belum terkalahkan di kawasan itu sejak tahun 1985, merupakan rekod yang mengerunkan.

Datuk Azizah yang akan berdepan dengan Lajim mungkin dapat bersaing, namun rekod antara dua mereka, nampaknya Lajim lebih menyerlah. Azizah pernah melawan Lajim merebut Ketua Bahagian Beaufort, namun Lajim keluar sebagai pemenang.

Sementara itu rekod Pemangku Ketua Bahagian Umno Beaufort Isnin Aliansah juga mempunyai rekod tersendiri melawan Lajim. Pertembungan mereka adalah melalui Persatuan Bisaya, namun untuk rekod Lajim mengalahkan Isnin dengan teruk sekali.

Beaufort adalah wilayah kaum Bisaya, di mana Lajim adalah Janang Gayuhnya (pemimpin agung bisaya); atas sebab itu, pada PRU-13 ini, ada yang mengatakan bahawa kaum bisaya tidak sanggup mengorbankan pemimpin agung mereka. Faktor ini yang kelihatan, mengapa kawasan Parlimen Beaufort merupakan kawasan terpanas di Sabah.

Walau bagaimanapun Azizah dan Isnin akan dibantu oleh komitmen barisan nasional terhadap penduduk Beaufort. Kerajaan BN pada Februari lalu melalui pengumunan Perdana Menteri akan membina Loji Bekalan Air Luar Bandar yang berharga RM226 juta, selain Projek Kolej Islam Beufort dan sekolah kaum cina bagi memenuhi keperluan rakyat kawasan itu.

Komitmen pemimpin utama Sabah Datuk Seri Musa Aman yang merupakan anak kelahiran Beaufort juga membantu calon-calon BN. Dengan keadaan ini, pengundi Beaufort, perlu menilai apakah kemajuan untuk segenap rakyat atau memilih seseorang kerana hanya asas gelaran?

Nampaknya, pilihanraya kawasan Beaufort akan menjadi kawasan terpanas sepanjang PRU-13 ini. 

Manifesto BN: Bukan Memperdaya Pengundi- Tapi Sebagai AKUJANJI


Mulai pukul 9 malam tadi, berjuta-juta pengundi di Malaysia mula berpeluang untuk membaca manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan manifesto BN itu di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur dalam satu perhimpunan politik yang disemarakkan dengan lagu patriotik Inilah Barisan Kita dan lagu Anak Kampung yang telah diubah suai untuk menggambarkan semangat manifesto tersebut.

Membuka halaman manifesto itu memberikan kita gambaran mengagumkan tentang Najib dan BN: Najib menyedari betapa beratnya tugas untuk memimpin negara dan gabungan BN yang diterajuinya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Membaca manifesto itu membolehkan kita menginsafi betapa banyaknya kejayaan yang telah kita ukir selama di bawah pemerintahan BN: Ia memperlihatkan begitu kompleksnya perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat, dengan pendekatan keterangkuman menyatukan semua rakyat daripada pelbagai kaum, agama, budaya, negeri dan wilayah.

Meneliti manifesto itu mendedahkan kita kepada suatu persepsi yang begitu penting kepada kemanusiaan dan politik: Najib dan BN mempunyai rekod menepati janji yang tidak dapat disangkal, amat komprehensif, bersifat nasional dan mendahului zaman dari segi cara pemikirannya, adil dalam pelaksanaan dasar-dasar serta realistik dalam berjanji.

Najib selaku Pengerusi BN tidak menjanjikan sesuatu yang tidak dapat ditepati. Tidak seperti mainan kata pemimpin parti pembangkang, Perdana Menteri dan BN tidak berjanji untuk memperdayakan pengundi.

Berbeza dengan para pemimpin pembangkang yang berpolitik untuk merobohkan apa yang telah dibina, kuasa yang ada, kepada Najib dan BN, adalah kesinambungan. Beliau tidak menjanjikan apa sahaja yang ada di langit dan di bumi semata-mata untuk mendapatkan kuasa.

Kandungan manifesto Menepati Janji Membawa Harapan setebal 32 muka surat itu adalah refleksi pegangan politik Najib dan corak perjuangan BN di bawah kepimpinannya. Melalui manifesto itu, kita dapat merasakan bahawa Najib ialah seorang yang dapat diyakini dan kepadanya dapat kita letakkan harapan untuk menentukan untung nasib anak cucu di tanah air yang tercinta ini.

Manifesto itu dimulakan dengan warkah Najib sebagai Perdana Menteri kepada para pengundi yang mencerminkan keperibadian dan latar belakang politiknya sebagai anak sulung Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein.

Dengan Dewan Rakyat telah pun dibubarkan pada 3 April lalu dan PRU-13 bakal diadakan beberapa minggu lagi, Najib memulakan warkah dalam manifesto itu dengan ayat “rakyat Malaysia yang dikasihi”.

“Masanya telah tiba untuk kita membuat keputusan. Laluan demokrasi menetapkan bahawa masa depan negara ini berada dalam tangan rakyat. Kuasa rakyat itulah cerminan pilihan raya yang bebas dan adil.

“Allahyarham ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein pernah berkata, ‘Tugas kamu kepada negara adalah untuk memenuhi amanah rakyat dengan segala daya upaya’.

“Saya melangkah masuk ke bidang politik 37 tahun lalu dan ini adalah kali pertama saya memimpin gabungan BN untuk menghadapi pilihan raya umum. Ia menjadi satu cabaran besar dan tanggungjawab yang berat,” kata Najib.

Sebenarnya, tiada perkataan manifesto tertera pada dokumen manifesto yang dilancarkan oleh Najib malam tadi, tetapi beliau menegaskan dalam warkahnya bahawa para pengasas negara ini menekankan betapa pentingnya komitmen serta pengorbanan.

Rekod kerajaan BN menunaikan janji cukup jelas, tegas Najib, dan inilah rekod transformasi yang beliau mahu dikupas, direnungi dan dihayati oleh 13.29 juta pengundi pada PRU-13 nanti.

“Daripada transformasi ekonomi, politik dan sosial, sehingga kepada menjunjung hak asasi manusia dan demokrasi, kita mara dengan penuh yakin dan mantap bagi mencapai liberalisasi yang lebih menyeluruh.

“Perubahan sebenar telah pun berlaku dan dirasai, tetapi perjalanan ke arah transformasi sepenuhnya akan mengambil masa,” kata beliau.

Dokumen manifesto Menepati Janji Membawa Harapan mengandungi tujuh bahagian.

Pertama, warkah Najib kepada pengundi; kedua, prinsip-prinsip politik BN dan kenapa pengundi perlu pilih BN; ketiga, huraian dasar umum BN untuk 17 sub topik daripada menangani kos sara hidup, menguruskan ekonomi, keselamatan dan ketenteraman awam sehingga kepada pengurusan sumber alam; keempat, apa yang telah dilakukan BN setakat ini; dan kelima, janji BN kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dokumen itu juga mengandungi dua lagi bahagian tambahan iaitu renungan petikan kata-kata Najib yang menggariskan pendekatan, gaya kepimpinan, penekanan dan keprihatinannya serta penggunaan gambar-gambar dan visual yang relevan dengan setiap sub topik manifesto tersebut.

Daripada halaman pertama manifesto itu, pendekatan BN yang mengotakan janji dan memupuk politik konsensus sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Razak jelas mendominasi tema kempen pilihan raya BN pada PRU-13. Politik perpaduan dan integriti pemimpin inilah yang menyalakan semangat jentera pilihan raya BN yang digerakkan oleh parti-parti yang mewakili rakyat pelbagai kaum, budaya dan agama.

Ungkapan kata-kata Najib mengenai muhibah, persefahaman, kemajuan, kemakmuran untuk semua rakyat, perpaduan kaum dan kestabilan nasional menjadikan dokumen Menepati Janji Membawa Harapan itu suatu manifestasi iltizam politik Perdana Menteri.

Najib mengharapkan manifesto yang ditampilkan oleh BN malam tadi akan menjadi topik perbincangan rakyat sebelum mereka keluar mengundi pada PRU-13. Katanya, rakyat perlu menilai BN berdasarkan merit dan apa yang BN telah sumbangkan kepada negara selama ini.

Najib menawarkan kepada rakyat gabungan BN yang begitu berpengalaman, telah teruji, satu gerakan kesederhanaan yang berkongsi kuasa secara harmoni bersama semua kaum serta memiliki rekod pencapaian yang hebat dalam memenuhi kehendak rakyat.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, misalnya, manifesto itu menggariskan komitmen kerajaan BN untuk menarik pelaburan sebanyak RM1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini. Dalam pada itu, golongan minoriti dan terpinggir tidak dilupakan.

Manifesto itu juga mengandungi 24 petikan kata-kata Najib, termasuk satu ungkapan yang mencerminkan falsafah kepimpinannya. Ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat pada bulan Oktober lalu, Najib menegaskan prinsip keadilan sosial pentadbiran kerajaan BN dengan rangkap kata-kata berbunga yang puitis dan membawa maksud yang amat mendalam.

Beliau mengimpikan untuk melihat Malaysia digemblengkan oleh segenap lapisan masyarakat untuk menjadi sebuah negara yang istimewa: “Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.”

Najib, dengan pengalamannya mentadbir negara begitu lama dan liku-liku politik yang dilaluinya, telah berpuluh tahun melakukan tanggungjawab yang tersimpul dalam rangkap kata-kata itu sejak beliau menceburi bidang politik pada tahun 1976 selepas kematian Allahyarham Tun Razak.

Setelah lebih tiga dekad bergelumang dalam politik, beliau ditakdirkan menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009 selepas setahun PRU-12 berakhir. Tempohnya berkhidmat sebagai Perdana Menteri amat mencabar kerana PRU-12 pada Mac 2008 menyaksikan BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan gabungan parti itu gagal menguasai lima buah negeri.

Apabila Najib membubarkan Dewan Rakyat pada 3 April lalu, beliau sedar betapa rapuhnya politik negara selepas Mac 2008 dan dengan rendah diri beliau mengakui bahawa mandat rakyat di peti undi yang akan menentukan kedudukan BN pada PRU-13.

Inilah kali pertama Najib, 60, mengetuai BN menghadapi pilihan raya umum dengan agenda besar mengembalikan imbangan dalam politik Malaysia dan mencorakkan semula landskap politik negara yang sejak 2008 diwarnai perbalahan, konflik dan pertarungan.

Dalam manifesto BN, Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Pekan itu memohon mandat daripada rakyat supaya diberi peluang untuk memimpin sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat bagi menjayakan Agenda Transformasi Negara.

Melalui rekod pencapaian dan komitmen BN yang disenaraikan dalam manifesto yang dilancarkan malam tadi, beliau amat mengharapkan rakyat untuk turut memberi sokongan besar kepada kesemua 222 calon BN di peringkat Parlimen dan 505 di peringkat Dewan Undangan Negeri yang akan bertanding pada PRU-13 nanti.

Kenapa mandat besar diperlukan?

Najib menulis dalam manifesto BN: “Sebagai Perdana Menteri Malaysia, mandat yang saya mohon ini amat penting demi kelangsungan dan kesinambungan. Kita perlu bergerak ke hadapan meninggalkan jalan mundur yang menghalang perpaduan, kestabilan, keharmonian serta kemakmuran. Kita mesti menolak pecah belah, kelembapan, pergolakan, kekacauan, perbalahan dan krisis.

“Mandat daripada anda adalah sebuah janji yang membawa harapan, mandat untuk mencapai kecemerlangan bersama-sama sebagai satu bangsa, satu negara dan satu wawasan. Berilah peluang kepada saya untuk meneruskan khidmat bakti ini sedaya upaya saya. Saya ingin meyakinkan anda bahawa kegemilangan akan menyusul!”

Dengan aspirasi rakyat yang tergaris jelas dalam manifesto BN itu, cita-cita Najib untuk melihat penubuhan kerajaan yang lebih kukuh diharapkan akan terjelma pada PRU-13 bagi membawa Malaysia ke mercu kegemilangan baharu. — Baharom Mahusin Mingguan Malaysia

PRU-13: Intipati Manifesto Barisan Nasional

Najib semasa melancarkan Manifesto BN bagi PRU-13
Berikut intipati Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, malam Sabtu.

Manifesto bertajuk 'Menepati Janji Membawa Harapan' itu, mengandungi janjiBN untuk membawa negara ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan mandat baharu dalam pilihan raya umum ke-13 nanti:

1. Menangani Kos Sara Hidup:

* Menambah BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan.

* Mempertingkatkan Baucar Buku 1Malaysia kepada RM300 dan Bantuan Persekolahan kepada RM150.

* Menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

* Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia.

* Memperkenalkan produk 1Malaysia di stesen minyak dan pasar raya besar.

* Membuka Klinik 1Malaysia di dalam kawasan komuniti padat penduduk.

* Menyediakan lebih banyak Pusat Jagaan Harian 1Malaysia untuk ibubapa bekerja.

* Menurunkan yuran jalur lebar sekurang-kurangnya 20 peratus dengan jaminan bandwidth internet.

* Melaksanakan dasar 1Negara 1Harga bagi barangan keperluan asas.

* Memperkenalkan lebih banyak produk 1Malaysia yang digerakkan oleh GLC dan sektor swasta.

2. Meningkatkan Kehidupan Warga Bandar:

* Menstruktur semula kerajaan termasuk mewujudkan kementerian baharu seiring dengan anjakan corak demografi bandar di negara ini dan menangani cabaran sosial dan ekonomi bandar.

* Menambah perwakilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam dalam kerajaan tempatan.

* Memulihkan semula rumah kos rendah dan flat di bandar-bandar.

* Mengambil alih penyelenggaraan prasarana perumahan awam.

* Menyediakan perumahan awam berkualiti khusus untuk generasi muda yang mencari kerja.

* Membina kemudahan dan kawasan rekreasi bagi meningkatkan kualiti hidup di bandar.

* Memastikan kemudahan pendidikan, latihan dan perkhidmatan kesihatan.

* Menambah baik rangkaian pengangkutan antara bandar dan penempatan.

* Membuka lebih banyak Anjung Singgah (pusat perlindungan sementara untuk golongan gelandangan) di kawasan yang diperlukan.

3. Menyediakan Rumah Mampu Milik:

* Membina 1,000,000 buah rumah mampu milik - digerakkan oleh sektor awam dan swasta - termasuk 500,000 buah rumah PR1MA.

* Memastikan harga rumah PR1MA sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah harga pasaran.

* Memperkenalkan skim sewa dan milik untuk projek perumahan kerajaan.

* Memulihkan semula projek perumahan terbengkalai untuk melindungi pembeli rumah.

* Mengambil alih penyelenggaraan semua Projek Perumahan Awam.

* Membantu pemilik rumah berpendapatan rendah dan miskin untuk memperbaiki rumah mereka.

* Menggantikan kawasan setinggan dengan kawasan perumahan tetap yang selesa.

* Memperbaiki perumahan estet dan menyediakan rumah untuk bekas pekerja estet melalui perkongsian kerajaan-estet.

* Memansuhkan yuran setem untuk pembelian rumah pertama berharga di bawah RM400,000.

4. Peluang Mendapat Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti:

* Membangunkan sistem nasional yang akan menyediakan akses penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada semua rakyat.

* Menubuhkan Pusat Kanser dan Pusat Jantung di hospital-hospital utama di setiap zon - Utara, Selatan, Timur di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

* Mewujudkan kemudahan awam untuk rawatan dialisis buah pinggang di setiap kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

* Melaksanakan sistem kad prihatin kepada rakyat Malaysia yang memerlukan bagi membolehkan mereka mendapat diskaun harga untuk ubat-ubatan tertentu.

* Memperkenalkan sistem sokongan kepada rumah penjagaan untuk golongan warga tua dan mereka yang menghidap sakit kronik.

5. Ke Arah Kecekapan Terhebat Pengangkutan Awam:

* Mengembangkan perkhidmatan sistem bas Rapid ke setiap ibu negeri yang lengkap dengan kemudahan untuk golongan berumur dan kurang upaya.

* Terus memperluaskan sistem rel, MRT, LRT dan komuter.

* Membina terminal bas, rel, dan teksi bersepadu di semua pekan dan bandar.

* Menyusun semula laluan bas untuk memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan memudahkan rakyat.

* Meningkatkan jumlah permit teksi individu.

* Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi dan memperluaskan sistem landasan kereta api berkembar.

6. Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Transformasi Luar Bandar:

* Memperbanyakkan lorong dan susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan.

* Membina 2,300km Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Semantan di Sarawak hingga ke Serudong di Sabah.

* Menyambung Lebuh Raya Pantai Timur dari Kuala Krai-Kota Bharu dan Gambang-Segamat.

* Membina Lebuh Raya Pantai Barat baharu dari Banting-Taiping.

* Mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat.

* Melaksanakan konsep Kampung Abad ke-21 bagi melonjak transformasi luar bandar dan membawa komuniti berkenaan ke dalam pembangunan arus perdana.

* Membina 6,300km lagi jalan raya berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500km di Sabah dan 2,800km di Sarawak yang memberi faedah kepada kira-kira 3.3 juta penduduk.

* Menyelesaikan masalah bekalan air terawat di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kelantan.

* Memperluaskan bekalan air bersih untuk 320,000 rumah lagi di seluruh negara.

* Mempertingkatkan bekalan tenaga elektrik kepada 6,000 rumah lagi di Semenanjung, 60,000 rumah di Sabah dan 80,000 rumah di Sarawak.

* Menggalakkan pembekal perkhidmatan telekomunikasi untuk memastikan kualiti perkhidmatan telefon bergerak dan liputan memuaskan di seluruh negara.

7. Membina Ekonomi Mapan, Dinamik dan Inovatif:

* Menarik pelaburan bernilai RM1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang kerja baharu dengan 2 juta daripadanya dalam sektor berpendapatan tinggi.

* Mencapai pendapatan per kapita AS$15,000 (RM45,000) menjelang 2020.

* Menyediakan insentif khas untuk perniagaan inovatif dan kreatif bagi menjana lebih banyak pekerjaan dan kejayaan.

* Melaksanakan dasar yang adil dan saksama kepada semua kaum di Malaysia termasuk dasar menyokong pertumbuhan, penglibatan besar-besaran sektor swasta dan pembangunan pasaran modal.

* Mempertingkatkan agenda Bumiputera termasuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak menerusi penyediaan peluang-peluang perniagaan, ekosistem yang kukuh (misalnya kemudahan pinjaman dan latihan) dan sokongan institusi.

* Bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menyediakan lebih banyak tanah dan meningkatkan produktiviti tanah sedia ada untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan ternakan.

* Membuat pembaharuan dalam struktur cukai sedia ada ke arah sistem percukaian yang lebih terbuka serta mengurangkan cukai individu dan korporat secara berperingkat.

* Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas kepada Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

* Melaksanakan pelan transformasi SME dan melahirkan Syarikat Dagangan Negara untuk meneroka pasaran antarabangsa bagi produk SME.

* Melahirkan lebih banyak juara di peringkat serantau dan global dalam kalangan masyarakat Malaysia.

* Memastikan GLC terus membantu pembangunan usahawan melalui pemindahan pegangan bukan strategik GLC dan memperhebatkan program penyumberan luar kepada syarikat Bumiputera.

* Menyediakan dana saham amanah RM500 juta untuk meningkatkan pegangan ekuiti komuniti India kepada sekurang-kurangnya 3 peratus.

* Menubuhkan sebuah Unit Khas bagi memastikan kejayaan pelaksanaan dasar untuk mempertingkatkan kehidupan masyarakat India.

* Meningkatkan akses kredit mikro untuk semua rakyat Malaysia, termasuk RM100 juta diperuntukkan kepada penjaja dan peniaga kecil.

8. Membina Kecemerlangan Pendidikan Negara:

* Membawa Malaysia ke tahap 'kategori tiga teratas' dalam sistem pendidikan terbaik dunia dengan memperbaiki kualiti sekolah kebangsaan.

* Memperbaiki penguasaan Bahasa Malaysia dan Inggeris dalam kalangan pelajar dari tahap prasekolah, dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat SPM di semua sekolah.

* Memperbaiki akses untuk pendidikan berkualiti bagi komuniti kecil dan kawasan luar bandar terutama Sabah dan Sarawak.

* Menyediakan lebih banyak biasiswa berdasarkan merit dengan peruntukan khas kepada komuniti yang kurang bernasib baik.

* Meneruskan peruntukan khas kepada semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Berasrama Penuh dan sekolah mubaligh.

* Mengembangkan persekolahan satu sesi.

* Merombak institut-institut perguruan dan menaikkan syarat pengambilan guru pelatih.

* Memperkenalkan sistem pembelajaran dan pengajaran yang mudah bagi Bahasa Malaysia di sekolah Cina dan Tamil.

* Membina lebih banyak sekolah, meliputi semua jenis sekolah, di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.

* Mempertingkatkan prestasi mata pelajaran Matematik dan Sains, dan membentuk kemahiran berfikir yang tinggi dalam kalangan pelajar.

* Menyediakan insentif kewangan sebanyak RM100,000 setahun kepada sekolah yang menawarkan kelas pendidikan khas.

* Menukar status Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil kepada sekolah bantuan penuh kerajaan jika sekolah berkenaan ingin berbuat demikian.

* Berikirar menyediakan makmal ICT di sekolah-sekolah yang memerlukannya.

* Mentransformasikan sekolah vokasional menjadi kolej dan menambah kemasukan pelajar sebanyak 20 peratus.

* Memperluaskan pendidikan prasekolah meliputi semua jenis sekolah.

* Menyediakan laluan kerjaya baru bagi membolehkan 420,000 guru dinaikkan pangkat segera berdasarkan prestasi.

* Menyediakan jalur lebar WiFi secara percuma dan terjamin di semua kampus institusi pengajian tinggi awam.

* Memperkenalkan skim pemilikan komputer riba di sekolah-sekolah bersama dengan kemudahan Internet.

9. Meningkatkan Keselamatan Dan Ketenteraman Awam:

* Meningkatkan jumlah tenaga kerja PDRM, dengan tambahan 4,000 anggota polis pada setiap tahun.

* Memasang lampu di jalan-jalan, lorong-lorong dan laluan bagi mengurangkan lagi jenayah jalanan.

* Mengukuhkan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM dengan menambah 5,000 buah kenderaan tambahan.

* Menambah baik kebajikan, profesionalisme dan keupayaan Polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

* Meningkatkan keupayaan keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia untuk menangani apa jua bentuk pencerobohan dan ancaman luar.

* Mempertahankan dan memperkuatkan Suruhanjaya Polis.

* Menggunakan sistem 6P untuk mengekang pendatang asing tanpa izin.

* Mewujudkan Program SafeCam untuk menghubungkan sistem CCTV swasta dengan awam.

* Mengembangkan secara meluas penggunaan CCTV untuk memantau kawasan-kawasan laluan awam yang sibuk seperti kawasan letak kereta, kawasan riadah, pasar malam dan sekolah.

* Memperkenalkan inisiatif keselamatan di kawasan skim perumahan awam.

* Pengambilan tambahan 50,000 anggota Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis untuk membantu PDRM membuat rondaan dan menjadikan kawasan persekitaran lebih selamat.

10. Memperkasa Penyertaan Wanita

* Menambah jumlah wanita yang terlibat dalam proses membuat keputusan nasional.

* Menggalakkan kesamaan gender untuk memaksimumkan potensi rakyat Malaysia dalam semua bidang, tanpa mengira jantina.

* Menyediakan lebih banyak peluang bisnes dan ruang bagi menambah pendapatan untuk wanita supaya mereka lebih berkeupayaan untuk berdikari.

* Mewujudkan lebih banyak insentif untuk inisiatif bekerja dari rumah, dengan penekanan yang lebih besar kepada golongan ibu tunggal.

* Membuka pusat-pusat Asuhan 1Malaysia di semua pejabat Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta menggalakkan sektor swasta untuk melakukan perkara yang sama.

* Mengetatkan undang-undang untuk mencegah kejadian penderaan dan gangguan seksual di rumah dan di tempat kerja.

11. Memenuhi Aspirasi Belia:

* Memperuntukkan tabung latihan dan insentif kepada belia yang mahu melakukan usaha niaga komersial.

* Menyediakan ruang komersial di dalam pusat membeli belah selama sehari pada setiap bulan untuk golongan belia mempamerkan dan memasarkan produk kreatif dan perkhidmatan mereka.

* Mewujudkan inkubator bagi memupuk kualiti kepimpinan dan kreativiti.

* Melahirkan belia yang lebih berdaya tahan menerusi aktiviti kesukarelawan dalam 1M4U.

* Mewujudkan lebih banyak lokasi WIFI percuma dengan penekanan kepada kawasan luar bandar dan separa bandar.

* Melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa serta mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat.

* Mengkaji semula undang-undang berkaitan hiburan untuk promosi seni persembahan dan kebudayaan.

12. Merancang Jaringan Keselamatan Sosial:

* Memperhalusi dan menambah baik jaringan bantuan keselamatan menerusi sistem pangkalan data yang bersepadu.

* Menyediakan bantuan kewangan dan peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.

* Mengubah Brickfields di Kuala Lumpur menjadi zon mesra golongan orang buta supaya kawasan itu menjadi zon contoh yang bakal mendorong lebih banyak tempat seumpama itu disediakan bagi memenuhi keperluan golongan kurang upaya di tempat-tempat lain.

* Mewujudkan mahkamah khas yang mempunyai status yang sama dengan Mahkamah Tinggi di bawah sistem kehakiman sedia ada, yang mana hakim-hakim akan dibantu oleh penasihat-penasihat yang dipilih dalam kalangan ketua komuniti untuk menyelesaikan isu-isu tanah pribumi.

* Mewartakan semua tanah adat menerusi perundingan bersama kerajaan-kerajaan negeri.

* Menyediakan lebih banyak peluang untuk menjana pendapatan dalam kalangan komuniti pribumi dan meningkatkan bilangan pengambilan pribumi ke dalam pendidikan vokasional, kolej dan universiti.

* Menyediakan tabung untuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berdaftar dan gerakan masyarakat sivil.

13. Mempromosikan Agama Islam, Kebebasan dan Keharmonian Agama:

* Mendukung Islam sebagai agama Persekutuan serta mempromosikan syiar dan syariat Islam mengikut prinisp Maqasid Syariah.

* Memastikan agama-agama lain diamalkan dalam suasana aman dan harmoni.

* Isu-isu berkaitan dengan golongan bukan Islam diletakkan di bawah bidang kuasa seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

* Mempromosikan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) dalam semua pendekatan.

* Meningkatkan inisiatif dalam menyatukan ummah.

* Menjana pendapatan daripada pembangunan tanah wakaf dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri.

* Menaikkan pengecualian cukai untuk sumbangan ke atas pembinaan, membesarkan dan memulihara rumah-rumah ibadat.

* Meneruskan peruntukan tanah untuk pembinaan rumah ibadat.

* Menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada institusi-institusi agama berdaftar dan rumah-rumah ibadat.

* Mempromosikan kebajikan imam, pegawai masjid dan guru Kafa dengan menyediakan gaji berasakaan perkhidmatan dan kenaikan gaji.

* Meningkatkan kualiti Sekolah Agama Rakyat dan membenarkan para pelajarnya mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan infrastruktur pendidikan kerajaan.

* Menyediakan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Pondok.

14. Memerangi Gejala Rasuah:

* Meningkatkan ketelusan dalam prosedur perolehan kerajaan dengan mendedahkan kontrak kepada awam.

* Memberi kuasa kepada SPRM menerusi penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM yang akan bertanggungjawab terhadap perkhidmatan dan pengambilan kakitangan.

* Menaik taraf kedudukan Ketua Pesuruhjaya dan pegawai kanan SPRM ke satu peringkat yang lebih tinggi.

* Memberikan penekanan yang sama rata terhadap siasatan dan tindakan yang dilakukan ke atas pemberi dan penerima rasuah.

* Akses yang cepat kepada Laporan Audit Prestasi Ketua Audit Negara untuk tindakan segera.

* Menubuhkan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan Mahkamah Tinggi tambahan untuk kes-kes rasuah.

* Melaksanakan akujanji integriti untuk ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri .

15. Memperkukuhkan Perkhidmatan Awam, Menambah Baik Tadbir Urus:

* Memperkenalkan Skim Gaji Transformatif untuk penjawat awam, termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu tiada semakan gaji dilakukan.

* Penambahbaikan skim perkhidmatan awam dengan menyediakan lebih banyak peluang kenalkan pangkat dan pembangunan bakat serta memastikan kualiti kehidupan penjawat awam terpelihara.

* Melanjutkan tempoh kontrak para pegawai dan menyerap kakitangan yang cekap ke dalam perkhidmatan tetap.

* Memperluaskan Pusat Transformasi Bandar ke semua bandar dan pekan utama.

* 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang.

* Menggerakkan dan memperkasa perkhidmatan awam, termasuk Pejabat-pejabat Daerah dan Kerajaan Tempatan, bagi memenuhi permintaan dan keprihatinan rakyat.

* Menambah baik kaunter perkhidmatan menerusi pelantikan anggota-anggota barisan depan daripada pelbagai kaum dan memperluaskan perkhidmatan online untuk urusan pembayaran dan permohonan.

* Memperkenalkan program-program pengambilan pekerja untuk memastikan keseimbangan antara kaum dalam perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

* Meningkatkan potensi, kemampuan dan kapasiti semua penjawat awam tanpa mengira kaum dan jantina.

* Memberikan perhatian yang istimewa kepada orang kurang upaya untuk memanfaatkan potensi dan kemampuan yang mereka miliki.

16. Gerakan Kesederhanaan Global:

* Berjuang untuk penubuhan sebuah negara Palestin.

* Menyokong usaha menjadikan Asean sebuah komuniti ekonomi menjelang tahun 2015.

* Berusaha memenangi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memainkan peranan utama dalam keamanan serantau dan keselamatan antarabangsa melalui dasar kesederhanaan.

* Meningkatkan hubungan ekonomi dan kepentingan bilateral dengan negara rakan dagang utama dan ekonomi negara sedang membangun.

* Membentuk Dasar Luar yang menyokong kepentingan-kepentingan strategik politik, ekonomi dan keselamatan kita.

* Mengetuai usaha menentang jenayah-jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia dan dadah.

* Memperbanyakkan program 'outreach' kemanusiaan di wilayah-wilayah konflik seperti Gaza, Tebing Barat, selatan Thailand, Mindanao dan di mana sahaja.

17. Memulihara Sumber Semula Jadi:

* Menawarkan insentif kewangan kepada premis komersial dan persendirian yang melabur dalam sumber-sumber teknologi hijau yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria dan biomas.

* Memperuntukkan lebih banyak ruang untuk kawasan hijau di bandar-bandar utama.

* Memulihara sungai dan anak sungai menerusi pertambahan peruntukan kewangan dan undang-undang yang lebih ketat, selain memperhebatkan usaha itu melalui program khas UNDP dan Sungai Nadi Kehidupan.

* Menambah program pendidikan untuk menyemai sikap mencintai alam sekitar.

* Memulihara hutan dan melaksanakan program penanaman semula hutan.

* Menguatkuasa undang-undang yang ketat dan dikemas kini untuk mencegah kegiatan penerokaan secara haram di kawasan-kawasan strategik dan utama.

* Menggunakan teknologi hijau dan terbaharu dalam pengurusan sistem pepejal. 

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels