Showing posts with label BN Kota Belud. Show all posts
Showing posts with label BN Kota Belud. Show all posts

9 April 2013

PRU-13: Siapa Calon- Calon BN Kota Belud?

SEBENARNYA Jentera Barisan Nasional Kota Belud lama sudah bersedia berdepan dengan PRU-13. 

Pengerusi BN Kawasan Kota Belud Datuk Dr Salleh Tun Said yang juga Ketua Umno Bahagian sejak awal tahun ini menggerakan sepenuhnya Jentera BN melalui pengaktifan seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Suara Rakyat telah beberapa kali bertanya daripada pihak BN Kota Belud berapa jumlah PDM yang aktif beroperasi, namun setakat ini, jumlah itu belum diperolehi. Oleh kerana Suara Rakyat adalah pengundi Dun Tempasuk, maka mudahlah memaparkan jumlah PDM bagi kawasan Tempasuk. (Tempasuk mempunyai 19 PDM).

Bagi mengaktifkan dan meneruskan memontem pilihanraya, maka taklimat, mesyuarat sering dijalankan oleh pemimpin Kota belud, terutama oleh Datuk Salleh.

Semalam, satu taklimat bagi Jentera Pilihanraya DUN Kedamaian, telah diadakan. Pemudahcara taklimat adalah Datuk Salleh sendiri, dibantu oleh Datuk Rahman dan Datuk Herbert Timbun Lagadan.

Penamaan calon dan hari pengundi bagi PRU-13 belum ditentukan. SPR akan bermesyuarat esok untuk menetapkan dua tarikh tersebut.

Sementara bahang PRU-13 semakin hangat di Kota Belud, persoalan yang sering ditimbulkan adalah apa kah ada perubahan calon-calon bagi BN di kawasan Kota Belud? Di pihak PBS, Datuk Herbert Timbun Lagadan disahkan mempertahankan DUN Kedamaian, sementara di pihak Umno belum ada kepastian, samada mantan-mantan wakilnya yang baru sahaja melepaskan jawatan itu pada 3 April, akan dicalonkan semula.

Apa yang pasti, setakat ini semua pemimpin Kota Belud begitu aktif sekali, nyata belum ada seorangpun diantara mereka kendur dari segi kuantiti dan kualiti kerja.

Jentera BN Kota Belud sudah siap sedia, hanya menunggu pengumuman calon-calon.

23 March 2013

Kehangatan Politik Kota Belud semakin reda?

Suasana kehangatan politik Kota Belud tidak seperti lima tahun lalu. Kini, suasana itu sepertinya sudah reda, seolah-olah tiada lagi isu hangat yang diperbincangkan atau diutarakan, samada bersifat tomahan, kritikan, cadangan dan semacamnya.

Apa kah kecenderungan mereka yang suka berpolitik "kedai kopi"  sudah jenuh atau semua permasalahan yang dibangkitkan sudah terselesaikan ataukah sudah bosan membincangkannya?

Jika keadaan ini berlaku, maka pendekatan DS Najib memperlambat PRU-13 dan membiarkan penggal lima tahun sampai benar-benar sampai ke penghujungnya, sangat berbaloi, kerana tindakan itu mengurangkan politiking.

Di Kota Belud juga, terlihat bahawa semua pemimpin dimana sebelum ini "sering" diperlagakan antara satu sama lain, ternyata semua sangkaan itu tidak benar, kerana sejak awal tahun ini, semua pemimpin terbabit sering terlihat bersama-sama dan telah merapatkan barisan.

Kota Belud adalah satu kawasan yang dianggap sebagai simpanan tetap Bn. Kota Belud  salah satu kawasan yang mempunyai satu kawasan Parlimen dan tiga kawasan Dun. 

Secara tradisi, Parlimen ditandingi Umno termasuk Dun Tempasuk dan Usukan, sementara kedamaian oleh parti PBS.

Pada PRU-12 lalu, Parlimen Kota Belud dimenangi oleh Datuk Rahman Dahalan, Dun Usukan- Datuk Japlin Akim, Dun Tempasuk-Datuk Musbah Jamli.

Pada PRU-13, ada kemunginan status quo tahun 2008 dipertahankan oleh pucuk pimpinan, namun dalam percaturan politik, semuanya berkemungkinan.

Kawasan Dun Tempasuk misalnya, sejak tahun 1994, sering bertukar calon, sementara Usukan bertukar pada tahun 2004 dan Parlimen bertukar pada tahun 2008.

Inilah satu kelebihan kawasan Kota Belud, terdapat ramainya pemimpin, sehingga sukar bagi pucuk pimpinan mengambil keputusan. Berlainan dengan kawasan-kawasan lain, di mana berlaku "god father politics' namun Kota Belud, lebih gemar melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis.

Disebabkan semangat berpasukan yang terjalin antara para pemimpin Kota Belud, maka pada sebarang pilihanraya termasuk PRU-13, siapapun yang dipilih mewakili Bn, pastinya disokong kerana Bn Kota Belud enggan mencatitkan rekod bahawa kawasan itu bukan simpanan tetap Bn.

Tiada yang dapat membaca fikiran Ds Najib siapa yang bakal diturunkan di semua kawasan Kota belud, kecuali calon PBS kemungkinan Besar parti PBS masih memberi kepercayaan kepada Datuk Herbert Timbon Lagadan mempertahankan Dun Kedamaian. 

Sementera bagi calon-calon Umno, kita hanya mampu meneka, walaupun di atas kertas, kita mengenal siapa-siapa yang bakal diturunkan.

Meskipun senarai calon-calon Umno sudah dimuktamadkan sepertimana kenyataan Setiausaha Agung Umno, tetapi masih berlaku perubahan di saat-saat akhir.

Kalau berasaskan sikap akar umbi kota Belud, calon-calon yang dikira sangat "winnable Candidate" bagi kawasan Kota Belud di Dun Usukan adalah Datuk Dr Salleh Tun said, di Dun Tempasuk Datuk Haji Musbah Jamli dan di P169 Kota Belud-Datuk Rahman Dahalan.

Datuk Japlin Akim yang merupakan ADUN dua penggal bagi Dun Usukan, dipercayaai memberi laluan kepada Ketua Bahagian Umno Kota Belud bertanding di kawasan tersebut; setidaknya ini yang kita dengar sejak lima tahun yang lalu. Walau bagaimanapun kepastiannya, hanya pemimpin yang terbabit yang mengetahui dan tahu jawapannya.

Apapun, keputusan pemilihan calon tergantung kepada pucuk pimpinan parti. Bagi kita sebagai penyokong Bn siapapun calon Bn, kita perlu menyokong tanpa berbelah bahagi, kerana hanya melalui kemenangan calon-calon Bn sahaja menjamin kelangsungan kerajaan Bn.

Kita tidak sanggup memberi peluang kepada calon-calon daripada parti lain selain Bn, kerana pengalaman mengurus negara merupakan penting dalam memajukan negara. Cuba-cuba menukar, bukan sahaja tidak diketahui kejayaannya, takut-takut pula seperti tikus membaiki labu.

Rakyat Sabah perlu mengambil iktibar, bahawa perubahan kerajaan tahun 1985-1994, bukan sahaja Sabah menjadi mundur, malah kadar kemiskinan terus meningkat. 

Rakyat Sabah tidak perlu lagi kembali ke zaman-zaman gelap itu. Fikir-fikirkan lah.

16 March 2013

Yang Paling Mustahak adalah Undi Parti

KALAU kita mahu, pemimpin kita naik, maka undi parti. Pemimpin akan naik kerana parti. Dalam parti semua ada peranaan. Dalam parti semua ada peluang. 

Kalau kita tergantung kepada calon, maka kekalahan akan mendekati kita, atas sebab; mungkin calon itu ada yang tidak suka. Tiada calon yang dikatakan paling popular, kerana calon adalah manusia yang terdedah kepada kelemahan.

Calon terdedah kepada suku bangsa. Calon terdedah kepada banyak masalah. Atas sebab itu, apabila kita lebih condong melihat kepada calon, suatu kawasan yang dianggap selamatpun boleh kalah.

Kalau kita memilih parti, maka semangat berpasukan akan hidup. Parti akan hidup kerana sokongan ramai. Parti tidak pernah salah dalam semua segi, kalau semua yang terlibat dalam parti mempunyai sifat muafakat, berdidikasi, berhemah, jujur serta amanah, maka parti akan selamat selama-lamanya.

Pemimpin boleh datang dan pergi, namun parti akan tetap. Parti yang mempunyai matalamat yang bersih akan rosak kerana tindakan pemimpin tertentu di dalamnya. Atas sebab itu, jangan hukum parti, kerana perbuatan individu, jangan bakar kelambu kerana seekor nyamuk.

Pemimpin yang berjiwa parti, dapat dilihat daripada segi sumbangannya kepada parti. Dapat dilihat daripada segi gerak kerjanya terutama yang berkaitan dengan rakyat umumnya dan penyokong khasnya.

Sebab apa? pemimpin seperti itu merasa bertanggungjawab kepada parti, pemimpin seperti itu tidak mahu menjadi penyebab susu sebelanga rosak kerana nila setitik.

Pemimpin yang berjiwa parti, kita dapat lihat melalui komtimennya. Mempunyai komiten bukan bermusim, tetapi sepanjang masa. Inilah tolok ukur seseorang yang berjiwa parti. Namun, kadangkala, pemimpin seumpama ini, kadang-kadang tidak terpilih sebagai calon pilihanraya; mungkin ada sebab-sebab tertentu yang tidak diketahui; mungkin kerana komitmennya, maka jauh sekali perbuatannya bersifat mengampu; atas sebab itu kadang-kadang nama pemimpin ini terlupakan, kerana pucuk pimpinan senantiasa terdedah kepada pemimpin pengampu.

Antara sifat-sifat pemimpin pengampu adalah, dimana sahaja puncuk pimpinan berada, pasti dia berusaha turut ada. Kata orang muka tembok, muka tebal. Senantiasa mencari peluang untuk mendapat perhatian pucuk pimpinan. Ada kala melalui kenyataan puji-pujian, atau pun berbagai kaedah yang boleh menarik perhatian pucuk pimpinan.

Nah disinilah timbul masalah, kalau pemimpin seumpama ini dipilih menjadi calon, maka penyokong akar umbi menjadi marah kepada parti, sehingga kerana protes, maka calon parti itu kalah. Apabila calon parti kalah, maka semua berputih mata, termasuk pemimpin yang disukai tetapi tidak dicalonkan menerima padahnya.

Atas sebab itu, bagi berdepan dengan PRU-13, iaitu PRU yang dianggap sebagai ibu kepada semua PRU, jangan berlaku kerja protes, sehingga tidak mengundi calon parti.

16 February 2013

PRU-13: Ke Arah Pemantapan Bn Kota Belud

Dr Salleh, Rahman, Musbah, Timbon
PENYELARAS BN Kota Belud bermasyuarat hari ini, mungkin masyuarat terakhir sebelum berdepan dengan PRU-13.

Mesyuarat kali ini sepertibiasa dipengerusikan oleh Datuk Dr Salleh Tun Said sebagai Pengerusi Bn kawasan Kota Belud. Mesyuarat itu turut dihadiri oleh MP Kota Belud-Datuk Rahman Dahalan; ADUN Tempasuk-Datuk Musbah Jamli; ADUN Kedamaian-Datuk Herbert Timbon Lagadan. Sementara ADUN Usukan-Datuk Japlin Akim tidak dapat turut serta kerana ada urusan rasmi yang bertembung dengan jadual masyuarat tersebut.

Kawasan Kota belud sememangnya adalah wilayah Bn, kerana di kawasan ini lah lahirnya anak sulung Umno Sabah.

Pada pilihanraya 1994, di mana Bn masih merupakan pembangkang di peringkat negeri, Bn mampu mempertahankan Dun Usukuan dan merampas Dun Tempasuk dan Parlimen Kota Belud daripada PBS, sementara Dun Kedamaian masih dimenangi parti PBS.

Selepas PBS diterima semula ke kubu Bn pada tahun 2002, maka menjadikan Kota Belud sebagai kubu kuat Bn. Keupayaan Bn menjadi kubu kuat Bn telah terbukti pada PRU-2004 dan PRU-2008 apabila semua kawasan termasuk Parlimen dimenangi dengan mudah.

Bagi berdepan dengan PRU-13, nampaknya Bn Kota Belud dijangka akan terus memenangi semua kawasan, kerana adalah dijangka calon-calon Bn tidak akan mengalamai kesukaran mengalahkan calon-calon pembangkang.

Di pihak Bn terdapatnya ramai nama-nama besar dalam politik, namun di pihak pembangkang, tidakpun terdapat calon-calon yang boleh menggugat mereka. Tidak dinafikan, calon-calon pembangkang akan mendapat undi, namun undi itu tidak mencukupi untuk mencapai kemenangan.

Penilaian rakyat Kota belud semasa membuang undi nanti adalah kemajuan yang dikecapi rakyat hasil sumbangan kerajaan Bn. Sumbangan kerajaan itu sudah tentu melalui perjuangan dan perancangan para pemimpin. Tiada akan ada kemajuan, tanpa seseorang yang memperjuang dan merancangnya.

Keistimewaan para pemimpin Bn adalah bergerak bersama secara kolektif, saling melengkapi antara satu sama lain untuk memajukan rakyat.

Pada PRU-13 akan datang, adalah dijangka semua pemimpin peringkat Kota Belud akan berkerja sebagai satu pasukan untuk mememangkan siapa sahaja calon-calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan mewakili Bn; kerana yang penting adalah kemenangan parti.

Agak-agaknya itulah penekanan mesyuarat penyalaras BN yang berlangsung hari ini di Kota Belud.

3 February 2013

PRU-13:BN Kota Belud siap sedia

KOTA Belud sudah siap sedia berdepan dengan PRU-13. Melihat kepada persiapan akhir yang dijalankan semua parti komonen Bn, nampaknya Bn Kota Belud sudah siap berdepan dengan ibu kepada semua pilihanraya itu.

Para pemimpin yang terlibat mengatur jentera pilihanraya Kota Belud, yang diketuai oleh Pengerusi Bn Bahagian-Datuk Dr Salleh Tun Said, nampaknya cukup berpuashati dengan persiapan gerakan gempur yang berpaksi pada Pusat Daerah Mengundi dan "War Room".

Para wakil rakyat Bn terutama daripada Umno telah melipatgandakan masa mereka berada di kawasan, malah wakil rakyat Tempasuk Datuk Musbah Jamli telah masuk pusingan ke empat masuk ke kawasan-kawasan kampung dan kini melakukan sentuhan-sentuhan akhir di semua PDM yang terdapat di Dun Tempasuk.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahalan juga memperhebat program turun padangnya, yang rata-rata mengambil masa bermula dari awal pagi hingga ke malam saban hari.

Adun Usukan juga tidak ketinggalan, malah aktivitinya hampir menyamai kekerapan turun padang Adun Tempasuk menemui para pengundi dan melihat sendiri persiapan atur gerak di semua PDM bagai kawasan Usukuan.

Uniknya para pemimpin Umno Kota Belud, pada masa-masa tertentu, mereka bergerak mengikut jadual masing-masing, namun pada satu peringkat mereka bertemu pada satu lokasi dan ini yang membuatkan pesaing dalam PRU nanti terutama pembangkang, mati kutu dan mati akal tentang bagaimana mencari kelemahan atau kekurangan para pemimpin Bn.

Para pemimpin Bn saling melengkapi antara satu sama lain, sehingga gerak gempur mereka saling sinkronasie. Faktor inilah yang menjadi petunjuk bahawa Kawasan Kota Belud akan terus dimenangi oleh calon-calon Bn.

30 January 2013

PRU-13: Apakah Bn Kota Belud sudah Siap sedia?

APAKAH Bn Kota Belud telah siap sedia? Kalau Umno jawabannya Ya. Komponen parti, bagaimana? Yang membimbangkan adalah apabila Bn belum bersedia. 

Kawasan Kota Belud yang mempunyai satu parlimen dan tiga Dun, dianggap sebagai simpanan tetap Bn, itu pada masa-masa lalu. Akan tetapi pada PRU-13 akan datang, kawasan yang membimbangkan adalah Dun Kedamaian. 

Dun Kedamaian yang mempunyai pengundi lebih 13 ribu dimana 86 peratus bumiputera bukan islam dan bakinya bumiputera islam dan satu peratus kaum cina diwakili Bn melalui komponen Bn-PBS.

Pada PRU-12 lalu, calon Bn Datuk Herbert Timbon Lagadan mendapat undi 5,382 berbanding undi calon pembangkang 4,638.

Daripada semua wakil rakyat Kota belud, hanya wakil rakyat Kedamaian itu yang mendekati kekalahan pada PRU-12 lalu. Namun, walaupun majoriti yang diperolehinya kurang memberangsangkan, wakil rakyat itu dikhabarkan wakil rakyat yang paling lembab di kawasan Kota Belud.

Wakil rakyat itu selain jarang turun padang, juga dikatakan kurang mesra dengan pengundinya sejak empat tahun lalu.

Seperkara lagi, sambutan hari-hari kebesaran seperti Hari Natal, sejak 3 tahun lalu, tidak lagi beliau sambut dengan pengundinya. Keadaan ini, menjarakkan beliau dengan pengundi.

Jikapun, kawasan Kedamaian ditakdirkan jatuh ke tangan pembangkang, penulis rasa tidak mempengaruhi keadaan kerajaan bn negeri, namun undi pengundi bagi kawasan itu penting bagi kawasan parlimen.

Jumlah pengundi Parlimen Kota Belud adalah 48 ribu. Jika berasaskan kepada keputusan PRU-12 diambil kira, maka dimana majoriti calon Bn bagi kawasan parlimen hanya 3 ribu lebih, maka jika berlaku swing bagi pengundi KDM terutama di Dun Kedamaian dan Dun Tempasuk, maka keputusannya boleh menggugat kemenangan calon Bn.

Dikhabarkan rata-rata pengundi KDM tidak berpuashati terhadap wakil rakyat di Kedamaian, dan keadaan ini dikhuatiri menjadi agen protes dikalangan pengundi, jika wakil rakyat yang ada dicalonkan semula. jika ini berlaku, maka bahaya kepada calon Bn bagi kawasan Parlimen.

Bagi penyokong Bn, memang telah tahu, bahawa sasaran Pembangkang adalah Putrajaya, ertinya mereka lebih peka terhadap kerusi parlimen.

seperkara lagi yang sungguh membimbangkan, sementara jentera umno sudah siap sedia termasuk menggerakan semua Pusat Daerah Mengundi termasuk mengaktifkan "war room", malangnya PBS belum sampai ke tahap itu, malah jenteranya pun belum tersedia, belum mengenal pasti agen-agen yang menjaga operasi PDM, apatah lagi mempersiapkan gerak gempur semasa pilihanraya.

Keadaan ini yang membimbangkan kepimpinan Bn kawasan kota Belud yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Umno Kota belud-Datuk Dr Salleh Tun Said.

Memang mesyuarat Bn, kerap dilakukan, namun wakil rakyat Kedamian, jarang hadir, hanya mewakilkan kepada Setiausaha Bahagian parti itu-Daimin Sulukan, berlainan dengan wakil rakyat Umno, yang senantiasa hadir pada sebarang mesyuarat Bn.

Pada PRU-13 akan datang, jika keadaan di Kedamaian tidak diatur susun dengan segera, dibimbangkan akan menganggu susun atur kempen Bn; dan jika ini berlaku, maka banyak masalah-masalah akan timbul.

Penulis yakin, Pengerusi Bn kawasan Kota Belud, pada saat-saat ini, sedang menyusun gerak atur, untuk membereskan jentera Bn bagi Dun Kedamain, setidak-tidaknya dapat berjalan pada atau sebelum 1 Februari 2013, agar supaya koordinasi kempen antara pemimpin Bn, dapat diatur dengan cekapnya.

Koordinasi dan gerak atur yang cekap adalah satu kunci kemenangan dalam pilihanraya. Diharapkan, melalui susun atur yang kemas dan berkesan, akan menjamin kawasan Kota Belud, tetap sebagai simpanan tetap Bn baik negeri mahupun pusat.

19 January 2013

Kota Belud: Demam PRU-13 sudah terasa

 PRU-13 yang dinanti-nantikan, kini melanda seluruh pelosok tanah air, tidak terkecuali Kota Belud.

Kawasan Kota Belud adalah kawasan yang termasuk kawasan selamat bagi barisan nasional mempunyai satu kawasan parlimen dan tiga kawasan dewan undangan negeri.

Pada PRU lima tahun lalu, semua kerusi yang ditandingi bagi kawasan itu dimenangi oleh calon-calon daripada barisan nasional.

Kota Belud yang mempunyai tiga komposisi etnik yang terbesar yakni Bajau-Kadazandusun-Iranun serta sedikit entik lain-lain termasuk kaum cina.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjaya memisah-misahkan tiga suku kaum itu melalui persempadanan pilihanraya, di mana kawasan etnik Bajau menguasai DUN Usukan, Kadazandusun DUN Kedamaian dan kawasan campuran DUN Tempasuk.

Daripada tiga kawasan itu, hanya DUN Tempasuk memerlukan kerjasama antara etnik untuk menjamin kemenangan; sementara DUN yang dua lagi, Usukan hanya perlu penyatuan etnik bajau sementara Kedamaian-etnik Kadazandusun.

Bagi kawasan parlimen pula, kesepakatan semua kaum adalah tolok ukur untuk menang, namun jika semua kaum bumiputera islam bersatu menyokong sesebuah parti atau calon, maka ianya juga boleh mencapai kemenangan.

Namun demikian, pola pengundian bagi kawasan ini, bukan berasas kepada anutan agama, melainkan kepada etnik. Apabila etnik bajau dan iranun bergabung, maka pilihan mereka adalah pemenang, demikian juga jika berlaku penggabungan sokongan bajau-KDM atau KDM-Iranun, pilihan gabungan itu adalah pemenang.

Sesiapa sahaja calon yang dianggap winnable candidate bagi kawasan Parlimen Kota Belud, maka calon itu perlu mempunyai sokongan daripada tiga etnik yang ada di Kota Belud.

Pada PRU-13- rakyat Kota Belud akan akur terhadap pilihan pucuk pimpinan Bn, siapa kah calon-calon yang dikemukakan. 

Pada kebiasaannya, pucuk pimpinan akan mengutamakan wakil-wakil rakyat yang sedia ada; walaupun demikian penggantian calon ada kemungkinan berlaku, sesuai dengan senario politik semasa.

Pada PRU-2008, para pemimpin yang dicalonkan Bn - Datuk Rahman Dahalan (Parlimen Kota Belud)- Datuk Japlin Akim (DUN Usukan)-Datuk Musbah Jamli (DUN Tempasuk)-Datuk Helbert Timbon Lagadan (DUN Kedamaian).

Pada PRU-13, banyak persepsi, bahawa pemimpin vetaran Datuk Dr Salleh Said akan menyertai semula pilihanraya, namun diperingkat mana Speaker DUN Sabah itu bertanding, hanya Najib dan Musa sahaja yang mengetahui.

Umno Sabah telahpun menghantar senarai calon-calon kepada persiden parti untuk dipertimbangkan. Tiada siapa yang mengetahui senarai-senarai itu, kecuali Musa dan Najib sendiri.

Namun, dalam mempersiapkan jentera pilihanraya- Ketua Bahagian Umno Kota belud-Datuk Dr Salleh Tun Said telahpun menggerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan terbaharu, menggerakan PDM Kampung Rampayan. 

Sementara itu, semalam- bertempat di kampung Labuan, tiga wakil rakyat daripada BN- Datuk Rahman, Datuk Musbah dan Datuk Japlin bersama-sama penduduk kampung itu bersantai bersama sambil memberi penerangan berhubung isu-isu semasa kepada rakyat.
Pendekatan SANTAI BERSAMA PENDUDUK merupakan pendekatan baru dalam arena politik kawasan Kota Belud, kerana acara seumpama ini lebih menjamin keakraban antara para pemimpin dengan rakyat, kerana atas sifatnya yang tidak formal.

Bahang PRU-13 telah terasa di Kawasan Kota Belud, sedikit masa lagi bendera-bendara daripada berbagai parti akan berkibar di sepanjang jalan, rumah-rumah penduduk mahupun sekitar perkampungan.

Hanya rakyat yang boleh menjamin kemenangan sesebuah parti. Pada masa itu, pemimpin dan parti yang disukai rakyat akan menjadi pemenang. BN pilihan rakyat Kota Belud.

7 December 2012

Pengundian: Kecenderungan pengundi

Pada PRU kali ini ada sedikit kecelaruan pengundi. Ada pengundi yang cenderung memilih calon, ada juga yang mengundi berasaskan parti.

Bagi kawasan-kawasan yang ramai pemimpin yang berpotensi menjadi calon seperti Kota Belud, majoriti pengundi melihat kepada calon.

Yang membezakan antara calon-calon yang berpontensi adalah sumbangan mereka terhadap rakyat, keterdekatan dengan rakyat.

Kota Belud dibarisi ramai pemimpin, antaranya DSP Salleh Tun Said, Tan Sri Pandikar, Datuk Musbah, Datuk Rahman, Datuk Japlin dan semua itu daripada parti umno, manakala daripada komponen BN hanya nama Datuk Hebert Timbon Lagadan yang ketara.

Kota Belud hanya terdiri daripada satu kawasan Parlimen dan tiga DUN. Melihat kepada barisan pemimpin yang ada, sudah tentu ada diantara mereka yang akan tercicir, terutama pemimpin Umno.

Pucuk pimpinan sudah tentu memerlukan extra keputusan dalam memilih calon-calon yang diketengahkan pada PRU-13, jika tidak mungkin keputusan para pengundi boleh membawa kepada kekalahan.

Sehingga kini, hanya Salleh dan Rahman yang menyatakan akan terus bersama-sama UBN meskipun tidak dicalonkan; sementara yang lain masih tunggu dan lihat.

Namun melihat kepada kelibat dua pemimpin- Datuk Musbah dan Datuk Japlin, mereka ini adalah pemimpin akar umbi dan tiada sejarah bertukar parti. Walaupun mereka tidak menyatakan secara terbuka pendidirin mereka, namun sudah terbukti, mereka ini tidak akan melawan arus. Datuk Musbah misalnya, pada tahun 2004 tidak dicalonkan, walaupun beliau adalah ADUN yang bertahan. Mantan ADUN Tempasuk itu terus bersama-sama BN dan bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan calon BN. Atas nama kesetiaan itu, pada PRU-2008, sekali lagi beliau dipilih untuk bertanding.

Keadaan politik Kota Belud cukup tenang. Kehadiran pembangkang macam tidak terasa, walaupun terdapat riak-riak, akan tetapi pada hari penentuan, semuanya itu akan reda, kerana pengundi Kota Belud masih setia kepada BN.

10 October 2012

Musa melawat Kota Belud lagi

Musbah bersama AJK PDK
KETUA Menteri Sabah-Datuk Musa Aman dijadual melawat Kota Belud esok. Tujuan lawatan itu adalah untuk menghadiri Pelancaran PDK KU SIHAT peringkat negeri. Beliau juga akan merasmikan pelancaran itu yang bertempat di Dewan Datuk Haji Musbah, Kg Taun Gusi, Kota Belud.

Program PDK KU SIHAT peringkat kebangsaan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 23 Jun lalu.

Kali terakhir Ketua Menteri melawat Kota Belud adalah pada 15 September lalu, semasa Sambutan Hari terbuka Hariraya BN.

Sokongan Musa terhadap para wakil rakyat Kota Belud tidak dapat disangkal lagi, kerana apa sahaja program yang dianjurkan oleh para wakil rakyat Kota Belud, pasti beliau sempat hadir.

Sambuatan rumah Terbuka Tan Sri Pandikar dan USBO pada 2 September lalu, turut juga dihadiri Musa, meskipun pada hari yang sama Bahagian Umno Libaran, di mana beliau adalah Ketua Bahagiannya sedang mengadakan Mesyuarat Bahagian.

Rehearsal
Sokongan Musa terhadap apa sahaja aktiviti para pemimpin BN, adalah paksi kepada sokongan para pemimpin BN terhadap beliau. Atas sebab sokongan itu, maka beliau terus menerajui kerajaan negeri dan parti menghampiri sepuluh tahun.

Seorang kapten yang baik, apabila kapten itu memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukannya. Melalui sokongan itu, maka akan berlaku aksi timbal balik. Inilah yang berlaku terhadap kepimpinan Musa.

Para pemimpin yang meninggalkan BN/Umno bukan kerana mereka tidak mendapat sokongan daripada Musa, akan tetapi para pemimpin itulah yang bertindak sebaliknya. Para pemimpin yang meninggalkan BN/Umno mempunyai agenda tersendiri, atas sebab itu mereka mengubah haluan, walaupun pada asasnya, mereka mendapat sokongan penuh daripada kempinan negeri.

Sifat saling hormat dan menghargai antara seseorang kapten dan pasukan sangat-sangat diperlukan bagi keutuhan dan kekuatan pasukan itu. Atas sebab itu, semangat berpasukan adalah penting dalam sesebuah organisasi.

Musa memperlihatkan hormat dan menghargai semangat berpasukan, atas sebab itu beliau sekali lagi melawat Kota Belud, esok walapun belum sebulan lawatan terakhirnya.

Nama Kota Belud sangat besar ertinya terhadap Kerajaan BN yang ditunjangi Umno, kerana di daerah ini lahirnya anak sulung Umno Sabah.

Kota Belud kini sedang membangun pesat terutama kerana daerah ini dinamakan sebagai salah satu Jelapang Padi negara yang baru.

Kemajuan Pertanian dan Perkebunan dan kini diselitkan dengan Program Agropolitan, merancakan lagi pembangunan Kota Belud. Adalah dianggarkan, apabila semua program pembangunan itu siap dan berhasil, pendapatan daerah akan melonjak kepada RM2bilion setahun pada tahun 2020. Jika diambil pendapatan perkapita penduduk pada tahun itu, maka rata-rata pendapatan rakyat telah melepasi garis kemiskinan.


Sekalung tahniah kepada para wakil rakyat Kota Belud, kerana mampu membawa pembangunan berbagai bentuk ke kawasan Kota Belud. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan yang kukuh daripada Ketua Menteri.

3 October 2012

Salleh sangkal kajian: Sabah tidak membangun

KOTA BELUD: Pembangunan merupakan komitmen yang tiada penghujungnya, manakala projek prasarana pula, terutama bekalan air dan elektrik, dilaksanakan pada kadar yang amat pesat di Sabah, bercanggah dengan dakwaan satu laporan kaji selidik, kata timbalan ketua Umno Sabah Datuk Salleh Said Keruak.

Beliau berkata di samping itu, pembangunan dan prasarana merupakan perkara bersifat setempat dan jarang ditonjolkan media.

Oleh itu, kata beliau, dakwaan bahawa Sabah kekurangan pembangunan dan kemudahan prasarana adalah tidak tepat kerana pelbagai pembangunan dilaksanakan di negeri ini.

Ini termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, loji ammonia dan urea, stesen janakuasa tenaga, jalan raya dan taman industri," katanya merujuk kepada laporan kaji selidik Merdeka Centre di sini hari ini. Kaji selidik itu, yang dibiayai bersama Merdeka Centre dan sebuah firma perunding serantau, dibuat dari 6 hingga 17 Sept.

Salleh turut menggesa penduduk kampung di daerah itu yang menghadapi masalah supaya menyuarakannya kepada wakil rakyat mereka agar masalah itu dapat diselesaikan dengan baik dan bukan mengharapkan media memaparkan perkara seperti itu.

"Saya yakin Anggota Parlimen atau Adun, atau wakil mereka, boleh dan akan menangani keperluan rakyat dengan memanjangkan aduan atau masalah itu kepada agensi berkaitan," katanya, mengulas laporan akhbar berhubung dakwaan penduduk Kampung Suang Punggor bahawa mereka dipinggirkan meskipun dikategori sebagai miskin.

"Saya sudah membangkitkan perkara ini kepada Adun yang berkenaan dan beliau akan menguruskan perkara ini," kata Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, dan menambah BN tidak bersikap pilih kasih dalam soal pembangunan dan pembasmian kemiskinan.

Salleh turut menggesa parti komponen BN supaya merangka strategi dan meletakkan jentera pilihan raya di negeri ini dalam keadaan siap siaga memandangkan pilihan raya umum bakal diadakan bila-bila masa sahaja.

"Kota Belud adalah kubu kuat BN dan kita mesti bekerja keras untuk memastikannya kekal sebagai benteng BN dan memastikan kemenangan berpihak kepada Anggota Parlimen dan tiga Adun daripada BN," katanya. 

15 September 2012

BN Kota Belud beraya lagi

TAHUN ini, rumah terbuka BN Kota Belud diadakan di padang Pekan Kota Belud. Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Ketua Menteri Sabah-Datuk Seri Musa Aman.

Pada 2 September lalu, satu majlis Rumah Terbuka Hariraya anjuran Speaker Dewan Rakyat dan USBO diadakan di Kampung Rampayan Laut Kota Belud. Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Melihat Majlis hari ini, jelas sambutan berbagai lapisan masyarakat terhadap anjuran para pemimpin BN sungguh menggalakan.

Dalam menilai sambutan acara politik, yang dilihat bagaimana ramainya kehadiran, kerana dalam sistem demokrasi, pihak mana yang mendapat sokongan majoriti adalah pemenang.

Hariraya adalah majlis sambutan keagamaan penganut agama islam, namun demi semangat berpasukan dan berbangsa, maka sambutan itu dirayakan oleh semua lapisan masyarakat merentasi agama.

Kota Belud mempunyai satu Kawasan Parlimen dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri. Kerusi Parlimen dan semua DUN dikuasai Barisan Nasional.

Pada PRU-13, dijangka BN akan meneruskan tradisinya mengulangi penguasaan terhadap semua kawasan yang dipertandingkan.

4 September 2012

KOTA BELUD kubu kuat BN Sabah

Musa, Najib, Salleh, Rosmah
UMNO lahir di Kota Belud pada tahun 1991 melalui pilihanraya kecil (PRK) Usukan. Calon Umno pada PRK itu adalah Tun Datu Mustapha mantan Presiden USNO yang membubarkan parti tertua Sabah itu bagi memberi peluang kepada Umno mengembangkan sayapnya di Sabah.

PRK tahun 1991 terpaksa diadakan berikutan undang-undang anti-lompat Sabah yang masih berkuatkuasa pada masa itu. Tun Mustapha terpaksa meletakan jawatan sebagai ADUN Usukan yang dimenanginya pada PRU Sabah tahun 1990 kerana menyertai UMNO.

UMNO terpaksa masuk ke Sabah pada tahun 1991 berikutan tikam belakang Parti Bersatu Sabah pimpinan Pairin Kitingan (kini Tan Sri) komponen BN diambang pembuangan undi pada tahun 1990.

Kota Belud dicanang sebagai anak sulung Umno di Sabah berikutan kemenangan Tun Mustapha pada PRK Usukan melawan calon PBS Jap Omar.

Selepas kemasukan Umno di Sabah pada tahun 1991, kerajaan PBS masa itu tergugat, walaupun berlaku penggabungan keraajaan negeri yang disebut PBS plus-yakni antara PBS dan ADUN USNO (ADUN USNO adalah mereka yang menang pada PRU 1990 atas tikit Usno).

Pada PRU-1994, BN yang ditunjangi Umno belum mampu menumbangkan PBS, namun berikutan keluarnya dua ADUN PBS yaitu Datuk Lajim Haji Ukin-Klias dan Datuk Rubin Balang-Kemabong, maka memboleh UBN menubuhkan kerajaan pada tahun 1994, kerana PBS kehilangan majoriti di DUN Sabah.

PBS menyertai semula UBN pada tahun 2002, setahun sebelum Datuk Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.

Pada PRU-2004, UBN Sabah hampir menyapu bersih semua kerusi DUN dan Parlimen, kecuali Parlimen Sandakan dan DUN Kuala Penyu.

Pencapaian UBN Sabah terus menyerlah pada PRU-2008, walaupun Parlimen Kota Kinabalu dan DUN Sri Tanjong jatuh ditangan DAP.

Kekuatan UBN di Kawasan Kota Belud semakin kukuh dengan penyertaaan PBS, atas sebab itu semua DUN dan satu Parlimen terus dimenangi dengan mudah pada dua PRU-tahun 2004 dan 2008.

Diatas kertas pada PRU-13 akan datang, Kota Belud akan terus dikuasai UBN, memandangkan tiada isu yang boleh menggugat keupayaan UBN.

Kemampuan UBN Kota Belud sebenarnya hanya tergugat kalau ada pertelingahan dalaman antara kepimpinan UBN, namun kali ini, semua kepimpinan UBN Kota Belud telah bersatu padu di bawah kepimpinan Ketua Bahagian Umno Kota Belud, merangkap Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah.

Iktibar daripada hubungan antara kepimpinan Musa Aman sebagai Pengerusi Perhubungan Umno dan Pengerusi BN Sabah dengan kepimpinan Pusat, maka penyatuan semua kepimpinan negeri dan seterusnya di peringkat bahagian terus menyerlah.

Kekuatan yang ada melalui kesepakatan dan kerjasama berpasukan semua peringkat kepimpinan di Sabah mengakibatkan Pembangkang semakin gerun, dan sukar menembus sokongan rakyat kepada UBN.

Bukti cukup kukuh pada siri-siri lawatan PM ke Sabah, termasuk pada Ahad di Sandakan dan Kota Beluid. Sambutan luarbiasa kepada Najib menunjukkan bahawa rakyat Sabah tetap yakin dengan kerajaan UBN.

Siri tindakan Pembangkang termasuk menggait kepimpinan BN untuk melompat, nampaknya tidak mempunyai impak keada sokongan rakyat kepada UBN.

18 November 2010

BN kekal kuasai Sabah selepas PRU-13?

Apakah SABAH terus membuktikan bahawa ia masih kekal sebagai 'akaun simpanan tetap' Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13?.

Berasaskan rekod, BN Sabah memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 24 daripada 25 kerusi Parlimen dan 59 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan untuk dua PRU berturut-turut (2004 dan 2008).

Meskipun BN Sabah mampu menebus semula kerusi Parlimen Sandakan dan DUN Kuala Penyu pada PRU-12, tetapi pada kali ini kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan DUN Sri Tanjong pula terlepas ke tangan DAP. Apa kah Datuk VK Liew masih mampu mempertahakan kerusi Sandakan pada PRU-13?

Memandangkan trend pengundi cina pada PRU-12 mahupun PRK-PRK selepas PRU itu, kemungkinan Sabah kali ini akan kehilangan banyak kerusi yang berpengundi majoriti cina. Sekurang-kurang 19 DUN akan hilang berserta 4 kawasan Parlimen.

Walaupun rakyat Sabah pernah mengalami zaman gelap politik Sabah sebelum ditadbir BN, namun rakyat kini merasa muak dengan sepak terajang para pemimpin BN itu sendiri. Rakyat telah memberi peluang seluas-luasnya sejak tahun 1994, namun keadaan rakyat terutama di kawasan-kawasan terpencil dan pinggir bandar seolah-olah masih dibiarkan tanpa pembelaan yang konkrit.

Kawasan Kota Belud misalnya, walaupun telah diuar-uarkan akan berlaku lonjakkan perekonomian kerana adanya projek Jelapang padi dan agropolitan, namun rakyat belum menikamtinya, kerana kelancaran projek itu begitu perlahan sekali. Infrastruktur yang diperlukan seperti pembinaan Dam yang merupkan komponen utama projek Jelapang padi itu, masih samar-samar, kerana masalah kawasan yang mendapat protes daripada penduduk setempat di mana Dam itu akan dibina.

Masalah air bersih yang merupakan desakan penduduk Kota Belud sejak tahun 2004, hingga kini belum ada tanda-tanda akan selesai.

Wakil Rakyat Kota Belud Datuk Rahman Dahalan, walaupun sibuk turun padang terutama pada hari-hari perayaan besar seperti Hari raya, namun kehadirannya hanya sebagai memenuhi undangan, tanpa ada ole-ole yang bersifat pembangunan untuk penduduk.

Memang diakui wakil-wakil rakyat Kota Belud samaada ADUN atau Parlimen, memang selalu turun padang, melihat permasalahan rakyat, namun kapasiti sebagai wakil rakyat tidak akan ke mana-mana-tanpa ada polisi daripada peringkat negeri atau pusat untuk membawa pembangunan bagi kawasan Kota Belud.

Seharusnya kerajaan Negeri perlu memberi keutamaan kepada pembangunan kawasan Kota Belud, kerana daerah ini tempat UMNO mula bertapak, sehingga UMNO menjadi tulang belakang kerajaan negeri.

Dalam Kabinet Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman-tiada seorangpun wakil rakyat Kota Belud menjadi menteri penuh, yang ada hanya pembantu menteri. Benarlah Musa Aman berterima kasih kepada pengundi Kota Belud dengan melantik semua ADUN menjadi pembantu menteri, namun kita tahu, kapasiti pembantu menteri rasanya belum berbaloi dibanding pengorbanan rakyat kawasan itu kepada keutuhan barisan nasional negeri.

Melihat kepada sokongan padu rakyat Kota Belud kepada kepimpinan Musa Aman, maka dua pemimpin kanan daerah ini telah diberi perananan, yakni Tan Sri Pandikar Amin sebagai Speaker dewan Rakyat dan Datuk Salleh Tun Said sebagai penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri berstatus menteri.

Namun penghormatan kepada dua pemimpin kanan daerah itu juga belum berbaloi, kerana apa yang penduduk Kota Belud mahukan adalah pembangunan yang bercorak ekonomi agar supaya penghidupan rakyat, dimana jumlah penduduk termiskin terramai di negeri di bawah bayu ini bermastautin di daerah Kota Belud.

Sejak tahun 1994, belum ada projek yang bercorak ekonomi dan bersifat mega yang membolehkan penduduk Kota Belud dapat meningkatkan pendapatan mereka, yang ada hanya pembinaan bas stop, membaiki jalan lorong kaki, membaiki jambatan gantung dan projek kecil-kecilan lainnya.

Bilakah giliran hub pembangunan merayap di Kota Belud? apa kah menunggu rakyat bosan sehingga menolak BN kerana protes? Kita nampak pada PRU-12 lalu, semua majoriti calon BN merosot sekali, kerana protes. Calon Kedamaian daripada PBS Timbon Lagadan, hanya mempunyai majoriti 649 undi.

Rakyat kini telah celik maklumat, pemimpin politik tidak akan mampu membendung kehendak rakyat, kalau kata mereka protes, atau tolak, maka ertinya tolak lah itu.

Kepada para pemimpin daerah ini... melangkah lah ... bawalah pembangunan yang bercorak ekonomi ke daerah ini, sebelum rakyat membuat keputusan. OKB rasa, jika penduduk Kota Belud membuat protes dengan menolak BN, ada kemungkinan kawasan-kawasan lain akan ikut sama. Sentimen Kota Belud, terbukti.. pada setiap penggantian kerajaan negeri ini.

15 November 2010

Siapa kata BN tidak boleh kalah di Kota Belud

Tahun 70-an USNO terlalu kuat di Kota Belud. Tiga kawasan DUN dan satu parlimen dikuasai USNO.

Apabila Parti Berjaya ditubuhkan pada tahun 1976, Usno kalah di Tempasuk, Kedamaian dan Parlimen, hanya Usukan menjadi kubu kuat Usno sehingga Usno dibubarkan pada tahun 1991; dan kini dikuasai oleh UMNO.

Setelah Berjaya ditumbangkan, Tempasuk, Kedamaian dan Parlimen Kota Belud dikuasai oleh PBS (PBS menumbangkan kerajaan Berjaya pada tahun 1985).

Hanya Tempasuk dan Parlimen Kota Belud berjaya ditawan oleh BN daripada PBS tahun 1994 sementara Kedamaian masih genggaman PBS.

Setelah PBS diterima semula ke pangkuan BN.. Kini semua DUN dan Parlimen dikuasai oleh BN.

Persoalannya siapa kata BN tidak boleh kalah di Kota Belud? Sejarah menunjukkan, bahawa BN boleh kalah.

Persoalannya sekarang, belum ada parti yang boleh menggugat kekuatan BN Kota Belud. PKR, PAS tidak boleh menggugat BN, sebabnya kedua-dua parti itu tidak mempunyai pemimpin di peringkat daerah yang boleh dihandalkan. SAPP yang berpersidenkan keturunan cina, walaupun ada peminat di Kota Belud, namun belum ada taji untuk menggugat BN Kota Belud yang ditunjangi UMNO.

Atas sebab kepincangan parti-parti pembangkang ini lah dimanafaatkan oleh para pemimpin utama daerah ini untuk bersifat acuh tak acuh tentang permasalahan rakyat, terutama penyediaan sumber pendapatan, air bersih dan peningkatan infrastruktur.

Para pemimpin utama daerah ini merasa bahawa mereka berada di kedudukan selesa, ertinya, jika bertanding mewakli BN, pasti menang.

Disebabkan merasa selesa, maka keutamaan para pemimpin utama daerah ini adalah kedudukkan dalam parti. Atas sebab itulah, untuk merebut jawatan dalam parti, maka pemimpin tertentu itu menggunakan segala cara untuk menang, terutama mempergunakan kekayaan yang ada pada mereka.

Satu contoh yang logik bahawa pemimpin tertentu mempergunakan parti sebagai tapak berkuasa adalah melalui pemimpin parti yang mengelilingi mereka. Cuba lihat bagaimana latar belakang AJK parti yang menang pada setiap pemilihan. Para AJK ini adalah mereka yang bersifat angguk tanpa boleh membantah. Jika ada Zaid Ibrahim dalam bahagian parti, sudah tentu lain jadinya.

Bukan salah para AJK ini menang, kerana siapapun mahu menang dalam setiap pertandingan, yang salahnya arahan-arahan kepada perwakilan daripada pemimpin tertentu itu, bahawa, si anu si anu perlu menang, si polan si polan jangan diundi, kerana boleh menggugat kestabilan parti.

Akhirnya disebabkan keselesaan, tiada hadangan, maka akhirnya keluhan rakyat yang bagaimana hebatnyapun, pemimpin tetap bersifat acuh tak acuh. Giliran kapan BN boleh kalah di Kota Belud, hanya rakyat yang jenuh menentukkannya.

22 July 2010

Umno Kota Belud Tidak Berpuak

Dari jauh ada yang mengatakan bahawa Umno Kota Belud bergolak. Tetapi apabila didekati rupanya pergolakan itu hanya fatamorgana.

11 Julai lalu semasa mesyuarat Bahagian itu berlangsung, semua para pemimpin Umno daerah ini telah berkumpul di Dewan Tun Said bagi menghadiri persidangan itu.

Dari dekat terserlah kemesraan antara pemimpin daerah ini. Satu faktor lagi yang menampak bahawa kepimpinan daerah ini sangat akrab adalah semasa perasmian MTQ peringkat kebangsaan yang diadakan di dewan saadah Wisma Muis.

Jika sebelum ini terdapat anggapan bahawa ekoran pertandingan merebut ketua bahagian umno tahun 2008, maka berlaku jurang yang amat besar antara Datuk Salleh Said dan Datuk Musbah Jamli. Namun melalui pengamatan OKB, sejak masa itu, kedaan itu sebenarnya tidak wujud. Hubungan antara Salleh dan Musbah sebenarnya baik.

Musbah pada masa ini mempunyai agenda membangunkan daerah Kota Belud atas kapasitinya sebagai ahli jemaah menteri, sementara itu Salleh memperkukuh kekuatan parti atas kapasitinya sebagai Ketua Bahagian dan Timbalan Pengerusi Umno negeri.

Bagi OKB antara Musbah dan Salleh mereka tergantung antara satu sama lain.

Jika kadar kemiskinan berkurang dan taraf ekonomi Kota Belud meningkat yang dilihat adalah kejayaan Musbah. Musbah mewakili parti yakni parti Umno. Kejayaan Musbah adalah juga kejayaan Parti.

Persepsi bahawa ada perbalahan antara Musbah dan Salleh pada masa ini tidak wujud lagi. Ibarat kata peribahasa perahu lalu kiambang bertaut semula.

Musbah dan Salleh pada ketika dan waktu ini adalah satu pasukan dengan Musa Aman. Agar pasukan berjaya dalam satu-satu pertandingan, bahawa perlu bergerak secara berpasukan.

Tiada pasukan yang berjaya disebabkan primadona dalam pasukan itu, buktinya pasukan Brazil, Argentina, gagal memang piala dunia, kerana pasukannya menghandalkan kepada primadona, akan tetapi sepanyol yang menghadalkan pasukan, dan setiap anggota pasukan adalah asset, maka Sepanyol menang piala dunia, walau hanya 1 goal baik di final mahu diperingkat saringan.

Dalam politik semuanya boleh berlaku. Dalam politik tiada musuh selama-lamanya, demikian juga tiada kawan-kawan selama-lamanya. Dalam politik yang utama adalah rakyat. Kemahuan rakyatlah yang boleh menyatukan pemimpin politik, bukan sebaliknya.

Pada masa dan ketika ini rakyat mahukan Salleh menjadi pemimpin parti Kota Belud, sementara itu, rakyat juga mahukan Musbah membahwa pembangunan ekonomi. Pilihan rakyat ini sangat berasas kerana kemampuan Salleh memang dalam politik, sementara itu Musbah dalam dunia ekonomi. Saling sokong menyokong antara Salleh dan Musbah akan menjadikan Kota Belud membangun dalam masa terdekat; yang mendapat manafaat adalah rakyat.

Sebagai anak watan Kota Belud, OKB mahukan Kota Belud majujaya.

16 April 2010

BN Kota Belud Jangan Terlalu Seronok

Tahun 1985 semasa puncaknya kekuatan Kerajaan Berjaya di bawah pimpinan Datuk Harris Salleh, terlalu ramai pemimpin parti Berjaya pada masa itu terlalu yakin apabila ada pilihanraya umum, pasti Parti Rakyat Jelata Sabah itu akan menang.

Para pemimpin Parti Berjaya termasuklah wakil-wakil rakyatnya bagi daerah Kota Belud, terlalu yakin akan terus berkuasa.

Ekoran kekalahan Parti Berjaya pada PRK Tambunan pada tahun 1984, Datuk Harris Salleh merasa tercabar, kerana itu pada tahun 1985, Harris membubarkan dewan undangan negeri untuk membolehkan pilihanraya negeri dilaksanakan.

Semua kita tahu, bahawa pada PRU Negeri itu, Parti Berjaya kecundang dan hanya memang 6 kerusi, termasuk kekalahan Harris kepada Kadoh Agondung di DUN Tenom.

Parti Bersatu Sabah (PBS) di bawa pimpinan Datuk Pairin Kitingan, walaupun hanya ditubuhkan tidak sampai 6 bulan, mampu menumbangkan parti Berjaya yang telah berkuasa sejak tahun 1976.

Parti Berjaya ditubuhkan oleh para pemimpin Usno termasuk Harris Salleh dengan tujuan menghilangkan kuasa Tun Mustapaha, dimana pada masa itu, Tun Mustapaha kelihatan terlalu berkuasa oleh pihak Kuala Lumpur.

Keadaan tahun 80-an itu kini melanda semula. Bukan sahaja bagi daerah Kota Belud tetapi di seluruh negeri.

Para pemimpin negeri kini kelihatan terlalu berkuasa, sehinggakan matalamat utamanya untuk membela seluruh lapiasan rakyat nampaknya telah terlupakan.

Para pemimpin negeri terutama yang mempunyai jawatan walaupun sering turun padang, namun prioriti mereka hanya kepada lapisan masyarakat yang berada dalam epsilon ke-2 yakni lapisan masyarakat yang berpenghidupan agak selesa.

Para pemimpin yang mempunyai kuasa kini sering menonjolkan kejayaan mereka terutama dari segi material dan kebendaan. Aktiviti-aktivti mereka pun sering dikaitkan dengan kebendaan dan nampak mewah, seperti majlis makan malam atau majlis hiburan.

Jarang sekali aktivti para pemimpin yang melibatkan lapisan masyarkat yang terbelakang dari semua segi, apa kah ekonomi atau latar belakang masyarakat itu sendiri.

Sebenarnya bagi daerah Kota Belud terlalu banyak latarbelakang masyrakat yang boleh di tonjolkan di peringkat negeri mahupun nasional. Bagi wakil-wakil rakyat baik di dewan undangan negeri atau parlimen, jangan lah malu mendedahkan latar belakang rakyat yang miskin, keadaan infrastruktur yang daif dan sebagainya, kerana melalui pendedahan ini lah, perancangan yang jitu dapat dilaksanakan untuk mengeluarkan mereka daripada keadaan itu.

Isu seperti masalah LETAK KERETA di parlimen kerana seorang ahli parlimen susah mendapat letak kereta tidak sepatutnya mengisi masa dalam sesi perbahasan. Masih banyak isu yang perlu dibentangkan terutama pembasmian kemiskinan rakyat yang diwakili.

Isu remeh seperti Letak kereta adalah contoh bahawa wakil rakyat BN merasa telah seronok,kerana bagi mereka MUNGKIN tiada isu yang perlu diketengahkan di Parlimen, kerana itu perkara remehpun di bawa dalam perbahasan demi mengisi masa yang disediakan.

Pengalaman Penulis, keadaan tahun 80-an kini melanda Kota Belud, sayang parti pembangkang tidak dapat memanfaatkan keadaan ini kerana ketiadaan pemimpin yang berwibawa, namun seharusnya para pemimpin BN daerah jangan merasa terlalu seronok, kerana air yang tenang jangan di sangka tiada buaya

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels