2 April 2014

Minyak dan Gas Sabah: Minta Naik Royalti Kah atau Minta Dikembalikan Hak?

Telah 40 tahun penubuhan Petronas. Dalam perjalannya, dalam tempoh masa itu syarikat milik negara itu telah termasuk dalam Forutne 500 Company di dunia. Juga, dalam perjalanannya, syarikat itu mampu membina Menara Berkembar Petronas. Terima kasih kepada Sabah dan Sarawak, kerana hasil minyak dan gasnya, syarikat berkaitan  dengan kerajaan itu menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.

Kini, Rakyat Sabah dan Sarawak merasakan sudah tiba masanya, syarikat yang berkembang atas sebab hasil bumi dua negeri itu, perlu mempunyai hak bukan hak dalam bentuk bayaran royalti seperti yang berlaku sekarang, akan tetapi hak dalam syarikat.

Kerajaan Pusat perlu mengkaji kedudukan ini, demi masa depan rakyat kedua negeri itu. Atas sebab Akta Petrolium 1974 artikel 4, sebenarnya menghapus hak-hak Sabah dan Sarawak untuk mencatur hasil buminya. Seharusnya perkara itu tidak berlaku, kerana perkara itu adalah asas utama penyertaan dua negeri itu bersama Malaya membentuk negara.

Tempoh masa 40 tahun, adalah masa yang cukup panjang. Atas sebab itu, tiba masanya hak sebenar  hasil bumi dua negeri itu dikembalikan. Tempoh masa 40 tahun, dua negeri itu membiarkan hasil buminya digunakan untuk membangun Malaya, namun keadaan negeri pengeluar hasil ketinggalan serba serbi.

Bukan sahaja  penguasaan hasil minyak dan gas bukan di tangan dua negeri itu, malah daripada segi peluang pekerjaanpun tidak positif kepada dua negeri itu. Apa lagi kalau bercakap berkaitan dengan pengurusan, jauh api daripada panggang. Kalaupun ada, akan tetapi rationya cukup kecil. 

Hasil minyak dan gas sepatutnya adalah peluang anak watan dua negeri itu untuk memajukan diri sendiri, umpamanya melalui peluang mendapatkan biasiswa, namun, terpaksa berkongsi dengan rakyat negeri-negeri lain, kalau adapun anak watan dua negeri itu mendapat peluang, akan tetapi jumlahnya kecil sekali.

Kini sebahagian besar rakyat dua negeri itu, merasakan bahawa hak milik selama 40 tahun yang terpaksa diserahkan atas sebab tertakluk kepada Akta Pembangunan Petrolium 1974, yang dianggap berat sebelah; seharusnya diperbetulkan, dan mengembalikan hak sebenarnya kepada pemiliknya.

Atas sebab itu, rakyat dua negeri itu, sebenarnya tidak perlu merayu akan tetapi para pemimpin pusat perlu melihatnya, demi keadilan kepada rakyat dua negeri itu.

Para pemimpin Sabah dan Sarawak dan juga rakyatnya perlu berjuang ke arah itu, melalui saluran yang sedia ada, agar supaya tiada yang merasa kecil hati, malahan ianya satu pembetulan kepada tindakan yang silap.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels