ADA ahli atau pemimpin percaya bahawa perpaduan dalam parti sungguh penting, apatah lagi berhadapan dengan situasi politik yang semakin mencabar masa ini. Ada juga ahli atau pemimpin percaya bahawa amalan demokrasi boleh menguatkan parti dan kepercayaan bukan sahaja daripada ahli akan tetapi juga penyokong dan rakyat jelata.
Pengertian demokrasi dalam hal ini, adalah apabila adanya pemilihan parti, maka berlaku pertandingan bagi jawatan-jawatan yang tersedia. Tujuan pertandingan itu adalah untuk menampilkan pemimpin yang mempunyai kaliber dan visi yang lebih baik bagi maksud memperkuat parti.
Kekuatan sesebuah organisasi politik bukan sahaja dilihat pada kekuatan pemimpin secara peribadi yang mempunyai jawatan tetapi kekuatannya menggamit sokongan daripada akar umbi atau rakyat secara umum perlu dilihat.
Sesuatu yang perlu diingat oleh pemimpin sesebuah parti, parti yang boleh menang pada sebarang pilihanraya adalah parti yang mampu mendapat sokongan daripada rakyat jelata. Sokongan ahli sesebuah parti sahaja tidak akan cukup memenangkan sesebuah parti; faktor inilah yang perlu ditanam oleh seseorang pemimpin yang mempunyai hasrat mendapat jawatan pada sesebuah parti. Kata orang, kalaupun hebat dalam parti, akan tetapi tidak hebat di mata rakyat jelata, maka itu dinamakan pemimpin yang syiok sendiri.
Sempena pemilihan Umno tahun ini, khususnya Bahagian Kota Belud; faktor yang disebutkan diatas bukan sahaja perlu dihayati pemimpin yang berhasrat mendapat jawatan dalam parti, tetapi para ahli juga perlu memikirkan faktor-faktor itu. Sebagai ahli yang bertanggungjawab memilih pimpinan di peringkat bahagian, juga perlu memikirkan sokongan rakyat jelata terhadap parti, jika mahu menonjolkan seseorang menarajui parti.
Di kawasan Kota Belud khususnya parti Umno, sebenarnya para pemimpin yang boleh ditonjolkan adalah pemimpin yang sudah lama dikenal oleh rakyat, bukan sahaja mereka itu aktif dalam politik akan tetapi juga mereka-mereka ini adalah wakil-wakil rakyat dan mantan wakil rakyat.
Bagi rakyat Kota Belud, nama-nama seperti Datuk Dr Salleh Tun Said, Datuk Musbah Jamli, Datuk Japlin Akim adalah para pemimpin yang silih berganti menjadi memimpin Umno Bahagian Kota Belud.
Salleh yang berkecimpung sejak sekian lama dalam arena politik Kota Belud termasuk negeri dan nasional pada masa ini merupakan Ketua Bahagian Umno Kota Belud. Manakala Musbah adalah salah seorang pemimpin Usno yang telah dibubarkan kerana memberi ruang kepada Umno mengembangkan sayapnya di Sabah pada tahun 1991. Sementara Japlin pula adalah produk Umno itu sendiri, selepas bertapak di Sabah.
Pemilihan Umno tahun ini, berlainan dengan pemilihan tahun-tahun sebelumnya, kerana pada pemilihan kali ini, tiada lagi sistem kuota, ertinya seseorang itu boleh bertanding asalkan hanya ada pencadang dan penyokong daripada ahli itu sendiri, tidak sama seperti dahulu, pencalonan perlu dilakukan di peringkat cawangan.
Memang menjadi dilema di antara para pemimpin, ahli dan penyokong samada memeriahkan demokarsi atau perpaduan. Kalau dihayati maksud pertandingan itu sendiri adalah untuk memeriahkan demokrasi dalam parti selain mencari pemimpin yang benar-benar hebat daripada kalangan yang hebat-hebat, namun apa yang berlaku adalah selepas sesuatu pertandingan adalah "permusuhan" walaupun tidak dizahirkan, tetapi tersirat.
Umno mempunyai pengalaman sendiri pada tahun 1987, apabila berlaku pertandingan yang sengit bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, maka berlaku perpecahan dalam Umno itu sendiri. Meskipun di peringkat bahagian, tidaklah mempunyai impak yang besar terhadap parti secara keseluruhan, namun berimpak juga terhadap ahli dan penyokong di peringkat akar umbi. Akan tetapi jika maksud pertandingan di peringkat Bahagian itu dapat mengwujudkan penyatuan semua ahli dan penyokong parti dan memperkuat parti, maka pertandingan seumpama itu adalah digalakan.
Sebenarnya, seseorang pemimpin itu akan bertanding merebut sesuatu jawatan dalam parti, kerana dorongan para ahli dan akar umbi. Tanpa dorongan itu, penulis yakin seseorang itu tidak akan maju untuk menawarkan diri bertanding; kerana maksud pertandingan bagi seseorang yang menawarkan dirinya adalah semata-mata merasakan bahawa dia mempunyai sokongan yang cukup kuat untuk menang.
Pemilihan Umno di ambang pintu. Pada julai dijadualkan mesyuarat cawangan-cawangan dan kemudian pada Oktober pemilihan di peringkat bahagian dan Majlis tertinggi. Bermula daripada sekarang, bukan sahaja pemimpin akan tetapi ahli juga memikirkan apakah dalam pemilihan kali ini untuk memeriahkan DEMOKRASI ATAU PERPADUAN.
No comments:
Post a Comment