15 July 2013

Kematian Janda di Sandakan- Khianat?

SEORANG ibu tunggal yang mati akibat rentung pada Jumaat, kemungkinan perbuatan khianat.

Hasna Astan, 42 yang juga kakitangan Jabatan Hutan Sandakan ditemui mati di rumahnya di Taman Indah, Batu Empat, Sandakan.

Pihak polis membuat siasatan di bawah skesyen 302 kanun Keseksaan kerana membunuh.

Seorang pemuda berumur 23 tahun telah ditahan bersabit kematian itu, apabila menemukan anak mangsa yang berumur 7 dan 8 tahun di Hotel Hsiang Garden KM2 Jalan Leila pada Ahad.

Menurut seorang penduduk, seorang lelaki secara tergesa-gesa keluar daripada tempat kebakaran itu pada Jumaat.

13 July 2013

AGM Umno Sabah bermula 15 Julai 2013

LEBIH 5000 cawangan Umno seluruh Sabah dengan keahlian lebih 450,000 mula bermesyuarat pada 15 Julai dan dijangka berakhir pada bulan September.

Sabah mempunyai 25 Bahagian Umno yang tersebar di 60 kawasan Dun.

Umno merupakan tulang belakang kerajaan negeri, kerana semua kawasan yang ditandinginya pada PRU-13 telah menangi, kecuali DUN Klias.

AGM kali ini, adalah masa pemilihan semua jawatan baik diperingkat cawangan sehinggalah ke peringkat bahagian.

Pada pemilihan ini juga, diguna pakai kaedah pemilihan baru parti yang telah diperkenal pada tahun 2009.

Disebabkan tiada lagi sistem kuota, maka sesiapa sahaja ahli Umno dan bukan muflis boleh menawarkan diri untuk bertanding. 

Bagi jawatan di peringkat Bahagian, satu syarat tambahan untuk memungkinkan seseorang ahli itu layak bertanding, sekurang-kurangnya telah menjadi ahli 3 tahun.

8 July 2013

Bolehkah Politik Wang Dalam Umno Dihentikan?

Sistem pengundian baru Umno untuk pemilihan parti tahun ini boleh membantu mengurangkan politik wang tetapi ia tidak akan dapat dibendung sepenuhnya.

Sistem pengundian akan menjadikan calon-calon sukar untuk menggunakan wang bagi meraih undi kerana wujud kumpulan perwakilan mengundi yang lebih besar.

Di bawah sistem baru ini, seramai 146,500 ahli parti daripada 191 bahagian akan terlibat dalam memilih presiden, timbalan presiden, naib presiden dan 25 ahli Majlis Tertinggi.

Walau bagaimanapun tidak semua 146,500 undi akan dikira secara langsung kerana parti akan menggunakan sistem "satu bahagian, satu undi" yang serupa dengan sistem daftar pemilih di negara ini.

Sebelum ini, kira-kira 2,500 perwakilan di perhimpunan agung parti itu mengundi untuk memilih pelapis tertinggi parti.

Untuk pemilihan parti tahun ini, sistem kuota yang memerlukan peratusan tertentu pencalonan dari Umno bahagian supaya pemimpin layak bertanding jawatan tertinggi juga telah dihapuskan.

Ini bermakna sesiapa sahaja boleh bertanding untuk jawatan tertinggi sekarang.

Dalam pilihan raya lalu, terdapat dakwaan bahawa undi perwakilan boleh dibeli oleh pemimpin-pemimpin dan proksi mereka yang memberikan wang tunai dan hadiah, mengatur percutian dan lain-lain insentif untuk menarik pengundi.

Apa yang menjadi kebimbangan sekarang adalah sistem baru ini boleh menyebabkan banyak rasa tidak puas hati jika proses mengundi itu tidak dilakukan dengan betul atau terdapat penipuan di peringkat pengundi akar umbi.

Akan tetapi pendapat Bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman, yang telah menyuarakan hasrat beliau untuk bertanding jawatan ketua Wanita Umno, yakin pengundian yang dibuka sehingga ke peringkat akar umbi akan menghapuskan politik wang dalam parti itu.

"Parti cuba untuk membersihkan diri dan ia adalah permulaan yang baik," katanya.

Beliau juga berkata sistem itu bermanfaat untuk golongan 'underdog' seperti beliau kerana lebih ramai orang mempunyai 'suara' untuk memilih pemimpin yang mereka mahu berbanding 3,000 perwakilan dalam dewan.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Shahrir Samad berkata sistem baru ini mengiktiraf watak akar umbi Umno dan beliau tidak fikir akan ada sesiapa yang tidak berpuas hati dengannya.

Salah satu cabaran dalam menjalankan pilihan raya parti adalah mendapatkan anggota yang dan "kakitangan awam" Umno yang benar-benar neutral untuk menyelia pilihan raya, katanya.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng percaya sistem baru ini tidak akan mengekang politik wang kerana struktur politik 'atas ke bawah dalam Umno' sangat jelas dan kuasa berada di tangan beberapa mereka yang dipilih.

7 July 2013

Benarkah BN Bergantung pada Rakyat Miskin?

TAJUK di atas dijawab oleh keputusan PRU-13 lalu. Daripada 133 kawasan yang dimenangi BN, tidak sampaipun 50 peratuspun yang boleh dikategorikan kawasan "maju".

Bagi kawasan ibu negeri, hanya Johor Baharu dan Kangar sahaja pengundinya menyebelahi BN, sementara yang lainnya menyebelahi Pembangkang.

Semalam, MP Kinabatangan-Datuk Bung Moktar Radin, menyuarakan hasratnya, bahawa beliau tidak akan bertanding lagi pada PRU-14, bukan kerana dia tidak berminat, akan tetapi, beliau tidak yakin lagi akan menang, kerana besar kemungkinan pengundi kawasan itu tidak mengundi lagi BN.

Kawasan Kinabatangan yang lebih luas berbanding negeri Pahang, merupakan satu kawasan yang masih terbelakang di Sabah. Menurut Bung, persepsi bahawa kemiskinan penduduk merupakan "tag" kepada sokongan kepada Bn, mungkin tidak berlaku lagi, kerana rakyat mulai celik berkaitan dengan pembangunan.

Melihat kepada jumlah kawasan yang dimenangi BN pada PRU-13 lalu, yang rata-rata kawasan terbelakang terutama di Sabah dan Sarawak, maka ada yang menganggap, bahawa kerajaan BN membiarkan rakyat miskin untuk mengekalkan sokongan.

Anggapan seumpama ini, boleh benar boleh salah. Setahu penulis, sejak BN mengambil alih kerajaan Sabah pada tahun 1994 (contoh) kerajaan dengan sedaya upaya membangun negeri, baik di kawasan bandar mahupun kawasan luar bandar.

Kerajaan Sabah berusaha bersungguh-sungguh dengan berbagai kaedah membangun negeri, walaupun sumber aslinya seperti kayu balak, bukan lagi menjadi sumber utama kewangan.

Sebagai rekod, pada awal tahun 2003, jumlah simpanan negeri hanya berkisar dalam lingkungan RM100 juta, namun atas ketekunan kerajaan, jumlah simpanan kerajaan meningkat ke paras RM3bilion pada tahun 2012. Selain itu, bajet tahun negeri juga terus meningkat, sehingga mencecah melebihi RM4 bilion bagi bajet tahun 2013.

Pada tahun 2009 kadar kemiskinan negeri adalah di atas 19 peratus, namun pada tahun 2012 kadar itu menurut di bawah 9 peratus. Penurunan kadar kemiskinan dua digit, merupakan impak daripada usaha kerajaan membangun negeri.

Kerajaan tidak berhenti-henti melakukan berbagai program untuk meningkatkan sumber pendapatan rakyat. Atas sebab itu, berbagai projek seperti Projek Baja Samur di Sipitang, Projek Pusat minyak dan Gas di Kota Belud dan Kimanis, projek POIC di Lahad Datu, projek Agropolitan di merata tempat di Sabah serta projek Jelapang Padi di Kota belud, antara usaha kerajaan meningkatkan pendapatan dan peluang-peluang pekerajaan bagi rakyat.

Sekiranya benar, bahawa kerajaan BN mahukan agar rakyat terus miskin agar terus menyokong BN, maka program-program peningkatan ekonomi kepada rakyat tidak akan dilakukan.

Empat hari lalu, penulis terbaca kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar Persekutuan, bahawa untuk tahun ini sahaja akan dibelanjakan RM2bilion bagi Sabah dan Sarawak membangun berbagai infrastruktur luar bandar, demi rakyat yang mendiami kawasan-kawasan itu.

Sementara di Sabah pula, sempena lawatannya di kawasan Sipitang Sabah, Ketua Menteri Sabah- Datuk Seri Musa Haji Aman, menyatakan bahawa kerajaan negeri sangat komited terhadap pembangunan negeri. Ketua Menteri itu telah menzahirkan, bahawa bajet negeri akan terus meningkat sesuai dengan keperluan pembangunan.

Kerajaan sangat komited membangun rakyat, atas sebab itu pembangunan lebuh raya yang menghubungkan Kudat dengan Sarawak dipastikan akan dilaksanakan, tujuannya adalah untuk mengwujudkan lokasi atau kawasan-kawasan perekonimian baru.

Sangkaan beberapa pihak, bahawa kerajaan BN, tidak mahu memajukan rakyat dan membiarkan mereka miskin sebagai jaminan sokongan adalah tidak berasas.

Rakyat kini, tidak akan selamanya dapat menerima huluran setiap pilihanraya, kerana trend itu semakin lama semakin pudar.

Bukti jelas pada PRU-13 lalu, walaupun berbagai insentif tunai daripada kerajaan melalui BRIM, namun penerima tidak juga memangkah parti BN, contohnya di Kelantan, yang mempunyai rekod tertinggi dalam bayaran BRIM.

Yang jelas, penyokong BN, bukan diukur pada taraf kehidupan mereka, namun diukur pada keupayaan sesebuah parti menunaikan janji dan keupayaan membangun negara atau negeri.

Percayalah jika suatu hari, kadar pembangunan merata, di semua kawasan, tidak akan berlaku lagi, bahawa kawasan yang dimenangi pembangkang akan selamanya dimenangi pembangkang, demikian juga kawasan tradisi yang dimenangi BN akan dimenangi BN. Pada masa itu, rakyat akan menilai polisi atau kebijaksanaan parti yang bertanding dalam mengelola perekonomian atau pemerintahan.

Untuk sementara, memang terlihat, bahawa kawasan yang masih mundur menyokong kerajaan BN, kerana rakyat di kawasan itu masih menaruh kepercayaan bahawa hanya BN yang mampu dan mahu membela mereka. Rakyat di kawasan itu, sedar, bahawa perjuangan Pembangkang yang berorentasikan kepada merit belum tiba masanya, kerana rakyat yang menyokong BN di kawasan yang masih belum maju, yakin tidak akan mendapat pembelaan; atas sebab mereka belum sampai kepada tahap pelaksanaan yang berasaskan merit.

Dakwaan pihak tertentu, terutama pemikir luar yang berkerja di institusi pendidikan di negara ini, bahawa BN mahukan rakyat miskin agar supaya mudah dibeli semasa pilihanraya, adalah dakwaan yang sungguh menghina rakyat.

5 July 2013

Penggulingan Presiden Mohamed Morsi- Siapa Dalangnya?

MOHAMED Morsi, pemimpin berjiwa rakyat dan juga seorang hafiz, diangkat sebagai Presiden Mesir melalui pilihan raya bebas pertama dalam sejarah negara itu akhirnya digulingkan, dalam rampasan kuasa kedua di Mesir, kelmarin.

Tarikh itu genap setahun beliau dipilih sebagai presiden, 30 Jun tahun lalu, selepas protes besar-besaran rakyat menggulingkan Hosni Mubarak yang memimpin Mesir secara kuku besi selama 30 tahun pada Februari 2011.

Morsi menerima undi 13.2 juta, iaitu 51 peratus undian semasa pilihan raya tahun lalu, menewaskan pesaingnya, Ahmed Shafik yang juga perdana menteri era pemerintahan Mubarak.

Persoalannya, adakah rakyat dahulunya menyokong Morsi dan partinya Ikhwanul Muslimin berpaling tadah terhadap pemimpin mereka?

Atau adakah Morsi menjadi mangsa terbaru dalam percaturan politik kuasa luar di bawah pimpinan Amerika Syarikat (AS) yang disalurkan melalui pemberontakan berterusan rakyat Mesir dengan sokongan tentera negara itu?

Arab Spring jadikan AS selesa

Tatkala pengumuman penahanan Morsi tersebar, pastinya AS dan sekutunya berasa lega dan memikirkan tindakan selanjutnya.

Nasib Morsi dan penyokong Ikhwan Muslimin belum diketahui, kebangkitan rakyat sudah pasti tercetus, kematian akan berlaku malah bumi Mesir terus bergolak dan bermandikan darah.

Setiap hari pasti ada tragedi baru menimpa Mesir. Tetapi semua pergolakan bercirikan Arab Spring menjadikan AS negara paling selesa.

Seorang pegawai pemerhati di Pentagon menyatakan, hubungan AS dengan Mesir berdasarkan kerjasama keselamatan. Kedua-duanya dilihat berada dalam kancah bahaya.

Keutamaan tentera Mesir dalam hal ehwal dalaman masih dalam catuan. Sekiranya kebangkitan rakyat terus berlaku maka AS menjadikan ia sebagai peluang untuk campur tangan.

Drama Pentadbiran Obama mengikut skrip lama ketika pemerintahan Hosni. AS berusaha meletakkan dirinya sebagai orang tengah dalam pentadbiran Mesir dan kemudiannya meninggalkan negara itu kucar kacir.

Pergolakan di Mesir menarik perhatian banyak pihak kerana situasi berlaku mempunyai hubungan rapat dengan nasib dunia Islam.

Namun, adakah lawatan Obama ke Mesir dengan membawa misi dunia Barat sebagai sandiwara supaya dapat mengembalikan hubungan rapat antara Barat dengan Islam melalui kerajaan Mesir, iaitu teraju proksinya di Timur Tengah.

AS pernah cuba berbaik dengan masyarakat Islam dengan mahu berkhutbah di Universiti Kaherah namun hasrat itu tidak tercapai.

Jika diamati, sejarah hubungan Mesir dengan Barat, keadaannya tidak banyak berubah. Pertembungan antara dua tamadun berpunca daripada konflik dalaman negara berterusan.

Situasi yang wujud sebenarnya adalah permusuhan antara dua proksi berbeza budaya. Pergolakan dalaman negara Islam itu sendiri antara golongan pro-Barat dengan pro-Islam tidak akan ada titik noktahnya.

Masing-masing menganggap fahaman, pendekatan, dan amalan politik yang mereka canangkan adalah paling hampir kepada amalan demokrasi tulen.

Obama dalam ucapan sulung sejurus penggulingan Morsi berazam membantu menyelamatkan negara-negara yang berada dalam keadaan huru-hara.

Beliau menggesa tentera Mesir melepaskan kuasa kepada kerajaan awam yang dipilih secara demokrasi dan menentang menangkap Morsi tetapi masih memberikan dana AS$1.5 bilion (RM4.7 bilion) bagi membantu ekonomi dan ketenteraan setiap tahun.

“Perkongsian AS dan Mesir adalah berdasarkan kepentingan bersama dan kami akan terus bekerjasama denganMesir untuk memastikan peralihan Mesir ke arah demokrasi,” katanya.

Campur tangan AS bermula ketika Obama menasihati Morsi mendengar suara rakyat ketika kali pertama protes tercetus di negara itu, tiga bulan selepas beliau menjadi Presiden.

Kongres AS menjadi sumber tuntutan penyaluran bantuan buat pembangkang rejim dan setiap kali protes rakyat tercetus Obama dengan mengkritik dasar pemimpin yang tidak mahu mendengar tuntutan rakyat. Walaupun beliau tidak menyatakan siapa atau di mana namun berulang kali ingatan itu disuarakan.

Buktinya, media Barat menyatakan pendirian Obama menyokong ‘kerajaan Mesir’. Namun, kerajaan terdahulu atau kerajaan sementara yang dibuat dengan tergesa-gesa, semalam?

“Kami mengambil kedudukan di belakang kerajaan ini dan akan membantu untuk bergerak ke hadapan. Kami bersedia menyalurkan bantuan ketenteraan jika mereka inginkan bantuan. Mungkin kumpulan individu yang ditahan akan bangkit bersama kuasa lain. Oleh itu kita perlu berhati-hati demi keselamatan rakyat ,” antara ucapan beliau di Washington, semalam.

Jika benar, sokongan Obama berpihak kepada 'kerajaan sementara Mesir' maka beliau layak digelar sebagai manusia bertopengkan syaitan atau talam dua muka kerana melakukan usaha berterusan untuk menjatuhkan umat Islam dan negara Islam sejagat. 

Boneka AS bakal jadi presiden?

Jika dilihat semula perkembangan politik di negara itu, selepas kejatuhan Hosni, negara Barat menyokong pembangkang Mesir, Mohamed El Baradei untuk diangkat sebagai Presiden.

Kini, khabar angin mula bertiup kencang mengenai kemungkinan El Baradei dilantik sebagai Presiden Mesir selepas kejatuhan Morsi.

Media melaporkan, Ketua Tentera Abdel Fattah al-Sissi bertemu dengan El Baradei, Ketua Ulama Masjid Al-Azhar dan Ketua Paderi negara untuk membincangkan perjalanan politik Mesir beberapa jam sebelum kata dua diberikan tentera kepada Morsi tamat, kelmarin.

El Baradei, pemenang Anugerah Nobel Keamanan pernah mengetuai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memang diketahui sebagai pilihan utama AS.

Malah, Timbalan Pengerusi Ikhwanul Muslimin, Khairat al-Shater awal tahun ini memaklumkan AS menggesa Morsi melantik El Baradei sebagai perdana menteri.
Beberapa persoalan perlu dijawab bagi merungkai faktor sebenar kejatuhan Mesir.

Bagaimanakah campur tangan AS selaku wakil dunia Barat dalam mengambil kesempatan pemberontakan rakyat di Mesir?

Apakah kepentingan AS dengan kerajaan yang ada di Mesir? Benarkah tercetusnya pemberontakan disebabkan masalah ekonomi melanda Mesir sejak akhir-akhir ini?

Apakah kebangkitan rakyat Mesir tiada kaitan sama sekali dengan kebangkitan kuasa Islam di Palestin yang begitu rapat dengan gerakan Ikhwanul Muslimin dan Jamaah Islamiyah di Mesir?

2 July 2013

Kasihan Bumiputera

Melihat laporan daripada Economy Planning Unit (EPU) tahun 2012, kedudukan bumiputera daripada segi pendapatan isi rumah, hampir 80 peratus berada pada pendapatan kurang RM1,000 sebulan; 70 peratus di bawah RM2,000; 66 peratus di bawah RM3,000 dan 37 peratus di bawah RM4,000.

Melihat data ini, adalah pendorong kepada kerajaan yang memerintah, untuk memberi fokus dan keutamaan kepada kaum itu, dalam semua bidang dan peluang; tanpa itu, maka sukar bagi golongan itu terangkat daripada kedudukan yang ada.

Bermula daripada sekarang, jangan lah lokek atau kedekut memberi peluang kepada bumiputera untuk mendapat kontrak, jangan lah kerana mereka tiada rekod, maka tidak diberi peluang. Jangan terperangkap dengan istilah "money make money" kerana kalau itu digunapakai, keadaan bumiputera seperti mana dalam rajah ini, tidak akan terselesaikan, meskipun negara akan tinggal landas sebagai negara maju pada tahun 2020.

29 June 2013

Tumpukan kepada Janji Ditepati: Musa

Tuan Haji Nizam (Duduk-tengah)
KETUA MENTERI Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman mengingatkan agar semua jajaran barisan kerajaan  berkerja bersungguh-sungguh bagi menepati janji-janji kerajaan kepada rakyat.

Musa memberitahu demikian semasa majlis perlantikan setiausaha-setiausaha politik di berbagai Kementerian termasuk Jabatan Ketua Menteri.

Menurut Musa, Piliahanraya ke-13 sudah berlalu, barisan kabinet telahpun dibentuk dan setiausaha-setiausaha poltik telahpun dilantik, atas sebab itu masa berkerja adalah menjadi keutamaan.

Pada PRU-13 lalu, BN Sabah menang dengan kuasa 2/3 Dewan undangan Negeri, apabila memenangi 48 kerusi daripada 60 DUN Sabah.

Pada Majlis semalam, seramai 14 setiausaha-setiausaha politik telah dilantik, di mana diantaranya lapan muka baru.

Tuan Haji Nizam Datuk Haji Abu Bakar Titingan telah dilantik semula ke jawatan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, walaupun sebelum itu ada spekulasi bahawa beliau akan mengetuai salah satu GLC milik kerajaan Negeri.

Salah seorang setiausaha politk yang dilantik semalam, adalah mantan pegawai di Jabatan Ketua Menteri Mohd Joh Haji Wid dan kini dilantik sebagai setiausaha politik di Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Datin Maizatul Akmam Haji Alwi dikekal di Kemenetrian Kewangan, demikan juga Datuk Amisah Yasin kekal di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

26 June 2013

Pembenihan Awan

Proses ini adalah satu perkara yang perlu kita tahu. Jerebu yang melanda adalah satu desakan yang kuat untuk melakukan proses ini walaupun kosyang tinggi.

Terdapat 3 JENIS pembenihan awan iaitu:

Pembenihan dinamik awan

Arus udara menegak terdorong dan lebih banyak air melalui awan. Hal ini membawa pada lebih banyak hujan. Kaedah ini mempunyai 11 peringkat yang berbeza yang terlibat dan setiap kesalahan di salah satu peringkat boleh merosakkan seluruh proses.

Pembenihan Awan Higroskopik

Bahan letupan dan flare digunakan untuk menyebarkan garam melalui bahagian bawah awan. Air tertarik pada garam dan siaznya membesar lalu turun ke bawah sebagai hujan. Teknik ini masih memerlukan banyak kajian.

Pembenihan Awan Statik

Bahan kimia iaitu silver iodide disebarkan ke dalam awan. Kelembapan yang terdapat dalam awan terkondensasi di sekitar kristal. Hal ini membuat awan lebih berkesan dalam penyebaran hujan di tempat – tempat tertentu.

Namun begitu, Pembenihan awan bergantung pada cuaca. Kehadiran awan adalah suatu kemestian.Teknik ini juga bergantung pada suhu dan komposisi awan.

Pembenihan awan amat sangat komplesk cara persediaannya dan mungkin mengambil masa beberapa tahun latihan untuk menghasilkan buah (awan).Tidak ada sistem kawalan di tempat untuk menentukan di mana hujan akan jatuh.

Najib Yakin "Malaysian Spring" tidak berlaku di Malaysia

Najib dan Anwar di Dewan Rakyat pada 24 jun 2013
Kerajaan BN  tidak yakin slogan 'Malaysian Spring' yang digambarkan sebagai usaha pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan akan berlaku di negara ini.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan perkataan 'rakyat' bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Kerajaan tidak takut kepada perkataan 'Malaysian Spring'. Asas yang saya tekankan ialah apa-apa tindakan yang dilakukan mestilah berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah perkara pokok," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) berhubung tindakan polis menjalankan siasatan terhadap ahli seumur hidup DAP, Dr Chen Man Hin yang menggunakan terma 'Malaysian Spring'.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Dr Chen dipanggil untuk disoal siasat pihak polis kerana didakwa merancang untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan seperti yang berlaku di Timur Tengah melalui gerakan yang dikenali 'Arab Spring'.

Mengulas mengenai perkara itu, Najib bagaimanapun berkata sebarang tindakan undang-undang berhubung siasatan terhadap Dr Chen adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara.

Kepada soalan asal yang dikemukakan oleh Datuk Dr Abd Latiff (BN-Mersing) berhubung penyalahgunaan perkataan 'rakyat', Najib berkata Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada masyarakat untuk menyuarakan pendapat dan pandangan.

Namun tegas Perdana Menteri, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melangkaui batas Perlembagaan Persekutuan

18 June 2013

Pemilihan Umno: Antara Kesinambungan dan Perubahan

ADA dua kepentingan: Dari kacamata kepimpinan, kesinambungan adalah faktor utama meneruskan suatu kemajuan; manakala daripada kaca mata ahli- pergantian kepimpinan adalah sesuatu yang wajar dilakukan untuk menyuntik idea idea dan pendekatan baharu demi pembaharuan ke arah perubahan.

Kesinambungan kepimpinan membolehkan sesuatu yang dirancang itu hanya menunggu pelaksanaan; sementara jika berlaku perubahan kepimpinan, sudah tentunya kepimpinan baharu itu perlu melaksanakan perancangan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan.

Boleh juga berlaku, kempimpinan yang baru itu mempunyai perancangan awal, dan hanya menunggu menjadi pemimpin untuk melaksanakan perancangannya, atas sebab itu seseorang itu menawar diri bertanding merebut sesuatu jawatan.

Di lain pihak, penyandang sesuatu jawatan telahpun merancang sesuatu untuk tindakan pelaksanaan, hanya mungkin kekangan waktu dan kewangan membantut pelaksanaannya; atas sebeb itu dijadikan modal bagi pencabar untuk menggamit sokongan daripada para ahli, agar diberi peluang untuk menduduki sesuatu jawatan.

Sebenarnya, yang menjadikan sesuatu perjuangan itu relevan atau tidak terletak bukan pada perubahan tetapi kepada kekuatan kesahihannya. Dan dalam konteks UMNO faktor kesinambungan inilah yang memberi kekuatan kesahihan kepada perjuangan kebangsaan Melayu yang berbeza dari kaum dan parti lain.

Pada tahun-tahun 1990-an, untuk tempoh selama lebih sedekad UMNO seolah-olah terpukau dengan perkataan `arus perubahan'. Oleh kerana ia begitu sering diucap, sehingga hampir menjadi satu mantra, maka makna asalnya telah tenggelam dan perkataan perubahan tadi telah mendapat makna baru, iaitu perubahan, tak kira jenis apa pun, adalah sesuatu yang baik dan seterusnya diingini.

Kita begitu taksub dengan perubahan sehinggakan banyak idea serta adab berpolitik yang sihat turun-temurun telah digadaikan. 

Hakikat bahawa sesetengah dari idea-idea tersebut merupakan idea yang paling bernas pada masa ia diterbitkan, dan hakikat bahawa ia telah banyak berjasa dan masih boleh diguna pakai tidak lagi jadi perhitungan, pada ketika itu kita hanya setia pada label `perubahan'. 

Kenapa kita begitu terpesona dengan perubahan? Perubahan adalah sesuatu yang lumrah, boleh jadi baik atau boleh jadi buruk, terpulang kepada bagaimana kita mengendalikannya. Secara tersendiri ia tidak mempunyai makna. We were hypnotise by the allure of change, not relizing that change is the natural order of things while progress is not. 

Kita mahukan kemajuan dalam semua lapangan hidup, moral dan material, bukan sekadar perubahan. 

Hala tuju bangsa tidak boleh ditentukan secara mutlak oleh perubahan, kita harus mengawal perubahan, bukan kita yang ditentukan oleh perubahan. 

Lebih dari itu, bagi Umno jika kita tidak berhati-hati keghairahan kepada perubahan sebenarnya menyembunyikan lebih banyak kemudaratan kerana dari segi sejarah, untuk musuh-musuh UMNO mereka mahukan agar parti lemah, akibat persengkitaan pemimpin Umno itu sendiri tidak pernah sudah-sudah; hanya kerana mahu jadi PEMIMPIN UTAMA.

Walaupun kita telah dijajah lebih seratus tahun hakikat kita masyarakat induk bukan sahaja tidak pernah berubah tetapi berkesinambungan. Oleh itu, dari memberi fokus kepada perubahan, terdapat lebih banyak manfaat jika kita memberi masa untuk benar-benar menginsafi apa yang dimaksudkan dengan asas-asas kesinambungan yang memberi kekuatan kesahihan kepada perjuangan parti.

Bagi mereka yang mempunyai ura-ura mencabar kepimpinan baik di peringkat tertinggi mahupun di peringkat bahagian, perlu memberi pertimbangan kepada ASAS KESINAMBUNGAN, bukan terpengaruh dengan PERUBAHAN DAN DEMOKRASI; kerana KESINAMBUNGAN KEPIMPINAN DALAM PARTI LAH MERUPAKAN KEKUATAN PARTI UMNO.

Hari Ke-2 Sidang DUN Sabah: Pencerobohan Lahad Datu Tiada Kaitan Tuntutan 'Sultan Sulu' - Musa

KOTA KINABALU: Pencerobohan di Lahad Datu tidak ada kaitan dengan tuntutan 'Sultan Sulu' tetapi adalah tindakan pengganas yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Sabah, tegas beliau, adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat dalam Malaysia.

Sambil merujuk buku bertajuk 'Putting to Rest the Claim to Sabah by Self-proclaimed Sultanate of Sulu', beliau berkata Peguam Negara Malaysia menyatakan status negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang sah adalah berdasarkan dua asas utama.

"Pertama, berdasarkan instrumen ikatan yang sah dan mengikut undang-undang, 'Sultan Sulu' pada masa dahulu telah secara sukarela menyerahkan sepenuhnya dan muktamad wilayah yang sekarang dikenali sebagai Sabah untuk selamanya semua tuntutan dan hak selain menerima hak bayaran wang serahan tahunan.

"Kedua, sebarang tuntutan atau hak 'Sultan Sulu' terhadap Wilayah Sabah walaupun ia sah atau wujud pada tahun 1962/1963 telah menjadi terbatal dan termansuh apabila penduduk Sabah membuat satu keputusan sendiri melalui pungutan suara pada tahun 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold pada bulan Ogos hingga bulan September 1963," katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Setiausaha Agungnya telah melaksanakan satu lagi pungutan suara di mana rakyat di Sabah telah menyatakan hasrat mereka secara sukarela untuk merdeka daripada penjajahan British dan justeru, bersetuju untuk bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia.

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) sama ada benar pihak Sultan Sulu III menuntut hak ke atas negeri Sabah dan siapakah yang disyaki sebagai dalang penerobohan itu, semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Likas, dekat sini Selasa.

Musa yang juga pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri berkata pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Tentera Di Raja Kesultanan Sulu' yang dianggarkan seramai 200 orang dikesan menceroboh di Lahad Datu pada 9 Februari lepas.

"Dalang pencerobohan ini ialah Datu Agbi Muddin Datu Kiram dan Jamalullail Kiram serta penglibatan warga Malaysia yang masih dalam siasatan polis.

"Dalam kejadian tersebut, pengganas-pengganas berkenaan enggan berundur dari kawasan yang dicerobohi. Dengan itu pasukan keselamatan telah melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh dari Sulu tersebut pada 5 Mac," katanya.

Beliau berkata pertempuran itu menyebabkan seramai 80 orang terkorban, termasuk lapan anggota polis dan dua tentera Malaysia serta memaksa penduduk kampung meninggalkan rumah kediaman mereka.

Bagi menjamin keselamatan wilayah yang terlibat, katanya kerajaan telah mengisytiharkan kawasan Pantai Timur Sabah sebagai Kawasan Keselamatan Khas dan meletakkan pasukan keselamatan untuk mengawal kawasan berkenaan.

Musa berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)yang diumumkan Perdana Menteri pada 7 Mac lepas adalah berikutan insiden pencerobohan di daerah Lahad Datu.

Penubuhan ESSCOM yang diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, antara lain bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Ketua menteri berkata antara aspek utama yang dipertanggungjawabkan kepada ESSCOM ialah untuk meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan Perairan Pantai Timur Sabah selain meningkatkan kemampuan risikan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Musa berkata 10 daerah diwartakan sebagai Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) yang merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Katanya ESSCOM kini berada di landasan yang betul dan mampu bergerak seiring dengan visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan.

Justeru, visi ESSCOM adalah untuk menjadi peneraju kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Pantai Timur Sabah menjelang tahun 2017, katanya.

Beliau berkata ini termasuk mengekal dan meningkatkan aktiviti keselamatan di Kawasan Pantai Timur Sabah daripada sebarang ancaman musuh.

Ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam membantu memacu pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat, katanya.

Selain itu, Musa berkata ESSCOM juga bermatlamat untuk memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia secara amnya dan di kawasan Timur secara khususnya, memastikan kesejahteraan penduduk terutama dalam menjaga kesihatan awam di kawasan yang terlibat.

Penubuhan ESSCOM turut memastikan anggota masyarakat bebas untuk membuat perjalanan di kawasan Pantai Timur Sabah dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi orang yang menduduki tanah atau premis secara tidak sah di dalam kawasan berkenaan.

Musa berkata bagi memastikan visi, misi dan matlamat dapat dicapai, ESSCOM mengenal pasti lima teras strategik yang akan dilaksanakan mulai tahun 2013 hingga 2017.

Ini termasuk memperkukuhkan kawalan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah secara bersepadu bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat, merancang dan menyelaras penempatan semula selaras dengan keperluan pemeliharaan keselamatan awam bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, katanya.

Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat Kawasan Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan menyelaras program pembangunan sosio ekonomi sebagai pemangkin kepada perkembangan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah.

Sejak penubuhannya, pelbagai aktiviti dijalankan oleh ESSCOM, antaranya mengadakan pelbagai mesyuarat dan pemantauan terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman semasa pilihan raya umum ke-13 dengan menempatkan dua pegawai kanan ESSCOM di kesemua 10 daerah yang diwartakan sebagai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya pihak ESSCOM berusaha mempertingkatkan jumlah anggota keselamatan dan aset bagi menghadapi sebarang anaman di masa hadapan. Kesemua agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan berusaha untuk memastikan peristiwa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu tidak akan berulang.

Musa berkata kerajaan telah mengambil pelbagai yang wajar ke arah mewujudkan prasarana yang sesuai untuk menempatkan aset pasukan keselamatan di bawah ESSCOM.

Sehubungan itu, katanya lima batalion akan ditempatkan di Kawasan Pantai Timur Sabah yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kerajaan masih meneliti lokasi yang sesuai untuk menempatkan kesemua lima batalion tersebut. Pada masa kini, pembinaan kabin khususnya bagi ibu pejabat ESSCOM dan beberapa balai polis hanya bersifat sementara.

"Di samping itu, kerajaan juga prihatin terhadap kebajikan penduduk kampung yang terlibat semasa penerobohan tersebut. Justeru, kerajaan mempunyai dua cadangan bagi penempatan semula kampung di Tajung Batu dan kampung di Tanjung Labian yang terlibat dalam insiden pencerobohan pengganas baru-baru ini," katanya.

Bagi penduduk kampung di Tanjung Batu, Musa berkata penempatan kampung berkenaan sedang dalam proses pembinaan di atas Tanah Cadangan Simpanan Kampung Tanjung Batu yang berkeluasan 6.1 hektar, melibatkan pembinaan 25 buah rumah baharu.

"Empat daripada rumah tersebut dibina di atas tanah bergeran, manakala sebanyak 21 buah rumah lagi dibina di atas tanah kerajaan negeri. Pada ketika ini, projek pembinaan rumah-rumah tersebut telahpun bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2013," katanya.

Beliau berkata bagi cadangan penempatan penduduk kampung di Tanjung Labian, penempatan akan dibina di atas Tanah Simpanan Rancangan Penempatan daerah Lahad Datu iaitu Kampung Tenagian, melibatkan pembinaan sejumlah 52 buah rumah baharu.

Kebenaran bagi memasuki dan memulakan pembinaan telahpun diperoleh daripada Jabatan Tanah dan Ukur tetapi proses bagi menentukan sempadan masih belum diputuskan oleh Juruukur Daerah, katanya.

Sementara itu, sejumlah 106 rumah yang rosak semasa insiden tersebut telah dibaiki sepenuhnya oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Giat Mara dan Felcra Sdn Bhd.

Berikutan pencerobohan itu, Musa berkata seramai 31 orang telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan dalang dalam pencerobohan itu.

Beliau berkata ketika ini tahap keselamatan di Sabah khususnya di daerah di bawah liputan ESSCOM adalah terkawal, dan sehingga kini, tidak ada insiden pencerobohan baru yang dilaporkan.

Bagaimanapun, Musa berkata ESSCOM sentiasa memantau perkembangan keselamatan terutama di Kawasan Pantai Timur Sabah dan menegaskan agensi keselamatan termasuk ATM, PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa membantu dan akan bertindak sekiranya terdapat sebarang ancaman baharu ke atas keselamatan Sabah.

16 June 2013

Pemilihan Umno: Antara Demokrasi dan Perpaduan

ADA ahli atau pemimpin percaya bahawa perpaduan dalam parti sungguh penting, apatah lagi berhadapan dengan situasi politik yang semakin mencabar masa ini. Ada juga ahli atau pemimpin percaya bahawa amalan demokrasi boleh menguatkan parti dan kepercayaan bukan sahaja daripada ahli akan tetapi juga penyokong dan rakyat jelata.

Pengertian demokrasi dalam hal ini, adalah apabila adanya pemilihan parti, maka berlaku pertandingan bagi jawatan-jawatan yang tersedia. Tujuan pertandingan itu adalah untuk menampilkan pemimpin yang mempunyai kaliber dan visi yang lebih baik bagi maksud memperkuat parti.

Kekuatan sesebuah organisasi politik bukan sahaja dilihat pada kekuatan pemimpin secara peribadi yang mempunyai jawatan tetapi kekuatannya menggamit sokongan daripada akar umbi atau rakyat secara umum perlu dilihat.

Sesuatu yang perlu diingat oleh pemimpin sesebuah parti, parti yang boleh menang pada sebarang pilihanraya adalah parti yang mampu mendapat sokongan daripada rakyat jelata. Sokongan ahli sesebuah parti sahaja tidak akan cukup memenangkan sesebuah parti; faktor inilah yang perlu ditanam oleh seseorang pemimpin yang mempunyai hasrat mendapat jawatan pada sesebuah parti. Kata orang, kalaupun hebat dalam parti, akan tetapi tidak hebat di mata rakyat jelata, maka itu dinamakan pemimpin yang syiok sendiri.

Sempena pemilihan Umno tahun ini, khususnya Bahagian Kota Belud; faktor yang disebutkan diatas bukan sahaja perlu dihayati pemimpin yang berhasrat mendapat jawatan dalam parti, tetapi para ahli juga perlu memikirkan faktor-faktor itu. Sebagai ahli yang bertanggungjawab memilih pimpinan di peringkat bahagian, juga perlu memikirkan sokongan rakyat jelata terhadap parti, jika mahu menonjolkan seseorang menarajui parti.

Di kawasan Kota Belud khususnya parti Umno, sebenarnya para pemimpin yang boleh ditonjolkan adalah pemimpin yang sudah lama dikenal oleh rakyat, bukan sahaja mereka itu aktif dalam politik akan tetapi juga mereka-mereka ini adalah wakil-wakil rakyat dan mantan wakil rakyat.

Bagi rakyat Kota Belud, nama-nama seperti Datuk Dr Salleh Tun Said, Datuk Musbah Jamli, Datuk Japlin Akim adalah para pemimpin yang silih berganti menjadi memimpin Umno Bahagian Kota Belud.

Salleh yang berkecimpung sejak sekian lama dalam arena politik Kota Belud termasuk negeri dan nasional pada masa ini merupakan Ketua Bahagian Umno Kota Belud. Manakala Musbah adalah salah seorang pemimpin Usno yang telah dibubarkan kerana memberi ruang kepada Umno mengembangkan sayapnya di Sabah pada tahun 1991. Sementara Japlin pula adalah produk Umno itu sendiri, selepas bertapak di Sabah.

Pemilihan Umno tahun ini, berlainan dengan pemilihan tahun-tahun sebelumnya, kerana pada pemilihan kali ini, tiada lagi sistem kuota, ertinya seseorang itu boleh bertanding asalkan hanya ada pencadang dan penyokong daripada ahli itu sendiri, tidak sama seperti dahulu, pencalonan perlu dilakukan di peringkat cawangan.

Memang menjadi dilema di antara para pemimpin, ahli dan penyokong samada memeriahkan demokarsi atau perpaduan. Kalau dihayati maksud pertandingan itu sendiri adalah untuk memeriahkan demokrasi dalam parti selain mencari pemimpin yang benar-benar hebat daripada kalangan yang hebat-hebat, namun apa yang berlaku adalah selepas sesuatu pertandingan adalah "permusuhan" walaupun tidak dizahirkan, tetapi tersirat.

Umno mempunyai pengalaman sendiri pada tahun 1987, apabila berlaku pertandingan yang sengit bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, maka berlaku perpecahan dalam Umno itu sendiri. Meskipun di peringkat bahagian, tidaklah mempunyai impak yang besar terhadap parti secara keseluruhan, namun berimpak juga terhadap ahli dan penyokong di peringkat akar umbi. Akan tetapi jika maksud pertandingan di peringkat Bahagian itu dapat mengwujudkan penyatuan semua ahli dan penyokong parti dan memperkuat parti, maka pertandingan seumpama itu adalah digalakan.

Sebenarnya, seseorang pemimpin itu akan bertanding merebut sesuatu jawatan dalam parti, kerana dorongan para ahli dan akar umbi. Tanpa dorongan itu, penulis yakin seseorang itu tidak akan maju untuk menawarkan diri bertanding; kerana maksud pertandingan bagi seseorang yang menawarkan dirinya adalah semata-mata merasakan bahawa dia mempunyai sokongan yang cukup kuat untuk menang.

Pemilihan Umno di ambang pintu. Pada julai dijadualkan mesyuarat cawangan-cawangan dan kemudian pada Oktober pemilihan di peringkat bahagian dan Majlis tertinggi. Bermula daripada sekarang, bukan sahaja pemimpin akan tetapi ahli juga memikirkan apakah dalam pemilihan kali ini untuk memeriahkan DEMOKRASI ATAU PERPADUAN.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels