6 December 2015

Isu PATI- Tuduhan Pada Kerajaan Tidak Wajar: Musa

1. Sebarang kenyataan menuduh kerajaan tidak serius dan tiada perkembangan dalam menangani isu pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah pasca Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai perkara itu, adalah tidak wajar.

2. Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman menyifatkan tindakan segelintir pihak mengeluarkan kenyataan sebegitu sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya mengelirukan rakyat serta tidak membantu dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang wujud.

3. Apa yang perlu diketahui oleh rakyat, menurut Ketua Menteri Sabah itu, bahawa kerajaan melalui berbagai agensi yang berkenaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk menyelesaikan isu-isu dan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI.

4. Selain itu, permasalahan dan isu yang ditangani memerlukan jalan penyelesaian menyeluruh melibatkan berbagai aspek termasuk perundangan. Ia menjadi lebih rumit kerana melibatkan negara luar.

5. Musa yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah (JKPWAS), membidas kenyataan beberapa pemimpin tempatan termasuk pembangkang dalam akhbar tempatan, mendesak kerajaan pusat dan negeri menjelaskan ketiadaa tindakan jelas ke atas masalah yang telah lama membelenggu rakyat Sabah itu.

6. Dalam reaksi terhadap kenyataan berbagai pihak itu, Musa menjelaskanm bahawa sejak diumumkan keputusan RCI Pati Sabah pada Disember 2014, tindakan drastik telah dijalankan termasuk penguatkuasaan untuk menangkap, mengusir dan menghalang kemasukan PATI dilaksanakan secara agresif setiap hari.

7. Menurut Musa, dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, seramai 148,212 orang diperiksa dan 17,615 ditahan, manakala 24,711 PATI telah dihantar pulang ke negara asal.

8. Kerajaan secara terus menerus mengambil pendekatan memantapkan keberkesanan aspek penguatkuasaan, antaranya perluasan penggunaan sistem biometrik dan pembinaan dua pusat Tahanan Sementara (PTS) baharu bagi membolehkan operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara agresif.

9. Selain itu, kata Ketua Menteri itu, bermula 15 September 2015, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaksanakan keputusan menukar Sijil Kelahiran Bukan Negara kepada Rekod kelahiran untuk mengubah persepsi, mempermudahkan penguatkuasaan dan mengekang sindiket pemalsuan.

10. Demi pemantapan, kerajaan juga merancang beberapa pendekatan yang memerlukan kerjasama negara lain untuk membendung berlakunya kemasukan rakyat negara asing ke Sabah khususnya yang tidak menggunakan saluran yang sah.

11. Kerajaan, menurut Musa sedang berusaha mengadakan perbincangan dengan kerajaan Filipina dalam usaha mengeratkan kerjasama untuk mengenal pasti warganegara mereka, mempercepat proses dokumentasi dan melicinkan usaha penghantaran pulang.

12. Sehubungan itu, Musa meminta semua pihak memberi kerjasama dalam menangani isu PATI dan tidak memperkecilkan komitmen pegawai dan semua agensi kerajaan yang terlibat.

13. Beliau juga berkata, kerajaan mengalu-alukan dan berterima kasih atas syor dan cadangan yang diberikan oleh pelbagai pihak dalam isu PATI dan setiap satu akan diperhalusi dengan mengambil kira berbagai aspek.

14. Isu PATI menurut Musa, adalah satu isu yang amat dekat dengan semua rakyat Malaysia di Sabah tanpa mengira latar belakang.

15. Atas sebab itu, mempolitikan PATI bukanlah jalan penyelesaian dan hanya merumitkan keadaan.

16. Sebagai tindakan kerajaan yang paling jelas berkaitan pencegahaan aliran masuk PATI, apabila kerajaan menyalurkan peruntukan besar kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Escom) dari segi penambahan dan peningkatan aset, anggota dan batalion untuk membenteras kemasukan PATI dan memperkukuhkan lagi aspek leselamatan khususnya di sempadan perairan.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels