9 October 2012

PRU-13: Persepsi Rasuah buruk untuk BN

SALAH satu punca tsunami politik BN, apabila pemimpinnya tidak bersatu.  Tahun 1990, kerana krisis dalam Umno tahun 1987, yang mengakibatkan Umno terbahagi dua. Tahun 2008, kerana penghinaan terhadap Tun Dr Mahathir semasa bertanding G7 perwakilan Umno Kubang Pasu, dimana beliau berdekad sebagai Ketua Bahagian.

Kritikan yang bertali arus kepada kepimpinan Abdullah Badawi oleh mantan Presiden Umno-Tun Dr Mahathir mempengaruhi persepsi rakyat terhadap BN. Tambahan lagi kenyataan mantan Perdana Menteri itu tentang kemenangan 3/4 BN di Dewan Rakyat pada PRU-2004 yang membuatkan Abdullah naik tocang, juga menambah persepsi rakyat terhadap BN.
 
Dikeranakan kritikan yang bertali arus daripada Tun Dr Mahathir, maka prestasi BN di Semenanjung terburuk kedua selepas tahun 1969. Akibat keputusan terburuk itu, MP Jerlun yang baru sahaja menang PRU itu-Mukriz Mahathir mengutus surat kepada PM masa itu-Abdullah Badawi agar bertanggungjawab terhadap keputusan buruk BN itu.
 
Selain itu, Tun Dr Mahathir keluar Umno, selagi Abdullah masih Presidennya. Akibat rintitan peristiwa ini, maka Abdullah melepaskan jawatan Perdana Menteri setahun kemudian, tepatnya pada April,2009.
 
Abdullah meninggalkan BN yang sudah parah kepada penggantinya Najib Tun Razak. 
 
Semenjak mengambil alih jawatan Persiden Umno dan Perdana Menteri pada tahun 2009, Najib berusaha mengubati, memperbaiki kekecederaan terhadap BN dan Umno. Beliau mengwujudkan berbagai pendekatan perubahan melalui kaedah Transformasi, baik politik, ekonomi dan sosial.
 
Melalui pendekatan Transformasi, pembangkang kehilangan arah menandinginya, atas sebab itu, Pembangkang memilih hanya SATU ISU menandingi Transformasi Najib. Isu itu adalah RASUAH.
 
Pembangkang memilih RASUAH sebagai Tajuk Besar dalam semua serangan terhadap BN/Umno.
 
Tujuan pembangkang memilih Tajuk Rasuah adalah untuk mengwujudkan persepsi Negatif yang teruk terhadap jajaran kepimpinan BN dan Kerajaan.
 
Pembangkang menghubungkan bahawa kadar kenaikan harga barang, defisit negara, pembangunan perlahan, kadar kemiskinan, semuanya kerana faktor rasuah yang diamalkan oleh kerajaan BN.

Pembangkang berhujah, kalau bukan kerana rasuah, kadar pembangunan negara yang diperintah BN lebih setengah abad, akan jauh lebih baik.
 
Serangan rasuah yang bertali arus yang disasarkan kepada Taib Mahmud,Musa Aman, Gani Patail dan beberapa pemimpin BN lagi, saban hari terus diputar. Serangan ini, mengakibatkan badan yang bertanggungjawab tentang rasuah SPRM, berkali-kali mengeluarkan kenyataan, bahawa hasil siasatan badan itu, tidak menemukan bukti kukuh untuk membolehkan pendakwaan di mahkamah.

Walaupun SPRM membuat kenyataan demi kenyataan menafikan dakawaan terhadap para pemimpin BN yang kononnya melakukan rasuah, namun, pembangkang tidak jemu-jemu memutar isu itu. Perkara ini, disebabkan menurut kajian mereka, isu rasuah menepati selera para pengundi, terutama pengundi muda dan pengundi atas pagar.
 
Dalam usaha Najib menutralisasikan keadaan itu, maka minggu lalu satu persidangan antarabangsa mengenai rasuah diadakan di Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 1000 peserta meliputi 100 negara. Melalui persidangan itu, diadapati masalah rasuah bukan sahaja wujud di negara membangun seperti Malaysia, juga berleluasa di negara maju di Barat. Rasuah juga bukan sahaja tugas kerajaan juga tugas awam atau swasta mengatasinya.

Atas sebab itu, masalah rasuah tidak seharusnya diletakan sepenuhnya di bahu kerajaan untuk mengatasinya, namun kerjasama pihak swasta atau orang awam sangat diperlukan.

Sekurang-kurangnya itulah kesimpulan persidangan antarabangsa itu, bahawa rasuah bukan sahaja berlaku di negara membangun juga di negara maju.

Berhadapan dengan isu rasuah yang dibangkitkan oleh pembangkang terhadap pemimpin BN perlu dianalisis dengan tepat oleh para pengundi, kerana dakawaan pembangkang itu hanya persepsi. Jangan kerana persepsi, maka pengundi menghukum kerajaan yang membangun negara ini lebih setengah abad.

Sebagai pengundi, kita perlu melihat bagaimana kemajuan negara berbanding dengan negara-negara yang lebih dahulu meredeka berbanding negara kita. Negara kita mengalami pembangunan  yang pesat sehingga melahirkan prasarana kelas dunia.

Pembangunan yang pesat tidak akan berlaku, jika rasuah berlelusa sepertimana dakwaan pembangkang. Ironinya Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berdekad lamanya sebagai anggota kerajaan dan BN yang kini dituduhnya sebagai rasuah.

Adalah perkara biasa, Pencuri akan menuduh sipencuri sebagai pencuri, kerana sipencuri itu tahu benar bahawa dia mahir dalam soal-soal mencuri. Apa kah Anwar semasa dalam kerajaan pengamal rasuah?; kerana beliau begitu mahir bercakap rasuah mengenai Umno dan BN!!

7 October 2012

Kenapa Musa jadi sasaran?

SEJAK akhir-akhir ini, bukan sahaja pembangkang mempersoalkan kempimpin Musa, malah ada kalangan mantan pemimpin BN mempersoalkan kedudukan Ketua Menteri Sabah itu.

Para mantan pemimpin BN, yang suatu ketika telahpun diberi peranan masing-masing, namun selepas tidak terpilih lagi sebagai Yang Berhormat dan tidak dilanjutkan jawatan pengerusi GLC, kini menabur certia negatif  di mana-mana;  kononnya, kedudukan Musa sebagai Ketua Menteri perlu disemak semula.

Mereka ini lupa, bahawa kepimpinan BN hanya mengutamakan para pemimpin yang boleh "deliver" kehendak negeri dan rakyat. Mereka yang tidak mempunyai jawatan ini lagi; terlupa, bahawa semasa mereka mempunyai jawatan dahulu, prestasi mereka sungguh mengecewakan. Keberadaan mereka dalam kerajaan seolah-olah mememanaskan kerusi empuk, tanpa sumbangan yang bermakna kepada negeri dan rakyat.

Kajian Merdeka Centre berkaitan Sabah dan Musa- Beragenda Politik Pembangkang: Salleh

DAPATAN Merdeka Centre berhubung kadar pembangunan Sabah dan penerimaan rakyat terhadap Ketua Menteri Sabah sejak 2009 mempunyai agenda tersirat pembangkang.

Timbalan Perhubungan Umno Sabah- Datuk Salleh mempersoalkan metoda kajian itu yang mempunyai maksud tersirat yang mendorong responden menyatakan atau menjawab soalan, bercanggah dengan pendirian responden itu.

Kajian memang ada manafaatnya atau ada kebenarannya, kalau dijalankan dengan bebas tanpa beragenda.

Dapatan Kajian Pusat Merdeka Centre yang konon dijalankan bermula 6-17 September, seminggu selepas Sambutan Hariraya Puasa, membuat kesimpulan bahawa rakyat Sabah sama sekali tidak berpuas hati berhubung kadar Pembangunan semasa Musa menjadi Ketua Menteri Sabah.

6 October 2012

Persepsi Negatif terhadap Ketua Menteri Sabah terus ditiupkan

BERBAGAI perancangan dilakukan pihak tertentu bagi mengwujudkan persepsi negatif terhadap Ketua Menteri Sabah-Datuk Musa Aman.

Bermula Mei lalu, Sarawak Report satu laman web yang tidak jelas, membawa laporan bersiri mendakwa bahawa Ketua Menteri Sabah itu telah melakukan rasuah sejak tahun 1996 yang berkaitan penjualan balak negeri Sabah.

Ekoran laporan bersiri itu, pihak SPRM dikhabarkan telah membuka fail berhubung dakwaan itu dan telahpun siap melakukan siasatan, namun bukti-bukti kukuh untuk membolehkan pendakawaan di mahkamah tidak mencukupi.

Minggu lalu, satu dapatan daripada Merdeka Centre membuat kesimpulan, bahawa populariti Musa telah menjunam di bawah paras 50 peratus, selain itu membuat penekanan, kononnya populariti Musa daripada rakyat islam turut menurun.

Pusat Kajian yang sama juga sebelum ini membuat kajian tentang Ketua Menteri Sarawak sebelum PRN Sarawak tahun 2011. Namun selepas PRN negeri itu, keputusan kajian pusat itu semua auta.

Rancangan pihak-pihak tertentu untuk mengwujudkan persepsi negatif terhadap Ketua Menteri Sabah, sebenarnya bertujuan politik, kerana Sabah merupakan kubu kuat barisan nasional. Untuk menjatuhkan BN, maka penembusan ke atas kerusi-kerusi Parlimen mahu DUN Sabah perlu, jika tidak adalah sukar bagi pembangkang untuk menubuhkan kerjaan Persekutuan.

Sebenarnya, usaha untuk mengwujudkan persepsi negatif terhadap Musa, telah lama dilakukan sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Menteri lagi.

Rancangan mudah untuk menjatuhkan seseorang adalah mengwujudkan persepsi bahawa seseorang itu perasuah. Melalui persepsi itu, maka kredibiliti seseorang itu mudah dipersoal. Inilah rancangan licin yang dilakukan terhadap Musa.

Jika ditilik secara cermat, jika benarlah Ketua Menteri Sabah itu mengamalkan rasuah, yang didakwa bermula tahun 1996, adalah mustahil beliau dilantik sebagai Ketua Menteri sabah pada tahun 2003.

Musa tidak mempunyi kuasa eksekutif sebelum tahun 2003. Beliau hanya seorang ADUN dan kemudian dilantik sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang mengawal selia Yayasan sabah.

SPRM sebenarnya mempunyai berbagai saluran dan cara untuk mendapat bukti rasuah, jika benarlah rasuah berlaku.

Di Malaysia, sudah ramai pemimpin BN didakwa di Mahkamah kerana dakwaan rasuah, namun selepas bertahun-tahun perbicaraan, terbukti dakwaan itu tidak benar. Tan Sri Kasitah Gadam, Datuk Saidin Thambi, dibebaskan selepas bertahun-tahun terpalit dengan dakwaan rasuah.

Sebenarnya pihak-pihak tertentu mahukan agar dakwaan rasuah dikenakan terhadap Musa, walaupun dakwaan itu hanya berasaskan persepsi.

Pada abad teknologi canggih ini, bukti-bukti boleh direkayasa, namun apabila bukti-bukti itu dikemukakan kepada mahkamah, kemudian mahkamah mendapati kemudian bahawa bukti-bukti itu tidak kukuh, pada gilirannya seseorang itu dibebaskan selepas bertahun-tahun.

Namun, akibat daripada tindakan itu, maka kerjaya seseorang pemimpin terpaksa ditamatkan dan tercalar. Kerosakan telah berlaku, pada masa kerosakan diperbetulkan, masa dan situasi sudah berbeza; inilah yang berlaku terhadap para pemimpin yang didakwa rasuah sepertimana berlaku terhadap Kasitah Gadam dan Saidin Thambi.

Puak-puak yang mereka-reka dakwaan rasuah terhadap pemimpin BN, bukan hanya terhad kepada Musa, malah Pehin Seri Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak, sudah begitu lama menjadi sasaran. Malahan, Perdana Menteri juga menjadi sasaran mereka dan me-reka-reka, kononnya beliau terlibat melakukan salahguna rasuah dalam pembelian kapal selam Malaysia, daripada Perancis.

Pembunuhan karekater seseorang apabila wujudnya PERSEPSI negatif terhadap seseorang itu. Inilah rancangan pihak-pihak tertentu terhadap Musa dan Najib serta Taib, kerana mereka ini adalah paksi kepada kekuatan BN. Musa menguasai Sabah, Najib Semenanjung, manakala Taib Sarawak.

Akibat aliran maklumat yang begitu pantas era ini, isu-isu fitnah mudah menyebar di semua pelosok; sehinggakan pihak yang ditohmah tidak mempunyai masa untuk menangkis; sehinggakan menjawab isu yang satu, isu lain akan bertandang.

Dengan tindakan menyebar isu fitnah terhadap pemimpin terrentu, sehinggakan pemimpin itu terganggu dalam melakukan perancangan untuk membangun rakyat dan tanahair; kerana emosinya terganggu dengan isu karut marut.

Isu, kalau tidak dijawab akan menjadi betul, apatah lagi, usaha pihak tertentu senantiasa melakukan SPIN terhadap isu yang sama.

5 October 2012

Kajian Merdeka Centre cuba wujudkan persepsi negatif terhadap Musa Aman

DAPATAN yang dibuat oleh Merdeka Center yang mendapati tahap kepuasan pengundi terhadap Musa jatuh daripada 60 peratus pada November 2009 kepada 45 peratus pada September 2012, menunjukkan suatu usaha licin untuk mengwujudkan persepsi negatif kepada Ketua Menteri Sabah itu.
Dapatan kajian ini bercanggah dengan fakta lapangan, di mana sebelum kajian ini dibuat adalah bulan puasa dan selepas itu sambutan hariraya. Semasa bulan puasa, adalah didapati bahawa sambutan rakyat terhadap majlis-majlis berbuka puasa yang dihadiri Musa cukup mendapat sambutan. Demikian juga semasa hari terbuka Musa pada hari kedua Hariraya, kehadiran ribuan rakyat adalah manifestasi sokongan mereka kepada beliau.

Jika benarlah dapatan kajian ini, bahawa sokongan rakyat beragama islam terhadap kepimpinan Ketua Menteri itu berkurangan , sudah tentulah majlis-majlis yang berkaitan dengan agama islam yang dihadiri atau dianjurkan beliau tidak mendapat sambutan.

Kajian Merdeka Centre sebenarnya mempunyai matalamat yang cuba mengwujudkan persepsi negatif kepada Musa; kerana kekuatan BN Sabah sebenarnya berpaksi kepada kepimpinan Ketua Menteri itu.

Sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada tahun 2003, Musa berjaya membawa kemenangan kepada BN melalui dua pilihanraya umum, Tahun 2004 dan 2008. Pada PRU-2008 yang dijolok sebagai tsunami politik bagi BN, namun Sabah dibawah kepimpinan Musa, hampir menyapu bersih kerusi DUN dan Parlimen. Kecatatan hanya hanya belaku di satu DUN-Sri Tanjong dan satu Parlimen-Kota Kinabalu.

Selain itu, sejak Musa menjawat jawatan Ketua Menteri, lonjakan simpanan kewangan negeri telah berkali lipat ganda, daripada kurang RM200juta kepada RM3bilion tahun 2011. Bajet kerajaan Sabah juga saban tahun terus meningkat, malah bajet tahun 2012 merupakan rekod kerana pertama kali mencecah melebihi RM4bilion.

Pelaburan swasta juga terus mengalir di Sabah, malah MITI telah menyatakan bahawa pelaburan ke Sabah hanya satu tingkat di bawah Selangor.

Musa dalam membangun Sabah telah berjaya mengwujudkan beberbagai projek mega untuk kepentingan rakyat samada berakitan membasmi kemiskinan juga peningkatan taraf pendidikan.

Projek seperti Jelapang Padi, Agropolitan, PIOC, minyak dan gas dan projek urea merupakan projek-projek mega yang disasarkan untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Amalan pemerintahan Musa juga bukan berbentuk terpusat, atas sebab itu, dalam kabinetnya merangkumi berbagai etnik yang terdiri daripada para pemimpin komponen parti BN.

Rajinnya Ketua Menteri itu turun padang, mencerminkan keinginannya membangun negeri dan rakyat. Namun, kerajian Ketua Menteri itu, tidak dapat diimbangi oleh wakil-wakil rakyat lain, mungkin faktor inilah yang tercermin dalam dapatan Merdeka Centre. Mereka yang menjadi responden kepada kajian itu, mungkin meluahkan ketidakpuashatian mereka terhadap wakil rakyat yang mewakili mereka, namun kerana Musa adalah Ketua Pentadbir, maka beliaulah terkena getahnya.

Sebelum ini, Suara Rakyat juga pernah menulis, bahawa hambatan kepada BN Sabah untuk tetap menjadi kubu kuat BN, sebenarnya tercalar kerana karena beberapa pemimpin BN yang masih bersifat VVIP dan kurang mesra rakyat. Malah para pemimpin tertentu ini, suka menunjuk-nunjuk, di mana perbuatan mereka itu memualkan rakyat.

Jika diterimalah dapatan daripada Merdeka Centre ini, faktor penyebabnya bukan terletak kepada bahu Musa seorang, akan tetapi perlu dipikul oleh seluruh pemimpin BN. Poiltik adalah kerja berpasukan, ertinya setiap anggota pasukan itu mempunyai peranan masing-masing. Sebagai kapten, hanya menunjukkan, memberi tahu strategi yang perlu dilakukan, jika ada anggota pasukan, khilaf atau terlepas pandang kepada arahan dan startegi, maka secara umumnya berimpak negatif kepada pasukan. Sebenarnya inilah yang berlaku dalam Dapatan Merdeka Centre ini.

Percayalah sesiapa sahaja menjadi Ketua Menteri Sabah, jika kecatatan anggota pasukan masih ada, maka dapatan kajian sepertimana dilaporkan oleh Merdeka Centre pasti akan senantiasa berlaku.

PRU-13: Apa kah Sabah masih ayam tambatan BN?

MELIHAT prestasi BN Sabah pada PRU-12 lalu, menyebabkan negeri di bawah itu diberi jolokan "Fixed Deposit" BN. Namun, berasaskan perkembangan semasa dan senario politik, jolokan itu sedikit tercalar.

Keluarnya pemimpin BN seperti Lajim Ukin, Welfred Bumburing, Yahya Lampung, Ibrahim Menudin, sedikit mencalar keupayaan BN. Jika lah pengaruh pemimpin yang keluar ini menyeluruh, pasti membahayakan BN. Tetapi sudah menjadi suratan, bahawa kekuatan mereka hanya bersifat setempat-Lajim hanya kuat di Beaufort, Yahya Lampong di Papar atau Kota Belud, sementara Ibrahim di Labuan, dan Bumburing di Tamparuli.

Pemimpin Sabah kini, yang kelihatan benar-benar berjuang mempertahankan Bn daripada pihak Umno adalah Musa dan Salleh serta Rahman Dahalan. Musa adalah Pengerusi Perhubungan Umno negeri, manakala Salleh Timbalannya dan pula Rahman adalah setiausaha BN Sabah.

Mereka bertiga ini, saban hari menjadi tajuk akhbar, baik melalui media arus perdana, juga media alternatif seperti blog.

Para pemimpin lain, cukup sunyi daripada perhatian akhbar-akhbar, berbanding perhatian akhbar terhadap pemimpin pembangkang.

Mungkin kah ada kesepakatan daripada pimpinan BN Sabah, bahawa hanya Musa,Salleh dan Rahman yang mengeluarkan kenyataan menangkis semua fitnah pembangkang? atau kah para pemimpin lain kurang mesra akhbar, atau memang kurang arif dalam menongkah fitnah-fitnah pembangkang?

Mengapakah pemimpin lain ini kurang mendapat perhatian? bagaimanakah rakyat mengetahui keberkesanan mereka sebagai wakil rakyat? atau kah mereka-mereka ini hanya dikenali di kawasan masing-masing? Kalau hanya wakil rakyat, mungkin mereka hanya dikenali di kawasan yang mereka wakili, namun bagi mereka yang mempunyai jawatan kabinet atau pengerusi GLC, tidak wajar mereka berdiam diri.

Sepatutnya, setiap wakil rakyat atau mereka yang mempunyai jawatan kerajaan perlu mengemaskinikan pencapaian mereka agar supaya rakyat tahu terutama pemutar belit maklumat, tentang kadar pembangunan yang berjaya disediakan oleh kerajaan BN bagi kawasan masing-masing khasnya dan dibawah kementerian atau agensi yang mereka terajui.

Dakwaan Merdeka Centre baru-baru ini yang mendakwa bahawa kadar pembangunan di Sabah sungguh kurang semasa kerajaan BN, perlu disanggah oleh setiap wakil rakyat atau kementerian atau agensi kerajaan dengan mengemukakan data pembangunan dan uar-uarkan melalui media masa, agar rakyat terkemaskini dengan maklumat. Jika tidak, mungkin rakyat akan percaya, bahawa putar belit seperti mana laporan Merdeka Centre itu adalah betul.

Seharusnya setiap pembangunan yang dibuat oleh kerajaan di mana sahaja, perlu diuar-uarkan kepada rakyat, kerana zaman ini, bukan lagi zaman katak di bawah tempurung, zaman kini adalah zaman ICT.

Jangan hanya paparan di facebook mengenai lawatan peribadi semasa bercuti di luar negara, seolah-olah menunjukkan bahawa para pemimpin BN hanya suka berpoya-poya berbanding berkerja untuk rakyat.

Penulis berkata demikian, kerana puas penulis mencari laman-laman FB pemimpin pembangkang, jarang sekali mereka memaparkan kegiatan peribadi, melainkan kegiatan untuk rakyat. Bercanggah dengan para pemimpin BN, laman FB mereka dipenuhi dengan acara makan, acara lawatan luar negara dan sebagainya.

Tidak semua pemimpin BN demikian, ADUN Tempasuk misalnya senantiasa memaparkan kegiatannya berhubungan dengan kementerianya. Demikian juga Musa, Salleh, Rahman, Masidi, Tawfik, Nizam, Yahya Samsudin, Bolkiah Ismail, Rahim Bakri, VK Liew-mereka memamarkan aktiviti mereka yang berhubungan dengan pembangunan rakyat. Manakala pemimpin lain mereka lebih gemar kepada mempromosi diri dan gemar mempamirkan kehebatan mereka sebagai Yang Berhormat, dengan tidak menyentuhpun mengenai pembangunan rakyat.

Gejala mempamir diri sebagai VVIP inilah yang memuakkan rakyat. Atas sebab itu, walaupun Pembangkang tidak mempunyai isu apa-apa, mereka mampu mendapat sokongan. Pendekatan Pembangkang, memang down to earth, kerana mereka mahu mendapat sokongan; entah kalau sudah menjadi Yang Berhormat, apa kah pendekatan itu berterusan, tiada siapa yang tahu, sebab, kebanyakan Yang Berhormat yang ada juga melalui keadaan yang serupa sebelum terpilih sebagai Yang berhormat.

Mengapakah pendekatan sebelum menjadi Yang Berhormat itu sungguh mesra rakyat, dan apabila sudah mendapat gelaran YB/Datuk tidak mesra lagi?

Keadaan ini yang dihadapi BN sekarang ini. Rakyat bukan sahaja mahu kepada pembangunan, akan tetapi juga mahu wakil rakyat mereka mesra rakyat.

Fenomena inilah yang boleh menjadi batu penghalang kepada BN Sabah untuk menjadi Ayam Tambatan BN, kerana sifat angkuh dan sombong sebahagian daripada pemimpin BN sendiri. Apa kah kerana nila setitik susu sebelanga rosak? hanya rakyat yang menentukan.

3 October 2012

Salleh sangkal kajian: Sabah tidak membangun

KOTA BELUD: Pembangunan merupakan komitmen yang tiada penghujungnya, manakala projek prasarana pula, terutama bekalan air dan elektrik, dilaksanakan pada kadar yang amat pesat di Sabah, bercanggah dengan dakwaan satu laporan kaji selidik, kata timbalan ketua Umno Sabah Datuk Salleh Said Keruak.

Beliau berkata di samping itu, pembangunan dan prasarana merupakan perkara bersifat setempat dan jarang ditonjolkan media.

Oleh itu, kata beliau, dakwaan bahawa Sabah kekurangan pembangunan dan kemudahan prasarana adalah tidak tepat kerana pelbagai pembangunan dilaksanakan di negeri ini.

Ini termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, loji ammonia dan urea, stesen janakuasa tenaga, jalan raya dan taman industri," katanya merujuk kepada laporan kaji selidik Merdeka Centre di sini hari ini. Kaji selidik itu, yang dibiayai bersama Merdeka Centre dan sebuah firma perunding serantau, dibuat dari 6 hingga 17 Sept.

Salleh turut menggesa penduduk kampung di daerah itu yang menghadapi masalah supaya menyuarakannya kepada wakil rakyat mereka agar masalah itu dapat diselesaikan dengan baik dan bukan mengharapkan media memaparkan perkara seperti itu.

"Saya yakin Anggota Parlimen atau Adun, atau wakil mereka, boleh dan akan menangani keperluan rakyat dengan memanjangkan aduan atau masalah itu kepada agensi berkaitan," katanya, mengulas laporan akhbar berhubung dakwaan penduduk Kampung Suang Punggor bahawa mereka dipinggirkan meskipun dikategori sebagai miskin.

"Saya sudah membangkitkan perkara ini kepada Adun yang berkenaan dan beliau akan menguruskan perkara ini," kata Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, dan menambah BN tidak bersikap pilih kasih dalam soal pembangunan dan pembasmian kemiskinan.

Salleh turut menggesa parti komponen BN supaya merangka strategi dan meletakkan jentera pilihan raya di negeri ini dalam keadaan siap siaga memandangkan pilihan raya umum bakal diadakan bila-bila masa sahaja.

"Kota Belud adalah kubu kuat BN dan kita mesti bekerja keras untuk memastikannya kekal sebagai benteng BN dan memastikan kemenangan berpihak kepada Anggota Parlimen dan tiga Adun daripada BN," katanya. 

Pembentukan Kerajaan BN Sabah: Peranan Tun Said Keruak

KALAUlah TYT bersetuju atas permintaan Ketua Menteri pada tahun 1994 untuk membubar DUN yang baru sahaja selesai pilhanraya, mungkin keputusan akan bersama PBS, sepertimana berlaku pada tahun 1986.

Pada PRN-Sabah Tahun 1985, PBS menang 25 kerusi, manakala Tahun 1986, jumlahnya bertambah kepada 34 daripada 48 kerusi Dun Sabah. Demikian juga pada PRN-Sabah Tahun 1994, PBS mendapat 25 kerusi berbanding BN 23.

PBS kehilangan majoriti DUN apabila dua ADUNnya Lajim Ukin dan Robin Balang menyertai Umno. Disebabkan lompat itu, maka BN pula mempunyai 25 kerusi berbanding PBS 23 di DUN.

Pembentukan Kerajaan BN Sabah, dengan cepat dapat dilakukan kerana tidak berlakunya PRN Sabah, sepertimana dikehendaki Ketua Menteri masa itu- Datuk Pairin Kitingan (kini Tan Sri).

Peranan TYT pada tahun 1994 dengan tidak merestuai pembubaran DUN, besar ertinya kepada pembentukan Kerajaan BN yang bermula tahun itu, hinggalah kini.

Selama tiga PRN Negeri yang bermula tahun 1999 dan terakhir pada 2008, nampaknya penguasaan BN semakin kukuh, apatah lagi, PBS sebagai parti terkuat dalam negeri menyertai BN pada tahun 2002.

Sumbangan mantan TYT Sabah itu terhadap kerajaan BN Sabah, sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Kini, sumbangan beliau dalam BN diteruskan oleh anaknya Datuk Salleh Tun Said, yang juga pernah menjadi Ketua Menteri Sabah, menganggotai kabinet Sabah, termasuk sebagai Menteri Kewangan Negeri.

Kini, Salleh berjawatan Speaker Dewan Undangan Negeri. Jawatan politik beliau adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri merangkap Ketua Bahagian Umno Kota Belud.

Pada PRU-13, Salleh dikatakan akan kembali menyertai pilihanraya dengan bertanding di N.8 Usukan menggantikan Japlin Akim, ADUN dua penggal sejak tahun 2004.

Salleh diperlukan kehadirannya dalam DUN Sabah sebagai ADUN dan barisan kabinet negeri untuk berganding bahu dengan Datuk Musa mempercepat pembangunan negeri, terutama dalam rangka membasmi kemiskinan.

Bajet 2013 BN: MP Kota Belud-Sandaran BN menangkis putar belit Pembangkang

MP Kota Belud- Datuk Rahman Dahalan, tidak henti-henti mmeberikan fakta betul, mengenai dakwaan Pembangkang terutama Anwar Ibrahim berhubung bajet 2013.

Pembangkang dengan berbagai helah dengan penuh putar belit, tidak mampu berhujah, kerana MP Kota Belud itu senantiasa mencelah dengan memberi data dan maklumat yang betul.

Dakwaan Anwar, kononnya Kerajaan BN menghukum kerajaan yang diperintah PR, ternyata bohong besar, kerana kenyataan itu bercanggah dengan data statistik.

Sebagai contoh Statistik menunjukkan kutipan cukai di Kedah hanya RM5.4 bilion sepanjang lima tahun sejak tahun 2008 dan pada tempoh yang sama, kerajaan Pusat menyalurkan RM25.5 bilion kepada negeri berkenaan. Penyaluran kewangan ini merupakan lima kali ganda berbanding hasil kutipan cukai.

Malah di Selangor, sepanjang lima tahun, bermula tahun 2008, kutipan cukai berjumlah RM56.3 bilion, pada tempoh yang sama kerajaan Pusat menyalurkan RM62.7 bilion.

Data yang disebutkan diatas diberikan oleh MP Kota Belud, ketika mencelah perbahasan Bajet 2013 oleh Ketua Pembangkang-Anwar Ibrahim.

Kesiapsiagaan MP Kota Belud itu, menjadikan beliau sandaran BN menangkis putar belit pembangkang.

Pada masa akan datang, kita mahu MP seperti MP Kota Belud ini bertambah di dewan rakyat, kerana selain pemberi maklmuat, juga untuk merancakkan  perbahasan.

Lain yang tanam lain yang menuai

KALAU yang tanam pokok mangga itu sudah masuk kubur, bolehlah pokok mangganya yang telah berbuah menjadi amalnya di dunia, kalau ada yang memetik buah itu. Kalau pun tiada, sekurang-kurang binatang atau burung boleh dapat sumber makanan, ada pahala juga itu.

Berlainan dalam dunia politik, mereka yang berjuang awal selalunya diketepikan malah dilupakan. Jarang kacang ingat kulitnya, biasanya senantiasa lupa.

Mereka yang ditentang dahulu, kemudian menguasai penentang kerana gara-gara yang ditentang itu berbaik dengan penentang. Ini yang berlaku pada pejuang-pejuang Umno tahun 1990-1994. SEMASA UMNO masih dalam peringkat penyaja.. mereka yang bertengek dalam singgahsana sekarang, tidak pernahpun kelihatan, malah mereka itu masih bersenang linang dengan kedudukan yang disediakan oleh kerajaan yang ditentang oleh pejuang-pejuang Umno. Kini, mereka pula menjadi tuan-tuan kepada pejuang-pejuang Umno, malah mereka kelihatan lebih berkuasa.

Pejuang-pejuang Umno kini dianggap sebagai melukut tepi gantang, kerana kudrat mereka, telahpun dikuras habis semasa Umno masih pembangkang, atas sebab itu keadaan mereka tidak terurus lagi kerana taring, taji pupus semasa berjuang dahulu.

Malah ada diantara mereka di tahan di Kamunting bertahun-tahun, dijadikan kambing hitam, kerana peranan mereka dalam mencipta jalan bagaimana Umno menjadi kerajaan di peringkat negeri, sudahpun menjadi kenyataan.

Dalam istilah orang kampung.. ketulahan.. kalau mereka yang diberi budi tidak mengenang budi. Atas sebab itu, pada PRU-12 lalu, walaupun Selangor kelihatan begitu gah sebelum pilihanraya, hanya kerana isu PENYAPU yang dihadiahkan oleh Khir Toyo kepada pegawai kerajaan yang banyak berbudi kepada kerajaan dihina begitu sekali;  akibatnya Selangor jatuh ke tangan Pembangkang, kerana kemarahan rakyat.

Di Sabah, keadaan serupa juga berlaku, pada Kerajaan Berjaya, apabila pejuang-pejuang awal parti itu dilupakan, berganti dengan mereka yang tahu membodek. Akhirnya Berjaya kecundang. Keadaan pada parti Berjaya itu, tidak mahu diulangi oleh PBS, atas sebab itu pejuang awal PBS hingga kini masih digunapakai oleh parti itu. Atas sebab itu, parti itu tidak pernah kalah dalam PRU semasa pemerintahannya. PBS hanya kalah pada tahun 1999, kerana bukan kerajaan lagi, ditambah dengan para pemimpinnya yang tamak mengubah haluan menjadi penentangnya.

Penulis pernah bersama-sama para pejuang terdahulu mengembangkan Umno di sabah. Siang malam ke hulu ke hilir dari cawangan ke cawangan untuk memperluas penerimaan kepada Umno. Malah, isteri penulis mampu menang dengan undi tertinggi AJK dalam pemilihan Umno dalam satu bahagian. Penulis pada masa itu, belum boleh bertanding, kerana berjawatan dalam kumpulan A, jabatan Kerajaan.

Kini melihat Bahagian yang dipupuk itu, tiada lagi pejuang lama, malah Ketua Bahagian juga, bukan pejuang asal Umno. Di sebabkan kewangan, kerana mendapat projek berjuta-juta , maka mudah "orang " itu menang semasa merebut Ketua Bahagian.

Inilah pemimpin Umno sekarang. Inilah pemimpin kerajaan sekarang. serba baru. Atas sebab itu, mereka tidak kenal pejuang asal. 

Apabila pejuang asal berjumpa kerana merasakan perlu dibantu, mereka tidak dilayan; seolah-olah mereka ini, adalah mahkluk yang tidak dikenali.

Minta maaf kepada YAB Datuk Musa Aman, YB Datuk Musbah, Tun Sakaran Dandai, bukan mereka yang penulis maksudkan. Mereka ini memang pejuang awal, dan merekalah yang mempertahankan Usno- semasa parti itu sebagai Parti Pembangkang.

Penulis tahu betul siapa pejuang asal Umno dan siapa bukan. Penulis tahu betul asal usul pemimpin yang ada. Penulis tahu betul, sebahagian daripada pemimpin BN sekarang, berada di mana semasa Usno merupakan parti pembangkang.

Jangan lupa.. apabila "ketulahan" mengambil peranan, gunung ganang boleh runtuh, ranap sepertimana berlaku di Kedah, kerana Bahagian Kubang Pasu, menghina Tun Dr Mahathir semasa bertanding G7. 

Dalam demokarsi, kemenangan akan diperolehi kalau sekumpulan majoriti bersatu hati memilih sesuatu parti, demikian juga kerajaan akan kalah, kalau majoriti bersatu hati menolak kerajaan. Ini yang berlaku di Semenanjung semasa PRU-12; yang mengalahkan BN adalah penyokongnya sendiri, kerana ketidak puas hatian kepada para pemimpinnya yang lupa daratan.
Penulis rasa, kini gejala ketidak puas hatian, menggunung, walaupun Najib berusaha mengyakinkan penyokongnya bahawa BN masih relevan dalam pembangunan negara. Namun, tindakan  segelintir pemimpin BN sendiri, yang  boleh menghalang semua usaha Najib itu.

Dalam perasaan para pemimpin BN sendiri, beranggapan, bahawa rakyat kononnya tiada pilihan selain memilih BN. Para pemimpin ini silap. Masa Kerajaan Berjaya juga, perasaan demikian melanda semua pemimpin Berjaya masa itu, menurut mereka, rakyat tiada pilihan, kecuali memilih Parti Berjaya. Apa kesudahannya, daripada 48 kerusi yang ditandingi Berjaya, hanya 6 kerusi yang menang. Pada PRU-Sabah Tahun 1985, walaupun Usno dan berjaya adalah komponen BN, tetapi berlawanan di peringkat negeri.

Pada PRU Sabah 1985- PBS mendapat 25 kerusi, Usno 16, Berjaya 6 dan bebas satu. Akhirnya PBS membentuk kerajaan, sehingga tahun 1994.

Perasaan semasa Parti Berjaya memerintah itu, juga melanda para pemimpin BN di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang pada PRU-12. Mereka beranggapan, bahawa rakyat akan terus memenangkan BN, malah BN yakin akan mampu merampas Kelantan. Namun keputusan pada PRU-12 itu, memeranjatkan para pemimpin BN, kerana semua negeri itu menolak BN.

Kini, perasaan yang sama melanda pemimpin Sabah, mereka beranggapan, rakyat tiada pilihan, melainkan BN, atas sebab itu, rasa angkuh dan sombong tidak habis-habis. Mereka lupa, tahun 1976 dan tahun 1985, tiada ribut tafuan yang melanda, tiada angin kuat yang bertiup, hanya angin sepoi-sepoi bahasa pada tahun 1976-isu Syed Kechik dan tahun 1985 isu Pairin Kitingan.

Kini tiada isu seperti Syed Kecik atau isu seperti Pairin, isu sekarang, pejuang lama rata-rata merasa dilupakan. Cerminan ini dapat dilihat pada catatan mereka di FACEBOOK bagi yang ada FB, dan komen-komen kedai kopi, malah komen-komen mereka di kala ada majlis seperti perkahwinan atau tamu-tamu besar.
Mereka ini (pejuang lama) bukan pemimpin perhatian, atas sebab itu gelagat mereka tidak kelihatan sangat; akan tetapi, komen-komen mereka sungguh punya erti dan makna.
Jangan lupa, mereka ini juga punya kenalan, bukan pengikut. Cerita dari mulut ke mulutlah yang sungguh bahaya, sepertimana  kejatuhan Hosni Mubarak-Mesir, hanya berpunca dari pesanan FB. Fikir-fikirkan lah.

2 October 2012

Kekangan Jelapang Padi Kota Belud

Bajet, bendang, infrastruktur, pelaksana dan pemandu untuk Jelapang Padi Kota Belud sudah muktamad, namun masih ada bisilk-bisik dibelakang, bahawa projek itu tidak akan berjaya
 
Empangan Tambatoun.

Kejayaan sesebuah projek persawahan, banyak bergantung kepada sumber air. Pada asalnya Empangan Tambatoun dirancang sebagai sumber air, namun protes daripada penduduk kampong itu, mungkin mengakibatkan empangan itu terbatal dengan sendirinya.

Pada awalnya, apabila perancangan pembinaan empangan itu, penduduk bersedia berkorban demi lebih 80 ribu penduduk Kota Belud. Entah apa yang mengakibatkan penduduk Tambatoun tiba-tiba naik angin memprotes pembinaan empangan itu. Apabila perkabaran mengenai protes penduduk itu meluas, maka pihak pembangkang menimba di air keroh.

Jelapang Padi

Semasa Jelapang Padi diuar-uarkan, dan kebetulan projek itu menjadi “anak angkat” kepada ADUN Tempasuk-Datuk Musbah Jamli, ada pemimpin tertentu pernah berkata “potong lehernya” kalau projek itu berjaya. Manakala seorang pemimpin tertentu lagi melakukan gerak saraf termasuk menghasut penduduk kampong yang terlibat agar tidak bersetuju dengan projek itu, termasuklah penduduk kampong Tambatoun.

Bukan sahaja Projek Jelapang Padi menjadi sasaran pemimpin-pemimpin tertentu itu akan tetapi juga projek Agropolitan Kota Belud. Atas sebab itu, beberapa orang penduduk melakukan pemagaran pada kawasan di mana projek agropolitan itu bertapak.

Hambatan Pembangunan

Inilah masalah utama Kota Belud. Jika dari dahulu kawasan ini dibangunkan, sudah tentu penduduknya tidak ramai yang tersenarai sebagai rakyat miskin.

Kota Belud tidak mempunyai khazanah kekayaan seperti kayu kayan atau perladangan. Kota Belud hanya mempunyai tanah landai yang sesuai untuk tanaman padi, perbukitan yang sesuai untuk tanaman getah dan lautan untuk perikanan. Dikeranakan tiga bidang ini belum maju, maka secara automatic juga penguasahanya yakni petani, pekebun atau nelayan tidak maju.

Menanam padi hanya bertujuan untuk sara hidup, demikian juga berkebun dan nelayan. Mereka yang terlibat bukan tidak mahir dalam bidang masing-masing, akan tetapi infra yang mendokongnya belum tersedia.

Keadaan Pertanian

Lebih empat puluh tahun keadaan pertanian, perkebunan dan perikanan masih ditakuk lama, malah carapun masih ditakuk lama juga. Kewujudan jabatan-jabatan atau agensi yang berkaitan tiga bidang itu, hanya memperkenalkan cara lapok dengan persembahan moden.

Kewujudan Skim Padi Jawi-Jawi misalnya, sama sekali tidak mencapai sasaran; yang berlaku hanya jumlah keluasan tanah NT atau tanah sawah berkurangan, kerana akibat pengubahsuaian status tanah. Selain itu, cara mendidik petani dalam meningkatkan hasil padi dengan menggunakan produk kilang seperti baja, racun dan sebagainya, menyebabkan kesan sampingan kepada alam sekitar.

Impak Skim Jawi-Jawi

Kualiti air di sekitar skim Jawi-Jawi bertambah teruk, kerana tiadanya system pembuangan air yang bersepadu. Akibat akses pembajaan, maka fauna dan flora yang terdapat di sekitar Daerah Aliran Sungai Tempasuk (DAST) menjadi binasa dan rosak teruk. Fauna seperti kerang, udang, ikan-ikan payau penghuni sungai itu punah, dan tidak berganti.

Jika dahulu, ikan tilapia, kambura, pait, sapat, kabulan, bibi merupakan sumber protein penduduk kampong, kini sumber itu telah tiada.

Satu perkara lagi yang sungguh merugikan penduduk kampong adalah, air tercemar akibat akes baja daripada skim itu, telah bertahun-tahun menjadi sumber air harian penduduk kampong sekitar. Disebabkan konsumsi air yang tercemar ini, maka ramai penduduk kampong dijjangkiti penyakit hepitis, gugur gigi, buah pinggang dan sakit perut yang menaun.

Projek Baharu

Kini projek serupa akan mencul dengan keluasan yang berkali lipat. Jika system pengairan tidak diambilkira, maka besar kemungkinan, impaknya terhadap alam sekitar perkampongan akan lebih dahsyat lagi.

Disebabkan pengalaman melalui skim Jawi-Jawi, maka pihak pelaksana Jelapang Padi Kota Belud telah mengambilkira semua factor yang memudaratkan alam sekitar. Satu sisitem pengairan canggih akan digunapakai, dimana air akses daripada bendang akan melalui system penapisan semulajadi sebelum dilepaskan ke sungai atau laut.

Sistem yang akan digunapakai itu akan berjaya jika ada sumber air yang tidak tercemar selain daripada air hujan. Sumber air yang dimaksudkan adalah daripada empangan Tambatoun. Jika empangan itu, terbatal, maka akibatnya sumber air jelapang padi Kota Belud akan berasal daripada air yang dikitar. Jika ini berlaku, maka Skim Jawi-jawi ke dua akan muncul, di mana impaknya kepada alam sekitar akan sungguh luar biasa.

Halangan Politik

Disebabkan percaturan politik, maka ada pemimpin tertentu mahu projek Jelapang Padi gagal. Pemimpin itu, tahu betul, bahawa nadi kejayaan Jepalang Padi kota Belud adalah empangan Tambatoun. Atas sebab itu, secara tidak ketara, tindakan-tindakan dan gerakan rahsia dijalankan demi menggagalkan pembinaan empangan itu.

Jelapang Padi Projek Nasional

Kini, bajet Jelapang Padi Kota Belud telapun masuk ke dalam bajet Negara, bukan lagi bajet kerajaan negeri. Pada asasnya, projek itu sudah menjadi projek nasional, bukan lagi projek kerajaan negeri atau ADUN Tempasuk yang ada.

Apa kah kerana projek ini telah menjadi projek nasional, maka pernyataan “potong leher saya” pemimpin tertentu; jika projek itu berjaya; terpaksa ditarik balik dan akan pula menyokong kejayaan projek itu?

Dalam politik tiada kawan selama-lamanya demikian juga tiada musuh selama-lamanya. Kenyataan politik boleh berubah-ubah dan disesuaikan dengan keadaan. Mungkin kenyataan “potong leher saya” berkaitan projek itu, sebagai pendorong atau cabaran kepada pemimpin yang mencetuskan idea itu, agar cetusan idea itu benar-benar diperjuangkan sehingga berjaya dan bukannya cetusan retorik.

Inilah keistimewaan kenyataan politik, boleh bertukar-tukar, dan boleh dimanifestasikan sesuai dengan keadaan dan masa.

Apa kah Penduduk Yang Terlibat Turut juga Menyokong?

Masalahnya, walaupun pemimpin tertentu itu akan menyokong kejayaan projek Jelapang Padi, apa kah juga penduduk yang melakukan protes itu akan setuju? Kini, penduduk yang berada dalam lingkungan di mana empangan itu dibina, telahpun masuk dalam kawalan pembangkang.

Kerana keadaan ini, maka sukar bagi kerajaan melaksanakan projek empangan itu, kecualilah secara paksaan sama seperti kejadian zaman Berjaya, di Sorob, apabila berlaku kematian penduduk kerana protes terhadap wujudnya kem askar Sorob (kini Kem paradise).

Mampukah pemimpin tertentu meneutralisasikan keadaan, sehingga penduduk yang pada awalnya bersetuju, bertukar kepada tidak bersetuju, kemudian bertukar kepada bersetuju, kerana pemimpin yang mengerakan penentangan sudahpun bersetuju?

Contoh yang diutarakan di atas adalah berpunca daripada perebutan kuasa dalam politik. Akibat perebutan itu, maka rakyatlah yang menjadi mangsa. Jika kesepakatan awal daripada pemimpin politik telah ada, kerana jika dari awal-awal lagi mereka faham bahawa kuasa dalam politik adalah kuasa dinamik, maka penentangan terhadap pembinaan empangan Tambatoun mungkin tidak akan wujud.

Walaupun keadaan terantuk baru terngadah, akan tetapi nasi belum menjadi bubur lagi. Masih ada TIME. Fikir-fikirkan lah.

1 October 2012

PRU-13: Wanita penentu parti mana yang menang?

Musa-Salleh-Shahrizat
 JUMLAH pengundi wanita di negara ini secara amnya lebih ramai berbanding kaum lelaki. Keadaan ini sesuai dengan data demografi negara, di mana wanita lebih ramai.

Baru-baru ini bertempat di Bangunan Umno Sabah, Kota Kinabalu berlaku perasmian Gerak Gempur Wanita Umno yang bertemakan SALAM SAYANG.

Perasmian disempurnakan sendiri oleh Pengerusi Perhubungan Umno Sabah-Datuk Musa Aman.

Turut hadir semasa Perasmian itu Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Salleh Tun Said dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia-Datuk Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam sesebuah pilihanraya, parti mana yang mendapat sokongan padu daripada kaum wanita, parti itulah akan menjadi pemenang. Atas sebab itu, dalam 12 kali pilihanraya di negara ini, BN senantiasa menang, atas sebab sokongan kaum wanita terhadap gabungan berbagai parti itu masih kukuh.

Sokongan tradisi itu diperkuat lagi melalui gerak tempur kaum itu dengan bertemakan Salam Sayang, dan kali ini bukan sahaja terhad kepada kaum wanita, akan tetapi meliputi semua gender.

Suara Rakyat yakin, melalui pendekatan Salam Sayang, BN akan terus mendapat sokongan padu daripada kaum wanita, termasuk juga para suami mereka atau kaum lelaki.
Catatan peransang: Plato - "ukuran manusia itu adalah apa yang dia lakukan dengan kuasa"

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels