9 November 2009

Nizar News: MCA Telahpun Ditolak Kaum Cina: Imbas Keputusan PRU-12

DS Najib tidak akan campur tangan dalam masalah dalaman MCA, kecuali beliau menerima jemputan yang jelas dari parti itu untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa MCA seharusnya menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin bagi memastikan ia muncul sebagai sebuah parti yang kukuh dan bersatu.

Menjawab satu soalan, beliau berkata 'pelan perpaduan lebih menyeluruh' yang sedang diusahakan dalam parti itu, dicetuskan oleh kepimpinan MCA sendiri bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Ia bukan pelan saya, tapi ditampilkan oleh kepimpinan MCA sendiri. Mereka ada memaklumkan kepada saya mengenainya, dan saya beritahu mereka bahawa apa yang paling penting adalah saya mahukan sebuah parti MCA yang kukuh dan bersatu. Kemudian baru MCA boleh mewakili majoriti komuniti Cina," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kongres Tahunan Parti Demokratik Liberal di 1Borneo di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata MCA tidak punyai pilihan, mereka perlu menangani masalah dalaman dengan segera kerana sekiranya ia tidak diselesaikan dalam tempoh masa tertentu, ada kemungkinan calon-calon MCA ditolak orang ramai pada pilihan raya akan datang.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden Umno berkata sudah tiba masanya bagi MCA meminta Najib, yang juga pengerusi BN, untuk masuk campur dan cuba menyelesaikan masalah kepimpinan parti itu.

MCA mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) pada 10 Oktober lepas dalam usaha menyelesaikan krisis kepimpinan yang dihadapinya, namun hasilnya dilihat masih belum dapat merungkai masalah yang melanda parti itu.

Ini ekoran kumpulan yang mendakwa mewakili 16 orang atau satu pertima anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA memanggil EGM baru pada 28 November ini untuk membolehkan perwakilan memutuskan sama ada pemilihan baru MCA perlu diadakan. - Bernama

8 November 2009

Satu Lagi PRK. Kali Ini Di Sabah

Kekosongan akan berlaku di Usukan Kota Belud. Penyandang DUN Usukan adalah mantan Ketua Pemuda Umno Sabah Datuk Japlin Akim juga berjawatan pembantu menteri dalam kabinet Musa Aman.


Datuk Japlin pada awal tahun ini telah ditangkap oleh pihak SPRM berkaitan dengan politik wang yang dikatakan untuk membantu Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno Malaysia sekarang ini.

Sejak akhir-akhir ini kelibat Datuk Japlin bagi kawasan Usukan tidak kenampakan lagi. Seolah-olah ADUN tersebut sirna.

Menurut sumber yang boleh dipercaya, Datuk Japlin akan diminta mengosongkan DUN Usukan, demi imej parti dan kabinet Musa Aman.

Dikhabarkan pula DS Najib telahpun berjumpa dengan Japlin untuk menentukan tarikh pengosongan Dewan Undangan negeri tersebut.

Jika Japlin menunaikan janji untuk mengosongkan DUN Usukuan, maka PRK terpaksa diadakan, kerana tempoh PRU-13 masih lebih 2 tahun.

Menurut peraturan SPR, jika kekosongan sesuatu kawasan berlaku dalam masa kurang dari 2 tahun PRU berikutnya harus dilaksanakan, maka SPR tidak perlu mengadakan Pilihanraya kecil (PRK).

Jika PRK DUN Usukan perlu diadakan, maka calon BN telah dapat dipastikan samadada Datuk Salleh Said Keruak atau Kakaknya Saidatul Badru bagi mewakili BN.

Saida telah dikhabarkan mendapat sokongan kuat Musa Aman dan Musbah Jamli, sementara itu Salleh Said mendapat sokongan TSPandikar Speaker Dewan Rakyat sekarang ini dan Datuk Safie Afdal.Dipercayai juga, Datuk Salleh mendapat restu daripada DS Najib.

Apa kah kebenaran khabar-khabar angin ini akan menjadi kenyataan, sama-sama kita tunggu dalam masa terdekat ini.

Nizar News: Antara Malu Dan Segan Melihat Manusia Mabuk

Setelah membaca tulisan A Kadir Jasin Sepanjang Jalan kenangan mengenai gambaran sejarah kependudukan negara khususnya Ipoh-Perak yang menerangkan bahawa pada waktu dahulu menghisap candu dan meminum todi merupakan budaya yang sebati dengan buruh-buruh China dan India yang dibawah masuk oleh penjajah Inggeris ke Semenanjung Tanah Melayu.

Konotasi candu dan todi membawa erti bahawa jika seseorang menghisap candu dan meminum todi bagaimana biasanyapun seseorang itu, pasti pada suatu ketika pasti mengalami loyah maupun mabuk.

Apabila seseorang itu jatuh mabuk, maka penguasaan dirinya tidak terkawal, atas sebab- pergerakan, tindakan serta kelakuan bukan lagi ini berpandu kepada akal fikiran, tetapi berpandukan kepada kuasa candu dan todi.

Sering kita terbaca keputusan-keputusan mahkamah yang mendapati seseorang yang telah melakukan pembunuhan pada keadaan mabuk terlepas dari tiang gantung,kerana pertuduhan berubah kepada pembunuhan tanpa niat.

Di Sabah, banyak kejadian seumpama ini terjadi. Musim meminum terutama pada musim-musim menyambut perayaan seperti pesta keaamatan, krismas dan tahun baru. Pemandangan di kedai-kedai yang dibolehkan menjual minuman yang memabukan- ramailah penduduk negara ini menikmati minuman seperti stout, anchor, carlsberg, mantako, malahan ada yang meminum whisky maupun brandy.

Akibat meminum minuman yang memabukan ini- telah berkali-kali peristiwa pembunuhan semasa sendiri terjadi. Di Sabah sahaja tahun 2008- berita yang sempat saya baca sahaja ada empat kejadian pembunuhan secara sesama sendiri kerana pengaruh minuman memabukan.

Rupanya sebab musabab kenapa seluruh agama melarang mengkonsumsi benda-benda yang memambukan kerana pengambilan benda-benda ini terlalu memudaratkan manusia. Akibat mabuk bukan sahaja menghilangkan kewarasan kepada seseorang pada masa-masa tertentu, tetapi juga mengambil benda-benda yang memambukan ini boleh membawa kepada bencana ketagihan.

A Kadir Jasin secara tersirat menggambarkan pengalaman dan pengajaran yang beliau dapat semasa sehari suntuk berada di Ipoh- Perak pada 7 Mei 2009, menyaksikan kejadian dan tindakan para penyokong Pakatan yang berada dalam suasana mabuk, bertindak tanpa kewajaran, tanpa pertimbangan akal fikiran dan penuh emosi.

Rupanya di mata A Kadir Jasin- orang mabuk mempunyai kelakuan lain dari manusia normal dalam segala aspek sehinggakan bagi yang melihatpun merasa malu dan segan, kerana para pelaku adalah sebahagian dari rakyat negara ini, yang dikategorikan mempunyai sopan santun dan akhlak yang tinggi.

7 November 2009

Nizar No.3 Paling Popular Dalam Parti Pas: Tinjauan Akademik

Membentangkan dapatan tinjauan yang dikendalikannya itu di seminar politik PAS pagi ini, Dr Abu Hassan berkata, Nik Aziz juga masih mengungguli di tempat pertama sebagai pemimpin paling popular dalam PAS.

Sementara itu, terdapat penemuan mengejutkan apabila Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak berada di tangga kelima pemimpin PAS paling popular.

Abdul Hadi, yang berada di kedudukan belakang Nik Aziz, diikuti dua lagi pemimpin PAS: bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin (ketiga) dan ahli jawatankuasa pusat parti Mohamad Sabu (keempat).

Dr Abu Hasaan juga berkata tinjauan sama menunjukkan separuh daripada masalah PAS berpunca daripada kelemahan kepemimpinan.

Penceramah popular itu menambah, masalah kepemimpinan menyebabkan 50 peratus kelemahan PAS, berbanding faktor individu (27 peratus), jentera parti (11 peratus), masalah ideologi (10 peratus), dan manifesto (1 peratus).

Daripada aspek kekuatan pula, tinjauan tersebut mendapati, Dewan Muslimat mempunyai jentera yang terbaik dalam pilihan raya berbanding Pemuda PAS.

Nizar: Hadi Awang Pemimpin Tulin: Dikritik Hebat Tetapi Tetap Dingin

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan walaupun dikritik hebat dan didesak berbuat demikian.

"Pemimpin dipilih melalui muktamar parti dan ia adalah amanah...saya tidak akan membuang baju amanah ini," katanya semasa menggulung hujah pada Seminar Khas Memperkasakan Parti PAS di Markas Tarbiyah Pusat parti itu di Taman Melewar di sini pada hari Sabtu.

Beliau berkata sebagai pemimpin, seseorang itu perlu bersikap profesional dan menerima sebarang kritikan dengan hati terbuka walaupun ia pedih.

"Pemimpin PAS ibarat pemain bola dan kita perlu berjiwa besar dalam menghadapi masalah.

"Walaupun ada teguran yang keras...suruh pecat kapten, buang pengurus dan pemain, tapi kita belum habis separuh masa pertama...kita pemain profesional, bukannya pemain kampung," katanya.

Sementara itu pada sidang akhbar selepas seminar itu, Abdul Hadi merumuskan bahawa seminar itu sebagai berjaya.

"InsyaAllah, kita (PAS) dapat menunjukkan prestasi yang baik untuk menghadapi cabaran yang akan datang bagi membuat perubahan bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Kita anggap ini bahtera baru yang perlu diperkukuhkan lagi untuk melayari perjuangan perubahan di negara kita," katanya.

Seminar itu turut meluluskan lima resolusi iaitu:

- mengukuhkan Pakatan Rakyat (PR) dan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya umum -13 secara lebih proaktif dalam memudahkan urusan pakatan melaksanakan urusan kerajaan di bawah pengurusan PR.

- meningkatkan sokongan bukan Muslim dengan bertindak aktif menubuhkan Kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.

- memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi serta menguatkan parti di peringkat akar umbi seluruh negara.

- membuat bayangan jelas kepada golongan muda terhadap PAS untuk meningkatkan semula sokongan serta menyegarkan unit amal secara komprehensif dengan meningkatkan modul sedia ada.

- membuat pelan tindakan antaranya menguatkan kempen nasional yang bertemakan 'PAS Untuk Semua'.

Nizar News: SUBUR Elak Pendatang Asing Dan Penjual Bihun:Najib

Mulai 1 Dis, lebih 200,000 keluarga di seluruh negara bakal menikmati Subsidi Beras Untuk Rakyat (SUBUR) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini.

Najib berkata melalui SUBUR golongan miskin, miskin tegar termasuk golongan Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak mendapatkan baucar-baucar untuk ditukarkan bagi mendapatkan atau membeli beras terutamanya beras Super Tempatan 15 peratus (ST15).

Bagi golongan miskin tegar mereka akan mendapat baucar bernilai RM24 yang membolehkan mereka mendapat sekampit beras 10kg bernilai RM24 dan dengan tiga baucar bernilai RM24 diberi dalam sebulan, mereka akan mendapat 30kg beras secara percuma.

"Kalau 30kg cukup, kalau makan sepinggan cukup, kalau dua pinggan pun cukup," katanya semasa berucap melancarkan skim itu di Dataran Tonggak 10 Sungai Besar di sini malam Jumaat.

Perdana Menteri berkata bagi golongan miskin, mereka akan diberikan baucar bernilai RM10 di mana mereka perlu menambah RM14 bagi mendapatkan sekampit beras seberat 10kg.

Najib berkata oleh itu jangan diperlekehkan Barisan Nasional kerana ia merupakan kerajaan yang menjadi juara kepada rakyat kerana ia banyak membela nasib rakyat.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan baucar kepada enam penerima terpilih daripada kaum Melayu, India dan Cina, Orang Asli serta Bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar, yang turut hadir pada pelancaran itu, berkata program ini dirangka bagi memastikan subsidi beras menepati sasaran kerana sebelum ini berlaku ketirisan di mana beras ST15 boleh dibeli oleh pendatang asing dan juga pengusaha-pengusaha bihun.

Beliau berkata jika ada di antara golongan miskin dan miskin tegar yang tidak tersenarai di dalam senarai penerima baucar ini mereka boleh mendaftarkan nama mereka di agensi-agensi kementerian dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Noriah Kasnon, dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim.

Nizar News: Petronas Beri Fakta Salah Pada Najib: Soal Royalty Minyak (rujuk perjanjian 1974)

Rakyat empat negeri pengeluar petroleum di Malaysia diminta agar tidak terpedaya dengan penjelasan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kedudukan sumber petroleum mestilah tiga batu nautika dari perairan negeri untuk mendapat royalti.

Ini kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 tidak meletakkan syarat bahawa untuk mendapat royalti, kedudukan sumber pengeluaran petroleum mesti terletak tidak kurang dari tiga batu nautika dari perairan negeri.

Meskipun Perdana Menteri tidak menyebut negeri Sabah dan Sarawak, namun rakyat kedua-dua negeri itu harus bersedia dengan kemungkinan royalti mereka dirampas kerana umum mengetahui bahawa pengeluaran petroleum di kedua-dua negeri terbabit juga terletak lebih dari tiga batu nautika daripada perairan negeri.

Jika takrifan tiga batu nautika yang dibuat Najib itu diguna (pakai, ini bererti Sabah dan Sarawak sudah tidak layak mendapat royalty, sebaliknya turut mendapat wang ehsan.

Dr Hata Ramli (PAS-Kuala Krai) berkata, penjelasan Najib yang juga Menteri Kewangan itu menggambarkan bahawa Kerajaan Persekutuan menganggap hasil petroleum berkenaan milik mereka, dan negeri pengeluar tidak berhak untuk menuntutnya.

"Implikasi dari pengumuman Datuk Seri Najib itu, bahawa hasil petroleum empat negeri itu adalah kepunyaan kerajan pusat, termasuk Sabah dan Sarawak. "Apabila Perdana Menteri umum rakyat hanya dapat wang ehsan, bermaksud kerajaan pusat ingin memiliki hasil berkenaan secara mutlak dan berhak samaada hendak beri wang tersebut kepada rakyat atau tidak," Jelasnya dalam satu sidang media di lobi parlimen semalam.

Hata yang juga bendahari PAS hairan kenapa tiada seorang pun wakil rakyat Barisan Nasional dari Sabah dan Sarawak membahaskan isu itu. "Selepas pengumuman Perdana Menteri itu, belum ada seorang ahli parlimen BN dari Sabah, Sarawak dan Terengganu ambil isu ini untuk diperdebatkan,"

"Kita tak pasti samaada mereka terlepas pandang atau mereka sememangnya bersetuju bahawa apa yang diperoleh oleh ketiga-tiga negeri sebelum ini adalah wang ehsan,"katanya.

Sementara itu, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mahu rakyat Sabah dan Sarawak mendesak wakil rakyat mereka agar menyanggah fakta yang dikeluarkan Najib itu dan mempertahankan hak royalt yang diperoleh mereka selama ini.

"Saya menyeru rakyat khususnya sabah dan Sarawak mendesak ahli parlimen mereka untuk menyokong dan meyuarakan pendirian dan sikap yang lebih tegas," "Jika takrifan mengenai syarat tiga batu nautika itu diterima, ini merupakan penyerahan hak milik negeri sabah dan Sarawak dan jugaTerengganu kepada kerajaan pusat walaupun kita sedar ini bukan kehendak dan dengn persetujuan rakyat, katanya.

Tegas Khalid juga, jika wakil rakyat BN enggan bersuara untuk menyanggah pandangan dan tafsiran perdana menteri itu, rakyat wajar memilih wakil rakyat yang cintakan khazanah negeri.

Rabu lalu, Najib yang juga menteri kewangan mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk memberi wang ehsan petroleum kepada Kelantan mulai tahun depan. Pemberian itu adalah berasaskan pertimbangan sama yang diberikan kepada Terengganu iaitu mengambil kira pengeluaran petroleum di luar perairan negeri berkenaan.

Bagaimanapun, ahli parlimen Pakatan Rakyat menyanggah hujah Najib itu kerana bertentangan dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974._

6 November 2009

Nizar News: Wang 7 Juta Nilai Satu Kejujuran: Anak-anak Rampayan Ulu Kota Belud Perlukannya

Semasa bercuti dengan keluarga di selatan Perancis pada Ogos lepas, Datin Seri Rosmah Mansor terjumpa sebuah kotak milik Putera Saud Al-Saud dari Arab Saudi dalam sebuah bot dan memulangkannya kepada kerabat diraja itu.

Sebagai balasan kerana kejujurannya itu, isteri Perdana Menteri diberikan US$2 juta untuk rakyat Malaysia yang memerlukan.

NONEHari ini, Rosmah mengagihkan sebahagian wang itu berjumlah RM20,000 setiap satu kepada 13 persatuan amal termasuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Majlis AIDS Malaysia, Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia, Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia dan persatuan isteri wakil rakyat BN di setiap negeri.

Beliau berkata US$1 juta lagi akan diserahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menguruskan Sekolah Permata Pintar bagi menampung pembelian keperluan sekolah, manakala baki RM2.98 juta akan disimpan dalam tabung khas Bakti bagi membiayai kos rawatan kanak-kanak dan wanita yang berpenyakit kronik yang tidak berkemampuan.

Ketika menceritakan pertemuan kotak itu kepada pemberita, Rosmah berkata beliau sekeluarga sedang bercuti atas jemputan putera diraja Kuwait yang berkawan dengan anaknya, Riza Shahriz.

"Semasa sedang berkemas ketika hendak balik, saya terjumpa kotak itu dan berikannya kepada pengurus bot dan beritahunya supaya pulangkan barang berharga ini kepada tuan punya.

"Saya kata jangan usik, jangan buat apa-apa. Pastikan ia dalam keadaan baik dan beri kepada Putera Saud Al-Saud," katanya.

Menurutnya, dua minggu selepas itu baginda mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memulangkan kotak itu yang tercicir semasa sedang bercuti dalam bot yang sama.

"Putera itu kata nak berikan hadiah dan saya kata hadiah terbaik adalah untuk kesejahteraan rakyat Malaysia," kata Rosmah.

Selepas menerima cek ganjaran itu, beliau berbincang dengan Datuk Seri Najib Razak yang meminta beliau menguruskan wang itu secepat mungkin dan diagihkan kepada pihak yang memerlukan.

"Saya juga meminta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri untuk ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya sumbangan ini bersih dan tiada pihak yang memutarbelitkan fakta," kata Rosmah.

Kotak yang ditemui itu dipercayai mengandungi beberapa keping cek. BERNAMA

Ulasan

Anak-anak Rampayan Ulu Kota Belud perlukannya agar tidak tercicir dalam dunia pendidikan. Makmal komputer diperlukan. Alat bantu mengajar diperlukan. Guru-guru terlatih diperlukan. Bayaran tiusyen diperlukan.

Kampung Rampayan Ulu adalah sebuah Kampung terpencil di daerah Kota Belud. Penduduknya majoriti masih daif dan miskin. Dalam sejarah kewujudan sekolah di kampung tersebut belum pernah ada anak-anak yang dapat skor 5A dalam UPSR.

Kekurangan zat makanan dan makanan seimbang merupakan proses biologi yang membantut pemikiran anak-anak kampung ini. Huluran bantuan dari sebuah kejujuran dari isteri Perdana Menteri merupakan harapan.

Nizar News: Pengarah JAIS Berfikiran Sempit: Penghalang Islam Berkembang: Dr Asri

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi bahawa orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid merupakan satu pandangan yang sempit.

Beliau berkata pandangan sedemikian menunjukkan Islam mewujudkan permusuhan di kalangan orang bukan Islam. "Jika pandangan yang seperti ini cuba diamalkan, ia menunjukkan seakan Islam itu wujudkan permusuhan dengan bukan Islam.

"Saya ingin menasihatkan kepada JAIS dan juga rakan-rakannya supaya janganlah memberi pandangan-pandangan yang sempit hingga akhirnya masyarakat bukan Islam akan melihat Islam dari sudut yang negatif," katanya kepada mStar Online.

Mohd Asri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohamed Khusrin yang dilaporkan bahawa orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid.

Kenyataan Mohamed Khusrin itu merujuk kepada tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar yang berucap di dewan utama sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang Ogos lalu.

Justeru Mohamed Khusrin dilaporkan berkata bahawa ahli jawatankuasa masjid berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang kerana membenarkan Xavier berucap di dewan masjid tersebut.

Bagaimanapun jelas Mohd Asri, beliau tidak mahu memfokuskan kepada kandungan ucapan ADUN berkenaan asalkan institusi masjid tidak digunakan sebagai alat untuk menentang Islam.

"Saya tak mahu fokus kepada ADUN berkenaan ataupun kandungan ucapannya, saya bukan nak cakap kes dia, tapi kenyataan JAIS yang kata orang bukan Islam tak boleh masuk masjid itu yang lebih penting.

"Tetapi jika seseorang itu masuk dan tidak mengganggu masjid, tidak mencemar masjid, atau nak berbincang dengan orang Islam, menerangkan tentang kebajikan yang nak dibuat seperti penerangan tentang kesihatan, penyakit mereka boleh masuk... selagi bukan nak menentang Islam," katanya.

Tegas Mohd Asri, pandangan berhubung orang bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid tidak sesuai diamalkan dalam negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama seperti Malaysia.

"Malah pandangan seperti ini akan menghalang minat kepada golongan bukan Islam untuk mendekati Islam. "Ia akan menimbulkan salah sangka, mereka mungkin tidak tahu apa maksudnya, bagaimana mereka pula dianggap sebagai wanita haid.

"Pandangan sempit sesetengah golongan agama ini menimbulkan salah faham orang bukan Islam di Malaysia ini," katanya.

Ditanya sama ada kenyatan seperti ini menunjukkan kelemahan JAIS dalam menangani isu berkenaan dengan lebih terbuka dan sensitif, Mohd Asri berkata: "Ini adalah satu lagi masalah JAIS, jika ada orang beri pandangan yang berbeza seperti ini mereka akan kata orang itu Wahabi, padahal ini tidak ada kaitan dengan Wahabi.

"Ini soal melihat pandangan yang lebih terbuka, padahal jika mereka (orang bukan Islam) masuk ke dalam masjid, mungkin banyak perkara yang mereka dapat manfaat daripadanya." Dalam pada itu, Mohd Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) menasihatkan agar satu pembaharuan secara menyeluruh dilakukan terhadap JAIS bagi menunjukkan kematangan Islam.

"Saya fikir satu pembaharuan perlu dilakukan secara bersunguh-sungguh dalam JAIS, mereka perlu menunjukkan keluasan fikiran... mereka perlu mengamalkan pendekatan yang lebih memperlihatkan kematangan Islam di negara ini," katanya.

Nizar News: Siapa Perunding Kota Belud Dapat RM121,000 Semasa Membina Dewan Masyarakat KB?

Akhirnya, Jumaat lepas, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak mengumumkan bahawa satu pasukan petugas akan ditubuhkan untuk mengkaji penemuan-penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengemukakan cadangan-cadangan untuk tindakan.

Pasukan petugas tersebut akan diterajui oleh Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara dan akan turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Audit Negara sendiri.

Jika perlu, Najib menambah, pasukan petugas itu akan turut disertai Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Katanya Kabinet memandang serius "ketaksekataan, penyalahgunaan kuasa dan salah urus" yang didedahkan dalam laporan tersebut.

Malangnya, orang awam mungkin menghadapi sedikit masalah untuk mempercayai beliau.

Kita telah mendengar masalah penyalahgunaan ini sekian lama. Pada 1982, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mula memegang tampuk kuasa, laporan Ketua Audit Negara pada waktu itu telah mendedahkan bagaimana mi segera Maggi dijual kepada angkatan tentera pada harga yang mustahil tingginya sedangkan harga pasarannya adalah sekitar 30 sen sebungkus. Ia mengejutkan namun tidak ada apa yang berlaku selepas itu.

Perkara yang sama terus berulang. Laporan terbaru Ketua Audit Negara antara lain menyebutkan bagaimana seorang perunding diberi gaji yang terlalu tinggi sehingga RM121,000 bagi membantu membina dewan orang ramai berharga RM4.25 juta di Kota Belud, Sabah yang telah siap pada 2005 tetapi kini perlu dibaiki dan tidak digunakan sepenuhnya.

Kemudian terdapat masalah pada Prasarana, sebuah agensi negeri yang ditubuhkan untuk meningkatkan taraf pengangkutan awam di Lembah Klang. Agensi itu telah ditubuhkan beberapa tahun lalu oleh Tan Sri Nor Mohamad Yakcop, Menteri Kewangan Kedua pada ketika itu, tetapi nampaknya ia diuruskan dengan begitu teruk.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008, agensi itu telah menggunakan banyak wang membeli bas yang berkualiti rendah. Ia juga membeli sebidang tanah yang terlalu mahal di Cheras, Kuala Lumpur. Prasarana mengalami kerugian hampir RM20 juta daripada pelaburan ekuitinya dalam satu syarikat pengangkutan yang merugikan.

Ia menghadapi "pengurusan yang tidak cekap dan tidak mempunyai tanda-tanda prestasi utama". Dan paling penting, ia mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM833 juta di antara 2005 dan 2007.

Tidak dapat dibayangkan berapakah kerugian yang sedang dialaminya kini. Dan ini merupakan syarikat yang diamanahkan untuk menjalankan satu daripada projek-projek infrastruktur terbesar Malaysia - sambungan dan peningkatan taraf sistem pengangkutan transit rel ringan Kuala Lumpur yang bernilai berbilion ringgit itu.

Keseluruhan idea laporan tersebut adalah untuk memastikan agensi-agensi kerajaan itu supaya mengetatkan pengurusan dan memasang perlindungan untuk mencegah penyalahgunaan sebegini daripada berulang. Tetapi di Malaysia, hal itu tidak berlaku, dan Parlimen terus dibentangkan setiap tahun dengan siri pembaziran kewangan yang mendukacitakan.

Tiada tindakan nampaknya diambil walaupun setiap tahun amaran-amaran muram dikeluarkan. Dalam laporan 2006, sebagai contoh, Ketua Audit Negara mendedahkan satu kes seorang kontraktor yang diberi gaji terlalu tinggi hampir RM20 juta dalam pembangunan sebuah taman laut di Selangor. Apa yang terjadi pada kajian khusus itu?

Amalan mengangkat bahu dan tidak mengambil tahu itu adalah tidak baik kepada perkhidmatan awam kerana ia mencemarkan semua - termasuk orang yang baik - di mata rakyat. Apa yang berlarutan dan kekal adalah kesinisan.

Najib berikrar bahawa tindakan akan diambil sama ada dalam bentuk pengadilan atau sekatan disiplin kerajaan. "Jika tidak, kita akan terus menyaksikan perkara yang sama berulang dalam Laporan Ketua Audit Negara, setiap tahun," kata Perdana Menteri.

Nizar News: Setelah PKFZ Kini PAC Beri Tumpuan LKABIR

Selepas menjalankan siasatan ke atas Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kini akan menumpukan perhatian ke atas Projek Landasan Kereta Api Berkembar Ipoh-Rawang(LKABIR) yang kos pembinaannya telah mencecah RM1.14 bilion.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid mengesahkan, Projek Landasan Kereta Api Berkembar Ipoh-Rawang yang turut mendapat perhatian dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 memang akan disiasat oleh jawatankuasa tersebut. “Saya sendiri akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Audit Negara untuk melihat kes mana yang perlu diberi keutamaan tetapi projek Landasan Berkembar Ipoh-Rawang adalah salah satu daripadanya,” ujar beliau.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, kos perbelanjaan projek berkenaan telah melebihi RM1 bilion daripada kos asal atas sebab-sebab kecuaian dan kegagalan kontraktor utama menyiapkannya mengikut jadual.

Kepada satu soalan mengapakah PAC memilih untuk menyiasat satu lagi kontrak kontroversi di bawah Kementerian Pengangkutan, Azmi menjawab ini tiada kaitan dengan mana-mana kementerian tetapi lebih kepada isu mana yang perlu diberikan perhatian utama.

“Masyarakat bertanyakan tentang perkara-perkara seperti ini dan tanggungjawab kami ialah untuk menyiasat apakah sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Sehingga Disember tahun lalu, kos pembinaan projek landasan berkembar itu telah meningkat dari RM1.43 bilion kepada RM5.77 bilion akibat tuntutan-tuntutan berlebihan yang tidak sepatutnya berlaku dan ditanggung oleh kerajaan.

Nizar Kempunan Jawatan MB: Mahkamah Persekutuan Tangguh Penghakiman

Soalan sama ada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendapat semula jawatan sebagai Menteri Besar Perak masih belum terjawab apabila Mahkamah Persekutuan Khamis menangguhkan pengumuman penghakimannya berhubung isu itu ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Panel lima hakim berkenaan menangguhkan pengumuman keputusannya setelah mendengar penghujahan secara panjang lebar selama lebih enam jam daripada tiga pihak yang terlibat dalam isu perlembagaan Perak itu.

Para hakim yang menganggotai panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria dan Hakim-hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Hari ini merupakan ruang terakhir bagi Mohammad Nizar mendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa selama ini beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Krisis politik Perak bermula apabila dua anggota dewan undangan negeri daripada PKR -- Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) keluar daripada parti itu pada 30 Jan, diikuti tindakan anggota dewan undangan negeri daripada DAP Hee Yit Foong (Jelapang) meninggalkan parti itu empat hari kemudian.

Berikutan itu, Mohammad Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb bagi memohon baginda membubarkan dewan undangan negeri, tetapi permohonan beliau ditolak.

Pada 6 Feb, Zambry dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru dan berikutan itu, Mohammad Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah dan memohon perintah mahkamah menghalang Zambry daripada melakasanakan tugas sebagai Menteri Besar.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak mempunyai kuasa untuk memecat Mohammad Nizar daripada jawatannya kerana beliau (Mohamad Nizar) tidak memegang jawatan itu atas dasar perkenan Sultan.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya ketika menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah bertindak betul apabila baginda melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru berpandukan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Negeri Perak, setelah baginda berpuas hati bahawa Zambry mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Mohammad Nizar, yang hadir di mahkamah hari ini, mengemukakan rayuan.

Dalam hujahnya hari ini, peguam utama Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar berkata Mahkamah Rayuan terkilaf dalam keputusannya kerana tidak mengguna pakai pendekatan yang tepat berhubung peruntukan yang terkadnung dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Katanya Mohammad Nizar tidak boleh dipecat oleh Sultan dan satu-satunya cara yang boleh menyingkirkan beliau ialah melalui undi tidak percaya oleh anggota dewan undangan negeri.

"Undang-undang Tubuh Negeri Perak tidak memperuntukkan budi bicara bagi melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar," kata beliau.

Dalam hujah balasnya, Peguam Negara Abdul Gani Patail berkata Sultan Perak telah menimbang dengan teliti fakta serta keadaan yang wujud sebelum mengisytiharkan pada 5 Feb bahawa Barisan Nasional (BN)mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri.

"Jelas sekali, Sultan Perak telah menunaikan tanggungjawab baginda dengan cara paling berhemah," kata beliau.

Sementara itu, dalam hujah beliau, peguam Datuk Cecil Abraham berkata tidak terdapat peruntukan secara tegas dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang menyebut bahawa kehilangan majoriti oleh seseorang Menteri Besar hanya boleh ditentukan oleh undi tidak percaya.

"Dalam kes ini, ia juga boleh ditentukan oleh Sultan setelah beliau memanggil menghadap 31 anggota dewan undangan negeri bagi memastikan siapa yang mendapat sokongan majoriti di dalam dewan," katanya.

Terdahlu, mahkamah itu menolak permohonan Mohammad Nizar agar rayuannya didengar oleh 11 hakim.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, Mohammad Nizar berkata beliau kecewa dengan keputusan hari ini kerana kes berkenaan mempunyai kesan serius terhadap kepentingan awam.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels