20 December 2012

Benarkah 21 Disember 2012 akan Kiamat?

Adakah anda masih dihantui oleh ramalan tentang 2012? Ramalan suku Maya bahawa 21 Disember 2012 merupakan pengakhiran dunia atau lebih biasa disebut HARI KIAMAT, sememangnya menakutkan banyak orang. Pengarah filem Hollywood, Roland Emmerich, bahkan dengan beraninya menggambarkan kemungkinan yang terjadi pada tahun 2012 dalam filem yang berjudul yang sama, iaitu ‘2012’. Impaknya luar biasa; filem itu "booming" dan memasuki senarai filem box office. Tapi tahukah anda bahawa ada peneliti yang meyakini bahawa Al Quran juga ternyata ‘menjelaskan’ tentang apa yang kemungkinan terjadi pada tahun ini?

Ali Adam, ilmuwan dari University of Technology, Iraq, dan Bournemouth University yang mengungkapkannya dalam buku berjudul ‘Al Quran 2012’. Dengan menggunakan kaedah numerik, Adam yakin bahawa kitab suci umat Islam itu bahkan menjelaskan apa-apa sahaja yang akan terjadi pada tahun 2012, bila dan berapa kali perkara tersebut akan terjadi.

Selama ini, para peneliti telah mengetahui bahawa Al Quran yang ditulis dalam bahasa Arab memiliki bentuk dan struktur huruf-huruf yang sangat teratur,bahkan kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ini bukan sahaja memiliki keselarasan dan keteraturan dalam makna-makna dan indikasi-indikasi yang terkandung di dalam setiap ayatnya, tetapi juga memiliki keselarasan dan keteraturan dalam jumlah kata dan pengulangan huruf-hurufnya.

Keluarbiasaan Kitabullah ini membuat para ahli numerologi tergoda untuk mengkaji apa sebenarnya yang tersirat di sebalik keselarasan dan keteraturan tersebut. Setelah melakukan penelitian, salah seorang ahli numerologi,Abd ad-Da’im al-Kahil, dalam bukunya yang berjudul “Misteri Angka 7 dalam Mukjizat Matematik Al Quran” menyatakan bahawa ayat-ayat, surah-surah, kata-kata, dan huruf-huruf dalam Al Quran diatur oleh Allah SWT dengan sistem yang berasaskan angka 7. Ini menjelaskan bahawa ia selaras dengan kenyataan bahawa dalam seminggu terdapat 7 hari; bumi terdiri daripada 7 petala langit; umat Islam yang menunaikan ibadah haji melakukan 7 kali putaran saie, 7 putaran tawaf dan 7 kali melempar jumrah; ada 7 golongan yang dinaungi Allah pada Hari Kiamat; ada 7 larangan Allah bagi manusia; ada 7 sifat perosak; dan sebagainya.

Sepanjang kajian tersebut, Adam membahagikan Al Quran yang terdiri dari 114 surah dan 6236 ayat, kepada dua bahagian,iaitu surah pembukaan dan surah pesanan. Surah Pembukaan adalah surah al-Fatihah yang juga disebut sebagai Ummul Kitab (Ibu Al Quran) manakala Surah Pesanan ialah surah-surah lainnya, seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, dan lain-lain.

Surah Al-Fatihah, menurut Adam, merupakan intipati keseluruhan kepada pesanan-pesanan Allah SWT yang terkandung dalam 113 surah lainnya (Surah Pesanan). Intipati tersebut terkandung dalam ayatnya yang berjumlah 7, kata-katanya yang berjumlah 29 dan huruf-hurufnya yang berjumlah 139 (sila buka surah Al Fatihah dan perhatikan sebaik-baiknya). Jumlah ayat, kata dan huruf surah al-Fatihah ini merupakan nombor perdana

“Jadi kata kunci atau kod untuk menyingkap pesan-pesan dalam Al Quran ialah nombor perdana,” tegas Adam.

Seterusnya,beliau mengkaji surah-surah pesanan dan perhatiannya tertumpu kepada surah ar-Rahman yang merupakan surah ke-55. Dalam surah ini terdapat ayat yang diulang sehingga 31 KALI yang mengandungi maksud “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” Ayat-ayat yang diulang tersebut berada pada ayat ke-13, 16, 18, 21, 23, 25, 28, 30, 32, 34, 36, 38, 40, 42, 45, 47, 49, 51, 53, 55, 57, 59, 61, 63, 65, 69, 71, 73, 75, dan 77 (sila baca surah ar-Rahman & ia dijamin benar 100%). Jika semua angka-angka itu dijumlahkan, maka hasilnya ialah 1433 yang jika dikaji dengan kaedah primalogi(sebahagian daripada kaedah numerik), maka angka 1433 dapat dijumlahkan menjadi 1+4+3+3 = 11 (nombor prima).
Adam mengakui bahawa dirinya agak bingung untuk merungkai makna angka 1433 tersebut sebelum akhirnya menyedari bahawa pada saat tersebut,manusia hidup pada 1432 H (2011 M) dan tahun depan (tahun ini) manusia akan hidup pada 1433 H (2012 M). Keyakinan Adam semakin kuat bahawa 1433 merujuk kepada tahun Hijrah kerana ketika ia sesuai dengan jumlah kata pada surah ar-Rahman dengan jumlah hari pada 2012 iaitu jumlah kata dalam surah ar-Rahman sebanyak 355 kata dan jumlah hari pada 2012 sebanyak 355 hari, bukan 356 hari (sila semak kalender 2012).

Penemuan Adam tidak berakhir di situ kerana ayat “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” diulang sehingga 31 kali,beliau percaya bahawa pada 2012 akan terjadi 31 kejadian/peristiwa dahyat yang akan menggoncangkan kehidupan manusia di bumi, namun BUKAN KIAMAT!. Bahkan dalam bahasa Al Quran,ayat yang diulang-ulang tersebut terdiri daripada empat kata, maka beliau juga percaya bahawa setiap kejadian/peristiwa itu akan berlaku selama 4 HARI. Subhanallah!

Yang akan terjadi pada 2012

Untuk mengetahui 31 peristiwa yang akan terjadi pada 2012, Adam mencari huruf, kata atau ayat ke-1433 dalam surah-surah pesan dan inilah yang ditemuinya ;

Dalam Al Qur’an surah ke-2 ayat 24 Allah berfirman; “Maka jika kamu tidak dapat membuat (nya) dan pasti kamu tidak akan dapat membuat (nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan untuk orang-orang kafir.” Berdasarkan ayat ini, Adam menjangka bahawa antara perkara yang akan terjadi pada 2012 adalah HUJAN METEOR.

Dalam Al Qur’an surah ke-2 ayat 86 Allah berfirman; “Itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan siksa mereka dan mereka tidak akan ditolong.” Berdasarkan ayat ini, Adam menjangka pada 2012 akan terjadi peristiwa yang terus menerus dan tanpa henti, tetapi tidak dapat dihuraikan jenis peristiwanya.

Dalam Al Qur’an surah ke-10 ayat 69 Allah berfirman; “Katakanlah; “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-ngadakan kebohongan terhadap Allah tidak beruntung”. Berdasarkan ayat ini, Adam menjangka bahawa pada 2012 salah satu peritiwa yang terjadi lebih banyak menimpa para pembohong, namun jenis peristiwanya, tak dapat diduga.

Lokasi peristiwa

Untuk menentukan di manakah 31 peristiwa pada 2012 akan terjadi, Adam menggunakan garis bujur dan garis lintang bumi, serta pada ayat-ayat yang diulang dalam surah ar-Rahman. Berdasarkan kedua-dua sumber tersebut, Adam menjangka bahawa bencana kemungkinan akan terjadi di wilayah-wilayah yang berada pada paksi 0-90 darjah garis lintang utara (LU) atau garis lintang Selatan (LS). Misalnya, di wilayah yang berada antara 0-13 darjah garis lintang utara (LU) atau garis lintang selatan (LS); wilayah yang berada di sekitar 16 darjah garis lintang utara (LU) atau garis lintang selatan (LS); wilayah yang berada di sekitar 18 darjah garis lintang utara (LU) atau garis lintang selatan (LS); dan sebagainya.

Waktu kejadian

Berdasarkan kaedah primalogi, Adam mengira bahawa bencana pertama akan terjadi pada hari ke-44 tahun 1433 H atau bertepatan dengan tanggal 7 Januari 2012 manakala bencana terakhir atau ke-31 akan terjadi pada hari ke-346 tahun 1433 H atau 4 November 2012. Namun, selepas hari-hari yang disebutkan berlalu, tiadapun peristiwa yang mengerunan manusia di muka bumi ini. 

Atas sebab itu, mereka yang meramalkan akan berlaku Kiamat pada 21 disember 2012, adalah mereka yang tergolong fasik.

Angka 44 berasal daripada jumlah kata dalam setiap ayat yang diulang dalam surah ar-Rahman sebanyak empat kata dan hasil jumlah kata dalam surah ar-Rahman sebanyak 683 kata. Dalam deretan nombor perdana, angka 683 merupakan nombor prima ke-124 dan angka 124 merupakan hasil darab 4 x 31. Maka, angka 44 berasal daripada jumlah kata ayat yang diulang dalam surah ar-Rahman yang sebanyak 4 kata, dan angka 4 pada angka pendaraban 4 x 31 menghasilkan 124.

Apa kah yang akan berlaku pada dunia ini, hanya Allah SWT yang tahu, kerana Allah SWT sahajalah penentu segala yang ada di langit dan di bumi. Kita wajib berserah diri dan berlindung kepada-Nya dan semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang dilindungi oleh-Nya. Amin.

19 December 2012

Calon Umno tidak semestinya ada jawatan parti

INI yang menarik berhubung pendekatan parti Umno pada masa ini; calon-calon yang mewakili parti itu dalam PRU-13, tidak semestinya mereka yang mempunyai jawatan parti.

Pertimbangan dalam pemilihan calon adalah berasaskan kepada kemampuan seseorang calon dalam berbagai segi, antaranya calon itu dikenal ramai, dan juga calon itu dekat dengan para pengundi.

Melalui pertimbangan itu, maka seseorang calon yang mewakili BN mudah diterima para pengundi. Apabila mudah, maka peluang kemenangan dapat diperkirakan lebih awal.

Di Sabah, umumnya para bakal calon sudah dapat dibaca lebih awal; faktor yang menyebabkan perkara ini, kerana bakal-bakal calon tersebut telah berkerja sejak empat tahun lalu, melalui turun padang, mengurus padang dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat.

Disebabkan kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan bakal-bakal calon, maka tidak sukar untuk memilih bakal-bakal calon; namun yang mengalami kesukaran adalah pucuk pimpinan untuk menentukan calon mana yang bakal dicalonkan.

Apabila pucuk pimpinan tersilap pilih calon, maka disinilah timbul, kelakuan merajuk yang boleh menjurus kepada sabotaj.

Memujuk orang yang merajuk, bukan mudah, atas sebab itu, sebaik-baiknya pucuk pimpinan melakukan "brain storming" bagi bakal-bakal calon yang berpotensi, sebelum mengumumkan calon-calon pada PRU-13.

Ada dua masalah utama yang bakal dihadapi pucuk pimpinan-aspirasi bakal-bakal calon dan aspirasi akar umbi. Bagi pendapat Suara Rayat Pucuk pimpinan perlu memilih aspirasi akar umbi berbanding aspirasi bakal-bakal calon, kerana yang menentukan kemenangan adalah akar umbi.

Memang berat untuk menidakkan aspirasi bakal-bakal calon yang terdiri daripada pemimpin parti; misalnya Ketua Bahagian; namun pucuk pimpinan perlu berani bertindak, kerana tidak semestinya Ketua Bahagian sesebuah parti itu diterima akar umbi yang majoriti.

Mendapat jawatan pada sesebuah parti, banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu menang. Tidak perlulah diulas, kerana umumnya akar umbi mengetahuinya.

Berdasaskan kepada asas itu maa pucuk pimpinan parti diminta menimbangkan hasrat peringkat akar umbi dalam meletakkan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tetapi apabila aspirasi bakal-bakal calon itu juga disokong oleh aspirasi akar umbi serta daripada Bahagian atau cawangan sesebuah parti, maka jika terpilih calon yang mempunyai sokongan demikian, maka calon itulah yang dikatakan calon winnable candidate.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak acap kali menegaskan calon BN dalam pilihan raya nanti mestilah yang boleh menang. Ini bererti pucuk pimpinan akan mengambil kira suara dan hasrat di peringkat akar umbi dalam menentukan calon.

16 December 2012

Kongres LDP: Kehadiran Tun Dr Mahathir mendapat tepukan gemuruh

TERHARU sekali apabila nama Tun Dr Mahathir disebut apakah oleh Perdana Menteri mahupun Presiden LDP, tepukan gemuruh daripada perwakilan mahupun pemerhati pada Persidangan LDP kali ke 23 yang berlangsung di Sandakan pada Ahad, menunjukkan mantan Perdana Menteri itu mempunyai sokongan khasnya daripada kaum cina dan rakyat secara umumnya.

Kehadiran Tun Dr Mahathir semasa pesidangan parti LDP, parti tempatan yang mewakili kaum cina khasnya Sabah mempunyai signifikan kepada kepimpinan parti itu.

Parti LDP yang ditubuhkan pada tahun 1989, dimana pada penubuhannya merupakan parti pembangkang di peringkat negeri Sabah, akan tetapi mesra BN Pusat.

Pada tahun 1991, parti itu diterima dalam keluarga BN, apabila umno mengembangkan sayapnya ke Sabah, dan bersama-sama parti AKAR (kini telah dibubarkan) membentuk komponen BN Sabah dan menjadi parti pembangkang di Sabah.

LDP, walaupun parti kecil, namun kesetiaannya kepada perjuangan BN tidak pernah luntur, malah komitmen parti itu kepada BN terus menebal.

Dikeranakan kesetiaan parti itu, parti itu pernah diberi peluang menerajui kerajaan Sabah, apabila mantan Presidennya Tan Sri Chong Kah Kiat dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 2001, walaupun parti itu hanya mempunyai satu kerusi DUN, di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Meskipun parti itu telah menyertai beberapa pilihanraya sejak tahun 1990, hanya pada PRU-12, kesemua calon-calon daripada parti itu menang; malah kawasan Parlimen yang dimenangi calon pembangkang pada PRU-2004, berjaya dirampas semula melalui Presiden LDP sekarang ini.

Pada persidangan LDP yang ke-23, julung kalinya perasmiannya dilakukan oleh Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri, dan ironinya mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir turut sama; yang mengingatkan nostalgia parti itu, bahawa pada kongres pertamanya dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir.

Kehadiran Perdana Menteri dan Tun Dr Mahahir pada kongres LDP, membuktikan bahawa dalam BN, tiada diskriminasi terhadap parti-parti kecil; dan selagi parti dan pemimpinnya setia kepada perjuangan BN, maka parti dan pemimpin parti itu dianggap sebagai pemimpin BN.

Sebenarnya ini yang berlaku kepada parti LDP dibawah kepimpinan Datuk Liew Vui Keong. Kepimpinan LDP mendapat penghormatan daripada para pemimpin tunjang BN, yakni Umno; kerana pada kongres parti itu yang berlangsung di dewan Ballroom Hotel Four Point Sandakan, bukan sahaja kehadiran Perdana Menteri bersama isteri, malah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berserta isteri juga turut hadir.

Para pemimpin parti itu mendapat penghormatan daripada segenap lapisan kempimpinan Umno, apabila turut hadir, Speaker DUN Sabah merangkap Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah-Datuk Salleh Tun Said, Timbalan Speaker Dewan Rakyat-Datuk Ronald Kiandee, wakil daripada parti komponen termasuk daripada Sarawak yang diwakli oleh Datuk Salang Gandum; malah kongres itu juga dihadiri ramai anggota kabinet Negeri Sabah, antaranya Datuk Yee Moh Chai.

Dalam ucapan perasmian oleh YAB Perdana Menteri, membayangkan bahawa Parlimen Sandakan akan tetap berada ditangan BN, mengikat sokongan daripada berbagai pihak yang dibuktikan melalui persiadangan itu.

Sepanjang ucapan Persiden parti itu, tepukan gemuruh daripada perwakilan terus menerus berkumandang, keadaan ini menunjukkan bahawa VK Liew yang merupakan ahli parlimen Sandakan, mendapat sokongan dan dianggap sebagai winnable candidate bagi BN di kawasan P.186 Sandakan.

14 December 2012

Lajim berpolitik kerana mengejar jawatan

RAMAI yang tidak lupa, bagaimana Lajim mengamok kerana tidak dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri sebaliknya, Datuk Baharom AB Titingan, meskipun mantan ADUN Balung itu, tewas pada PRN Sabah semasa Sabah diperintah Parti Bersatu Sabah.

Di kalangan Umno sendiri, ramai yang tahu bagaimana Lajim turun naik ke Putrajaya pada tahun 2003 kerana melobi jawatan Ketua Menteri untuk menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat yang akan tamat tempoh.

Lajim berkecimpung dalam politik semata-mata untuk mengejar jawatan; atas sebab itu, apabila Anwar "menawarkan" jawatan Ketua Menteri jika Pakatan Rakyat menang di Sabah, menjadikan dia mabuk dan lupa diri.

Lajim tidak mampu menilai dirinya sendiri apakah mempunyai kemampuan untuk mengurus atau mentadbir.

Lajim mendapat jawatan dalam politik, bukan disebabkan kemampuannya, akan tetapi berasaskan peras ugut. 

Apabila Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, Lajim dilantik sebagai Timbalan Menteri, kerana pada masa dan ketika itu keadaan poiltik bagi BN cukup rentan dan gawat, ekoran kasak kusuk yang berlaku. Tambahan pula ada ura-ura Lajim akan keluar Umno/BN jika tidak diberi jawatan. 

Apabila keadaan politik tenang, Najib sukar sudah untuk digertak, atas sebab itu, Najib sanggup kehilangan Lajim, apabila MP Beaufort itu mendesak Najib, agar Musa Aman diganti sebagi Ketua Menteri Sabah. Bukan sahaja Najib menolak mentah desakan Lajim itu, malah menegaskan, Musa akan tetap menjadi Ketua Menteri Sabah selepas PRU-13.

Pengertian Lajim terhadap pemimpin apabila pemimpin itu mendapat jawatan; akan tetapi dia lupa, ukuran sebenar pemimpin itu adalah daripada aspek kemampuan, keikhlasan dan perjuangannya. Pemimpin seperti ini akan terus berada dalam persada kepimpinan negara, sebaliknya individu yang merasa menjadi pemimpin kerana tindakan peras ugut, sampai satu ketika akan hanyut dan tidak mendapat tempat lagi. Perkara ini, disadari oleh Lajim, atas sebab itu dia keluar daripada Umno/BN, kerana dia tahu, bahawa masanya telah tiba untuk direhatkan selama-lamanya.

Lajim lupa, Islam tidak suka perasaan tamakkan jawatan tanpa sebab yang berasas yang ALLAH reda. Keinginan mendapatkan kedudukan politik untuk kepentingan diri atau sebagai kebanggaan adalah dilarang dalam agama ini.

Ini jelas daripada hadis-hadis, antaranya sabda Nabi Muhammad SAW: “Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Baginda juga pernah menasihati `Abd ar-Rahman bin Samurah: “Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong).

Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam melihat kerakusan inginkan jawatan disebabkan perasaan sukakan kedudukan dan nama hanya akan penyesalan di akhirat dan melemahkan jawatan itu sendiri. Namun dalam masa yang sama, seseorang boleh berusaha mendapatkan jawatan politik jika dia merasakan dia dapat memberikan khidmat yang lebih baik daripada orang lain.

Ini seperti yang al-Quran ceritakan tentang permintaan Nabi Yusuf: (maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.

Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Yusuf, 55-56).

Kata Ibn Taimiyyah rh (meninggal 728H): “Nabi Yusuf meminta jawatan kepimpinan untuk kebaikan agama, itu bukan sesuatu yang mencanggahi pergantungan kepada ALLAH, tidak juga termasuk dalam permintaan jawatan yang dilarang” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 8/68, Riyadh: Maktabah al-Abikan)

Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) mengulas ayat ini: “..demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain” (Tafsir al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).

Lajim hina Jawatan Speaker

Kenyataan Datuk Lajim Ukin sepertimana disiarkan oleh Daily Express 13 Disember 2012 yang berbunyi "Salleh a nobody in Sabah politics today" sebab itu beliau dilantik sebagai Speaker DUN Sabah. 

Lajim terlupa bahawa Salleh adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah merangkap Ketua Bahagian Umno Kota Belud adalah jawatan politik. Apa kah Lajim tidak tahu bahawa jawatan Speaker  juga adalah jawatan politik?

Sejak Lajim keluar dariapada Umno pada Julai lalu, kebanyakan kenyataannya bercelaru dan tidak menggambarkan bahawa MP Beaufort itu seorang ahli politik veteran.

Kenyataan Lajim yang disiarkan DE pada 13/12, menunjukkan bahawa MP itu menghina jawatan Speaker, kerana menurut apa yang dinyatakannya, bahawa Salleh a nobody in Sabah politics today, sebab itu dilantik sebagai speaker, seolah-olah jawatan speaker itu adalah jawatan reject dimana seorang ahli politik yang masih diiktiraf, maka tidak akan dilantik pada jawatan itu.

Suara Rakyat tidak ingin memberi komen, jika ada persengkitaan peribadi antara Lajim dan Salleh, yang ingin Suara Rakyat komen adalah kenyataan mengenai jawatan speaker.

Jawatan Speaker mempunyai kedudukan yang tinggi daripada segi protokol berbanding kedudukan Yang berhormat samada ADUN ataupun MP ataupun menteri kabinet. Kedudukan Speaker adalah yang ketiga selepas TYT dan Ketua Menteri. Apa kah Lajim tidak mengetahui kedudukan ini? 

Kalaupun ingin menghentam Salleh, janganlah menghentam jawatan yang disandangnya, kerana jawatan itu merupakan salah satu undang-undang tubuh kerajaan negeri. Bagaimana kah Lajim memperjuang kepentingan rakyat, jika undang-undang tubuh kerajaanpun, beliau tidak mengetahui dan menghinanya pula.

Rakyat Sabah perlu membuka mata, bahawa Lajim bukan seorang pemimpin yang boleh membela rakyat, kerana kalau diberi peluang, maka bukan sahaja negeri menjadi kelamkabut, malah rakyat akan semakin kusut.

13 December 2012

Sejak bila pula Rafizi Ramli jadi jurucakap ICAC Hong Kong?

KERANA merasionalkan perjumpaan dengan ICAC Hong Kong bersama tiga orang pemimpin PKR, maka Rafizi melantik dirinya sebagai JURUCAKAP badan pencegah rasuah Hong Kong itu.

Dalam merasionalkan usaha memerangkap ICAC agar membuka semula isu RM40 juta sumbangan kepada Umno Sabah, kononya badan itu mengarahkan agar tiada lagi sebarang kenyataan daripada pihak pembangkang berhubung isu itu agar supaya tidak mengganggu kerja-kerja badan itu.

Rafizi juga menzahirkan bahawa tanda-tanda bahawa ICAC telah membuka isu itu semula, apabila dia dan rakan-rakannya akan kerap melawat Hong Kong.

Selain itu, Rafizi seolah-olah menjadi sebahagian daripada ICAC, menyatakan bahawa badan Hong Kong itu memberi janji akan meneliti semua dokumen yang diserahkan pihak beliau dan kawan-kawanya; kononnya sebagai bukti terbaharu berhubung isu itu, di mana menurut mereka ada keterkaitan antara Datuk Musa Aman dan seorang ahli perniagaan dari Sabah yang bernama Michael Chia.

Dakwaan pautan Musa dengan Chia mula heboh dimedia April lalu oleh Sarawak Report, yang mendakwa Chia meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Chek Lap Kok, Hong Kong dengan wang bernilai RM40 juta dalam matawang Singapura.

Pada ketika itu, Chia didakwa memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa wang itu adalah untuk Musa menyebabkan siasatan dimulakan tentang siri pemindahan dana dari Malaysia ke Hong Kong yang kemudiannya dipercayai penggubahan wang haram yang dijana daripada aktiviti pembalakan haram di Sabah.

Isu ini heboh menjadi tajuk utama sekali lagi bulan lepas apabila Nazri memberitahu Parlimen bahawa Musa telah dibersihkan daripada rasuah tentang perkara itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ICAC mendapati bahawa wang tersebut adalah “derma politik” untuk Umno Sabah dan bukan untuk kegunaan Musa.

Berasaskan kepada kenyataan yang dibuat sendiri oleh Rafizi, nampaknya usaha pembangkang memerangkap ICAC mengikut telunjuk mereka telah gagal. 

Tindakan pembangkang untuk memperbesar-besar isu sumbangan kepada Umno Sabah adalah untuk mengwujudkan persepsi negatif terhadap Ketua Menteri Sabah itu, agar supaya rakyat menolak BN pada PRU-13 akan datang.

Yakinlah, usaha mengwujudkan persepsi negatif itu tidak akan berjaya, kerana rakyat Sabah sebenarnya telah maklum bahawa pendapatan daripada balak bukan lagi penyumbang utama kepada  pendapatan negeri itu, kerana sumber daripada balak bukan lagi sama seperti pada tahun sebelum 2003. Pendapatan daripada balak tidak sampaipun RM200 juta setahun, kerana kerja-kerja pembalakan untuk tujuan ekport sudah lama dikurangkan.

Bagi menolak dakyah pembangkang kononnya sumbangan itu berasaskan pengubahan wang yang dihasilkan daripada kegiatan pembalakan haram, agak mustahil dilakukan, kerana bukan sahaja banyaknya agensi yang terlibat memantau kegiatan itu jika berlaku, akan tetapi rakyat begitu peka terhadapnya. Jika sekiranya berlaku, kegiatan pembalakan haram, melalui perkembangan ICT yang telah canggih, dengan sekelip mata tersebar dan diketahui di mana-mana.

Namun setakat ini, di berbagai pelosok dan penjuru Sabah, belum ada tanda-tanda berlakunya pembalakan haram, malah pembalak yang berlesenpun menjadi sasaran pemberi maklumat dan dituduh sebagai pembalak haram; sehingga Jabatan hutan Sabah, kerap memberi kenyataan bahawa kegiatan pembalakan itu bukan haram, akan tetapi mempunyai konsensi tertentu pada kawasan-kawasan tertentu.

12 December 2012

Akuan Bersumpah RM40 Juta: Rendahnya politik Lajim

LAJIM khayal membaca arus perjalanan politik. Bagi dia, keputusan yang dibuatnya melalui politik, dianggapnya senantiasa menyebelahinya.

Lajim bersandar kepada pengalamannya sendiri apabila pada tahun 1986 bertanding melalui PBS dan menang, walaupun pada ketika itu, nama beliau dalam politik negeri Sabah, tiada yang mengenalpun.

Nama Lajim menghangat kembali apabila beliau meninggalkan PBS pada tahun 1994 membawa sekali kerusi yang dimenanginya pada PRN Sabah yang hanya berlabuh berapa bulan sebelumnya, melalui perbuatan itu, PBS kehilangan kuasa dan membuka peluang kepada BN untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Melalui peristiwa yang dilalui Lajim itu, beliau melakukannya untuk kali ketiga, yakni pada Julai lalu meninggalkan BN dan menubuhkan PPS yang pro pembangkang. Tindakan beliau itu adalah puncak daripada spekulasi seawal tahun 2004, bahawa beliau akan berpaling tadah.

Dengan bertemakan, kuasa dan jawatan bukan matalamat perjuangannya, beliau memberi alasan penyebab utama meninggalkan BN. Apabila keluar bergemalah suara-suara kecil beliau yang dinyaringkan, kononnya, selama dalam BN, kawasannya tidak di bangun dan kerajaan yang disertainya sejak tahun 1986-1994; 1994-2012, kononnya tidak membangun rakyat. Lajim memerlukan masa 26 tahun untuk mendapatkan ilham dan idea.

Selama 26 tahun, mata beliau kabur terhadab pembangunan yang berlaku, hanya selepas Julai 2012, secara tiba-tiba mata beliau telah menjadi terang benderang. Bukan sahaja matanya, akan tetapi tindakannya juga kononnya menjadi hebat.

Kini, seteru politik beliau lebih tiga dekad menjadi temannya, penasihatnya. Beliau tidak sedar, bahawa beliau sebenarnya telah terjual hidup-hidup tanpa menyadarinya.

Contoh terkini, bagaimana Lajim digambarkan sebagai ahli politik yang tiada apa-apanya dicerminkan melalui pengakuannya sendirinya melalui akuan bersumpad (SD) berhubung wang RM 40 juta sumbangan kepada Umno Sabah. "Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa sepanjang penglibatan dan pengalaman saya dalam pelbagai kedudukan kepimpinan dan pengurusan dalam Umno di peringkat pusat dan negeri, saya tidak pernah tahu atau diberitahu mengenai(nya)," demikian kata beliau dalam akuan bersumpah yang diedarkan kepada media.

Berasaskan kepada pengakuan itu, beliau bukan lagi secara tersirat mengakui, bahawa beliau sebagai ahli politik yang tidak dipercahayai, malah kawan-kawannya pun beranggapan, bahawa beliau tidak mempunyai kredibilti politik yang tinggi, atas sebab itu, beliau tidak dilibatkan mengetahui hal-ehwal parti demi keterjaminan agar strategi parti tidak diketahui oleh pihak lawan.

Benarlah kata-kata Pengerusi Perhubungan Umno Sabah yang disokong oleh Timbalannya, sebaik sahaja  beliau keluar daripada parti; bahawa pemergian beliau daripada Umno atau BN tidak mempunyai impak apa-apa terhadap kekuatan parti.

Sekarang, telah jelas dan terang, bahawa dikalangan para pemimpin rupanya telah lama mengetahui paras politik Lajim; walaupun ahli-ahli perwakilan Umno pernah mengundinya untuk jawatan AMT, kerana faktor yang hanya diketahui oleh perwakilan itu.

11 December 2012

Apabila faktor sabotaj menghantui UBN

UBN benar-benar mengambil iktibar berhubung tsunami politik yang dihadapi gabungan 13 parti itu pada PRU-2008. Faktor sabotajlah merupakan fakor utama, kenapa ramainya calon-calon bidan terjun serta calon-calon yang dikitar sekian banyak berguguran pada pilihanraya itu.

Pada PRU itu, UBN mendapati tiga Presiden parti komponennya kalah berserta calon-calon daripada parti yang dipimpin mereka, adalah penyebab tsunami politik itu. Selain kekalahan calon-calon parti komponen, calon-calon bidan terjun yang dimotori orang tertentu, juga salah satu penyumbang kepada ramainya calon-calon UBN kecundang.

Berasaskan kepada pengalaman itu, faktor sabotaj disenaraikan sebagai salah satu faktor yang boleh membahayakan UBN, selain faktor persepsi rasuah Kroni, dan Nepotisme.

Sebenarnya faktor yang menjadi kekangan kepada UBN untuk menang besar sekurang-kurangnya 2/3 dewan rakyat adalah dua faktor itu. Atas sebab itulah, semasa berucap penggulungan persidangan UMNO ke-66 pada 1 Disember, Presiden parti mengingatkan para ahli dan penyokong UBN, betapa bahayanya faktor sabotaj dan faktor persepsi yang diwujudkan oleh pihak lawan.

Mungkin kah faktor sabotaj tidak berlaku? jawapannya, mungkin tidak berlaku, kalau calon-calon yang dipilih nanti menepati selera semua. Calon-calon itu, bukan sahaja mendapat restu daripada pihak atasan, juga mendapat restu dan dokongan daripada peringkat bawah, yakni akar umbi.

Pada PRU-12 lalu, kalau kita perhatikan, calon-calon pembangkang yang menang terutama daripada PKR, adalah mereka-mereka yang tidak mempunyai nama langsung dalam arena politik tanah air; kenapa mereka boleh menang? akibat marah dan sabotajlah penyebab kemenangan itu.

Pada PRU-13 ini, faktor-faktor yang boleh membawa kepada unsur marah dan sabotaj perlu dielak diawal mungkin, kerana kalau tidak dapat diatasi, ianya boleh membawa kepada malapetaka besar.

10 December 2012

PRU-13: Antara analisis akademik dan orang politik

BUKAN meremeh analisis atau padangan orang-orang akademik berhubung keputusan sebarang pilihanraya, namun menjadi pelik kepada penulis, setakat ini belum adapun analisis itu mendekati kebenaran apatah lagi memenuhi sasaran.

Adalah berbeza analisis orang politik berbanding akademik, kerana orang politik benar-benar terlibat dengan kancah politik, manakala orang akademik hanya mengunapakai andaian dan estimasi.

Satu lagi pandangan akademik yang dilontarkan oleh seorang Prof daripada universiti Malaya, di mana pandangan ini, mungkin didasarkan kepada apa yang didengar, bukan berasaskan kepada data lapangan.

Menurut orang politik daripada UBN, pembangkang tidaklah sekuat sangat sepertimana yang digambarkan oleh para ahli akademik ini, atas sebab itu, UBN boleh menang 2/3 pada PRU-13 asalkan tidak berlaku sabotaj.

Satu yang melucukan, sebelum PRU-12, ramai para akademik rata-rata melakukan analisis, bahawa UBN akan mendapat sokongan kukuh daripada rakyat dan keputusan PRU-2004 akan berulang; namun daripada pandangan orang politik, UBN akan kehilangan beberapa negeri pada PRU itu. Orang politik yang memberi kenyataan itu adalah Tun Daim Zainuddin, ekoran tindakan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang secara bertali arus mengeritik Perdana Menteri ketika itu.

Sebelum PRU-12, surat khabar yang dikawal Perdana Menteri ketika itu melalui Kalimullah Hassan, secara berkala meremehkan pandangan Daim apatah lagi Tun Dr Mahathir.

Kenyataannya, apa yang diramalkan oleh orang politik bercanggah dengan pandangan orang akademik. Contoh terakhir adalah pada pilihanraya negeri Sarawak pada tahun lepas, jika diikuti semua pandangan para akademik, termasuk pemantau pilihanraya Merdeka Center, tiada yang mengatakan bahawa BN Sarawak akan mampu membentuk kerajaan dengan kuasa 2/3.

Demikian juga kali ini, apabila pandangan setengah ahli akademik, bahawa walaupun UBN boleh menang PRU-13, akan tetapi kemenangan itu tidak akan mencapai kuasa 2/3 sebaliknya jumlah perolehan kerusi akan merosot, dan seterusnya UBN tidak akan mampu merampas negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Pengalaman penulis sejak tahun 1990 di Semenanjung, jika mendengar kata-kata "the people on the street" UBN sejak sekian lama telah kehilangan kuasa, namun apa yang kita alami kini, UBN masih lagi berkuasa walaupun pada PRU-12, tsunami politik telah melandanya di Semenanjung.

Pada PRU-13 sepertimana kata-kata Presiden Umno semasa penggulungan persidangan Umno ke-66 pada 1 Desimber lalu, UBN akan menang 2/3 kerusi dewan rakyat pada PRU-13, dan negeri-negeri seperti Selangor dan Kedah akan kembali ke pangkuan UBN; manakala Pulau Pinang harapan cerah menanti, kerana 17 DUN daripada 40 DUN di negeri Pulau Mutiara itu dalam keadaan putih bagi UBN, manakala 5 lagi kawasan yang boleh dimenangi.

Untuk Kelantan pula, akan berlaku keputusan PRU-2004, dan pada kali ini, ada kemungkinan keputusan sedikit menyebelahi UBN.

Telahaan akademik adalah tidak sama dengan telahaan ahli politik, kerana ahli politik terjun bersama-sama rakyat menerusi turun padang, mengurus padang serta menyelesaikan masalah yang terdapat di padang itu. 

Perbezaan antara ahli politik pembangkang dan UBN, pembangkang turun padang dengan janji-janji retorik dan fitnah, manakala ahli politik UBN turun padang dengan amanah JANJI DITEPATI.

9 December 2012

RM40 Juta: Cubaan menjatuhkan Musa

PEMBANGKANG dan atau seteru dalaman Musa Aman tidak mempunyai apa-apa cara untuk berdepan dengan Ketua Menteri Sabah itu; atas sebab itu serangan yang bersifat peribadi terus dikayuh semata-mata untuk mengwujudkan persepsi negaif terhadap beliau.

Mereka tidak dapat menyerang Musa melalui perkembangan ekonomi negeri, pelaburan ekonomi, pembangunan mahupun kecekapan pengurusan kewangan negeri, kerana Ketua Menteri itu telah menunjukkan kecemerlangannya.

Serangan peribadi terhadap Musa sebenarnya bermula sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada tahun 2003. Usaha-usaha pihak-pihak tertentu untuk menghalang Musa dilantik telah diusahakan melalui rekayasa dokumen dan dokumen itu dinamakan dalil 88.

Selepas dua penggal berlalu, terbukti semua dakwaan dimana menurut pihak-pihak tertentu itu betul, ternyata berkesudahaan sebagai buih-buih laut.

Kini cubaan menjatuhkan Musa dispeksifikasikan sebagai Musagate berhubung sumbangan individu tertentu terhadap Umno Sabah yang bernilai RM40 juta.

Sumbangan RM40 juta ini menjadi makluman umum apabila berlaku pilihanraya kecil Permatang Pauh pada tahun 2008. Selepas PRK itu, Ketua Pemuda PKR membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah Hong Kong (ICAC) bahawa berlaku rasuah antara Musa dan seorang individu yang bernama MChia.

Sebagai badan yang cukup terkenal dalam memerangi rasuah (ICAC) bertindak membuka Kertas Siasatan (IP), dan sepertimana kenyataan Setiausaha Barisan Nasional Sabah- Datuk Rahman Dahalan yang juga ahli  Panel SPRM, bahawa pegawai penyisaat ICAC telah berada di Sabah lebih sebulan untuk menyiasat dakwaan itu.

Hasil daripada siasatan itu, pada Penggal terakhir Parlimen tahun ini, Parlimen diberitahu melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Aziz menteri yang bertanggungjawab ke atas SPRM-bahawa SPRM dan ICAC mendapati tiada didapati hubungan antara Musa Aman dengan RM40 juta sepertimana dilaporkan, sebaliknya wang RM40 juta itu adalah sumbangan politik individu yang tidak mahu dikenali kepada Umno Sabah.

Malangnya keputusan SPRM dan ICAC itu tidak dapat dierima oleh pihak Pembangkang, sambil menuduh badan itu bias dalam keputusannya. Keadaan berlainan, apabila pihak SPRM membuat keputusan berhubung akuan bersumpah bekas Penolong Gebanor Bank Negara- yang mendakwa bahawa Anwar Ibrahim mempunyai master akaun yang bernilai RM2bilion. Keputusan SPRM itu diterima dengan baik oleh pihak pembangkang, malah memberi high five kepada suruhanjaya itu.

Benarlah, disebabkan tiada faktor politik yang membolehkan mengecam Musa, maka perlu dicari faktor yang sukar dinafikan olehnya, yakni rasuah, kerana keputusan bersalah atau tidak bergantung kepada pihak ketiga. Selagi pihak ketiga itu tidak membuat keputusan, maka selagi itu dakwaan itu melekat.

Sebagai contoh, para pemimpin yang didakwa rasuah dan bertahun-tahun dakwaan itu melekat pada diri mereka, dan kemudian selepas itu, mereka dibebaskan dengan bersih- antaranya Tan Sri Kasitah Gadam, Datuk Saidin Thambi. Apabila mereka dibebaskan, musim kejayaan mereka telah berlalu, sebenarnya ini yang diinginkan oleh pihak-pihak tertentu terhadap Musa.

Di pihak Pembangkang, ketiadaan Musa agar menyenangkan mereka mempengaruhi pengundi, di pihak yang mahu Jawatan Ketua Menteri Sabah pula, jalan cepat dan pendek untuk mendapatkan jawatan itu; namun mereka terlupa, jawatan dan rezeki ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Seharusnya pihak-pihak tertentu yang kemaruk sangat dengan jawatan perlu mengambil iktibar dengan keadaan Anwar Ibrahim. Mantan TPM itu, secara terbuka diumumkan oleh Perdana Menteri pada masa itu, bahawa selepas Sukan Komonwel di Kuala Lumpur pada tahun 1998, maka Anwar akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Benarlah permainan politik boleh mengkhayalkan, juga boleh membunuh minda, politik boleh menghalalkan yang tidak halal, atas sebab itu dalam politik; prasa yang melekat padanya. in politics nothing is impossible.

7 December 2012

PRU-13: Sejauh mana kesetiaan rakyat Sabah

DUA PRU tahun 2004 dan 2008, rakyat Sabah begitu setia pada BN. Semasa PRU itu, BN hampir menyapu bersih semua kerusi baik Parlimen mahupun Kerusi DUN.

Pada PRU-2004, BN hanya kalah satu kerusi Parlimen, yakni Parlimen Sandakan dan satu kerusi DUN-Dun Kuala Penyu; manakala pada PRU-2008, kawasan Parlimen Sandakan berjaya ditawan melalui Presiden LDP-Datuk VK Liew, sementara DUN Kuala Penyu dimenangi calon daripada UPKO. Namun, kejayaan itu mengalami kecatatan apabila calon PBS kalah di Parlimen Kota Kinabalu dan DUN Sri Tanjong.

Pada PRU-2008, banyak penganalisis politik terperangkap dengan analisis mereka, kerana terpengaruh dengan kejayaan pada PRU-2004 baik Sabah mahupun di Semenanjung. Hanya Tun Daim Zainuddin yang meramalkan bahawa beberapa negeri akan jatuh kepada parti pembangkang, ekoran kritikan pedas mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir terhadap kempimpinan BN ketika itu.

Di Sabah juga berlaku keyakinan yang sungguh tinggi terhadap keupayaan BN, sehingga beberapa pemimpin veteran digugurkan. Keyakinan tinggi itu, walaupun tidak mendatangkan tsunami politik, namun di beberapa kawasan berlaku pengurangan majoriti yang amat ketara, bukan sahaja terhadap calon-calon komponen BN, akan tetapi juga calon-calon Umno.

Ekoran tsunami politik di Semenanjung yang untuk ke dua kalinya BN kehilangan kuasa 2/3 di Dewan Rakyat, maka berlaku pergantian pucuk pimpinan. Perdana Menteri Sekarang-Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pucuk pimpinan pada April 2009, setahun selepas keputusan pilihanraya. Selepas Najib mengambil alih pucuk pimpinan, beliau hanya merombak kabinet persekutuan, dan mempertahankan jawatan-jawatan MB.

Sesiapa yang menjawat jawatan MB adalah juga pengerusi BN negeri ataupun pengerusi perhubungan Umno negeri, kecuali negeri Sarawak dan negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

Mengingat tsunami politik pada tahun 2008 di Semenanjung, BN kini sangat bergantung harap dengan jumlah kerusi  parlimen daripada Sabah dan Sarawak. Jumlah kerusi bagi Sabah dan Sarawak termasuk WP Labuan hanya 57 kerusi atau 26 peratus daripada 222 kerusi parlimen. Untuk mempertahankan kerajaan BN di peringkat pusat diperlukan 112 kerusi dan untuk mendapatkan kuasa 2/3 diperlukan 148 kerusi parlimen. Pada PRU-12, BN hanya menang 140 kerusi daripada 222, daripada jumlah itu Sabah, Sarawak dan WP Labuan menyumbang 55 kerusi parlimen atau 39  peratus dari jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi BN.

Pada PRU-13, harapan besar BN masih kepada Sabah dan Sarawak. Namun, harapan itu agar tercacat, ekoran kemerosotan pengundi Sarawak terhadap BN yang didapati pada PRN Sarawak pada April 2011. Jika diambil kira keputusan PRN Sarawak itu, setidak-tidaknya BN kehilangan 7 kerusi parlimen di negeri Bumi Kenyalang itu. Jika itu berlaku, maka BN hanya mendapat 24 kerusi daripada 31 kerusi parlimen secara keseluruhan.

Bagi Sabah pula, kemungkinan besar dapat mempertahankan jumlah kerusi parlimen yang dimenangi pada tahun 2008, walaupun kawasan-kawasan krtikal seperti Sepanggar, Penampang, Putatan, Pensiangan, Keningau, Tawau dan Sandakan  serta Beaufort dianggap kawasan kelabu.

Pada PRU-13 ujian getir bukan sahaja kepada pucuk pimpinan BN pusat akan tetapi juga ujian terhadap Pengerusi BN negeri- Datuk Musa Aman.

Bagi menghadapi PRU-13, Musa bukan lagi berhadapan dengan masalah dalaman seperti mana berlaku pada tahun 2008, akan tetapi berdepan dengan parti pembangkang yang semakin teratur berdepan dengan BN.

Kalaulah berlaku kesepakatan di kubu-kubu pembangkang untuk melawan BN satu lawan satu, calon-calon BN akan berhadapan dengan saingan sengit bagi kawasan-kawasan yang ditandingi komponen BN. Sementara bagi kawasan-kawasan yang ditandingi Umno, nafas lega masih boleh dilepaskan, kerana keterpaduan para penyokong parti terbesar itu, kecuali kawasan DUN Klias dan Parlimen Beaufort.

Kalaulah berlaku penolakan terhadap kepimpinan KDM daripada BN, mungkin kawasan-kawasan yang disebutkan di atas akan terlepas kepada pihak pembangkang. Jika ini berlaku, maka daripada 26 kerusi, Sabah mungkin hanya dapat menyumbang 17 kerusi parlimen. Jika jumlah itu dicampur dengan kerusi daripada Sarawak, maka dua buah negeri itu hanya boleh menyumbang 41 kerusi parlimen. Dengan jumlah itu BN masih mempertahankan Putrajaya dengan catitan, BN Semenanjung sekurangnya menang 71  kerusi parlimen. Namun berasaskan perkembangan semasa, terutama selepas perhimpunan Agung Umno ke-66 yang melabuhkan tirainya minggu lepas, BN Semenanjung dengan mudah mendapat antara 80-100 kerusi di Semenanjung.

Perkahbaran yang mengembirakan bahawa komuniti peniaga terutama daripada kaum cina, masih mahukan BN memerintah, kerana kelompok itu sangat khuatir jika pembangkang menguasai Putrajaya, kepimpinannya tidak akan mampu menguasai Pas yang mempunyai agenda sendiri.

Selain alasan itu, komuntiti peniaga khuatir akan berlaku kelumpuhan ekonomi dengan mengambil iktibar perkembangan di Republik china, dimana akibat pergantian pucuk pimpinan, keadaan perekonomian di negara itu masih tidak menentu.

Juga, Pembangkang tidak mempunyai pengalaman mengurus negara, selain besar kemungkinan akan berlaku perebutan jawatan terutama jawatan-jawatan penting.

Benar, pada PRU-12 telah berlaku tsunami politik di Semenanjung, namun pada PRU-13, keadaan itu tidak akan berlaku lagi, akan tetapi disebabkan tsunami itu lambat sampai ke Sabah dan Sarawak, maka pada PRU kali ini, Sabah dan Sarawak pula mengalami gegarannya walaupun hanya sedikit.

Walaupun gegaran tsunami diramal akan melanda Sabah dan Sarawak, namun pengundi bagi dua negeri itu sungguh matang. Pengundi Sabah adalah yang termatang, kerana telah terbiasa mengubah kerajaan. Namun, berasaskan pengamatan, rakyat Sabah masih dibelakang BN, walaupun ada riak-riak yang berlaku. Andaian pembangkang, kononnya pemimpin KDM daripada BN akan ditolak, hanya merupakan persepsi, kerana setakat ini, belum ada pemimpin pembangkang daripada KDM yang mampu bersaing dengan pemimpin utama KDM-Tan Sri Pairin Kitingan.

Sementara daripada pihak Bumiputera Islam pula, pembangkang belum menemukan pemimpin yang boleh bersaing dengan barisan pemimpin yang ada dalam BN; kecualilah Datuk Lajim Ukin yang hanya kuat bagi kawasannya Klias dan Beaufort.

Nampaknya berasaskan keadaan semasa, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah merangkap pengerusi BN Sabah, nampaknya akan boleh bernafas dengan leganya apabila keputusan PRU-13 diumumkan kelak. Diperkirakan sebelum fajar menyising, Musa akan membuat sidang media, menyatakan kerajaan BN Sabah kekal, dan jumlah kerusi parlimen yang disumbangkan kepada Pusat tidak berlaku perubahan.

Kejayaan BN itu diunggu-tunggu rakyat dan juga komuniti perniagaan, kerana hanya melalui kestabilan politik, ekonomi negeri dapat dikayuh menunju kejayaan. Semoga harapan ini akan menjadi kenyataan dan menunjukkan bagaimana kestiaan rakyat Sabah terhadap pemerintahan negara.

Pengundian: Kecenderungan pengundi

Pada PRU kali ini ada sedikit kecelaruan pengundi. Ada pengundi yang cenderung memilih calon, ada juga yang mengundi berasaskan parti.

Bagi kawasan-kawasan yang ramai pemimpin yang berpotensi menjadi calon seperti Kota Belud, majoriti pengundi melihat kepada calon.

Yang membezakan antara calon-calon yang berpontensi adalah sumbangan mereka terhadap rakyat, keterdekatan dengan rakyat.

Kota Belud dibarisi ramai pemimpin, antaranya DSP Salleh Tun Said, Tan Sri Pandikar, Datuk Musbah, Datuk Rahman, Datuk Japlin dan semua itu daripada parti umno, manakala daripada komponen BN hanya nama Datuk Hebert Timbon Lagadan yang ketara.

Kota Belud hanya terdiri daripada satu kawasan Parlimen dan tiga DUN. Melihat kepada barisan pemimpin yang ada, sudah tentu ada diantara mereka yang akan tercicir, terutama pemimpin Umno.

Pucuk pimpinan sudah tentu memerlukan extra keputusan dalam memilih calon-calon yang diketengahkan pada PRU-13, jika tidak mungkin keputusan para pengundi boleh membawa kepada kekalahan.

Sehingga kini, hanya Salleh dan Rahman yang menyatakan akan terus bersama-sama UBN meskipun tidak dicalonkan; sementara yang lain masih tunggu dan lihat.

Namun melihat kepada kelibat dua pemimpin- Datuk Musbah dan Datuk Japlin, mereka ini adalah pemimpin akar umbi dan tiada sejarah bertukar parti. Walaupun mereka tidak menyatakan secara terbuka pendidirin mereka, namun sudah terbukti, mereka ini tidak akan melawan arus. Datuk Musbah misalnya, pada tahun 2004 tidak dicalonkan, walaupun beliau adalah ADUN yang bertahan. Mantan ADUN Tempasuk itu terus bersama-sama BN dan bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan calon BN. Atas nama kesetiaan itu, pada PRU-2008, sekali lagi beliau dipilih untuk bertanding.

Keadaan politik Kota Belud cukup tenang. Kehadiran pembangkang macam tidak terasa, walaupun terdapat riak-riak, akan tetapi pada hari penentuan, semuanya itu akan reda, kerana pengundi Kota Belud masih setia kepada BN.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels