15 October 2018

11 HARI LAGI- KEPUTUSAN KEMELUT KETUA MENTERI SABAH

11 hari lagi, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan memutuskan kemelut Ketua Menteri Sabah.

Pada 24 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membatalkan saman Tan Sri Musa Aman yang mempertikaikan perlantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Mahkamah turut menolak satu lagi permohonan Shafie untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie yang berada di Kuching menyampaikan keputusan beliau melalui “teleconference” bahawa:

“Selepas melihat afidavit dan hujah daripada pihak yang terlibat saya berpuas hati bahawa pihak Plaintif telah menimbulkan Persoalan Undang-Undang yang memerlukan pertimbangan yang menyeluruh. Oleh itu tidaklah sesuai bagi saman itu dibatalkan secara ringkas.

Untuk itu, Yew mengarah pihak Plaintif (Musa) untuk memfail hujah pada 14 Sep, manakala Defenden pula pada 28 Sep. Plaintif boleh menfail jawapan pada 5 Okt sebelum beliau membuat keputusan pada 26 Okt.

Dilaporkan saman meminta deklarasi Mahkamah beliau sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah telah difailkan oleh Musa pada 6 Jun. Dalam saman itu, Musa menamakan Juhar sebagai defenden pertama dan Shafie sebagai defenden kedua.

Berikutan itu, Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah membalas saman Musa dengan memfailkan permohonan pembatalan saman Musa pada 28 Jun.

Beliau menyatakan saman terhadapnya oleh Musa harus dibatalkan kerana antaranya tidak mempunyai sebarang asas dan menyalahgunakan proses Mahkamah.

Sementara itu, Jahid dalam saman beliau yang juga akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 26 Okt telah menamakan Shafie, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Syed Abas Syed Ali dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Datuk Bernard Dalinting masing-masing sebagai defenden pertama, kedua dan ketiga.

26 Oktober, akan menjadi titik sejarah Sabah, kerana akan melihat di mana kedudukan Perlembagaan Negeri. Namun berasaskan pendapat mereka yang mahir berkenaan Perlembagaan Negeri, Hakim tiada pilihan selain mengikut apa kandungan Perlembagaan.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels