19 August 2013

Pemilihan Umno: Pertandingan Ketua Bahagian Kota Belud

Foto yang ditagkan kepada Penulis
KALAU Datuk Musbah Haji Jamli masuk bertanding Ketua Bahagian, OKB tidak akan rasa pelik; kerana ADUN Tempasuk itu pernah menyandang jawatan itu. Akan tetapi, kalau nama-nama lain akan bertanding, penulis agak terkejut. Demikian juga kalau Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia atau Datuk Japlin Akim masuk bertanding, OKB tidak hairan; kerana mereka-mereka itu dianggap mempunyai merit untuk jawatan itu.

Umno adalah parti terbuka, siapapun boleh bertanding, asalkan seseorang itu layak bertanding. Keadaan ini, ditambah lagi dengan perubahan perlembagaan parti, di mana kini, seseorang itu tidak perlu lagi dicalonkan di peringkat cawangan atau bahagian, sebaliknya pencalonan terletak ditangan seseorang itu. 

Seseorang ahli parti dengan cukup syarat, maka hanya memperlukan dirinya mendafar untuk kesediaan bertanding, maka sahlah pencalonannya.

Perlu diingat, bahawa parti adalah landasan untuk memperjuangkan parti, bangsa, negara dan agama; kerana parti akan membentuk kerajaan. Justeru itu, pimpinan parti diperlukan sebagai tonggak utama kepada kerajaan.

Haji Abdul Karim Amirullah (HAMKA) menyatakan seseorang pemimpin itu perlu mempunyai ciri-ciri ; “memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam”.

Ciri-ciri pemimpin yang disebutkan HAMKA itu, adalah ciri-ciri yang diperlukan bagi menarajui sesebuah parti atau kerajaan.  Malah HAMKA melempar jauh-jauh pemimpin yang berasaskan nafsu, kerana faktor itu mendorong pemimpin itu mementingkan dirinya sendiri.

Selain itu, pendapat para cerdik pandai, pilihlah pemimpin yang mempunyai visi yang jelas dan teratur, bukannya berasaskan kepada emosi, dendam; apatah lagi ada unsur mengaibkan.

Menukar pemimpin bukan seperti salin baju, kerana pemimpin bukan dijelmakan sekelip mata. Proses seseorang menjadi pemimpin memerlukan masa yang panjang, selain jalinan antara satu dengan yang lainnya mengalami proses yang lama sekali.

Desas desus terutama di lama Facebook terutama di kalangan penduduk Kota Belud, kononya Rosmin Kasan akan bertanding Jawatan Ketua Bahagian Kota Belud, untuk mengambil peluang kepada perubahan perlembagaan parti, kerana beliau tidak lagi memerlukan sokongan daripada peringkat akar umbi, akibat pemansuhan sistem kuota.

Bagi mereka yang bukan berasal daripada Kota belud, melihat pertandingan itu (kalau berlaku) merupakan pertanda sihatnya amalan demokarsi dalam parti; namun bagi mereka yang berasal daripada Kota Belud, melihat pertandingan itu sebagai satu cobaan "memalukan" penyandang Ketua Bahagian itu- sepertimana kata-kata aktivis politik Musli Oli dalam ruang komen FB di mana Penulis telah dipautkan "Kononnya pertandingan ini hanya untuk aibkan pemimpin tertentu"  Musli juga menulis lanjut dalam ruang yang sama "Menarik ni... tapi pengalaman lama dalam politik menyebabkan sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betina" malah seorang pengomen FB dalam ruang yang sama Mul Marif menulis " Saya tengok2 macam skill lapuk je ni"

Berasaskan kepada komen-komen itu, OKB dapat menarik satu kesimpulan, pencalonan saudara Rosmin Kasan untuk bertanding sebagai  ketua bahagian Kota belud, sebenarnya tidak mempunyai visi untuk kepentingan parti, sebaliknya ada maksud "tersirat".

Sebenarnya kesediaan Rosmin bertanding bagi jawatan ketua, akan diramalkan tidak akan mengubah-ubah apa-apa keputusan pertandingan itu; kerana majoriti perwakilan telahpun memutuskan, bahawa cobaannya merebut jawatan bukanlah untuk kebaikan dan peremajaan parti akan tetapi berasaskan kepentingan "tertentu".

Sebagai pengamat politik Kota Belud, OKB telah melihat perkembangan politik Kota Belud sejak tahun 60-an lagi, atas sebab itu, penulis setidak-tidaknya mengetahui individu-individu yang perlu diketengahkan bagi menyumbang tenaga dan fikiran kepada parti.

Penulis berharap, jikapun pertandingan itu berlaku, perwakilan yang diberi hak memilih, perlulah bersandar kepada pendapat ilmuan dan ulama HAMKA, agar parti akan kekal dan relevan sepanjang masa.

18 August 2013

Pemilihan Umno: Umno Sabah Desak Musa Tanding Naib

BIASA, setiap adanya pemilihan parti, ahli dan pemimpin di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri mahukan seseorang yang mereka rasa boleh dihandalkan menggalas tugas sebagai pemimpin atasan mereka.

Pada pemilihan 19 Oktober ini, Umno Sabah nampaknya hampir sebulat suara menyuarakan sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri- Datuk Seri Musa Aman bertanding untuk merebut salah satu daripada jawatan Naib Presiden.

Sabah yang mempunyai 25 Bahagian, 21 Bahagian telahpun menyatakan secara terbuka menyokong agar Musa bersedia bertanding bagi jawatan nombor tiga parti.

Pemimpin di peringkat negeri yang menyatakan secara terbuka, sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah itu agar bersedia bertanding, antaranya Timbalan Pengerusi Umno Negeri yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah- Datuk Dr Salleh Tun Said. 

Pemimpin lain adalah Datuk Yahya Hussin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Setiausaha Umno Sabah.

Kecenderungan para pemimpin Umno Sabah menginginkan agar Musa bertanding jawatan Naib, atas sebab sumbangan beliau terhadap pemantapan parti, sejak mengambil alih sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 2003.

Musa berjaya membawa kemenangan kepada Bn Sabah dengan jayanya melalui tiga pilihanraya umum. Selain itu, beliau juga berjaya merancakan perekonomian negeri, dengan mempertingkatkan simpanan kewangan negeri daripada RM184 juta semasa mula-mula dilantik sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Perhubungan Umno kepada lebih RM3 bilion pada tahun 2012.

Bajet kerajaan negeri juga terus meningkat daripada RM 1bilion kepada lebih RM4 bilion, dan diperkirakan bajet tahun 2013 akan mengekal jumlah itu.

Kejayaan Musa menurunkan kadar kemiskinan Sabah daripada 19.7 peratus pada tahun 2009 kepada 8.1 peratus tahun 2012 merupakan kejayaan yang luar biasa, memandangkan sumber kewangan negeri yang sudah sinonim dengan pembalakan, tidak lagi bersandarkan kepada sumber kewangan semulajadi itu.

Kejayaan Musa baik dalam politik dan perekonomian sesuatu pengalaman yang perlu dikongsi bersama dengan parti secara nasional. Kekuatan suara beliau akan lebih afdal, jika beliau berkedudukan sebagai Naib Presiden Parti. Adalah suatu yang merugikan parti, jika pengalaman beliau disia-siakan, terutama keadaan parti yang mengalami sentuhan peremajaan dan perubahan.

Tindakan para pemimpin Umno Sabah mendesak Musa bertanding, adalah satu tindakan yang tepat dan betul, kerana parti memerlukan pemimpin yang dinamik seperti beliau dalam mencorakan parti agar terus relevan atau setidak-tidaknya berdepan dengan PRU-14.

PRU-13 dikatakan adalah Ibu kepada PRU di negara ini, atas sebab itu PRU-14 adalah bapa kepada semua PRU; kerana matalamat pembangkang adalah untuk menggantikan kerajaan BN pada PRU itu, selepas gagal pada PRU yang lepas.

17 August 2013

Naib Presiden Umno: Safie Apdal Hilang Daripada Radar Umno Sabah

WALAUPUN Datuk Safie Apdal merupakan pemimpin pertama daripada Umno Sabah menang jawatan Naib Presdien, namun nama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu semacam hilang daripada radar Umno Sabah.

Berbagai pihak di Sabah nampaknya telah melupakan Naib Presiden itu, walaupun beliau telah awal-awal menyatakan hasratnya mempertahankan kedudukannya dalam parti yang dimenanginya sebelum ini.

Sabah mempunyai 25 bahagian Umno, daripada jumlah itu, 20 Bahagian telah menyatakan sokongan kepada Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah, sebagai calon yang paling tepat untuk dipilih sebagai Naib Presiden Parti pada pemilihan parti 19 oktober ini.

Umno secara keseluruhan mempunyai 191 bahagian di seluruh negara. Melihat kepada kecenderungan Umno Sabah itu, walaupun ianya hanya 11 peratus daripada seluruh bahagian, namun ianya boleh mempengaruhi bahagian-bahagian lain dalam penentuan siapa yang bakal dimenangkan dalam pertandingan kerusi Naib Presiden.

Umno Sabah merupakan negeri yang mempunyai keahlian yang teramai sekali, dan kira-kira 60,000 perwakilan Sabah daripada 146,500 akan melakukan pemilihan pada pemilihan parti nanti. Perwakilan Sabah mewakili 41 peratus daripada seluruh pemilih.

Melihat kepada kecenderungan Umno Sabah, adalah dilihat, Musa dengan mudah mendapat 48,000 undi daripada perwakilan Sabah, dan beliau hanya memerlukan 62,000 undi daripada 166 Bahagian daripada Semenanjung untuk menang. Diperkirakan, calon yang mendapat undi antara 105,000-110,000 akan diistiharkan sebagai pemenang.

Dalam perkembangan lain Umno Sabah dikatakan akan "berkomunikasi" dengan rakan Umno di Semenanjung berhubung kewajaran mencalonkan Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman bertanding satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti Oktober ini. 

Menurut Timbalan Pengerusi Umno Sabah yang juga Speaker Dun Sabah Merangkap Ketua Bahagian Umno Kota Belud-"Sebagai pemimpin dari Sabah, kami mempunyai alasan kukuh dan kami berpendapat mereka dapat diyakinkan dan bersetuju dengan kami bahawa Musa pilihan terbaik untuk mengisi satu daripada tiga jawatan naib presiden," 

Sebelum itu,  Timbalan Ketua Menteri dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Yahya Hussin baru-baru ini bahawa Umno Sabah sudah bersedia menggerakkan jenteranya sekiranya Musa memutuskan bertanding jawatan itu. 

Musa dikatakan mempunyai merit untuk dipilih sebagai Naib Presiden parti atas sebab kejayaan beliau menerajui BN Sabah mengekalkan kuasa di negeri ini dengan majoriti dua pertiga dengan memenangi 48 daripada 60 kawasan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, telah membuktikan komitmen, kerja keras dan kesetiaan beliau kepada parti. 

BN negeri juga memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah untuk menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN di peringkat persekutuan. 

Menurut Salleh, Musa akan mampu, bersama-sama dengan pemimpin yang lain, memperkukuhkan Umno untuk menang selesa dalam pilihan raya umum akan datang. 

"Beliau (Musa) akan memberikan pendapatnya secara jujur dan ikhlas mewakili bukan sahaja Sabah tetapi juga anggota parti. 

"Naib Presiden ialah jawatan penting dalam parti dan anggota mesti diberikan pilihan. Kami pasti akan memberikan pandangan kami kepada rakan-rakan di Kuala Lumpur mengenai Ketua Menteri kami. 

"Apa pun, Musa yang akan memberikan kata putus (sama ada akan bertanding atau tidak) selepas menimbangkan semua faktor demi kebaikan Sabah dan parti," kata Salleh.

15 August 2013

Pemilihan Umno: Masanya Membuang Pemimpin "Palsu"

PEMILIHAN Umno yang akan diadakan secara serentak pada 19 Oktober depan untuk memilih pemimpin di peringkat bahagian dan pusat.

Pada pemilihan kali ini akan mencorakan parti demi  kelangsungannya bahkan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Peraturan baru pemilihan parti yang baru yang akan digunapakai merupakan ujian kepada ahli peringkat akar umbi kerana inilah pertama kali diberi peluang memilih pemimpin serta mencorakkan parti itu.

Jika dulu hanya kira-kira 2,500 perwakilan terpilih yang akan menentukan pemimpin di peringkat atasan tetapi kini peluang itu sudah diperluaskan kepada kira-kira 150,000 perwakilan daripada lebih 20,000 cawangan Umno di seluruh negara.

Makanya, peluang ini perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dan mereka yang berjumlah lebih 150,000 ini seharusnya tidak lagi mengikut acuan yang pernah digunakan oleh 2,500 perwakilan sebelum ini yang begitu mudah diatur serta ditentukan telunjuknya.

Datuk Seri Najib maklum bahawa sebelum pindaan perlembagaan dan peraturan baru dalam memilih pemimpin ini diperkenalkan, pemimpin atasan mempunyai tangan ghaib mencorakan keputusan pemilihan, sehingga mereka yang membawa cap pemimpin "palsu" boleh menang dalam pemilihan.

Sejak sekian lama, atas sebab tangan-tangan ghaib semasa pemilihan, maka seolah-olah perwakilan tidak mempunyai kebebasan memilih. Dengan pengenalan kaedah baru ini, dirasakan perwakilan akar umbi mempunyai kebebasan sendiri menentukan pemimpin mana yang mereka kehendaki atau sebaliknya.

Sebenarnya itulah semangat yang ingin diwujudkan apabila peraturan baru ini diperkenalkan iaitu dengan menghapuskan kouta pencalonan, memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan menentukan pemimpin dan menjadikan mereka tidak mudah dibeli oleh sesiapa.

Walaupun terdapat pemimpin di peringkat pusat yang bersetuju dengan Najib mengenai pengenalan peraturan baru ini seakan-akan sudah terlupa atau sengaja lupa mengenai hasrat dan semangat itu kerana kini berebut-rebut pula mengeluarkan kenyataan agar jawatan tertentu tidak dipertandingkan.

Walaupun adanya berbagai kenyataan itu, perwakilan akar umbi tidak sepatutnya takut untuk terus kekal berpegang kepada semangat dan maksud pemindahan cara pemilihan parti.

Kali inilah ahli dan pemimpin akar umbi perlu menunjukkan bahawa bukan mereka yang memerlukan pemimpin atasan tetapi pemimpin atasan yang lebih memerlukan mereka.

Di benak para perwakilan perlu tertanam, bahawa semangat demokrasi yang sentiasa subur dan proses memilih pemimpin yang sentiasa terbukalah sebenarnya yang menjadi ramuan mana-mana parti politik dapat bertahan lebih lama dan serta sentiasa mendapat sokongan berterusan daripada rakyat.

Kini dengan peraturan baru dalam memilih pemimpin sudah diperkenalkan, bukan saja kebebasan sepenuhnya perlu diberikan kepada pemimpin cawangan dan akar umbi menentukan pilihan mereka, bahkan pemimpin atasan juga seharusnya berhenti daripada cuba berlagak pandai dengan mengemukakan cadangan tertentu untuk diikuti oleh pemimpin di peringkat akar umbi.

Berilah peluang dan kebebasan kepada kira-kira 150,000 perwakilan ini membuat pilihan, sesuai dengan semangat pindaan perlembagaan dan peraturan baru ini diperkenalkan.

Proses pemilihan kali ini yang pertama kali mengguna-pakai sistem baru seharusnya juga dimanfaatkan untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak, berwibawa, sesuai serta boleh membawa Umno menghadapi cabaran yang lebih getir dalam pilihanraya ke 14 nanti.

Dengan cengkaman Umno dan BN semakin menipis di hati rakyat, terutama di kawasan bandar manakala bandar-bandar baru pula semakin pesat diwujudkan, cabaran dalam plihan raya umum lima tahun lagi tidaklah semudah yang dijangka.

Apatah lagi, sekarang ini begitu banyak pertikaian rakyat terhadap pemimpin tertentu yang dipilih menganggotai kerajaan kerana mereka dilihat tidak begitu serius menjaga kepentingan rakyat sebagaimana yang seharusnya. Kenyataan atau komen yang diberikan seringkali tidak matang, separuh masak dan melukakan hati rakyat.

Manalah rakyat tidak tersinggung dan kecil hati, apabila harga ayam mendadak naik di bulan puasa dan menjelang sambutan Hari Raya lalu, menteri yang bertanggungjawab mengenai perkara itu mencadangkan supaya jangan makan ayam, sebaliknya beralih kepada makan ikan atau daging pula sedangkan harga ikan dan daging jauh lebih mahal lagi.

Nampak sangat menteri berkenaan tidak tahu apa-apa tentang harga barangan pengguna.

Seorang lagi menteri yang bertanggungjawab terhadap ayam pula meminta membeli ayam di pasar tani kerana kononnya harganya lebih murah sedangkan ada pasar tani yang menjual dengan harga lebih mahal lagi. Lagi pula, bukan semua tempat ada pasar tani.

Apabila harga sayur naik pula, ada pula menteri yang mencadangkan rakyat supaya menanam sayur sedangkan kerja menteri sepatutnya mengawal dan menentukan harganya pada kadar yang tidak terlalu membebankan rakyat, bukanlah menyuruh rakyat menanam sayur sebagai jalan penyelesaiannya. Lagi pula, jika tinggal di bandar yang kekurangan tanah atau tinggal di flat dan semua sibuk dengan urusan kerja, kerja menamam sayur mustahil sama-sekali untuk dilakukan.

Begitu juga, apabila ada rakyat mempertikaikan undang-undang dan peraturan negara ini, terdapat menteri yang begitu bongkak menyarankan berpindah ke negara lain atau tinggal di dalam hutan.

Apabila jenayah meningkat dan kejadian tembak-menembak berleluasa, menteri yang berkaitan juga tidak menunjukkan keseriusan untuk menangani kejadian itu, sebaliknya lebih sibuk mahu mengembalikan undang-undang lama seperti Akta Hasutan dan Ordinan Darurat sedangkan ketika Najib mencadangkan pemansuhannya dulu, tidak pula kedengaran suara menteri berkenaan mempertahankan undang-undang itu.

Kalau diperhatikan, begitu ramai sebenarnya pemimpin Umno dan kerajaan yang bercakap dan bertindak ikut suka hati dan seolah-olah tidak lagi mempunyai sentuhan dengan kepentingan rakyat. 

Terbaru pada hari ini, terdapat pula seorang menteri telah melantik anaknya yang sebelum ini penuh dengan kontroversi sebagai pegawai khas di kementeriannya sendiri. Keadaan ini tentunya menambahkan lagi rasa jengkel rakyat terhadap Umno dan kerajaan dan seolah-olah kerajaan pimpinan Najib membenarkan amalan nepotisme secara terang-terangan.

Jika Umno ingin terus berada di hati rakyat, adalah menjadi tanggungjawab perwakilan Umno yang berjumlah seramai lebih 150,000 orang kali ini untuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin " palsu" ini dan menggantikannya dengan mereka yang jauh lebih berwibawa, ikhlas, amanah serta berjiwa rakyat.

9 August 2013

Makanan Gratis Yang Memenatkan

KALAUlah mendapatkan makanan gratis sempena kunjungan rumah terbuka seperti hariraya, maka perbuatan itu sungguh memenatkan.

Selain perlu memandu dengan jarak yang jauh juga perlu berbaris mendapatkan makanan gratis, maka kalau dilihat daripada segi masa dan tenaga adalah tidak berbaloi.

Makanan yang didapat kalau ditera dengan minyak, masa dan tenaga, maka tidak seimbang. Jadi, apa ertinya kunjungan itu?

Dalam setahun, bagi rakyat biasa, inilah peluang keemasan dapat bersalaman dengan mereka yang mengadakan rumah terbuka, terutama pembesar negara.

Kalaulah itu tujuan atau maksud kunjungan itu, (kunjungan hormat) maka "ianya" satu harga yang sungguh tinggi nilainya berbanding dengan harga minyak, masa dan tenaga yang dikorbankan. Nilai yang dikorbankan itu adalah tanda penghormatan kepada mereka yang mengadakan rumah terbuka.

Meskipun sesiapa sahaja rakyat negara ini "boleh" mengadakan rumah "terbuka" sempena hari-hari kebesaran agama seperti Hariraya, namun rumah terbuka yang menyediakan segala jenis makanan dan juadah, hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh mengadakannya.

Persediaan rumah terbuka, memerlukan persiapan yang rapi, selain memasang kanopi-kanopi dengan dilengkapi dengan meja dan kerusi, juga makanan dan juadah.

Kalaulah penghunjung yang dianggarkan datang 1,000 orang, persediaannya tidak sangat membimbangkan, namun jika penghujung melebihi 100,000 sepertimana berlaku di rumah Terbuka Perdana Menteri semalam di Putrajaya, maka persiapannya bukan sahaja memerlukan masa, juga melibatkan ratusan orang.

Tradisi rumah terbuka, memang sinonim dengan Malaysia, kerana negara ini sahaja di "dunia' ini mengamalkan rumah terbuka.

Rumah terbuka bagi umat islam di negara ini sudah bertapak sejak dahulu kala, dan kemudian konsep itu menular kepada suku bangsa lain yang juga beragama lain.

Sekarang ini, di negara ini, setiap perayaan keagamaan, tidak lengkap kalau tidak diiringi dengan rumah terbuka.

Bagi orang luar yang tidak biasa dengan "budaya" Malaysia ini, terutama bagi mereka yang julung-julung kali melihatnya, maka ianya menjadi kejutan kepada mereka, kerana suasana seperti itu tidak berlaku di negara mereka.

Melalui rumah terbuka, orang luar ini melihat semua warna kulit dan dan agama bersama-sama menyambutnya dengan dicerminkan melalui kunjungan.

Melihat keadaan  di rumah terbuka, seolah-olah telah menghapus gembar gembur media luar negara, bahawa di negara ini, terdapatnya perselilihan kaum yang sangat kritikal.

Rumah terbuka Malaysia, bukan sahaja telah menjadi "tradisi" malah sudah menjadi produk negara dan dipromosikan melalui pelancongan negara.

Atas sebab "rumah terbuka" menjadi produk pelancongan, ianya menjadi satu bentuk makanan gratis bukan sahaja memenatkan untuk diperolehi juga perlu mengorbankan wang ringgit, tenaga dan masa untuk merasainya.

6 August 2013

Datuk Lajim Ukin kehilangan kerusi Dun Klias

Datuk Lajim Ukin wakil rakyat Klias kehilangan kerusi itu, apabila Mahkamah pilihanraya di Kota Kinabalu hari ini membenarkan petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang pertama setakat ini dan sekaligus memberi laluan kepada pilihan raya kecil di Sabah bagi kerus DUN Klias.

Ini adalah petisyen pertama yang berjaya di antara 69 petisyen difailkan pembangkang PR dan Barisan Nasional (BN) selepas tamat PRU13 pada 5 Mei lalu.

Kerusi Klias dimenangi ketua pembangkang Sabah, Datuk Lajim Ukin dengan majoriti 179.

Petisyen itu difailkan calon BN, Isnin Aliasnih yang memperolehi 6,182 undi berbanding Lajim, 6, 324 undi.

Hakim Yew Jen Kie bagaimanapun membuang petisyen difailkan Lajim yang mencabar keputusan kerusi Parlimen Beaufort. Lajim tewas di kerusi itu apabila calon BN, Datuk Azizah Mohd Dun memenanginya.

Yew turut membuang petisyen Isnin yang difailkan terhadap pegawai pilihan raya (RO) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memerintahkannya membayar kos RM10,000 setiap seorang.

Hakim berkata, Isnin dalam permohonannya tidak menjelaskan bagaimana tindakan RO dan SPR memberi kesan terhadap keputusan kerusi Klias.

Dalam pilihan raya lalu, bagi negeri Sabah, BN memenangi 48 kerusi sementara pembangkang menang 12. – 6 gos, 2013.

3 August 2013

Pemilihan Umno Kota Belud: Apa Yang Akar Umbi Mahu?

"Anggota Umno perlu memilih calon yang benar-benar boleh memimpin dan memajukan parti pada pemilihan yang akan datang. Pilihlah mereka yang ikhlas dan mahu berkerja dan memperjuangkan parti" Tan Sri Muhiyiddn Yassin

Kenyataan Timbalan Presiden parti itu ada kaitan dengan sifat-sifat atau ciri-ciri pemimpin yang perlu dipilih. JIKA akar umbi mahu memilih pemimpin yang benar-benar seorang pemimpin, maka mereka perlu memilih pemimpin yang mempunyai sifat-sfat - “memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam”.

Apa kah ciri-ciri pemimpin yang disebutkan di atas yang dicari akar umbi atau pendek kata perwakilan Umno?

Perlu diingat, ciri-ciri yang disebutkan di atas bukan sahaja meliputi jawatan Ketua Bahagian, akan tetapi meliputi semua jajaran termasuk Ahli Jawatan Kuasa yang bakal dipilih.

Jika para perwakilan bertaut pada ciri-ciri di atas untuk memilih individu dan mengangkat individu itu menjadi pemimpin, maka bukan sahaja parti akan selamat, malah mereka yang memilih juga selamat.

Bagi akar umbi atau perwakilan, sebenarnya mereka mengenali semua individu-individu yang dikategorikan sebagai pemimpin; samada di peringkat cawangan mahupun bahagian; hanya kelekaan mereka, mereka memilih pemimpin bukan berasas kepada ciri-ciri yang disebutkan.

Untuk itu, pada pemilihan Parti yang bakal berlangsung pada 5 Oktober, perlulah para perwakilan menjadikan ciri-ciri pemimpin yang disebutkan di atas sebagai pedoman memilih sipulan dan si pulan menganggotai ahli jawatan kuasa bahagian parti.

1 August 2013

Musa Aman Ketua Menteri Sabah Yang Berjaya

DATUK MUSA AMAN dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada 27 Mac 2003, mengambil alih daripada Tan Sri Chong Kah Kiat dalam sistem penggiliran Jawatan Ketua Menteri Sabah yang diperkenal oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pada tahun 1994, sebaik sahaja BN mengambil alih kerajaan Negeri.

Satu data yang perlu diakui bahawa pada Tahun 2003, simpanan kerajaan negeri hanya berjumlah RM184 juta, namun selepas 10 tahun simpanan kerajaan meningkat kepada RM3.2 bilion. Bukan itu sahaja, Bajet Sabah untuk tahun 2012 telah melepasi RM4bilion, julung kali berlaku di negeri di bawah bayu itu.

Selain daripada peningkatan simpanan kewangan dan perolehan negeri, juga di bawah kepimpinan Musa, kadar kemiskinan telah menurun dengan hebatnya daripada 19.7 peratus yang tercatat pada awal tahun 2009, namun pada tahun 2012 menjadi 8.1 peratus.

Bagi Pelaburan asing pula, Sabah menerima RM10.2 bilion pada tahun 2012 merupakan negeri penerima FDI terbesar dalam negara.

Satu perkara yang perlu dihebahkan kepada pembaca, bahawa sebelum Musa menjadi Ketua Menteri, pemberian tanah kepada pemohon secara individu berlaku dengan leluasanya, malahan berlakukan juga penjual asset negeri semata-mata untuk mendapatkan sumber kewangan menampung perbelanjaan kerajaan.

Dalam tempoh 10 tahun menjadi Ketua Menteri, sudah tidak berlaku lagi penjualan asset kerajaan, namun apa yang berlaku ada pembelian semula asset kerajaan yang telah dijual oleh pemimpin terdahulu.

Adalah malang, apabila asset Kerajaan di Darwin Austarlia dijual sebelum Musa dilantik sebagai Ketua Menteri, jika tidak, mungkin sekarang Sabah menikmati bekalan daging yang mencukupi malah boleh menyumbang kepada pengurangan import daging negara.

Pembangunan Sabah begitu pesat, bukan sahaja berlaku di ibu negeri, malah kawasan lain seperti Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan kawasan-kawasan lain. Malah di Dewan Undangan Negeri tahun 2012, telah diluluskan bahawa tiada lagi pembangunan di kawasan pesisir pantai Kota Kinabalu di masa depan, selepas semua pembangunan yang sudah diluluskan sebelum ini siap di bangun.

Daripada segi politik, sejak Musa mengambil alih jawatan Ketua Menteri, beliau berjaya membawa kemenangan kepada Barisan Nasional pada tiga PRU yang lalu, sehingga pemimpin Pusat memberi gelaran kepada BN Sabah sebagai "Simpanan Tetap BN".

Kedudukan dalam Parti pula, Musa bertanding pada Peringkat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pada tahun 2009 dan mendapat undi kedua Tertinggi bersama Dato Noh Omar- Pengerusi Perhubungan Umno sekarang ini.

Pada Jumaat lepas, Musa sekali lagi dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Sabah. Melalui perlantikan ini, menunjukkan bahawa kepimpinan Pusat sangat menaruh kepercayaan kepada beliau. Perdana Menteri selain mengekalkan Musa sebagai Pengerusi, Timbalannya juga Datuk Dr Salleh Tun Said turut dikekalkan.

Melihat kepada prestasi Musa sebagai Ketua Menteri selama 10 tahun, sudah tentu menggamit rasa cemburu kepada musuh-musuh politik Barisan Nasional, atas sebab itu berbagai unsur fitnah cuba dipalitkan kepada beliau. 

Namun, rakyat kini sudah celik mata, dan celik informasi. Unsur fitnah yang tidak berasas tidak akan mempengaruhi kredibilti Musa sebagai Ketua kerajaan Negeri Sabah. Sebagai bukti, pada PRU-13 mei lalu, Musa bukan sahaja berjaya mempertahankan kawasan DUNSibuga, malah majoriti yang beliau peroleh bertambah berbanding majoriti yang beliau perolehi pada PRU-12.

Dapat diketahui bahawa puak-puak yang melimpar fitnah kepada Musa adalah mereka yang iri hati terhadap beliau, kerana beliaulah ketua menteri Sabah yang sangat berjaya.

31 July 2013

Peruntukan Persekutuan kepada Sabah: Tiba masanya untuk Diperkemaskan-Salleh

MELIHAT kepada rekod peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah sejak tahun 2010-2013 yang berjumlah RM6 bilion atau RM 2bilion setahun khusus untuk projek-projek Jalan Luar Bandar (JLB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Bekalan Litrik Luar Bandar (BELB) serta Program Bantuan Perumahan (PBR); merupakan peruntukan yang amat besar.

Namun pelaksanaan yang tidak selari dengan perancangan Kerajaan negeri, maka peruntukan yang besar itu tidak kelihatan impaknya, sehingga pihak pembangkang mempertikai, bahawa kononnya kerajaan persekutuan tidak memberi perhatian kepada keperluan rakyat.

Sekiranya peruntukan itu disalurkan kepada Kerajaan negeri, maka impaknya akan lebih nyata, kerana kerajaan negerilah yang merancang pembangunan negeri, sesuai dengan keperluan rakyatnya.

Menyentuh berkaitan peruntukan kerajaan Persekutuan ini, Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Dr Salleh Tun Said menyarankan untuk masa akan datang, semua peruntukan kerajaan Persekutuan yang akan digunakan untuk Sabah bagi maksud pembangunan agar disalurkan kepada Kerajaan Negeri, agar supaya bentuk pembangunan tidak bertindih, dan seterusnya boleh mencapai sasaran yang lebih luas dan menyeluruh.

Saranan ini tepat masanya, bagi membalas jasa kepada rakyat Sabah yang menaruh kepercayaan kepada kepimpinan Negeri yang diketuai Datuk Musa Aman pada PRU-13 lalu, di mana BN Sabah adalah salah penyumbang terbesar kepada kerusi BN di peringkat pusat, manakala di Peringikat negeri menubuhkan kerajaan dengan kuasa melebihi 2/3.

24 July 2013

Pemimpin Menurut HAMKA

Telah menjadi peraturan yang tetap di dalam alam ini bahawasanya segala sesuatu berjalan dengan pimpinan.

Walaupun manusia telah dikurniakan oleh Allah SWT akal dan fikiran, kadang-kadang mereka tidak menyedari bahawa hidup mereka perlu kepada pemimpin dan pimpinan.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab rakyat memilih pemimpin yang mempunyai sifat kepimpinan sejati.

Seorang pemimpin yang dilantik hendaklah memiliki ciri-ciri yang layak dan sesuai untuk dijadikan pemimpin.

Menurut HAMKA, pemimpin ialah; “memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam”.

Hal-hal berkaitan pemimpin adalah merupakan perkara penting, oleh yang demikian, Allah SWT sentiasa memberi peringatan kepada orang yang beriman secara berulang kali tentangnya. 

HAMKA telah membincangkan hal-hal berkaitan pemimpin secara khusus kebanyakkannya berkisar di bawah tajuk memilih pemimpin, sifat-sifat pemimpin, memberi teguran yang membina kepada pemimpin, orang kafir tidak layak untuk dipilih sebagai pemimpin, istiqamah dalam kepimpinan dan bertambah tinggi kedudukan pemimpin semakin jelas kelemahannya.

Menurut HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amirullah), terdapat beberapa faktor yang mendorong seseorang itu untuk menjadi pemimpin, antaranya keturunan, kekuatan, kepandaian serta pemimpin lain mengakuinya sebagai pemimpin.

Beliau (HAMKA) menjelaskan: “Kerana dia diakui lebih kuat, lebih pandai dan lebih dapat dikemukakan, dia bersedia naik yang lain bersedia turun, dia bersedia mengatur dan yang lain bersedia diatur.

Faktor-Faktor yang dilihat menjadikan seseorang itu menjadi pemimpin

"Sebabnya bermacam-macam; ada kerana keturunan, seumpama anak seorang ulama menjadi ulama pula kerana lingkungan dan pergaulan dan kebiasaan di dalam rumah ayahnya yang dilihatnya sejak kecil”.

"Ilmu pengetahuan juga dapat menaikkan seseorang menjadi pemimpin, tetapi pemimpin yang sejati kerapkali tidaklah terdiri daripada orang yang sangat pintar dan mempunyai kelulusan tinggi, malahan kerapkali pemimpin-pemimpin besar dunia mempergunakan orang-orang yang berilmu sebagai pembantu untuk mencapai matlamatnya, pemimpin yang sejati adalah satu jiwa atau satu peribadi yang lain daripada yang lain".

"Oleh yang demikian, keturunan dan keilmuan bukanlah merupakan faktor utama mendorong seseorang untuk menjadi pemimpin dan tidak semua pemimpin yang sejati mempunyai sifat yang sedemikian. Terdapat faktor-faktor lain yang mendorong seseorang untuk menjadi pemimpin, antaranya agama, fahaman yang dipegang, perebutan pengaruh. HAMKA menegaskan: “Ugama yang dipeluk atau kitab-kitab yang dibaca atau suatu fahaman yang dipegang teguh, semuanya pun menentukan corak pemimpin, bahkan perlumbaan perebutan pengaruh dan kuasa dengan pemimpin yang lain yang sama-sama hidup menjadi saringan juga buat menentukan kelemahan dan kekuatan."

"Keghairahan untuk mendapatkan sesuatu pangkat dan kedudukan adalah salah satu faktor mendorong seseorang menjadi munafik, bagi mereka gelaran pemimpin adalah merupakan satu kemegahan peribadi, walaupun tidak ada garis panduan yang nyata tentang apa yang akan dipimpinnya".

" Oleh yang demikian Rasulullah melarang daripada meminta-minta untuk dilantik sebagai pemimpin melalui hadith baginda SAW: Maksudnya: “Diberitakan daripada Abdul Rahman bin Samurah, beliau berkata: bahawa Rasulullah SAW besabda kepadaku: Wahai Abdul Rahman! Jaganlah engkau meminta untuk menjadi pemimpin, kerana sesungguhnya jika engkau diberi kuasa kerana meminta, maka engkau akan dibebaninya. Sebaliknya jika engkau diberi kuasa tanpa meminta, maka engkau akan dibantu (oleh Allah)”.Menurut HAMKA, Allah SWT telah menjelaskan dengan terang dan tanpa berselindung bahawa perkara yang membentuk pimpinan ialah tiga iaitu Allah,rasul dan orang yang beriman, mereka adalah merupakan saluran yang akan menyalurkan kehendak Allah dan rasul dalam mengemudi umat serta mencapai reda Allah".

" Ini telah termaktub dalam firman Allah dalam surah al-Ma‟idah (5):55-56 yang bermaksud: Maksudnya: “Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku„ (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang”. Ayat 55 Surah al-Ma‟idah merupakan suatu pernyataan yang tegas tentang pimpinan Islam dan tidak ada pimpinan Islam selain daripada tiga faktor membentuk pimpinan iaitu Allah, rasul dan orang-orang yang beriman."

23 July 2013

Sejauh mana sifat Pura-Pura Pemimpin Boleh Bertahan?

PERLU diterima hakekat, bahawa seseorang yang dinobatkan sebagai pemimpin kerana seseorang itu dilihat keikhlasannya dalam memimpin. Kerana sifat keikhlasan itu, maka selain dipermudahkan oleh Allah dalam semua urusannya,maka manusia sebagai pengikut atau penyokong yang juga ciptaan Allah, terbuka hati mereka menyokong dan seterusnya menobatkan seseorang itu menjadi pemimpin.

Nawaitu seseorang itu tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan Allah, atas sebab itu, pesanan itu disampaikan oleh Allah kepada manusia yang termasuk di mana seseorang itu ingin menjadi pemimpin. Kerana kuasa Allahlah, sebahagian manusia (rakyat) di mana seseorang itu mahu menjadi pemimpin mengerak hati manusia-manusia itu (rakyat) memberi peluang kepada seseorang itu menjadi pemimpin.

Namun, namanya juga manusia. Allah telah menjanjikan berbagai dugaan dan cabaran kepada hamba-hambanya. Syaitan dan iblis telah bersumpah di depan Maha Pencipta, bahawa akan mengheret bani adam ke lembah yang tidak diredhali Allah sehingga ke hari kiamat.

Atas sebab itu, hanya manusia yang sempurna iman dan ketaqwaannya sahaja yang mampu menghindar daripada godaan syaitan dan iblis.

Kerana godaan syiatan dan iblis itulah, seseorang pemimpin yang sebelumnya jelas nawaitunya, dan atas sebab itu jugalah menjadi pemimpin kepada umat (rakyat); namun,akibat godaan syiatan dan iblis maka kemudian bertukar daripada nawiatu asalnya. Jika dahulu dia (pemimpin itu) cukup baik hubungannya dengan manusia dengan menjahukan dirinya daripada sifa-sifat munafik seperti mungkir janji; kini memilih sifat-sifat yang dimurkahi oleh Allah itu.

Kenapa berlaku demikian? kerana perasaan riak dan sombong telah menaklukinya. Kenapa ada sifat riak dan sombong? kerana daripada segi kedudukan dan kebendaan, dia telah menikmatinya jauh melebihi orang lain.

Rezki yang diberikan oleh Allah kerana nawaitunya ingin menjadi pemimpin, agar supaya dapat membantu atau meringankan beban umat (rakyat) yang dipimpinnya; kini dia rasakan adalah miliknya dan tidak perlu lagi menghulur bantuan kepada penyokong atau pengikutnya.

Sebenarnya Allah senantisa memberi perkhabaran yang seawal mungkin kepada umatnya, atas sebab itu, sebelum seseorang pemimpin itu tersungkur daripada kedudukannya; Allah akan menjadikan seseorang itu lupa diri, takabur dan sombong. Lambat laun, sifat kepura-puraan seseorang pemimpin itu akan terdedah dan akhirnya tersungkur.

Dalam negara kita, kita telah menyaksikan bagaimana ramainya pemimpin yang pada mulanya dikagumi, dan dihormati, kemudian menjadi seseorang yang tidak dipandang lagi, selepas tidak mempunyai kuasa, kuasa dalam kedudukan atau dari segi harta benda.

Sebenarnya Allah sungguh pemurah, jika ada hambanya memohon maka akan dikabulkan; demikian juga jika permohonan hambanya itu hanya lakonan, maka sebelum dipanggil menghadap Illahi, maka akan merasa azab di dunia.

Bulan Ramadhan: Penghayatan Ayat 183 Al-Baqarah

Bulan Ramadhan adalah bulan Al Qur’an. Semestinya di bulan Al- Qur’an ini umat Islam mengencangkan ikat pinggang dan  lebih bersemangat membaca serta merenungkan isi Al- Qur’an Al- Karim. Merenungkan isi Al-Qur’an hendaknya mendapat bahagian yang besar dari aktiviti umat muslim di bulan suci ini. Mengingat hanya dengan inilah umat Islam dapat mengembalikan fungsi  Al- Qur’an sebagai pedoman hidup dan panduan menuju jalan yang benar.

“Bulan Ramadhan adalah bulan bulan diturunkannya Al -Qur’an. Al- Quran adalah petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)” (QS. Al Baqarah: 185)

Usaha yang mulia ini boleh dimulai dari sebuah ayat yang sering dibacakan, dikumandangkan, bahkan dihafal oleh kaum muslimin, iaitu surat Al Baqarah ayat 183, yang membahas tentang ibadah puasa. Ayat yang mulia. 

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)

Ayat ini mengandung banyak pelajaran berharga berkaitan dengan ibadah puasa. 

“Wahai orang-orang yang beriman”

Dari lafadz ini diketahui bahwa ayat ini madaniyyah atau diturunkan di Madinah (setelah hijrah), sedangkan yang diawali dengan yaa ayyuhan naas, atau yaa bani adam, adalah ayat makkiyyah atau diturunkan di Makkah.

Imam Ath Thabari menyatakan bahwa maksud  : “Wahai orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, membenarkan keduanya dan mengikrarkan keimanan kepada keduanya”. Ibnu Katsir menafsirkan ayat ini: “Firman Allah Ta’ala ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman dari umat manusia dan ini merupakan perintah untuk melaksanakan ibadah puasa.

Dari pengertian ini kita melihat dengan jelas adanya kaitan antara puasa dengan keimanan seseorang. Allah Ta’ala memerintahkan puasa kepada orang-orang yang memiliki iman, dengan demikian Allah Ta’ala pun hanya menerima puasa dari jiwa-jiwa yang terdapat iman di dalamnya. Dan puasa juga merupakan tanda kesempurnaan keimanan seseorang.

Lalu, apakah iman itu?

Iman secara bahasa ertinya percaya atau membenarkan. “Dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar” (QS. Yusuf: 17)

 Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam menjelaskan makna iman dalam sebuah hadits “Iman adalah engkau mengimani Allah, mengimani Malaikat-Nya, mengimani Kitab-kitab-Nya, mengimani para Rasul-Nya, mengimani hari kiamat, mengimani qadha dan qadar, yang baik maupun yang buruk”.

Demikianlah enam poin yang harus dimiliki oleh orang yang mengaku beriman. Maka orang enggan mempersembahkan ibadah kepada Allah semata, atau menyembah sesembahan lain selain Allah, perlu dipertanyakan kesempurnaan imannya. Orang yang enggan mengimani Muhammad adalah Rasulullah atau meninggalkan sunnahnya, mengada-adakan ibadah yang tidak beliau lakukan, perlu dipertanyakan kesempurnaan imannya. Orang yang tidak percaya adanya Malaikat, tidak percaya datangnya kiamat, tidak percaya takdir, perlu dipertanyakan kesempurnaan imannya.

Namun jangan anda mengira bahwa iman itu sekedar percaya di dalam hati. Imam Asy Syafi’i menjelaskan: “Setahu saya, telah menjadi ijma para sahabat serta para tabi’in bahwa iman itu berupa perkataan, perbuatan, dan niat (perbuatan hati), jangan mengurangi salah satu pun dari tiga hal ini”.

Dengan demikian tidak dapat dibenarkan orang yang mengaku beriman namun enggan melaksanakan sembayang, enggan membayar zakat, dan amalan-amalan lahiriah lainnya. Atau wanita yang mengatakan “Walau saya tidak berjilbab, yang penting hati saya berjilbab”. Jika imannya benar, tentu hati yang ‘berjilbab’ akan ditunjukkan juga secara lahiriah, iaitu memakai jilbab dan busana muslimah dengan benar. Oleh karena itu pula, puasa sebagai amalan lahiriah merupakan konsekuensi iman. 

“Telah diwajibkan atas kamu berpuasa ”

Al Qurthubi memberi penjelasan pengertiannya: “Sebagaimana Allah Ta’ala telah menyebutkan wajibnya qishash dan wasiat kepada orang-orang yang mukallaf, Allah Ta’ala juga menyebutkan kewajiban puasa dan mewajibkannya kepada mereka. Tidak ada perselisihan pendapat mengenai wajibnya”.

Namun ketahuilah, di awal perkembangan Islam, puasa belum diwajibkan melainkan hanya dianjurkan. Sebagaimana pengertian “Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (puasa), maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui” (QS. Al Baqarah: 184)

Ibnu Katsir menjelaskan dengan panjang lebar tentang masalah ini, kemudian beliau menyatakan: “Kesimpulannya, penghapusan hukum (dianjurkannya puasa) benar adanya bagi orang yang tidak sedang bepergian dan sihat badannya, iaitu dengan diwajibkannya puasa berdasarkan pengertian "Barangsiapa di antara kamu hadir di bulan Ramadhan itu, wajib baginya puasa‘ (QS. Al Baqarah: 185)”.

Bertahapnya pewajiban ibadah puasa ini berjalan sesuai kondisi  aqidah umat Islam ketika itu. Syaikh Ali Hasan Al Halabi -hafizhahullah- menyatakan: “Kewajiban puasa ditunda hingga tahun kedua Hijriah, iaitu ketika para sahabat telah mantap dalam bertauhid dan dalam mengagungkan syiar Islam. Perpindahan hukum ini dilakukan secara bertahap. Kerana awalnya mereka diberi pilihan untuk berpuasa atau tidak, namun tetap dianjurkan”.

Dari hal ini terdapat sebuah pengajaran berharga bagi kita, bahwa ketaatan seorang hamba kepada Rabb-Nya berbanding lurus dengan sejauh mana ia menerapkan  tauhid.

“Sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu”

Imam Al Alusi dalam tafsirnya menjelaskan: “Yang dimaksud dengan ‘orang-orang sebelum kamu’ adalah para Nabi sejak masa Nabi Adam ‘Alaihissalam sampai sekarang, sebagaimana keumuman yang ditunjukkan dengan adanya isim maushul. Menurut Ibnu Abbas dan Mujahid, yang dimaksud di sini adalah Ahlul Kitab. Menurut Al Hasan, As Suddi, dan As Sya’bi yang dimaksud adalah kaum Nasrani.

Pengertian Ayat ini menunjukkan adanya penekanan hukum, penambah semangat, serta melegakan hati lawan bicara (iaitu manusia). Kerana suatu perkara yang rahsia itu jika sudah menjadi hal yang umum dilakukan orang banyak, akan menjadi hal yang biasa saja.

Adapun permisalan puasa umat Muhammad dengan umat sebelumnya, iaitu baik berupa sama-sama wajib hukumnya, atau sama waktu pelaksanaannya, atau juga sama kadarnya.

Beberapa riwayat menyatakan bahwa puasa umat sebelum umat Muhammad adalah disyariatkannya puasa tiga hari setiap bulannya, sebagaimana diterangkan oleh Ibnu Katsir dalam Tafsirnya: “Terdapat riwayat dari Muadz, Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas, Atha’, Qatadah, Ad Dhahak bin Mazahim, yang menyatakan bahwa  ibadah puasa awalnya hanya diwajibkan selama tiga hari setiap bulannya, kemudian hal itu di-nasakh dengan disyariatkannya puasa Ramadhan. Dalam riwayat tersebut terdapat tambahan bahwa kewajiban puasa tiga hari setiap bulan sudah ada sejak zaman Nabi Nuh hingga akhirnya di-nasakh oleh Allah Ta’ala dengan puasa Ramadhan”.

“Agar kamu Bertaqwa”

Kata la’alla dalam Al -Qur’an memiliki beberapa makna, diantaranya ta’lil (alasan) dan tarajji ‘indal mukhathab (harapan dari sisi orang diajak bicara). Dengan makna ta’lil, dapat kita ertikan bahwa alasan diwajibkannya puasa adalah agar orang yang berpuasa mencapai derajat taqwa. Dengan makna tarajji, dapat kita ertikan bahwa orang yang berpuasa berharap dengan perantaraan puasanya ia dapat menjadi orang yang bertaqwa.

Menurut Imam At Thabari : “ Agar Kamu Bertqwa (menjauhkan diri) dari makan, minum dan berjima’ dengan wanita ketika puasa”.

Imam Al Baghawi memperluas tafsiran tersebut dengan penjelasannya: “Maksudnya, mudah-mudahan kalian bertaqwa kerana sebab puasa. Kerana puasa adalah wasilah menuju taqwa. Sebab puasa dapat menundukkan nafsu dan mengalahkan syahwat. Sebahagian ahli tafsir juga menyatakan, maksudnya: agar kamu waspada terhadap syahwat yang muncul dari makanan, minuman dan jima”.

Dalam Tafsir Jalalain dijelaskan dengan ringkas: “Maksudnya, agar kamu bertaqwa dari maksiat. Sebab puasa dapat mengalahkan syahwat yang merupakan sumber maksiat”.

Yang menjadi pertanyaan sekarang, apakah taqwa itu?

Secara bahasa arab, taqwa berasal dari fi’il ittaqa-yattaqi, yang ertinya berhati-hati, waspada, takut. Bertaqwa dari maksiat maksudnya waspada dan takut terjerumus dalam maksiat. Namun secara istilah, definisi taqwa yang terindah adalah yang diungkapkan oleh Thalq Bin Habib Al’Anazi: “Taqwa adalah mengamalkan ketaatan kepada Allah dengan cahaya Allah (dalil), mengharap ampunan Allah, meninggalkan maksiat dengan cahaya Allah (dalil), dan takut terhadap adzab Allah”.

Demikianlah sifat orang yang bertaqwa. Orang yang bertaqwa beribadah, bermuamalah, bergaul, mengerjakan kebaikan kerana ia teringat dalil yang menjanjikan ganjaran dari Allah Ta’ala, bukan atas dasar ikut-ikutan, tradisi, taklid buta, atau orientasi duniawi. Demikian juga orang bertaqwa senantiasa takut mengerjakan hal yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya, kerana ia teringat dalil yang mengancam dengan adzab yang mengerikan. Dari sini kita tahu bahwa ketaqwaan tidak mungkin tercapai tanpa memiliki cahaya Allah, iaitu ilmu terhadap dalil Al-Qur’an dan sunnah Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam. Jika seseorang memenuhi kriteria ini, layaklah ia menjadi hamba yang mulia di sisinya:

“Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa di antara kalian” (QS. Al Hujurat: 13)

Setelah mengetahui makna taqwa, semaklah penjelasan indah berikut ini dari Syaikh Abdurrahman bin Nashir As Sa’di rahimahullah dalam tafsirnya, tentang keterkaitan antara puasa dengan ketaqwaan: “Puasa itu salah satu sebab terbesar menuju ketaqwaan. Kerana orang yang berpuasa telah melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangannya. Selain itu, keterkaitan yang lebih luas lagi antara puasa dan ketaqwaan:

Orang yang berpuasa menjauhkan diri dari yang diharamkan oleh Allah berupa makan, minum jima’ dan semisalnya. Padahal jiwa manusia memiliki kecenderungan kepada semua itu. Ia meninggalkan semua itu demi mendekatkan diri kepada Allah, dan mengharap pahala dari-Nya. Ini semua merupakan bentuk taqwa’
Orang yang berpuasa melatih dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah, dengan menjauhi hal-hal yang disukai oleh nafsunya, padahal sebetulnya ia mampu untuk makan, minum atau berjima tanpa diketahui orang, namun ia meninggalkannya kerana sedar bahwa Allah mengawasinya.

Puasa itu mempersempit gerak syaitan dalam aliran darah manusia, sehingga pengaruh syaitan melemah. Akibatnya maksiat dapat dikurangi.

Puasa itu secara umum dapat memperbanyak ketaatan kepada Allah, dan ini merupakan tabiat orang yang bertaqwa.

Dengan puasa, orang kaya merasakan bahangnya rasa lapar. Sehingga ia akan lebih peduli kepada orang-orang faqir yang kekurangan. Dan ini juga merupakan tabiat orang yang bertaqwa”.

Semoga puasa kita dapat menjadi saksi dihadapan Allah tentang keimanan kita kepada-Nya. Dan semoga puasa kita mengantarkan kita menuju derajat taqwa, menjadi hamba yang mulia di sisi Allah Ta’ala. Walu-allam.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels