MASALAH air bersih Kota Belud, bukanlah masalah baru. Masalah ini bermula sejak dari awal kemerdekaan lagi. Malah BLOG SUARA RAKYAT menjadikannya isu sejak tahun 2009 lagi.
Pada pertengahan pemerintahan Parti Berjaya, masalah air cuba dibereskan oleh kerajaan itu, namun, sumber air untuk memenuhi keperluan penduduk Kota Belud menjadi pengekang/kendala.
Sejak akhir-akhir ini, timbul lagi isu air bersih di Kota Belud, terutama pada sambutan Hari Raya yang hanya beberapa hari berlalu. Mereka yang lama tidak kembali ke kampung dan sudah terbiasa dengan bekalan air yang ada secara terus menerus di bandar, terasa sangat kritis, apabila pulang kampung, sukar bagi mereka mengamalkan kebiasaan itu.
Sebenarnya bekalan air yang mampu dibekalkan oleh Jabatan air kota Belud, hanya meliputi 30 peratus penduduk Kota Belud, yakni bekalan itu hanya dinikmati oleh mereka yang berada dalam radius 10 kilometer daripada sumber; manakala penduduk yang tersebar di perkampungan, sejak kuda makan besi, masih menggunakan sungai dan kini airtube sebagai sumber air seharian.
Penduduk yang sangat terjejas adalah mereka yang mendiami tanah landai, kerana sumber air bawah tanah mereka tercemar oleh bahan-bahan kimia pertanian yang meresap dalam tanah. Bagi penduduk yang mendiami perbukitan, agak bernasib baik, kerana air graviti menolong mereka mendapatkan air yang tidak tercemar.
Pada hakekatnya, kerajaan kini memahami kesukaran penduduk yang dikaitkan dengan air bersih; atas sebab itu pada kempen pilihanraya tahun 2008, masalah air Kota Belud, merupakan salah satu bahan kempen calon-calon Bn, terutama calon MP pada masa itu.
Disebabkan masalah sumber air adalah masalah utama membekalkan air, maka timbulah cadangan membina empangan Tambatoun, yang terletak di Kedamaian. Empangan yang bernilai RM446 juta adalah satu penyelesaian sumber bekalan air bagi 100 ribu penduduk kota Belud. Namun, pembinaan empangan itu, dipolitikkan oleh pihak pembangkang, sehingga pembinaannya terbantut. Akibatnya bekalan sumber air, masih buntu bagi Jabatan Air.
Pihak pemimpin, telahpun membuat kerja mereka berhubung bekalan air, atas sebab itu, peruntukan RM98 juta bagi memasang paip yang meliputi 99 peratus penduduk Kota Belud sedang rancak dijalankan sejak awal tahun 2011. Suatu masa di awal tahun ini, MP Kota Belud-Datuk Rahman Dahalan pernah berkata, kalau tiada aral melintang, penyiapan pemasangan paip-paip itu akan siap penghujung tahun 2012.
MUNGKIN Jabatan Air mempunyai sumber air, kedengarannya bekalan air daripada Kota Marudu akan disalurkan ke Kota Belud, bagi mengatasi sumber air, akibat terbantutnya pembinaan Empangan Tambatoun.
Sebenarnya, para pemimpin BN telah berusaha mengatasi bekalan air Kota Belud dan penyelesaiannya menjadi serius selepas PRU-2008.
Malangnya, hampir 50 tahun, berkalan air bersih tidaklah begitu banyak dibincangkan, namun akhir-akhir ini, ianya pula menjadi isu utama, kononnya menjadi penanda aras kegagalan para wakil rakyat.
Bagi rakyat Kota Belud, kita perlu jujur pada diri kita sendiri, masalah air Kota Belud, adalah masalah yang timbul warisan daripada awal kemerdekaan lagi.
Mudah-mudahan selepas semua pemasangan paip semuanya siap, jabatan air dapat menyelesaikan bekalan air bersih, kerana para pemimpin sudahpun melaksanakan tanggungjawabnya dengan mendapatkan peruntukan yang banyak untuk mengatasi permasalahan berdekad ini.