SENARIO politik semasa memerlukan parti Umno dirombak juga para pemimpin parti itu perlu bermuasabah diri.
Sifat top-down yang membelenggu parti itu sekian lama, akhirnya benar-benar bertindak balas, apabila rakyat menolak 24 calon-calon dikawasan yang dipertahankan parti itu pada PRU-14.
Umno semasa berdepan dengan PRU-14 membawa bersamanya 88 kerusi parlimen, namun hanya dapat mempertahankan 54 kawasan parlimen.
Bn, yang diterajui Umno yang membawa bersamanya 133 kerusi parlimen semasa Parlimen dibubarkan pada 7 April, 2018 untuk membolehkan PRU-14, hanya dapat mempertahankan 79, kalah 54 kerusi parlimen.
Keputusan PRU-14, BN-79, PKR-47, DAP-42, PPBM-13, Amanah-11, Warisan-8, Bebas 3 dan STAR-1 serta PAS-18.
Oleh kerana, PKR, DAP, PPBM, Amanah adalah parti Pakatan Harapan, maka menang PRU-14 dengan jumlah kerusi 113, lebih satu kerusi bagi majoriti mudah, 112 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.
Kekalahan Bn, kerana parti Umno tidak dapat membantu lagi parti-parti komponen khususnya di Semenanjung. Manakala di Sabah & Sarawak, sentimen yang melanda kepimpinan Umno telah mempengaruhi rakyat dua negeri itu menolak calon-calon Bn.
PRU-14, menyaksikan, bahawa rakyat negara ini, menolak Bn, bukan atas faktor parti akan tetapi atas faktor pemimpin yang dipalitkan atau terpalit dengan imej buruk. Tergambar sungguh, para pemimpin Umno yang terlihat sangat dekat dan mati-matian mempertahankan Perdana Menteri, ditolak oleh rakyat. Di Sabah, dua pemimpin utama Sabah ditolak rakyat, iaitu Datuk Rahman Dahalan dan Datuk Salleh Tun Said. Dua pemimpin ini, adalah dua pemimpin yang ditargetkan oleh Tun Dr Mahathir untuk dikalahkan.
Kalau dianalisa, 24 kawasan yang dipertahankan Umno tewas, adalah para pemimpin yang mengecam Tun Dr Mahathir, walaupun ada yang dapat mempertahankan kawasan masing-masing seperti Dato Zahid Hamidi, Dato Hishamuddin Hussien, Dato Nazri Tan Sri Aziz dan Dato Seri Najib Razak sendiri.
Berasaskan kepada trend pengundian rakyat pada PRU-14, maka untuk Umno kembali mendapatkan kepercayaan rakyat, selain dilakukan rombakan besar-besaran, juga perlu diubah cara pendekatan, kerana cara pendekatan yang digunapakai selama 61 tahun, telah dinoktahkan pada PRU-14.
Mengapa parti-parti seperti DAP dan PKR mendapat sokongan rakyat pada PRU-14? sebabnya parti-parti itu mengubah pendekatan, apabila bersatu dalam satu logo, dan kepimpinan. Kesepakatan antara para pemimpin DAP, PKR, PPBM dan Amanah benar-benar membuktikan teori, bahawa dalam politik tiada yang tidak mungkin.
Bersandarkan kepada keadaan itu, maka para pemimpin Umno perlu juga mengorak langkah ke depan, bertindak di luar kotak, supaya rakyat dapat kembali menyokong.