14 January 2013

RM3,500 saya ambil- Tapi saya menyokong Pembangkang: Rafael

SUARA RAKYAT hanya kenal Rafeal secara sepintas. Individu yang mempunyai sosok badan yang tegap ini, telah beruban sesuai dengan usianya yang menjangkau 76 tahun adalah bekas polis.

Penulis mengenalinya ketika sama-sama menunggu pelajar di sebuah sekolah rendah di ibu negari, beliau menunggu cucunya yang ke-33.

Individu yang bernama Rafael ini pada asalnya adalah penggundi DUN Moyog, namun kini telah berpindah ke Dun Inanam dalam Parlimen Sepanggar.

Pada awal bual-bual kami sambil menunggu loceng sekolah tanda pelajar dibenarkan pulang, penulis bertanya, parti mana yang akan dipangkah pada PRU-13. Warga emas ini dengan pantas menjawab akan mengundi SAPP, dan tidak kepada parti lain.

Selepas ditanya mengapa keputusan begitu muktamad, sedangkan beliau mendapat berbagai bantuan daripada kerajaan termasuk RM3,000 sebagai bekas polis dan RM500 melalui BR1M, dengan nada yang sungguh yakin, mengatakan wakil rakyat SAPP Datuk Eric Majimbun telah memberi perkhidmatan yang baik kepada penggundinya sejak sekian lama.

"Saya dulu penyokong PBS semasa di Dun Moyog dan Parlimen Penampang, namun selepas berpindah undi ke Inanam, wakil rakyat PBS Datuk Johany Goh, hanya pandai  berjanji akan tetapi tidak pandai menunaikan janji; selain itu wakil rakyat itu tidak mesra rakyat".

"sebagai misal katanya, saya memohon kerusi roda untuk isteri saya, hanya secara lisan, Eric katanya terus menjawab datang ke Pejabat, ambil kerusi roda itu".

Berasaskan kepada kasus di atas, tidak mustahil beribu-ribu kes serupa berlaku di seluruh negara, bukan sahaja di sabah malah mungkin juga berlaku di Semenanjung dan Sarawak.

Rupanya bantuan kerajaan yang berupa "Tunai" tidak semestinya dapat menggambit sokongan rakyat, berbanding perkhidmatan wakil rakyat.

Dari catatan di atas, seharusnya semua pihak mengambil iktibar, bahawa walaupun usaha kerajaan secara umumnya membantu rakyat, namun jika wakil rakyat yang mewakili kerajaan tidak berkhidmat kepada rakyat, maka bantuan kerajaan itu tidak mendatangkan apa-apa kesan posiif kepada kerajaan.

Mungkin, atas sebab itu, selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, maka beliau menekan tindakan TURUN PADANG untuk menyelesaikan masalah rakyat. Selain menyelesaikan masalah rakyat, wakil rakyat juga diminta mengurus dengan baik rakyat yang diwakilinya.

Pada PRU-13 akan datang, sekiranya ada calon Bn yang kalah, bukanlah disebabkan oleh kerajaan Bn secara umumnya, namun disebabkan oleh faktor calon.

Sabah telahpun mengemukakan senarai calon-calon untuk PRU-13 sepertimana kenyataan Ketua Menteri Sabah semalam, harap-harap dalam senarai itu tidak terdapat calon-calon yang mempunyai sifat seperti yang dinyatakan oleh Rafael.

13 January 2013

Datuk Dr Salleh kembali menyertai pilihanraya

Dr Salleh dalam sesi Turun Padang
BUKAN desas desus, akan tetapi merupakan satu fakta yang menunggu dimuktamadkan, bahawa Datuk Dr Salleh Tun Said akan menyertai pilihanraya negara ini.

Ketua Bahagian Umno Kota Belud merangkap Timbalan Ketua Perhubungan Umno itu, sudah mengatur strategi politik untuk kembali menyertai pilihanraya, selepas berehat pada PRU-12 lalu.

Walaupun direhatkan pada PRU 2008, namun Salleh yang sebelumnya hanya merupakan ahli biasa Umno, selepas tidak bertanding sebarang jawatan Parti, namun selepas PRU itu, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Umno Sabah, berikutan kekosongan jawatan itu, berikutan penyandangnya Datuk Safie Apdal  dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.

Dalam tempoh hampir lima tahun selepas PRU-12, walaupun Salleh bukan lagi yang berhormat yang dipilih namun diberi berbagai peranan dalam kerajaan. Antaranya Pengerusi Kraftangan Malaysia, Penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri Sabah yang bertaraf menteri dan kemudian dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan  Negeri Sabah hingga kini.

Datuk Salleh yang berjaya mendapat PhD daripada UPM pada 13 Disember 2012 dalam bidang Sains Politik dan Kenegaraan merupakan pemimpin veteran walaupun usianya yang realtif muda.

Kelibat politik Salleh tidak boleh dipisahkan dengan politik tanah air khasnya Sabah sejak tahun 1980-an, kerana beliau pernah bertanding disetiap pilihanraya, termasuk pilihanraya kecil. Dalam kerajaya politiknya, hanya sekali kalah dalam pilihanraya, yakni semasa mewakili tikit Parti Berjaya dan kalah kepada calon Usno- Pandikar Amin Haji Mulia (kini Tan Sri). Kekalahan Salleh pada masa itu, adalah dijangka, kerana kawasan yang ditandingi adalah kubu kuat Usno, yakni DUN Usukan. Kini Usukan merupakan kubu kuat Salleh, juga kubu kuat Umno.

Dalam kerjaya politiknya, Salleh pernah menjawat berbagai jawatan kabinet negeri Sabah termasuk jawatan Ketua Menteri.

Dalam perjalanan politiknya, sejak kemasukan Umno ke Sabah tahun 1991, Salleh terus setia kepada parti itu, dan suatu ketika pernah menang Ahli Majlis tertinggi untuk beberapa penggal. Pada Pemilihan Umno tahun 2008, Salleh tidak bertanding AMT dan memberi laluan kepada pemimpin Sabah yang bertanding, agar tidak berlaku pecah undi kepada calon-calon daripada Sabah, termasuk Ketua Menteri Sabah- Datuk Musa Aman. Percaturan Salleh dalam politik memang jitu, apabila salah seorang calon AMT Sabah, yakni Musa mendapat undi kedua tertinggi dalam AMT Umno.

Melihat kepada kenyataan-kenyataan politik beliau (Dr Salleh)- Speaker Dun Sabah adalah ahli politik yang sederhana yang mempunyai kecenderungan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan agama dalam negara. Kenyataan beliau, agar semua pihak menghentikan perdebatan dan perbalahan berhubung Kalimah Allah, menunjukkan bahawa beliau tidak mahu wujud satu kerenggangan hubungan antara berbagai agama dalam negara.

Perdebatan mengenai agama, sebenarnya tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat, kerana perdebatan itu hanya boleh mengeruhkan hubungan antara kaum terutama Sabah yang terdiri daripada 36 etnik yang juga mengamalkan berbagai anutan agama.

Dalam suasana negara yang didiami oleh berbagai lapisan masyarkat dan berbilang agama, pemimpin sederhana seperti Dr Salleh perlu diberi peranan agar keamanan negara terus terus terjamin. Melalui keamanan sahaja, negara seperti Malaysia ini boleh terus membangun.

Dalam suasana politik Sabah, kekompakan antara Dr Salleh dan Datuk Musa Aman boleh membawa negeri di bawah bayu ini ke tahap kemajuan yang luarbiasa, di mana kemajuan itu sangat ditunggu oleh seluruh rakyat Sabah.

11 January 2013

Miskin Tegar: Perhatian DUN Tempasuk

Datuk Musbah berbaju terang depan tangga
RAMAInya bilangan miskin tegar bagi kawasan Kota Belud, termasuk bagi kawasan DUN Tempasuk, menjadikan wakil rakyat Tempasuk Datuk Musbah Jamli, perlu berkerja keras untuk mendapatkan peruntukan bagi membina rumah-rumah untuk rakyat yang tidak bernasib baik itu.

Hari ini Musbah sempat melawat sebuah rumah penduduk yang miskin tegar (Mat Sator Ensun) di kampung Rampayan Ulu. 

Difahamkan kelambatan penduduk ini mendapat bantuan, kerana tidak terdaftar dalam e-kasih. Pendaftaran e-kasih, biasanya dilakukan oleh peduduk sendiri atau dilakukan oleh pemimpin akar umbi seperti ketua kampung atau JKKK.

Wakil rakyat bukanlah seorang manusia yang super, atas sebab itu, keadaan seperti gambar ini bukannya terlepas pandang, namun tidak sempat diterokai sendiri oleh wakil rakyat.

Disebabkan sifat Turun Padang wakil Rakyat Tempasuk itu, maka pada hari ini, merupakan rahmat kepada penduduk yang bernama Mat Sator Ensun menantu kepada Selang, untuk mendapatkan rumah PPRT.


9 January 2013

RM40 Juta: ICAC Hong Kong Kata Buang Masa Siasat

HONG KONG, 9 Jan - Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong tidak akan mengkaji semula siasatan ke RM40 juta yang didakwa dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Menurut sumber, badan anti rasuah itu mendapati tiada bukti-bukti kukuh yang baru untuk dibawa kepada suruhanjaya itu dalam mengaitkan kes tersebut.

"Suruhanjaya mendapati bahawa tidak terdapat sebarang bukti baru bagi memulakan kembali siasatan.

"ICAC mengambil sikap dan prinsip tidak akan meneruskan kes-kes dan adalah jelas bahawa badan ini menjauhkan diri dari permainan politik," kata sumber.

ICAC, di bawah undang-undang, mewajibkan siasatan dijalankan jika terdapat sebarang aduan yang dilaporkan.

Sebelum itu, parlimen telah diberitahu mengenai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keputusan ICAC pada Oktober lalu membersihkan Musa dari dakwaan rasuah.

Walaubagaimanapun, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli telah melobi ICAC untuk membuka semula siasatan ke atas kes melibatkan Ketua Menteri Sabah itu.

Pada bulan November, Rafizi dan tiga pengamal undang-undang PKR telah membuat laporan dengan ICAC, menyenaraikan tiga sebab utama mengapa perlu agensi Hong Kong itu untuk membuka semula siasatan.

Tindakan tersebut dilakukan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberitahu Parlimen pada Oktober bahawa Musa telah dibersihkan daripada sebarang dakwaan rasuah selepas SPRM dan ICAC mendapati bahawa wang tersebut bukan untuk kegunaan peribadi Musa.

Nazri memberitahu Parlimen bahawa wang RM40 juta adalah "derma politik" kepada Umno Sabah yang sebelum ini didakwa sebagai wang sogokan dari firma-firma perkayuan untuk Musa Aman.

Menurut sumber lagi, ICAC yang pada awalnya tidak menemui "bukti yang mencukupi untuk meneruskan kes itu", berkata tiada sebab untuk menjalankan siasatan semula buat kali kedua.

Berikutan dengan keputusan tersebut, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Henrynus Amin berkata keputusan oleh kedua-dua badan siasatan juga membuktikan bahawa dakwaan pembangkang adalah salah dan berbaur politik malah disifatkan sebagai pembangkang adalah dalang konspirasi untuk mencemar nama baik Ketua Menteri Sabah ini.

"Pihak pembangkang jelas mempunyai kepentingan dan telah sedaya upaya menghalalkan cara untuk mencapai matlamat mereka, iaitu untuk melemahkan kerajaan Barisan Nasional sebagai satu cara untuk sampai ke Putrajaya," katanya.

PRU-13: BN Pasti Bangkit: Muhyiddin

Selepas melalui apa yang dikatakan "tsunami politik" pada pilihan raya umum 2008, Barisan Nasional (BN) kini bangkit semula sebagai sebuah parti yang kuat dan paling kukuh untuk membawa pembaharuan dan perubahan besar dalam hidup rakyat. 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dengan kekuatan baru ini, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum akan terus menyokong dan mendukung kerajaan BN.

"Kita tahu semenjak kerajaan BN mentadbir negara, kita memikul amanah ini, kita tidak pernah lupa tanggungjawab kita, kita melakukan usaha-usaha pembangunan.

"Pembangunan ekonomi kita laksanakan di mana daripada sebuah negara yang miskin, hari ini Malaysia telah bangkit menjadi satu kuasa besar dalam ekonomi di rantau ini dan menjadi antara negara termaju di kalangan negara-negara membangun," katanya.

Katanya, jika dulu Malaysia menghadapi masalah ketiadaan pelabur, namun hasil usaha dilaksanakan kerajaan BN hari ini menyaksikan kedatangan pelabur ke Malaysia semakin meningkat.

"Malaysia sudah menjadi negara tumpuan pelabur kerana Malaysia menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka dan sehingga hari ini peluang pekerjaan banyak, industri bercambah bagai cendawan selepas hujan dengan nilai berbilion ringgit dibawa masuk," katanya.

Muhyiddin berkata dengan keadaan sekarang tidak ada sebab mengapa rakyat harus terpedaya dengan hasutan pembangkang yang mahu menukar kerajaan sedia ada.

Katanya, ini kerana berbanding negara-negara lain Malaysia tidak menghadapi sebarang krisis atau pergolakan dan rakyat dari negara lain sendiri datang untuk mendapatkan nikmat hidup di negara ini.

"Banyak negara menghadapi krisis sehingga diisytihar muflis tapi Malaysia masih terus maju dapat pembangunan, rakyat dapat menikmati kemajuan melimpah ruah, ini adalah kenyataan.

"Jadi apa sebab nak tukar kerajaan kerana banyak negara mereka tukar kerajaan tiada peluang pekerjaan, mereka tukar kerajaan kerana mereka kata tidak dibantu kerajaan, mereka tukar kerajaan kerana sudah muflis, ada krisis, ada pergaduhan.

"Tetapi di Malaysia tidak ada, rakyat dapat berhimpun dalam keadaan yang tenang dan tidak ada ancaman, kita hidup dalam keadaan begitu aman sejahtera, jadi apa sebab mahu tukar kerajaan," katanya.

Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini berkata, pimpinan BN sentiasa berpadu dan tidak pernah bergaduh, perpaduan jelas kukuh tidak goyah seperti yang berlaku dalam pakatan pembangkang. 

Katanya, BN adalah satu-satunya parti yang jelas perjuangannya dalam mempertahan kebajikan semua kaum. - Bernama

8 January 2013

Musa Gesa Jentera Umno Diperkemas

SENJATA Pembangkang adalah fitnah dan kemudian membuat janji retorik. Bagi pembangkang tiada yang betul di mata mereka, apapun kerajaan buat.

Strategi pembangkang adalah untuk tembus ke dalam akar umbi penyokong dan ahli umno dengan menabur berbagai fitnah, agar supaya rakyat bergaduh dan curiga antara satu sama lain.

Pembangkang mempunyai kepakaran melahirkan keadaan yang membolehkan rakyat saling bermusuh, umpamanya melalui Amanat Hadi Awang, sesama islampun termakan amanat itu, sehinggakan berakibat aqidah mereka terpesong.

Disebabkan strategi pembangkang adalah untuk melemahkan parti di peringkat akar umbi, maka untuk mengelak agar rakyat tidak termakan tipu helah mereka, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri meminta rakyat terutama ahli-ahli Umno supaya memperkemaskan jentera parti termasuk mengenal pasti kelemahan khususnya di peringkat akar umbi.

Tambahnya, ia penting bagi membolehkan kekuatan parti tidak akan mudah dibolosi apatah lagi pembangkang kini berusaha menggugat BN dengan melempar dakyah-dakyah yang tidak berasas.

Kata beliau, pembangkang sanggup berbuat demikian kerana tiada cara lain melainkan hanya mendakwa kerajaan semata-mata untuk menarik sokongan rakyat.

Beliau yakin pembangkang bukannya kuat kerana mereka hanya tahu pandai berkata-kata dengan menabur pelbagai pembohongan seolah-olah kerajaan pula tidak bekerja.

Menurutnya, cara pembangkang berpolitik ini masih ditakuk lama apabila memainkan sesuatu pembangunan yang kerajaan BN sendiri sedangkan laksanakan demi kepentingan rakyat.

“Pembangkang cakap itu ini … macam mereka pula yang pandai. Semua pembangunan sedang dan telah kita laksanakan termasuk dari segi bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M, semua mendapat manfaatnya.

6 January 2013

Lajim akui BN bawa pembangunan

PADA Jumaat Datuk Lajim Ukin mengadakan sidang medianya di Pejabat PPS Putatan kononya untuk menangkis kenyataan MP Kota Belud yang mempersoalkan pencapaian beliau selama 26 tahun sebagai wakil rakyat dan anggota kabinet baik negeri mahupun persekutuan.

Dalam sidang media itu, Lajim menguraikan pencapaiannya sepanjang menjadi menteri di Peringkat negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah dan pencapaiannya sebagai Timbalan Menteri di Peringkat Persekutuan.

Melalui uraian itu, Lajim tidak sedar bahawa semua kenyataannya terkini sejak keluar daripada Bn pada 29 Julai 2012 menunjukkan bahawa kerajaan Bn benar-benar peka terhadap keperluan rakyat.

Lajim dengan bangga menyatakan bahawa pembangunan infrastrutur di kawasan yang diwakilinya Beaufort dan Klias lebih 80 peratus telah diupgrade, ertinya jalan-jalan di kawasan itu telah diaspal.

Lajim juga dengan bangganya memberi tahu, bahawa Yayasan Usaha Maju adalah ideanya, dan melalui agensi itu, ramailah penduduk luar bandar menikmati perkidmatan agensi itu.

MP Beaufort itu juga bangga memberitahu bahawa pembinaan Wisma Pertanian di mana semua agensi kementerian Pertanian dan Kementerian itu beribu pejabat dapat dibangun semasa beliau menjadi Menteri Pertanian negeri.

Selain itu, Lajim juga mengakui bahawa beliau pernah membantu MP Kota Belud untuk mendapatkan dana projek pembinaan sebatang jalan di kampung Bobot Kota Belud dengan nilai RM300,000.00.

Juga, Lajim dengan bangganya mengakui bahawa Program Jelapang Padi di Kota Belud adalah ideanya, sedangkan program itu telah lama dicadangkan sebelumpun Lajim menjadi wakil rakyat.

Melalui kenyataan Lajim pada sidang akhbar itu, telah menemplak dirinya yang menghambur berbagai dakwaan kononnya kerajaan Bn tidak membawa pembangunan kepada rakyat Sabah.

Lajim kini dalam keadaan bercelaru, sehingga tidak tahu apa yang diperjuangkannya. Namun, yang jelas, beliau mabuk pangkat dan jawatan. Kerana beliau mengimpikan jawatan Ketua Menteri sama dengan Anwar ibrahim mengimpikan jawatan Perdana Menteri. Malangnya, impian mereka berdua ini tinggal impian.

5 January 2013

Tiada Sebab Rakyat Menyokong Pemimpin Yang Suka Berubah Wajah: Salleh

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mahu rakyat Sabah berwaspada dengan pendirian politik pihak tertentu yang sering berubah wajah semata-mata untuk mengekalkan kelangsungan politik mereka.

Beliau berkata semasa memegang jawatan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka sentiasa mendukung agenda pembangunan negeri dan negara serta memuji keprihatinan kerajaan terhadap permasalahan rakyat namun nada mereka kini berubah apabila berada dalam kem pembangkang.

“Kini kita lihat mereka menyerang agenda pembangunan yang pernah mereka dukung dan menabur pelbagai janji manis atau luar biasa semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

“Sebenarnya ada di kalangan pemimpin pembangkang ini yang pernah menjadi pembantu menteri, menteri dan timbalan ketua menteri dalam barisan kabinet negeri Sabah selama bertahun-tahun sebelum menyeberang ke pakatan pembangkang. Bolehkah rakyat mempercayai “political chameleon” (pendirian politik berubah wajah) ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA)  penghujung tahun lalu di Kota Belud.

Sehubungan itu, Salleh berharap rakyat Sabah tidak mudah termakan janji manis pakatan, sebaliknya menilai kualiti kepemimpinan tokoh politik yang menyokong pakatan pembangkang sewaktu mereka masih berkuasa dan “bukan sewaktu mereka tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan”.

Sambil mengetepikan dakwaan pakatan pembangkang kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak ada membawa apa-apa pembangunan untuk rakyat Sabah, Salleh berkata pemimpin pakatan rakyat sudah ketandusan isu, dan kini hanya bersandarkan kepada janji manis dan pembohongan untuk mendapatkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya yang ke-13.

“Saya percaya rakyat bijak menilai kemajuan yang dibawa oleh kerajaan BN dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan taktik kotor pembangkang,” katanya.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri yakin BN yang kini berada di tahap yang kuat akan mencapai kemenangan yang cemerlang pilihan raya umum akan datang.

Mengenai RELA, Salleh berkata anggota RELA seharusnya menjadi menjadi ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan terutama dalam aspek keselamatan termasuk yang berkaitan dengan isu kehadiran pendatang tanpa izin.

4 January 2013

Apa Sumbangan Lajim Ukin?

MUNGKIN Lajim ada sumbangan pada suku sakatnya di kawasannya; tetapi bukan kepada keseluruhan rakyat di kawasan yang diwakilinya 26 tahun lalu.

Di kawasannyapun beliau tidak mempunyai sumbangan yang ketara, apatah lagi di kawasan-kawasan lain.

Lajim pernah menjadi menteri kabinet negeri pada beberapa kementerian, antaranya Kementerian Pertanian dan perumahan. Cuba tanya rakyat apa sumbangan Lajim?

Semasa ditampuk kuasapun tidak mampu memberi sumbangan, kini pula menyenaraikan perjuangannya melalui PPS dengan menggariskan berbagai janji. Rupanya beliau baru terbangun dari tidur yang amat lena sepanjang lebih 26 tahun sebagai wakil rakyat.

Padan muka Anwar, kerana kerja pembohongannya kepada rakyat kini berbalas dan terpaksa menerima lakonan Lajim; kononnya MP Beaufort itu mampu menggalas sokongan rakyat Sabah merealisasikan impiannya ke Putrajaya.

Anwar lupa, bahawa Lajim sudah mula ditolak oleh sebahagian besar pengundi yang diwakilinya, atas sebab itu semasa Lajim dalam barisan nasional, bukan cerita rahsia lagi di kalangan pengundi, bahawa beliau bukan winnable candidate bagi Bn; atas sebab Lajim mahu juga memaksa menjadi calon, maka beliau tiada pilihan, melainkan keluar daripada Bn.

Pada Sabtu malam, Anwar mengumumkan bahawa calon pembangkang bagi parlimen Beaufort dan Dun Klias adalah Lajim Ukin. Lajim akhirnya jadi calon juga pada PRU-13, tidak kiralah menang atau kalah, janji jadi calon.

Nafsu besar Lajim, biasalah dalam permainan politik bohong, kalaupun cacat tetap mengaku sihat, kalaupun tiada kemampuan, tetap mengaku berkemampuan, kerana dalam politik bohong, yang berbicara adalah isi bakul sendiri dan kemudian angkat sendiri.

Dalam paparan Lajim melalui PPS yang dilancarkan semalam, ketara sangat, bahawa apa yang dicakapnya sungguh mengarut. Beliau fikir, zaman ini zaman kuda gigit besi lagi, beliau lupa bahawa zaman sekarang adalah zaman IT dan zaman kebijaksanaan.

Penulis malas nak ulas janji-janji Lajim memlalui PPSnya, kerana tiada unsur ilmupun, tiada unsur ekonomik dan tiada pengajaran yang mampu diperolehi.

Hanya mereka yang buta hati, buta akal, buta mata dan tiada pelajaran yang boleh tertarik apa yang dicakap Lajim. Selagi rakyat bukan tergolong dalam kategori ini, adalah pasti mentertawakan apa yang Lajim katakan.

Sebenarnya para pemimpin dalam pembangkang mengetahui kedalaman ilmu dan kemampuan Lajim, apakan daya, tiada manusia lagi menjadi pilihan sestandard Lajim. Jadi, tanya diri sendiri bagaimana kualiti para pemimpin pembangkang.

3 January 2013

Nasib Orang Sabah Di Semenanjung-Loghat Sabah dikira Orang Indonesia

'Saya bukan pendatang asing'
AZIZAN INCHE HARUN (Sinar Harian)
3 Januari 2013

PASIR GUDANG – Hasrat seorang gadis mencari rezeki di sebuah kedai runcit di Rawang, Selangor sekitar 2009 bertukar episod hitam apabila dia mendakwa ditahan polis yang mengesyakinya warga Indonesia.

Mariam menunjukkan sijil lahir Ida yang disimpan.
Faizada Aldam, 23, berkata, meskipun salinan sijil kelahiran dikemukakan, namun dia tetap dibawa ke pusat tahanan Imigresen kerana didakwa memiliki sijil kelahiran palsu.

Menurutnya, hidupnya gelap dan seperti orang sasau kerana terpaksa meringkuk di Penjara Kajang selama enam bulan selepas ditahan di pusat tahanan Imigresen selama 14 hari dan seterusnya dihantar ke Tanjung Pinang, Indonesia.

“Sudah kering air mata saya menangis dan merayu minta mereka percaya bahawa saya bukan orang Indonesia, tapi tiada seorang pun yang mahu mendengar rayuan saya.

“Bayangkan saya seorang diri dihantar ke negara asing hanya mampu menumpang teduh di masjid dan berdoa agar ada insan yang sudi menghulurkan bantuan.

“Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan seorang makcik yang kemudiannya membawa saya pulang ke Lombok dan mengahwinkan saya dengan salah seorang anak lelakinya untuk mengelakkan timbul masalah pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Faizada yang mesra disapa Ida berkata, hidupnya derita di tempat orang walaupun dilayan dengan baik oleh keluarga suami, malah bertambah sukar melalui kehidupan selepas melahirkan seorang anak perempuan.

Menurutnya, hatinya tidak pernah tenang meskipun sudah bersuami dan mempunyai anak kerana sering merindui ibu dan ayahnya serta keluarga di negara ini.

“Saya hidup susah di sana terpaksa menanam padi dan bercucuk tanam untuk mendapatkan sesuap nasi dan tak pernah kering dengan air mata kerana terlalu rindukan mak dan keluarga di sini.

“Melihat keadaan saya begitu, suami dan keluarga mentua membantu saya mengumpul wang sebanyak RM2,000 sedikit demi sedikit untuk membolehkan saya pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Katanya, sepanjang perjalanan pulang, dia tidak pernah berhenti berdoa agar diselamatkan daripada segala kemungkinan memandangkan bot yang dinaiki memuatkan 40 hingga 50 penumpang.

“Saya hampir mati lemas ketika diarahkan turun di dalam laut separas dagu sekitar jam 2 pagi, tapi sempat diheret seorang lelaki yang melihat keadaan saya tercungap-cungap kelemasan.

“Akhirnya, saya selamat sampai dan dijemput adik di Stesen Bas Larkin walaupun masih terasa seperti bermimpi dapat menjejakkan kaki semula di negara kelahiran saya.

“Sebaik sampai di rumah, saya seperti nak pengsan kerana terlalu gembira dapat menatap wajah mak selepas kali terakhir dapat melihatnya ketika pulang berhari raya pada 2009,” katanya.

Ida selamat sampai ke pangkuan keluarga 16 Disember lalu selepas didakwa dihantar pihak Imigresen ke Indonesia kerana dikatakan salinan sijil kelahirannya palsu.

Dalam pada itu, ibunya, Mariam Sarian, 48, berkata, kepulangan anak ketiganya itu merupakan satu kejutan dan seolah-olah masih bermimpi kerana doanya selama ini telah dimakbulkan ALLAH SWT.

Menurutnya, pelbagai usaha telah dibuat termasuk memohon bantuan daripada pelbagai pihak untuk membawa pulang anaknya ke pangkuan keluarga, namun tidak membuahkan hasil.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana ALLAH SWT telah makbulkan doa saya selama ini selepas pelbagai usaha telah dibuat termasuk cubaan mendapat bantuan daripada pelbagai pihak tidak berjaya.

“Saya masih terkejut dengan kepulangan Ida walaupun keadaannya kelihatan agak cengkung, kurus dan tidak terurus sehingga membuatkan saya menangis dengan penderitaan yang dialaminya,” katanya.

Mariam berkata, lima hari Ida terpaksa dirawat di hospital kerana mengalami jangkitan kuman pada kaki dan masih trauma seolah-olah berada di negara asing.

Menurutnya, minggu depan, dia akan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menguruskan MyKad Ida memandangkan hasil semakan beberapa bulan lalu, nombor MyKad anaknya sudah dikenal pasti.

“Dia masih berada dalam keadaan takut dan bimbang ditangkap pihak bertanggungjawab walaupun kami berusaha menenangkannya dengan menunjukkan salinan sijil kelahiran asli yang disimpan.

“Selepas MyKad Ida sudah dapat, saya akan usahakan anaknya yang kini berada bersama suaminya di Indonesia pulang ke pangkuan Ida kerana tak sampai hati nak pisahkan kasih ibu dengan anak,” katanya.

Mariam berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kecuaian semua pihak yang terlibat sehingga anaknya yang tidak bersalah terpaksa hidup menderita di negara orang.

Sinar Harian April tahun lalu menyiarkan hasrat seorang ibu yang merayu anaknya yang didakwa dihantar pihak Imigresen ke Indonesia selepas salinan sijil lahir yang ditunjukkan dikatakan palsu dibawa pulang.

Mariam yang kecewa dengan tindakan pihak Imigresen berkenaan turut menunjukkan 10 anaknya termasuk Ida mempunyai MyKad dan sijil kelahiran walaupun berdepan masalah kerana berasal dari Sabah.

2 January 2013

BR1M punya Impak positif pada BN- Turut diakui Pembangkang

Kerajaan Barisan Nasional (BN) dijangka akan menerima sokongan pengundi yang tinggi dalam pilihan raya tahun ini, memandangkan Putrajaya akan mula mengedarkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bermula Febuari depan.

Penganalisis politik, pemimpin politik daripada Pakatan Rakyat (PR) dan BN mengakui faktor BR1M akan memancing undi untuk golongan pengundi luar bandar, serta mengukuhkan sokongan pengundi tetap BN.

“BR1M akan memberikan impak multipler, bukan sahaja kepada ekonomi, tetapi turut diistilahkan di dalam undi,” kata pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Asri Salleh.

“Penerimanya adalah golongan miskin tegar dan miskin bandar, sudah pasti ia akan meraih undi,” kata DAP pula.

“Impaknya besar, terutamanya mengekalkan pengundi “tradisional” mereka di luar bandar, itu sebabnya kenapa (Perdana Menteri) menangguhkan pilihan raya,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP, Tony Pua.

“Beliau sedar pilihan raya akan dilaksankan dalam tempoh tiga bulan selepas BR1M 2.0 jadi kesan positif BR1M tidak akan habis,” kata Pua lagi.

PR jelas Pua tidak memiliki dana sekukuh BN, terutamanya di negeri-negeri yang bukan di bawah bidang kuasa mereka seperti di Johor, Pahang, dan Perak, dan itu menyukarkan mereka untuk mendapatkan sokongan masyarakat luar bandar.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad turut menyokong kenyataan Pua, namun mengingatkan BN BR1M hanya mengukuhkan sokongan penyokong tegar mereka, bukannya kumpulan pengundi muda yang merangkumi sekitar 30 peratus daftar pemilih.

“Sementara sekelompok rakyat yang tidak dapat akses kepada media alternatif, mereka semakin yakin untuk menyokong BN.

“Namun kelompok 30 peratus yang menjadi rebutan BN dan PR adalah kelompok yang tidak dapat dikelabui mata dan pendirian mereka, kumpulan pengundi baru,” katanya dan menegaskan, kumpulan pengundi itu sedar, sejumlah RM3 bilion untuk BR1M 2.0 adalah dana kutipan cukai daripada rakyat.

“Kelompok 30 peratus itu adalah kelompok penentu dalam pilihan raya umum,” tegasnya.

Peruntukan untuk BR1M 2.0 meningkat 40 peratus daripada BR1M sebelumnya, yang hanya menelan perbelanjaan RM2.1 bilion.

Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali, bagaimanapun tidak melihat BR1M sebagai “rasuah” politik BN, sebaliknya ia adalah manifestasi BN dalam menepati janji mereka.

“Jika benar BR1M untuk pilihan raya, kenapa kerajaan telah memulakannya sejak tahun lepas?

“Ia bukan kerana BN, ia manifestasi kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Professor Dr Jayum Jawan, penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata beliau tidak terkejut jika BR1M akan berupaya menarik undi rakyat menyokong BN, namun mengkritik tindakan itu kerana apa yang utama adalah polisi ekonomi untuk jangka panjang.

“Jika BN mahu menawan hati pengundi, mereka perlu mengemukakan pelan jangka panjang ekonomi yang komprehensif dan merangkumi keseluruhan masyarakat,” kata Jayum.

“BR1M hanya one-off ... rakyat sedar ia untuk pilihan raya,” tambahnya.

Lebih 2.3 juta permohonan diterima untuk BR1M 2.0 pada 17 Disember, dengan lebih 1.6 juta untuk penerima bujang dan 720,000 isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan layak menerima RM500 wang tunai.

Bagi penerima bujang, mereka di bawah umur 21 tahun dan berpendapatan bawah RM2,000 sebulan layak menerima RM250 wang tunai.

BR1M 2.0 dijangka akan memberikan manfaat kepada 4.3 juta isi rumah dan 2.7 kumpulan bujang berbanding 4.2 juta penerima BR1M pertama tahun lalu.

1 January 2013

PRU-13: Semua sudah bersdia

TIADA lagi permainan teka-teki apabila pilihan raya umum pastinya akan diadakan pada tahun ini.

Kehadiran tahun 2013 merupakan permulaan kiraan detik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), di mana tarikhnya menjadi perbualan hangat pemimpin politik dalam tempoh dua tahun lalu.

Dengan hanya tinggal 17 minggu saja lagi sebelum penggal Dewan Rakyat tamat pada 28 April ini, semua parti politik bersedia menghadapi pilihan raya yang dianggap paling sengit.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR sudah 100% bersedia menjelang penghujung Februari, ia merupakan tarikh akhir untuk menyiapkan segala persiapan untuk pilihan raya seperti menjamin penggunaan dakwat kekal buat pertama kalinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan menyelesaikan lawatan kerja ke luar negara terakhir selewat-lewatnya bulan depan (Februari).

Selepas itu mereka akan berada di dalam negara untuk membuat persiapan terakhir menjelang pilihan raya, kata sumber.

Jadual perjalanan Najib ke luar negara termasuklah Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland manakala Muhyiddin akan melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) bulan ini.

Ucapan Tahun Baru Najib yang menggariskan pencapaian kerajaan pada tahun lalu berkata, hala tuju negara bergantung kepada pilihan 13.1 juta rakyat Malaysia yang akan keluar mengundi dalam masa terdekat.

"Kerajaan dan saya sendiri tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh rakyat.

"Beri kami mandat jelas dan kami berjanji untuk memenuhi kepercayaan anda dengan cara terbaik bagi membina negara Malaysia untuk semua.

"Malah buat masa ini, ia terbukti bahawa kami sudah memenuhi segala janji dan komitmen," kata Najib.

Muhyiddin dalam ucapan Tahun Barunya menggesa rakyat untuk menyokong kerajaan dalam usaha meletakkan Malaysia di landasan yang tepat untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, Tahun Baru ini menjanjikan sesuatu yang menarik kerana parti itu akan berdepan pertempuran hidup atau mati.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ibu pejabat bersedia mengeluarkan arahan kepada peringkat bahagian untuk bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja.

"Ia seperti bersedia untuk peperiksaan; kami sudah melakukan persediaan asas dan sedang menunggu semboyan daripada Perdana Menteri," kata Setiausaha Agung MIC, Datuk S.Murugesan.

Sementara itu, Pakatan Rakyat turut memasuki tahun 2013 dengan semangat yang membara.

Satu perhimpunan besar oleh Pakatan dijangka menghangatkan arena politik negara menjelang pilihan raya.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels