15 January 2012

Anwar sokong gay

Hanya beberapa hari selepas bebas tuduhan liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mempertahankan hak golongan homoseksual semasa temubual dengan BBC.

Anwar telah dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dengan Mahkamah Tinggi memutuskan tidak dapat menjamin 100% sampel DNA yang dikemukakan tidak terusik.

Pengakuan Anwar menyokong gay disiarkan di muka depan Mingguan Malaysia bertajuk “Anwar ulas isu gay” sementara Berita Harian pula dengan tajuk “Tindakan Anwar sokong homoseksual dikecam”.

Mingguan Malaysia berkata ketua pembangkang itu semasa temubual dengan BBC mengatakan undang-undang berkaitan hak golongan seksual di Malaysia tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang relevan.

Wartawan BBC bertanya kepada Anwar, sama ada beliau bersedia untuk menolak idea anti-diskriminasi hak golongan gay yang menjadi kebimbangan di mana beliau berkata “kami akan kaji semula undang-undang lapuk ini.”

“Kami masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited untuk menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan.” kata Anwar kepada BBC.

Anwar juga berkata pandangan Pakatan Rakyat adalah “kami tidak menggalakkan homoseksual di domain awam dan kami tidak perlu meminta maaf.”

Laporan Utusan itu menegaskan pembebasan Anwar diterima baik oleh beberapa pihak yang cenderung menyokong kebebasan hak kumpulan lesbian, gay, bisesksual dan transeksual (LGBT) termasuk sebuah pertubuhan homoseksual di Filipina.

Dalam sokongan kepada Anwar, pertubuhan yang dikenali sebagai Organisasi Progresif Gay Filipina (ProGay) menerusi sebuah portal berita membuat kenyataan, sudah tiba masanya undang-undang berkenaan liwat yang merupakan sebahagian daripada legasi kolonial British itu dihapuskan.

Sementara itu Berita Minggu, edisi mingguan Berita Harian mengkritik Anwar kerana menyokong hubungan sesama jenis.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata umat Islam tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang dilihat menyokong amalan seks sejenis iaitu homoseksual, lesbian atau liwat antara dua jantina berbeza kerana ia boleh menyebabkan mereka terkeluar daripada asas akidah.

“Kita tidak boleh menyokong atau menghalalkan hubungan sejenis kerana ia sama dengan menghalalkan zina. Ini boleh menyebabkan seseorang itu murtad.

“Umat Islam harus menentang amalan seks sejenis tidak kira sama ada lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan atau amalan liwat antara lelaki dengan wanita. Jangan kerana mahu mengejar sokongan, kita membelakangkan agama,” katanya dipetik Berita Minggu.

Bekas ahli Parlimen PKR Wee Choo Keong berkata keberanian Anwar adalah untuk mewujudkan undang-undang membela hak golongan gay dalam manifesto Pakatan Rakyat.

“Setahu saya, homoseksual perbuatan serius dalam hukum syariah Islam dan sebarang pandangan mengenainya perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam. Dalam hal ini, seharusnya Anwar lebih faham berbanding saya,” kata Ahli Parlimen Wangsa Maju ini.

14 January 2012

Umno Kota Belud pasang "gear 5" menghadapi PRU-13

Kelihatan Salleh, Musbah, Rahman dan Japlin semasa mesyuarat tersebut.

SEMALAM Umno Bahagian Kota Belud bermesyuarat bagi persiapan menghadapi PRU-13.

Selepas Mesyuarat tersebut, Ketua Bahagian Umno Kota Belud merangkap Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri DSP Salleh Tun Said berkata, Umno Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Musa Aman telah bersiap sedia menghadapi PRU-13, jika iapun diadakan secara mengejut.

Mesyuarat Umno Bahagian Kota Belud tersebut telah dihadiri oleh ADUN daripada Umno dan MP Kota Belud.

Pada PRU-12, Daripada 60 DUN yang dipertandingkan di Sabah, 59 dimenangi BN, sementara Parlimen, 24 dimenangi BN dan satu oleh DAP.

Sabah dianggap sebagai Simpanan Tetap.

11 January 2012

Datuk Lajim masih setia pada UMNO

Menurut sumber yang sahih, Datuk Lajim Okin yang merupakan AMT Umno, MP Beaufort dan Timbalan Menteri Persekutuan masih setia dan tetap bersama Umno/BN.

Desas-desus sebelum ini bahawa beliau merupakan dalang dibelakang Sabah People Front (SPF) adalah spekulasi pemimpin tertentu untuk melemahkan Umno/BN Sabah.

OKB difahamkan,Lajim telah menyatakan kesetiannya kepada Umno/BN selepas MP Beaufort tersebut betemu enam mata dengan Pengerusi Umno Sabah DSP Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah dan Timbalan Pegerusi Umno negeri DSP Salleh Tun Said baru-baru ini.

Lajim terpalit dengan spekulasi akan keluar Umno apabila Timbalan Menteri itu turut hadir pada satu majlis natal anjuran pemimpin Pakatan di Kuala Penyu baru-baru ini dan pada majlis tersebut beliau turut berucap.

Tidak menjadi kelajiman samada pihak pembangkang atau kerajaan membuat ucapan pada majlis anjuran masing-masing.

Zaid Ibrahim telah dipecat daripada Umno ekoran kehadiarannya pada satu majlis PKR di Shah Alam pada tahun 2010. Zaid hanya hadir, tidak berucappun.

10 January 2012

Anwar bebas: Apa kata Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Isnin berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya membuktikan satu perkara iaitu tidak pernah wujud sebarang konspirasi untuk memenjarakan Anwar sama ada dahulu mahu pun sekarang.

“Segala-galanya tentang teori konspirasi ini hanyalah pandangan serong Anwar bahawa dia akan disabitkan dengan kesalahan untuk membuat dia hidup sengsara.

“Tetapi keputusan mahkamah hari ini (Isnin) adalah bukti bahawa tidak wujud sebarang konspirasi sebelum atau sekarang untuk mengenakannya,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga berkata, sebelum ini pun kerajaan pernah kalah dalam beberapa kes di mahkamah termasuklah Umno diharamkan oleh mahkamah.

Ini, kata Dr Mahathir menunjukkan di Malaysia, sistem kehakiman negara adalah bebas dan berkecuali dan tidak ada mana-mana pihak termasuklah kerajaan mahupun pembangkang boleh campur tangan,” katanya lagi.

9 January 2012

Azmin gagal himpun 100,000

Mereka yang datang berhimpun di tempat letak kereta Mahkamah Jalan duta pagi tadi, adalah mereka yang ikut serta himpunan Bersih2.0. Jumlahnya dianggarkan 5,000.. oklah 10,000 untuk menyenangkan hati Azmin Ali.

PKR yang mengerakkan 901-Bebaskan Anwar berikrar akan mengumpulkan 100,000 penyokong Anwar pagi tadi, namun Azmin gagal total.

Bagi penyokong BN, sama-sama kita saksikan, bahawa gembar gembur Pakatan, hanya omong kosong.

Anwar sebak selepas dibebaskan

SEBAK...Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan sebak selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan tiga tahun lalu. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika menyampaikan keputusannya menegaskan bahawa mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa integriti sampel DNA tidak terusik. Turut kelihatan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail

8 January 2012

Akhirnya Pas pecat Dr Hassan Ali

PAS hari ini mengambil keputusan memecat bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkuatkuasa serta-merta tindakan yang dipercayai ekoran kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan dasar parti.

Keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di ibupejabat PAS Jalan Raja Laut di sini.

Tindakan memecat Dr Hasan dibuat berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian sebagai ahli PAS.

"Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa pAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian Datuk Dr Hasan Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta-merta.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Datuk Dr Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS," kata satu kenyataan di HarakahDaily.

Dr Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dan exco kerajaan negeri Selangor sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan yang "menongkah arus".

Terbaru beliau menolak perhimpunan 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

"Keputusan dibuat setelah meneliti, mengadakan rundingan dan memberikan nasihat kepada beliau (Dr Hasan) tapi beliau tidak mempedulikan arahan parti dan masih melakukan perkara yang bercanggah dengan dasar parti.

Turut hadir dalam mesyuarat hari ini Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

5 January 2012

9 Januari: Akan adakah perintah berkurung di Kuala Lumpur?

Penyokong Anwar sudah menyebarkan bahawa akan ada 100,000 manusia berkumpul di kawasan Mahkamah Jalan Duta pada 9 Januari. Jumlah itu 10 kali ganda berbanding Bersih2.0 9 Julai,2011.

Ada maklumat, bahawa para penyokong upahan, dibekalkan RM1,000 seorang untuk turut serta berkumpul pada hari itu. Hari penentuan bagi Anwar Ibrahim.

Sejak Pertengahan Disember lalu dan hingga kini, Anwar menyerang negeri-negeri berpenduduk majoriti Melayu, untuk meminta simpati dan turut serta dalam demo 901 BEBASKAN ANWAR.

Kempen 901 Bebaskan Anwar, adalah sokongan kepada individu yang bernama Anwar Ibrahim, agar supaya pihak Hakim akan takut memberi keputusan yang tidak memihak kepada Anwar.

OKB yakin, Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah tidak akan terpengaruh dengan desakan dan gertakan para penyokong Anwar, walaupun hari itu akan diistiharkan PERINTAH BERKURUNG di Kuala Lumpur.

OKB yakin, apapun keputusan Hakim adalah berdasarkan kepada fakta yang dikemukakan kepadanya, bukannya berasaskan kepada faktor-faktor yang bercanggah dengan undang-undang.

Penyokong Anwar telah tahu bahawa Anwar akan didapati bersalah disebabkan pihak pembelaan tidak mampu menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan kepada Anwar.

Penyokong Anwar, mendesak, walaupun fakta menunjukkan bahawa Anwar adalah peliwat, namun mereka tetap tidak mahu menerimanya.

OKB yakin, pihak pasukan keselamtan mampu mengatasi para penyokong Anwar ini, kerana mereka hanya sebahagian kecil daripada rakyat.

29 December 2011

Saya ke Kelantan bukan minta maaf pada Nik Aziz: Hassan Ali

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Dr Hasan Mohamed Ali hari ini menafikan laporan media rasmi PAS, Harakahdaily berkenaan laporan dia pergi berjumpa Mursyidul Am untuk meminta maaf di Kelantan kelmarin.

Sebaliknya, menurut bekas Pesuruhjaya PAS berkenaan, tujuan dia ke Kelantan adalah untuk menghadiri majlis mahabbah melibatkan dirinya dan Nasharudin Mat Isa, bersama-sama pemimpin tertinggi PAS.

“Sebenarnya saya dijemput untuk menghadiri satu majlis mahabbah melibatkan saya dan Nasharudin Mat Isa bersama-sama dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din di kediaman rasmi Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10 Kota Bharu.

“Soal saya turun ke Kota Bharu untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh kebanyakan saluran media adalah tidak benar sama sekali.

“Saya terkilan dengan laporan Harakahdaily itu walaupun lidah rasmi parti tersebut kerapkali diingatkan supaya tidak memutarbelit fakta yang boleh menimbulkan keraguan dan perpecahan,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Laporan Harakahdaily semalam menyebut Hasan Ali (gambar) dan Nasharuddin berjumpa Nik Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar tersebut untuk meminta maaf terhadap beberapa isu sebelum ini dan menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti.

Kenyataan itu turut disahkan oleh Nik Aziz sendiri, malah beliau turut bercadang untuk membuat kenduri kecil-kecilan bagi meraikan perkara tersebut.

Tambah Nik Aziz, pertemuan tersebut dianjurkan oleh PAS Pusat dan menurutnya, “sekiranya PAS Pusat tidak mengatur pertemuan itu sekalipun, saya akan panggil dia.”

“Saya berharap PAS Pusat dapat menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan rancangan berkenaan,” katanya.

Malah, beliau yakin, perkara itu tidak lagi akan dijadikan isu oleh Umno ekoran ruang mereka untuk tujuan itu sudah tertutup rapat.

Sementara itu, menurut Hasan, majlis mahabbah tersebut berlangsung dengan penuh kemesraan, keakraban dan keikhlasan dan antara perkara yang disentuh termasuklah halatuju parti, persediaan PRU 13, dan perjalanan Harakah sebagai lidah rasmi parti.

“Kami telah memberikan penjelasan, pandangan dan input untuk diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan parti demi mengukuhkan perjalanan parti dan sokongan rakyat terhadapnya,” kata Hasan lagi.

Sehubungan itu, Hasan turut menzahirkan rasa terharu terhadap penghargaan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan terhadapnya dalam meneruskan perjuangan untuk memartabatkan Islam di negara ini.

27 December 2011

RCI untuk PATI-hanya permainan politik

Tidak benar kenyataan Timbalan Speaker DUN Sabah Johanny Mositun, bahawa RATA-RATA penduduk Sabah bersetuju dengan Suruhanjaya diRaja (RCI) untuk kad Pengenalan Palsu? di Sabah.

Isu Kad Pengenalan Palsu di Sabah, menjadi isu utama parti-parti yang ada kaitan dengan KDM dan pembangkang sejak tahun 1990.

Melihat kepada iktibar berhubung permohonan Kad Pengenalan anak Mufti Perlis Dr Juanda Jaya baru-baru ini, ternyata proses mendapatkan Kad Pengenalan itu memang ketat.

Bayangkan anak seorang public figurepun tertera di data Jabatan Pendaftaran Negara di mana ke warganegraannya masih tanda tanya, macam mana pula, warga asing dengan mudah mendapat warga negara seperti mana dakwaan pihak tertentu.

Isu kad pengenalan palsu bermula tahun 1990, apabila pada masa itu berlaku pendaftaran secara agresif oleh pihak Jabatan Pendaftran terutama di kawasan-kawasan bumiputera islam, di mana terdapatnya rakyat Sabah yang belum mempunyai kad pengenalan, kerana berbagai masalah, terutama masalah perhubugan, ketidak tahuan undang-undang, sehingga mereka yang mempunyai kad pengenalan lama tidak-tidak ditukar dan tidak mendaftar sebagai pemilih.

Akibat tindakan agresif daripada pemimpin bumiputra islam yang merasa dipinggirkan semasa pemerintahan PBS, maka ramailah bumiputera islam mendaftar sebagai pemilih, malah ramai yang menjadi pertama kali memilih pada tahun 1994.

Akibat daripada tindakan agresif tersebut, maka pertambahan para pengundi di kawasan-kawasan bumiputera islam bertambah, akibatnya apabila berlaku persempadanan semula pilihanraya, yang digunapakai pada tahun 1999, maka jumlah kerusi DUN bumiputera islam Sabah bertambah daripada 20 kepada 32.

Sebelum tahun 1999, jumlah kerusi bumiputera islam adalah 20, bumiputera bukan islam 20, sementara kaum cina 8.

Isu RCI sebenarnya adalah ketidak puasaan hati terhadap pertambahan kerusi bumiputera islam, itulah pokok masalahnya, bukannya pemberian kad Pengenalan secara sewenang pihak JPN kepada warga asing.

Memang diakui, ada kad pengenalan palsu, dan kad itu tetap palsu, tidak boleh diguna sebagai dokumen rasmi, apatah lagi mendaftar sebagai pemilih.

Sejak tahun 1990-an lagi, saban hari pihak polis, imigresen terus menangkap pemilik kad pengenalan palsu, namun kegiatan sindikit itu sukar dibenteras kerana dijalankan secara underground demi kepentingan wang pihak-pihak sindikit.

Antara tahun 1996-1997, ramai individu yang ditahan di bawa ISA, kerana sindikit kad pengenalan palsu, dan sejak itu, pihak berkuasa bertungkus lumus untuk menjejaki kad-kad pengenalan palsu itu.

Apabila, berlaku pertukaran kad pengenalan daripada bungaraya kepada MYkad, maka kad-kad pengenalan palsu bungaraya, tidak dapat ditukar kepada Mykad. Apabila ada yang cuba menukarnya, maka akan tertangkap.

Apabila kita membuka kembali rekod surat khabar daripada tahun 1994-2000, saban hari tersiar di akhbar tempatan, bahawa ramai yang tertangkap mempunyai kad pengenalan palsu, apabila cuba menukar kad pengenalan bungaraya kepada Mykad. Rekod-rekod itu, menunjukkan bahawa, JPN tidak terlibat dengan sindikit pemberian kad pengenalan sepertimana yang didakwa.

Namun, bagi OKB, demi menyelesaikan isu ini, once for all, sebaiknya kerajaan menubuhkan RCI, agar dikemudian hari tidak lagi menjadi isu.

25 December 2011

Tahun 2011 Najib cipta legasi

Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan beberapa akta lain yang dianggap lapuk bukan sahaja mencatat sejarah baru tetapi turut merubah landskap politik negara sepanjang 2011.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak, khususnya barisan pembangkang yang terkesima dan mati akal dengan langkah berani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya mengambil masa dua tahun untuk menunaikan janjinya bagi melaksanakan Program Transformasi Politik (PTP) negara.

Tanggal 15 Sept menjadi titik permulaan transformasi politik negara yang dilakukan Najib apabila beliau mengumumkan pemansuhan ISA, Akta Buang Negeri 1959, dan kajian semula yang membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967, semasa menyampaikan perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia.

ISA akan digantikan dengan dua undang-undang baru yang sesuai dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Mac tahun depan.

Kata Najib, dua akta baru yang akan menggantikan ISA bakal mewujudkan perseimbangan antara hak asasi individu, kebebasan sivil dan menjaga keamanan awam.

Langkah itu juga, kata Perdana Menteri membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang progresif dengan lebih baik dan dihormati negara lain.

Pada Oktober, pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 diluluskan Dewan Rakyat tanpa sebarang pindaan selepas akta itu yang telah 34 tahun tidak diguna pakai, diyakini sudah lapuk dan tidak boleh digunakan lagi.

Ini diikuti dengan pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933, yang mana serentak itu Najib turut mengumumkan pembebasan kesemua 125 individu yang ditahan mengikut akta itu dengan serta-merta manakala lebih 200 waran yang belum diserahkan dibatalkan.

Menurut Najib, pemansuhan akta itu dan beberapa akta lain merupakan sebahagian daripada permulaan PTP negara dan pelengkap kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan.

Kesungguhan kerajaan melaksanakan proses transformasi politik itu menurut Perdana Menteri tidak dipengaruhi atau didesak mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun luar.

"Tiada siapapun yang mempengaruhi kita, tiada siapapun yang mendesak kita. Kerajaan ini membuat keputusan atas kehendak dan fikrah sendiri dengan memulakan proses islah dan penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata teras utama PTP mengambil kira aspirasi nasional ke arah sebuah Malaysia moden, demokratik, progresif lagi maju dan memiliki demokrasi yang berfungsi.

Ia juga bertujuan menyeimbangkan keperluan keselamatan nasional dan kebebasan individu dengan mengambil kira kemajmukan negara, yang kompleks sifatnya, dan ancaman keganasan global pasca tragedi 11 Sept 2001, katanya.

Transformasi politik Najib juga jelas kelihatan melalui pendekatan matang pentadbiran beliau berdepan gesaan badan bukan kerajaan dan desakan daripada pembangkang, berhubung kebebasan mengadakan perhimpunan termasuk perhimpunan haram 9 Julai -- Bersih 2.0.

Seiring dengan semangat 'merasai denyut nadi rakyat', Najib dilihat berjaya meneruskan momentum transformasi politiknya apabila berupaya menggantikan pertentangan dengan dialog, sekatan dengan keterbukaan, dan mengatasi authoritarian dengan demokrasi.

Buktinya langkah kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 bagi menggantikan Seksyen 27 Akta Polis yang bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata.

Rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat pada hujung bulan lepas adalah satu daripada usaha kerajaan melakukan transformasi terhadap kerangka undang-undang sedia ada berhubung hak perlembagaan warganegara untuk berhimpun.

Turut diluluskan bulan lepas ialah usul untuk memansuhkan tiga Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada tahun 1966, 1969 dan 1977.

Usul yang dibentangkan Najib itu bertujuan membatalkan tiga proklamasi yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan selepas keadaan darurat dan kini dimansuhkan kerana ancaman keselamatan seumpamanya tidak lagi wujud.

Selaras dengan kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan PTP fasa kedua dengan pemansuhan tiga Proklamasi Darurat itu, seramai 36 orang tahanan di bawah Ordinan Darurat dibebaskan.

Tidak terhenti di situ, ruang demokrasi turut dibuka Najib kepada golongan mahasiswa apabila kerajaan memutuskan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.

Mengumumkan perkara itu semasa membentangkan usul memansuhkan Proklamasi Darurat, Najib berkata keputusan itu dibuat kerana kerajaan percaya kepada kematangan dan kebijaksanan para mahasiswa.

"Dengan itu bagi menghormati hak Perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi negara yang telah mencapai umur baligh undang-undang atau 'age of majority', kerajaan akan pinda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membenarkan mereka menjadi ahli parti politik," katanya.

Penuntut universiti bagaimanapun ditegah sama sekali membawa politik kepartian ke dalam kampus.

Langkah itu, dilihat banyak pihak mampu mengembalikan keyakinan sebahagian pengundi muda yang sebelum ini lebih cenderung kepada agenda pembangkang.

Biarpun langkah-langkah transformasi Najib mungkin diterjemah sesetengah pihak sebagai strategi kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi, namun tidak dapat dinafikan pembaharuan yang dibawakan anak sulung Tun Abdul Razak Hussein ini akan kekal menjadi legasinya sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam.-- BERNAMA

24 December 2011

Bukan Hassan Ali sahaja melihat perjuangan Pas terpesong

Perbalahan terbuka antara bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan beberapa pemimpin kanan parti itu khususnya mengenai dakwaan beliau bahawa Pas telah tergelincir daripada landasan perjuangannya, bukan satu isu kecil buat parti itu.

Ramai anggota Pas sebenarnya tidak menyukai dasar baru Pas untuk mewujudkan sebuah "negara berkebajikan" kerana ia menyimpang daripada perjuangan asalnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Suara Hasan dilihat bukan bersendirian, malahan mewakili sebahagian suara-suara penyokong akar umbi, yang melihat sejak kebelakangan ini parti itu lebih banyak tunduk kepada rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya mempunyai fakta dan bukti bahawa masyarakat yang selama ini menyokong Pas mula mempersoal dan bercadang menarik diri daripada memberi sokongan kepada Pas lantaran landasan utama perjuangan parti telah dikesampingkan," demikian kata-kata Hasan yang menimbulkan rasa tidak senang pihak atasan parti itu.

Umum tahu Pas sudah terlalu banyak bertolak ansur dengan DAP seperti dalam isu rampasan arak di Shah Alam, isu murtad, larangan hiburan di Kedah dan isu himpunan sejuta umat.

Selepas dua minggu kontroversi itu tercetus, ia boleh diibaratkan seperti kata pepatah "Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang".

Anggota Parlimen Bebas kawasan Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin juga pernah meminta masyarakat menolak Dasar Negara Berkebajikan yang dibawa Pas kerana parti itu tidak konsisten dalam perjuangannya.

Beliau berkata Pas pada tahun tahun 2003 pernah mengemukakan Dokumen Negara Islam bagi menentang konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Namun kini dokumen pada 2003 itu ditolak oleh Pas sendiri dan menggantikan dengan dasar baru, dengan Pas sendiri yang menolak, membuang dan "mentongsampahkan" Dokumen Negara Islam dan perjuangan negara Islam dengan alasan negara Islam tidak disebut di dalam al-Quran," katanya.

Zulkifli berkata rekayasa kitab baru yang dilabel sebagai Dokumen Negara Kebajikan ialah hanya untuk mengatasi Konsep Islam Wasathiyah yang menjadi teras Gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak.

Beliau berkata persoalannya ialah sekiranya Pas boleh membuat pusingan mendadak 360 darjah membuang 'Dokumen Negara Islam' atas alasan tidak ada dalam al-Quran dan menggantikannya dengan 'Dokumen Negara Kebajikan', apakah yang akan menghalang mereka nanti untuk membuang 'Dokumen Negara Kebajikan' dan menggantikannya dengan yang lain.

Zulkifli berkata pendirian Pas itu juga berubah apabila mereka bersekongkol dengan DAP.

Pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata pendirian Pas sekarang sudah berbeza apabila mereka membuat pakatan dengan DAP dan juga PKR pasca pilihan raya umum 2008.

Beliau berkata Pas pernah membuat pakatan dengan DAP pada pilihan raya 1999 menggunakan nama Barisan Alternatif, dan Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990 dengan Parti Semangat 46, tetapi dasar parti masih tetap tidak berubah.

"Kenyataan yang dibuat oleh Dr Hasan bahawa ulama tidak lagi ramai di dalam parti itu hanya mengesahkan tanggapan umum sebelum ini dan juga maklumat dari dalam parti.

"Lihat pada pemilihan parti pada Muktamar Pas Jun lepas, kita boleh tengok bahawa bukan lagi ulama yang menguasai kepimpinan parti," katanya kepada Bernama.

Ramlah berkata DAP dan PKR adalah lebih kuat dari Pas untuk menentukan hala tuju pakatan pembangkang.

"DAP dan Pas adalah dua parti lama yang wujud di tanah air tetapi Pas lemah untuk mengawal keadaan sekarang. Saya lihat mereka adalah parti ketiga yang dirujuk dalam pakatan pembangkang itu," katanya.

Mengenai hala tuju Hasan sama ada beliau perlu meninggalkan Pas atau tidak, Ramlah berkata sukar untuk Hasan yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Gombak Setia, untuk keluar parti.

"DAP mungkin akan berunding supaya Dr Hasan tidak keluar parti kerana ia hanya akan menjejaskan pakatan pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Ghapa Harun berkata adalah perkara biasa apabila anggota dan pemimpin dalam satu-satu parti politik mempunyai perbezaan pandangan.

"Kalaupun perbezaan pandangan berlaku, di dalam parti yang mengamalkan demokrasi ia perlu diuruskan dengan baik oleh pucuk pimpinan supaya ia tidak mencetuskan masalah kepada parti," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam konteks isu yang dibangkitkan oleh Hasan, ia berkaitan dengan orientasi parti yang mana parti melaksanakan perubahan yang bukannya terletak pada tangan pemimpin tertentu tetapi sudah dibawa ke muktamar agung untuk dibahaskan.

"Ini boleh dikatakan keputusan parti jadi mana-mana anggota yang tidak senang dengan keputusan (perubahan dasar) mereka berhak untuk bersuara. Tapi dalam konteks parti, jemaah, kadangkala yang tak bersetuju, harus akur," katanya.

Ditanya sama ada kemelut itu akan menjejaskan sokongan kepada Pas, Abdul Ghapa berpendapat sokongan kepada parti itu tidak akan berubah kerana sokongan kepada Hasan dilihat tidak begitu menonjol.

"Ini adalah kerana dasar parti itu sudah diperdebatkan secara berpanjangan dan bukannya keputusan yang diadakan dalam masa singkat," katanya. - BERNAMA

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels