Tiada yang boleh meramalkan, apa masa depan parti Umno di negara ini, kerana untuk pertama kalinya kehilangan kuasa selepas berkuasa 61 tahun.
Kalau melihat apa yang sedang berlaku pada parti itu selepas kehilangan kuasa, bukan sahaja ahli malah pemimpin bagaikan anak ayam kehilangan indung.
Pertemuan Pemangku Presiden parti itu Datuk Ahmad Zahid Hamidi dengan Tun Dr Mahathir, kononnya meminta nasihat, adalah satu tindakan yang menunjukkan bahawa parti itu kehilangan arah dan panduan.
Tindakan pemimpin Naib Presiden Datuk Hishamuddin Hussien untuk tidak bertanding sebarang jawatan, dengan hela, memberi peluang kepada pemimpin lain, membawa pengertian bahawa parti itu tiada masa depan lagi.
Jika pada pemilihan parti bahawa semua jawatan penting parti, khususnya Naib-Naib Presdien dimenangi oleh mereka yang masih diterima rakyat, kemungkinan masih ada peluang menghidupkan semula parti itu, namun jika pada pemilihan kali ini, turut dimenangi oleh mereka yang ditolak rakyat, penulis tidak dapat membaangkan atas cara apa mereka itu mampu membangkitkan kepercayaan rakyat kepada parti.
Mereka yang telah ditolak rakyat, seharusnya tidak perlu didepan lagi, kerana mereka itu sebenarnya adalah sebahagian daripada pemimpin yang telah ditolak pada PRU-14.
Dalam kes UMNO Sabah pula, negeri itu mempunyai pengalaman bahawa mana-mana parti yang kehilangan kuasa terlalu sukar untuk bangkit semula, kecuali dijenamakan.
Parti USNO yang tewas pada tahun 1976, sehingga dibubarkan, tidak pernah bangkit lagi, demikian juga parti Berjaya yang tewas pada tahun 1985, hilang tanpa nisan. Bagi PBS pula yang hilang kuasa pada tahun 1994, hanya menjadi sebahagian kerajaan apabila menyertai semula Bn pada tahun 2002.
Hakikat kena diterima bahawa penerimaan rakyat Sabah terhadap Umno tidak akan berulang lagi seperti mana diterima oleh parti itu yang bermula tahun 1994. Penerimaan rakyat Sabah terhadap parti itu, sebenarnya telah dinoktahkan pada PRU-14.
Bagi pemimpin Umno atau wakil-wakil rakyat Umno, jika roh dan semangat USNO ingin dibangkitkan, Umno Sabah perlu dijenamakan, atau perlu ditubuhkan satu wadah baru sebagai wadah perjuangan.
Para pemimpin Umno kena ikut rentak aspirasi rakyat, bukannya sebaliknya. Memaksa rakyat menerima semula Umno, mungkin boleh, hanya sekadar menang satu dua kerusi dikawasan di mana pemimpin yang mewakili parti itu mempunyai kekuatan peribadi di peringkat akar umbi.
Sesebuah parti yang boleh menang pilihanraya, apabila ianya diterima secara umum oleh rakyat. Ambil iktibar bagai mana parti Warisan Sabah boleh menang 21, kawasan DUN, yang mana 15 daripadanya adalah wilayah Umno. Tidak keterlaluan, pada PRU-15 akan datang, 16 kawasan yang dimenangi calon Umno, separuh daripadanya akan dirampas parti pimpinan Datuk Shafie Apdal, jika para pemimpin Umno masih mempertahankan parti itu, tanpa dijenamakan.
No comments:
Post a Comment