31 March 2014

Kenaikan Royalti Minyak: Prinsipnya Saya Setuju Tetapi... Rahman

" Saya setuju pada prinsipnya, tetapi perlu perbincangan menyeluruh" demikian ulasan MP Kota Belud Dato Rahman Dahalan yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan di Kota Belud semalam. Ulasan itu ada hubungan dengan desakan Pemuda PBS, Upko dan PBRS agar kerajaan Persekutuan menaikan royalti minyak yang dibayar kepada Sabah daripada 5% kepada 20%. Sebelum itu pada Sabtu di Kota Belud juga, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri- Datuk Dr Salleh Tun Said menyarankan kepada kerajaan Persekutuan agar jangan mengambil mudah desakan pemuda parti KDM itu (tanpa pemuda Umno).

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, menyuarakan kemungkinan besar, negeri itu akan meminta kerajaan Pusat melihat kembali kadar royalti minyak yang dibayar kepada negeri itu.

Dalam perkembangan yang sama, walaupun Rahman bersetuju secara prinsip berhubungan dengan desakan kenaikan royalti minyak, namun ianya perlu berasaskan satu mekanisme dan kerangka yang jelas.

Menurut MP Kota Belud itu, apakah melalui kenaikan royalti tidak menganggu penyaluran peruntukan kepada Sabah dan Sarawak? kerana sebagaimana yang kita ketahui melalui bajet sejak tahun 2009, peruntukan besar diberikan kepada Sabah dan Sarawak melebihi pendapatan yang dikutip daripada dua negeri itu. Sejak Dato Seri Najib dilantik sebagai Perdana Mneteri, Sabah dan Sarawak memperolehi bajet yang lebih berbanding negeri-negeri lain. Hakekat itu, kita perlu perhalusi dalam membincangkan royalti minyak, ulas Menteri itu.

Kita perlu menerima hakekat bahawa pendapatan Sabah dan Sarawak bukan hanya daripada royalti minyak tetapi juga peruntukan daripada kerajaan pusat. Atas sebab itu, membincangkan royalti minyak perlu melihat kepada peruntukan yang disalurkan kerajaan Pusat. Kerana kita perlu menerima hakekat, walaupun royalti hanya 5% akan tetapi peruntukan yang disalurkan jauh lebih daripada 5%.

Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah melihat, bahawa pembangkang secara terancang memainkan isu royalti minyak untuk kepentingan politik, malangnya ada sebahagian daripada parti atau pemimpin BN terikut rentak pembangkang itu.

Rahman menambah, Anwar berjanji untuk menaikan royalti minyak untuk negeri-negeri pengeluar minyak kepada 20% dan kenaikan itu pada satu-satu masa akan melibatkan jumlah kewangan tidak kurang RM12.5 bilion. Namun Anwar tidak menjelaskan daripada mana wang itu dan bagaimanakah mekanisme pengiraan pembayaran royalti 20%?

Sebelum ini Rahman mengulas panjang lebar disini bahawa Petronas lambat laun akan muflis kerana tidak berdaya maju jika sekiranya membayar 15% royalti apatah lagi 20%.
Dalam perkembangan yang lain Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong yang juga MP Kota Kinabalu menyatakan bahawa ADUN DAP bersedia mengemukakan usul di Dewan Undangan Negeri Sabah pada Persidangan dewan itu bulan depan. Juga, difahamkan ADUN Bingkor Dr Jeffery Kitingan telah menghantar usul itu kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah. Apa kah usul itu ditolak? atau tidak, maka sama-sama kita tunggu.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels