1. Ini adalah maklum balas saya terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah yang dikeluarkan semalam. Saya ingin menegaskan bahawa fokus seterusnya harus menjurus kepada keperluan untuk terus melangkah, khususnya bagi rakyat Sabah. Usaha mesti terarah terhadap apa yang perlu dilakukan selepas ini dan bukannya menuding cari mencari kesalahan serta mengungkit apa yang berlaku pada masa lampau. Sabah hanya boleh melangkah ke hadapan dan mencapai kemajuan jika kita berfikiran proaktif.
2. Dapatan RCI itu perlu dilihat secara menyeluruh. Bagaimanapun, rakyat Sabah juga perlu melaksanakan peranannya untuk seiring bergerak ke hadapan. Tanpa disedari, kita juga adalah sebahagian daripada masalah ini. Sebagai contoh, rakyat Sabah mesti mengikis kecenderungan untuk menggaji tenaga kerja pendatang asing yang murah. Kita merungut mengenai kebanjiran golongan itu tetapi pada masa sama, kita tidak teragak-agak mengupah mereka berikutan gajinya rendah. Saya sedar mengupah orang tempatan akan meningkatkan kos kerana upahnya lebih tinggi. Kos yang lebih tinggi bermakna produk dan perkhidmatan terpilih juga akan menjadi lebih mahal. Bagaimanapun, pengorbanan itu berbaloi bagi mencapai manfaat jangka panjang. Lebih ramai rakyat tempatan diambil bekerja bermakna kita boleh mengurangkan pergantungan terhadap warga asing.
3. Kerajaan perlu mengkaji semula dasar membabitkan pengambilan rakyat tempatan melakukan kerja yang dianggap kurang diminati (contoh: pembantu rumah, pekerja binaan, pekerja perladangan dan pembantu dalam sektor perkhidmatan). Antara dasarnya ialah upah lebih tinggi. Turut perlu dikaji ialah lebih banyak kemudahan dan persekitaran kerja kondusif. Ini penting jika Sabah benar-benar mahu melaksanakan dasar tiada pekerja asing tanpa izin - dasar yang boleh mengekang kemasukan pendatang asing atau mungkin terus menghentikannya. Ini hanya boleh dilakukan jika rakyat Sabah bersatu untuk menjadikannya kenyataan.
4. Seperkara lagi yang wajar diperluaskan ialah dasar 'Memakmurkan Jiran' (Prosper Thy Neighbour). Malaysia mesti membantu Selatan Filipina mencapai keamanan. Keamanan di wilayah ini bermakna ia akan menjadi lebih makmur, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Filipina. Keadaan itu dengan sendirinya akan mengurangkan kecenderungan pendatang asing merentas sempadan untuk mencari pekerjaan di Sabah.
5. Konsep 'Memakmurkan Jiran' itu harus bergerak seiring dengan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA). BIMP EAGA adalah kerjasama ekonomi yang diwujudkan empat negara ASEAN itu, bermatlamat untuk meningkatkan dagangan, pelancongan dan pelaburan di dalam serta di luar rantau ASEAN. Walaupun BIMP-EAGA tidak seaktif seperti sepatutnya, ia berperanan penting dalam membangunkan ekonomi serantau dalam lingkungan bidang kuasanya. Justeru, adalah wajar bagi Malaysia menilai semula peranan boleh dimainkan BIMP-EAGA apabila memulakan tugas sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan. Kita perlu memiliki strategi bersama yang lebih mantap, seiring usaha membawa lebih banyak kemakmuran ke rantau ini.
6. Saya memahami kepentingan untuk mengenal pasti dalang di sebalik kebanjiran pendatang asing di Sabah. Hakikat itu adalah pengakhiran sempurna terhadap pelbagai persoalan yang dihadapi sejak berpuluh tahun lalu. Kita perlu melakukan segala yang termampu dalam membawa dalangnya ke muka pengadilan. Malah, ramai daripada mereka dapat ditangkap dan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1990-an. Saya yakin pihak berkuasa akan bertindak sewajarnya jika mendapat lebih banyak bukti. Pada masa sama, serbuan terhadap penempatan haram dan penghantaran pulang ke negara asal mesti diteruskan.
7. Pada masa sama, kita perlu berhenti daripada mempolitikkan isu pendatang asing di Sabah. Masalah ini adalah lebih besar daripada politik kerana ia membabitkan kehidupan harian rakyat secara kolektif, melangkau sempadan politik. Ini adalah masalah kemanusiaan yang perlu ditangani bersama. Hakikatnya, kebimbangan terhadap pendatang asing di Sabah berjaya menyatukan pemimpin daripada pelbagai fahaman politik atas matlamat sama kerana kita memikirkan soal masa depan rakyat Sabah di negeri sendiri. Justeru, jangan terperangkap dengan permainan mana-mana pihak yang cuba mencari kelebihan politik susulan laporan RCI ini.
8. Apa langkah seterusnya? Saya percaya kita mesti mendahulukan apa yang perlu. Selain daripada apa yang disebut di atas, banyak lagi langkah boleh diambil, dinilai semula dan diperbaiki. Sebagai contoh, kita perlu meningkatkan kawalan sempadan, selain memperketatkan proses pendaftaran kewarganeraan dan undang-undang Imigresen. Kita perlu memantapkan kawalan di sempadan Pantai Timur Sabah, selain mengawasi perairan negeri itu dengan lebih teliti. Ia boleh dimulakan dengan memberi tanggungjawab kepada masyarakat setempat di kawasan sempadan yang bebas daripada pendatang asing, untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. Mungkin kita boleh berkongsi pengalaman United Kingdom dan Australia dalam menangani kemasukan pendatang asing di negara mereka.
9. Kesimpulannya, keghairahan untuk saling menuding jari meletak kesalahan sejak tiga dekad lalu tidak menyelesaikan masalah dihadapi. Sebaliknya, ia banyak memakan masa, selain memperlahankan rentak kemajuan. Ketika sesetengah pihak sibuk mencari silap orang lain, sempadan Sabah terus diceroboh. Itu sebabnya mengapa kita perlu melihat semula usaha sedia ada supaya menjadi lebih konstruktif, terutama dalam aspek yang boleh membantu kita melangkah jauh ke hadapan dan memberi penyelesaian praktikal terhadap isu serba rumit ini. Cadangan di atas bukan secara menyeluruh dan saya yakin kita boleh memikirkan langkah rasional serta praktikal untuk menangani masalah ini jika dilakukan bersama. Ia boleh dimulakan dengan soalan ini: "Apa yang boleh saya lakukan untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukannya menambah masalah?".
YB Datuk Abdul Rahman Dahlan
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan/
Setiausaha BN Sabah.