19 May 2013

Keputusan PRU-13 Sabah: Petunjuk jelas pada BN Sabah

PRU-13 telah berakhir. Rakyat telah bersuara. Parti BN yang memerintah yang bertanding 60 kerusi negeri dan 25 Parlimen, masing-masing hanya menang 48 dan 22; lainnya dimenangi pembangkang.

Keputusan tersebut jauh berbeza dengan 59 dan 24 kerusi dimenangi pada dua PRU yang lalu, yang menyebabkan  Persekutuan atau kepimpinan Pusat mengelar Sabah "Simpanan Tetapnya" satu terma yang mendapat reaksi berbeza daripada rakyat Sabah.

Pada PRU yang baru sahaja melabuhkan tirainya, untuk pertama kali calon daripada Umno kalah, iaitu di kerusi DUN Klias. Juga, pada PRU itu, untuk pertama kalinya parti PBS selepas bergabung semula dengan BN pada tahun 2002, kalah dikerusi tradisinya iaitu di Mantungong, Kedamaian, Tamparuli dan Inanam. Apa yang sungguh menyedihkan bagi parti itu, dua calonnya yang kalah itu berjawatan pembantu menteri selain berjawatan Naib Presiden dalam parti.

Pada PRU-13 itu juga, kita sama-sama menyaksikan bahawa para pemimpin utama parti komponen Bn tewas. Presiden Upko Tan Sri Benard Giluk Dompok yang juga merupakan menteri penuh di peringkat persekutuan tewas di Parlimen Penampang kepada pemimpin muda PKR-Darel Leiking, Sementara Pengerusi MCA Sabah Datuk Edward Khoo tewas di Dun Kepayan- Beliau juga merupakan pembantu menteri sebelum Dun dibubarkan pada 3 April lalu. Salah seorang pemimpin komponen parti Bn yang menjadi mangsa penolakan rakyat adalah Presiden parti LDP- Datuk Liew Vui Keong di kerusi panas Parlimen Sandakan. VK Liew yang berjawatan Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan tewas kepada calon pendatang baru daripada DAP.

Apa yang perlu diperhatikan oleh BN Sabah melalui keputusan PRU-13 lalu, rata-rata calon Bn selain daripada Umno dan LDP  mengalami kemerosotan undi majoriti, malah keputusan itu juga telah melenyapkan undi popular bagi pemimpin nombor satu dan nombor dua PBS. Kalaulah bermain dengan angka, jika berlaku pertembungan satu lawan satu bagi Parlimen Kota Marudu, dun Tambunan dan Parlimen Keningau, maka dua pemimpin utama PBS itu telah tewas.

Secara umum kecenderungan rakyat memilih bakal-bakal wakil rakyat mereka pada PRU yang lalu, mereka sama sekali tidak melihat kedudukan seseorang itu baik dalam parti mahupun kerajaan.

Nama-nama seperti Tan Sri Bernard G Dompok- Menteri, Datuk Yee Moh Chai- Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jahid Jahim-Pembantu Menteri, Datuk Herbert Timbon Lagadan-Pembantu Menteri, Datuk Edward Khoo-Pembantu Menteri, Datuk Liew Vui Keong-Timbalan Menteri  adalah mangsa-mangsa yang ditolak rakyat.

Para pemimpin BN perlu mengambil iktibar daripada keputusan pada PRU lalu, kedudukan dalam parti atau kerajaan tidak semestinya akan terus diterima rakyat. Mungkin, bagi kita bukan pengundi di kawasan mereka yang tewas itu, tidak melihat apa yang berlaku, namun rakyat atau penggundi merekalah yang telah mengadili mereka sendiri.

Kalaulah seseorang itu peka terhadap keperluaan rakyat yang diwakilinya, maka rakyat di kawasan itu, tidak akan sanggup menolak mereka. Bukti, di DUN Usukan Kota Belud, walaupun Datuk Dr Salleh selama dua penggal tidak bertanding di Dun Usukan, namun selepas aktif semula dan bertanding pada PRU-13 lalu, Datuk Salleh bukan sahaja menang, malah menambah majoriti calon sebelumnya. 

Begitu juga calon Tempasuk- Datuk Musbah Haji Jamli, bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusinya malah menambah jumlah majoriti.

Perkhidmatan kepada rakyat mencermin kepada perolehan majoriti- sepertimana ditujunkkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman di Dun Sungai Sibuga, dimana majoritinya daripada satu angka kepada dua angka.

Percayalah pengundi adalah adil dalam memangkah; kalaulah wakil rakyat berkhidmat dengan baik apatah lagi cemerlang, maka pengundi akan menyokongnya dengan begitu padu.

Kepada wakil rakyat yang menang, dengan majoriti yang menurun, maka perlu berhati-hati; jika perkhidmatan kepada pengundi tidak dilipat gandakan, maka pada PRU-14 akan datang kemungkinan saudara-saudara akan ditolak oleh pengundi saudara-saudara; atau apa yang malang, suadara-saudara tidak akan masuk gelanggang lagi kerana mendapat cap bukan "winnable candidate".

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels