KEHAMPAAN dalam politik, khususnya selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami prestasi terburuk dalam pilihan raya umum 2008, telah memberi kesan besar kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO sekarang yang merupakan Perdana Menteri keenam.
Tekanan politik yang berganda-ganda pula menyebabkan beliau begitu bersemangat dan sesekali cabaran membuatkan emosinya terganggu.
Najib yang kita saksikan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-60 yang berakhir Jumaat lalu tidak akan menjadi sedemikian jika tidak kerana kemerosotan sokongan kepada UMNO dan BN pada pilihan raya umum ke-12, yang ombak tsunaminya baru saja surut pada 11 Oktober lalu apabila BN memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan.
Anak Allahyarham Tun Razak itu, pada usianya 56 tahun, mewarisi daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi suatu senario politik yang sangat sulit. Tidak pernah dalam sejarah UMNO, presiden parti yang paling dominan di negara ini terpaksa memimpin parti itu dalam suasana politik yang trauma dengan partinya hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.
Komen ringkas Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai ucapan Najib pada Perhimpunan Agung UMNO mendedahkan cabaran Perdana Menteri itu. Kata Dr. Mahathir, daripada ucapan Najib beliau merasakan Najib memahami tentang masalah yang menanti UMNO.
Najib pula tentulah lebih maklum kerana beliau sendiri yang menyampaikan ucapan tersebut pada perhimpunan itu iaitu ucapan dasar sulungnya selaku Presiden UMNO.
Begitu tersentuh Najib dengan tuntutan yang dibuatnya supaya UMNO segera berubah dan seruan supaya ahli-ahli UMNO lekas menukar keinsafan kepada kerja politik yang bersungguh-sungguh, beliau dikatakan menitiskan air mata ketika meneliti teks ucapan itu sehari sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula.
Di Malaysia dan di mana jua, kemenangan dan kekalahan dalam politik memberikan liku-liku yang berbeza kepada seseorang pemimpin serta mempengaruhi cara dan strateginya berpolitik.
Selepas 200 hari mengemudi UMNO dan kerajaan, Najib terpaksa mengumpulkan semula kekuatan UMNO dan BN dengan kreativiti dan keberanian yang tidak pernah dilakukan oleh para pemimpin sebelumnya, termasuk oleh Dr. Mahathir sendiri yang berkuasa selama 22 tahun.
Najib tahu bahawa tanggungjawabnya amat besar selepas pengunduran Abdullah yang bersara kerana tekanan akar umbi.
Beliau memikul amanah maha hebat untuk menulis semula masa depan politik Malaysia. Najib sendiri mengakui dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO tentang betapa pentingnya kemenangan pada saat-saat gelora politik seperti sekarang.
Walaupun telah merasai begitu banyak pencapaian politik sejak ditubuhkan pada tahun 1946 dan menjadi parti yang memperjuangkan kemerdekaan dan memerintah Malaysia sehingga kini, UMNO selepas Mac 2008 begitu dahagakan sokongan rakyat, biarpun kecil.
Beliau berterus terang dengan ahli-ahli UMNO tentang impak kemenangan Tan Sri Mohd. Isa Samad dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang kepada mood Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlangsung.
Kesegaran demokrasi Jika UMNO mengadakan perhimpunan itu dengan kekalahan di Bagan Pinang, katanya, para perwakilan UMNO akan melangkah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam keadaan menunduk, tidak bersemangat dan mungkin marah-marah.
Proses meminda perlembagaan parti bagi menyuntik kesegaran demokrasi juga tidak akan semudah yang diperlihatkan pada perhimpunan tersebut. Najib sebenarnya membuat perhitungan politik kerana beliau sendiri yang memilih Mohd. Isa untuk bertanding di Bagan Pinang.
Ia satu keputusan yang berpandangan jauh kerana Mohd. Isa memberikan BN suatu kemenangan dengan majoriti yang lebih besar, sebanyak 5,435 undi, berbanding majoriti 4,411 undi ketika BN menang di kerusi Dewan Undangan Negeri itu pada pilihan raya umum 2004.
Perbandingan dengan prestasi pada 2004 itu mustahak diambil kira kerana keputusan sewaktu pilihan raya 2004 menjadi tanda aras mengenai paras sokongan rakyat kerana ia merupakan kemenangan terbaik UMNO dan BN dalam sejarah pilihan raya.
Kemenangan Mohd. Isa di Bagan Pinang bukan sahaja menutup mulut para pemimpin pembangkang. Ia juga berpotensi ditransformasikan menjadi apa yang boleh dipanggil turning point kepada politik Malaysia.
Selepas Bagan Pinang, perubahan tiba-tiba berada di hadapan mata Najib dan barisan kepimpinan UMNO dan BN. Dan mereka perlu cepat-cepat mereguk titik peralihan itu dan mengatur langkah ke arah mengembalikan keyakinan rakyat.
Masa sebenarnya tidak banyak untuk Najib dan UMNO. Pilihan raya umum ke-13 perlu diadakan sebelum tahun 2013 iaitu sekitar tiga tahun lagi.
Menukar pencapaian terburuk pada tahun 2008 kepada sesuatu yang lebih baik pada pilihan raya umum akan datang - dengan masa menjadi hambatan - memerlukan disiplin, keyakinan dan sokongan padu daripada setiap pemimpin dan ahli UMNO.
Ia juga menuntut pembugaran baru parti-parti komponen BN dan anjakan paradigma dalam pemikiran politik massa. Dengan konsep 1Malaysia yang diutarakan oleh Najib, UMNO muncul selepas Perhimpunan Agung UMNO ke-60 sebagai sebuah parti yang menjadi payung kepada semua kaum, dan sedang digerakkan secara sistematik oleh Najib untuk menjadi 'juara rakyat'.
Ahli-ahli UMNO perlu berkhidmat memperjuangkan rakyat. Para pemimpin dan ahli UMNO di bawah kepimpinan Najib diingatkan supaya berhati-hati dalam setiap tutur kata, pandangan dan tindakan.
UMNO cuba diasuh oleh Najib untuk menjadi sebuah parti yang prihatin dan sensitif kepada banyak perkara termasuk dalam isu-isu kecil. Beliau mahu keahlian UMNO mengambarkan regenerasi untuk mengembalikan sokongan orang Melayu khususnya orang muda dan wanita.
Kata Najib, jangan sekat orang muda untuk masuk UMNO dan menyumbang bakti kepada parti itu. Perlembagaan UMNO juga dipinda untuk menyuntik elemen demokratik yang lebih luas dalam parti dan membuka peluang kepada pemekaran budaya aktivis dan kesukarelawan dalam UMNO.
Jaringan UMNO diperluaskan kepada segenap peringkat dan kumpulan masyarakat di Malaysia. Ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO, Najib berfalsafah mengenai mentaliti gila. Katanya: "Satu lagi jenis gila adalah berbuat sesuatu secara berulang kali dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.
Dalam melaksanakan sesuatu dasar, misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan berbanding keberhasilan atau outcome." Daripada cara ekonomi dikembangkan sehinggalah kepada permainan politik, mentaliti gila seumpama itu telah berakar menjadi budaya di Malaysia.
UMNO jelas tidak boleh membuat kerja gila seumpama itu dengan mengulangi cara lama untuk memenangi hati rakyat. Parti itu perlu berubah dan dilihat berubah.
Cara bekerja UMNO di segenap peringkat daripada ahli biasa sehingga pemimpin kanan yang berjawatan menteri terpaksa ditukar. Cara lama tidak cocok lagi.
Tidak boleh lagi ada di kalangan UMNO menteri yang sombong atau wakil rakyat yang mengasingkan diri daripada pengundi yang diwakilinya. Jika ahli-ahli UMNO dan BN melakukan kerja gila dengan membuat janji ingin berubah, cuba berganjak daripada kaedah lama dengan menanam tebu di bibir tetapi tidak mengotakannya, masa depan politik negara ini tidak akan sama lagi.
Pengorbanan Najib seorang pemimpin yang ikhlas, mempunyai kebijaksanaan, keupayaan, pengalaman dan mendapat motivasi daripada pengorbanan ayahandanya untuk mengembalikan kehebatan UMNO dan BN, tetapi tanpa sokongan ahli-ahli UMNO, diburukkan pula dengan perangai mereka yang tidak mengotakan janji, beliau juga akan rebah.
Jika pihak lain naik kelak, masa depan kerajaan dan negara tidak akan sama lagi kerana mereka akan mengubah banyak perkara. Bukan setakat masa depan berganti, sejarah Malaysia dan sejarah UMNO juga akan ditulis semula. Pertaruhannya bukan sekadar hilang kuasa politik.
Perjalanan UMNO dan BN ke arah pilihan raya umum ke-13 sepatutnya sudah dapat digariskan dengan jelas selepas Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu.
Kekalahan berturut-turut BN kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam tujuh pilihan raya kecil yang diadakan di Semenanjung iaitu di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Manek Urai, Bukit Selambau dan Permatang Pasir selain tidak bertanding di Penanti seharusnya telah membolehkan para pemikir dalam UMNO dan BN membuat analisis yang komprehensif tentang punca-punca kekalahan.
Kita boleh membahaskan sesuatu kekalahan itu sebagai berpangkal daripada kelemahan calon, strategi kempen, pengundian berdasarkan garis perkauman, prestasi ekonomi dan sebagainya.
Bagaimanapun, umumnya pengundi memerlukan feel-good factor sebelum mereka dapat menyokong parti kerajaan dalam pilihan raya.
Pada pilihan raya umum 2008, feel-good factor yang diinginkan itu berganti dengan ketidakyakinan, kebencian dan kemarahan. Kemenangan BN di Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu mengurniakan seri kepada Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu tetapi sejauh mana ia benar-benar menjadi turning point kepada politik Malaysia bergantung kepada apakah bentuk UMNO yang terjelma selepas perhimpunan itu tamat.
UMNO yang kuat dapat mengukuhkan BN. Seperti yang ditunjukkan dalam pengalaman politik sebelum ini, UMNO kena membantu menyelesaikan kebuntuan kepimpinan dan percakaran dalam MCA dan MIC jika ia ingin melihat BN kukuh.
UMNO tidak bertanding dalam pilihan raya menggunakan logo UMNO. Ia bersaing menentang parti-parti lawan atas nama BN. Jika UMNO kuat tetapi parti-parti komponen BN lain memalitkan lumpur, bersengketa dan mengutamakan legasi peribadi lebih daripada perjuangan nasional, persepsi negatif juga akan terbentuk terhadap UMNO.
Kemelut politik dalam MCA dan MIC, seperti yang sedang berlaku sekarang, menjadikan BN satu raksasa yang berjalan dalam keadaan tempang. UMNO yang gagah dalam BN yang capik adalah umpama hulubalang hebat Melayu yang berdiri megah di atas bahtera bocor di tengah lautan.
Kalau tidak segera disedari, hulubalang Melayu itu juga akan tenggelam. Sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Najib bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej bangkit berubah kepada para pemimpin dan ahli parti MCA dan MIC.
Gerakan pula, jika ia benar-benar merasakan masih terdaya mencabar DAP di Pulau Pinang dan Perak, wajar berusaha mencetuskan impak politik atau parti itu akan mengakhiri hayatnya hanya sebagai kelkatu politik.
Kubu-kubu kukuh politik yang memberi jaminan kemenangan pada pilihan raya hendaklah terbina bukan sahaja dalam UMNO tetapi juga dalam BN yang kini dianggotai 13 parti komponen. Kekukuhan politik pelbagai kaum mesti tercermin, dirasai dan semangatnya menjalar ke dalam masyarakat dengan BN berada di tengah-tengahnya.
Jika ada program pembugaran besar-besaran baru selepas UMNO, sasaran mestilah BN dan parti-parti komponennya. Sinar perubahan Najib harus segera sampai ke belantara politik parti-parti komponen BN itu.
Inilah yang mustahak untuk disedari dan dihambat. Membiarkan budaya politik gila berleluasa di luar UMNO tidak kurang bahayanya. Perbuatan itu sama seperti merelakan ia menular dalam parti UMNO, meranapkan sebuah kuasa dari dalam.