SALAH satu pra-syarat pembangunan adalah kestabilan politik. Tanpa kestabilan politik, maka para pemimpin yang terlibat dengan politik hanya sibuk berpolitik dan seterusnya terabailah perhatian terhadap pembangunan.
Disebabkan ketidak stabilan politik, maka bukan sahaja ahli politik yang sibuk, malah ramai kalangan kaki tangan kerajaan juga sibuk berpolitik.
Kita tidak pelik, pada keadaan sekarang, di kalangan kaki tangan kerajaan ramai yang sibuk berpolitik mengikut fahaman masing-masing, sehingga amanah yang diberikan terabai, kerana penumpuhan masa yang seharusnya digunakan untuk melaksanakan dasar dan matalamat kerajaan yang ada (government of the day) dilakukan acuh tak acuh, kerana  sebahagian masa terguna untuk tujuan berpolitik.
 
Kerja berpolitik, biarkan ahli politik yang melakukannya, dan jika ada kaki tangan kerajaan yang "sangat" minat berpolitik, adalah terhormat jika mereka melepaskan jawatan sebagai kaki tangan kerajaan dan terjun sepenuh masa sebagai ahli politik.
 
Kerjaya sebagai ahli politik adalah pekerjaan sukarela; oleh kerana itu adalah tidak adil jika ada kaki tangan kerajaan yang mendapat imbuhan daripada jawatannya dan menggunakan kedudukan  untuk berpolitik.
 
Kaki tangan kerajaan perlu berkhidmat dengan kerajaan of the day, atas sebab itu, sebaik-baiknya kaki tangan kerajaan perlu bertindak berkecuali dalam soal-soal politik.
 
Kegagalan pengamal politik terutama wakil-wakil rakyat menunaikan janji, tidak semuanya terletak di pundak mereka. Sebahagian kegagalan itu adalah sumbangan pihak pelaksana. Pelaksana adalah kakitangan kerajaan melalui berbagai jabatan mahupun kementerian.
 
Contoh mudah- penyediaan skop kerja bagi suatu projek di kawasan-kawasan tertentu perlu disediakan oleh kakitangan kerajaan, namun disebabkan "fahaman" politik yang berbeza dengan pemimpin kerajaan, maka skop kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam masa singkat, memerlukan masa yang lama. Rentetan daripada itu, rakyat yang memerlukan projek itu akan merasa bosan dan marah. Mereka marah pada wakil rakyatnya dan sebenarnya keadaan ini yang berlaku sekarang ini.
Ironinya, kakitangan kerajaan itulah yang membuat luahan negatif terhadap kerajaan atau wakil rakyat kerana kegagalan melaksanakan suatu projek untuk rakyat.
Keadaan seperti yang disebutkan di atas akan reda, jika keadaan politik stabil. Erti stabil di sini, jika kekuatan sesebuah parti politik itu kuat. Pengertian kuat di sini, apabila sesebuah parti politik itu mempunyai kuasa 2/3 baik di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri.
Kestabilan politik menyumbang kepada kadar pembangunan negara. Atas sebab itulah pembangunan negara begitu rancak sejak tahun 1981 sehingga tahun 2007, kerana kestabilan politik. Pembangunan tercerencat sejak tahun 2008, kerana kestabilan politik negara tidak menentu.
Sebagai contoh bagaimana kestabilan politik menyumbang kepada pembangunan-Sabah misalnya, sebelum tahun 1994, Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia. Akibat kestabilan politik sejak tahun 2004 hingga kini,maka pembangunan negeri terus berjalan dengan rancak, sehingga kadar kemiskinan berjaya diturunkan kepada 19 peratus, sebelumnya adalah 24 peratus.
Kadar kemiskinan ini dianggarkan akan terus menurun jika kestabilan politik di negeri ini berterusan, kerana kadar pembangunan akan terus meningkat.
Kepimpinan negeri yang diterajui Datuk Musa Aman sejak tahun 2003 mengwujudkan suasana kestabilan politik; atas sebab itu, para pemimpin termasuk wakil-wakil rakyat mempunyai penumpuhan penuh kepada pembangunan kawasan masing-masing.
Malangnya, kestabilan politik negeri ini diganggu gugat oleh orang-orang tertentu, terutama "mereka" yang berasal dari negeri-negeri lain yang berkhidmat di negeri ini yang membawa fahaman politik mereka untuk mengwujudkan ketidak stabilan politik di negeri di bawah bayu ini.
Kewujudan kakitangan kerajaan daripada jabatan-jabatan persekutuan yang berpihak kepada politik pembangkang, sedikit sebanyak menyumbang kepada ke tidak stabilan politik di Sabah.
Bagi rakyat Sabah, permainan politik ahli-ahli politik Sabah, mereka telah arif dan faham, baik daripada kerajaan mahupun pembangkang. Atas sebab itu, rakyat telah berbicara berkali-kali sejak PRU-1999, bahawa kerajaan BN perlu mewakili rakyat jelata, tidak terkecuali pada PRU-13 akan datang.