2 September 2024

KERJASAMA GRS-PH PLUS DITERUSKAN


APAPUN status RUMAH KITA, KITA JAGA, kerjasama di peringkat negeri dengan parti-parti Persekutuan perlu kekal. Pendirian demikian membezakan kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS).

Kerajaan negeri hari ini asalnya kerajaan GRS-BN, akan tetapi GRS terpaksa melakukan penjajaran baharu ekoran “Langkah Kinabalu”, dan kerajaan hari ini dikenali kerajaan GRS-PH Plus.

Selepas lebih setahun kolaborasi, ternyata keserasian dan kerjasama cukup baik. Keserasian dan kerjasama yang cukup baik perlu diteruskan.

Selain itu penerimaan rakyat secara umum juga cukup baik pada kolaborasi kerajaan hari ini, dan kerana itu, apabila kolaborasi diteruskan pada PRN-17, diyakni rakyat akan terus memberi mandat.

Kolaborasi GRS-PH “straight to the point” kerana masing-masing parti mempertahankan kerusi masing-masing, dan sekiranya antara parti berhasrat menambah kerusi untuk ditandingi, maka kerusi-kerusi tersebut adalah kerusi-kerusi yang disandang parti lain.

Apa yang menjadi kemusykilan adalah kedudukan wakil rakyat Umno yang termasuk dalam “plus” apa kah dibenarkan oleh parti mereka bertanding semula untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Jika Umno tidak mencalonkan mereka semula, maka tiada pilihan, jika mereka ingin kekal dengan kolaborasi GRS-PH Plus, maka terpaksa bertanding atas logo GRS dan terpaksa melawan calon parti asal mereka.

Umno bertekad menjadi parti dominan di Sabah, ertinya parti itu akan meletak calon seramai mungkin terutama di kawasan-kawasan yang disandang Gagasan Rakyat atau GRS.

Dua parti iaitu Umno dan Warisan bersungguh-sungguh sangat merampas kerusi-kerusi yang disandang Gagasan Rakyat, terutama kerusi yang dimenangi dua parti itu pada PRN-16.

Hasrat tinggi Warisan dan Umno merampas semula kerusi yang dimenangi pada PRN-16, adalah penghalang utama dua parti itu bekerjasama dengan GRS.

Jika kolaborasi GRS-PH diteruskan, maka PH dalam dilema, bagaimana dengan Umno dan Warisan? Sedangkan dua parti itu tiada keinginan kerjasama dengan GRS.

Kolaborasi atau kerjasama menghalang pertembungan antara parti di kerusi-kerusi yang ditandingi. Kolaborasi GRS-PH, ertinya dua parti tidak bertembung, pada masa sama jika PH berkolaborasi juga dengan Umno dan Warisan, PH tidak dapat menghalang samada GRS atau Umno atau Warisan untuk tidak bertembung. Jika PH berkolaborasi dengan semua parti, maka menjadi parti yang cukup selesa mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang. Apa kah senario ini berlaku? jika berlaku, maka tiada erti kolaborasi atau kerjasama, maka sebaiknya, diadakan “free contest” selepas PRN adakan perundingan semula.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels