17 October 2009

Nizar Kalau Kamu Rasa Nak Hadir Sidang Dun: Hadir sajalah! Minta Tangguh Untuk Apa???

IPOH, 16 Okt. : Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengesyorkan notis atau cadangan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 28 Oktober ini ditangguhkan.

Menurutnya, ia perlu berikutan kes berkaitan dua Speaker dan dua Menteri Besar, masih tergantung di mahkamah.

“Kes-kes antara Sivakumar dan Datuk R Ganesan masih lagi tergantung di mahkamah, kes antara saya dengan Dr Zambry masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan.

“Eloklah persidangan ditangguh, jika bersidang juga akan mengeruhkan serta menambah lagi krisis dengan lebih dahsyat,” katanya pada sidang media di Pejabat Pakatan Rakyat di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim; ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming; ADUN Lubuk Merbau, Muhammad Zainuddin, ADUN Gunung Semanggol, Ramli Tusin dan ADUN Menglembu, Lim Phek Har.

“Ini (Sidang DUN) adalah buruk bagi negeri Perak, dan buruk bagi negara. “Syor supaya tidak diadakan persidangan kerana ia (notis arahan) dihantar seorang yang mengaku sebagai speaker,” katanya.

Nizar berkata, Pakatan Rakyat (PR) telah pun mengadakan persidangan DUN yang terakhir pada 2 September lalu dan ia memenuhi peraturan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UUTKNP) iaitu perlu mengadakannya dalam tempoh 6 bulan.

“Tempoh akhir kita bersidang adalah 3 Mac, persidangan 2 September telah memenuhi UUTKNP.

“BN mengiktiraf persidangan 7 Mei sah, sebab itu mereka terpaksa adakan persidangan sebelum 7 November ini,” katanya.

Beliau berkata, penangguhan itu disyorkan kerana Ganesan dianggap penipu kerana membuat arahan sedemikian. Menurutnya, arahan itu melanggar Undang-Undang Tubuh Negeri Perak kerana Ganesan mengaku dirinya sebagai Speaker.

“Ini adalah pembohongan yang amat besar kepada rakyat Perak, dia khianat dan derhaka kepada Sultan Perak,” katanya. Kata Nizar, Ganesan tidak ada hak untuk buat arahan dan segala pembentangan adalah tidak sah kerana Ganesan tidak ada kapasiti dan kuasa untuk memanggil sidang DUN.

“Batalkan sahaja persidangan dan saya merayu untuk mengelakkan suasana sedemikian,” katanya. Nizar turut mempersoalkan surat notis yang dihantar Ganesan berkaitan arahan sidang DUN itu.

“Speaker haram dari seorang lelaki yang kami tidak kenal menghantar surat arahan kepada kami kononnya itu notis persidangan Dewan Undangan Negeri bertarikh 28 Oktober 2009, Rabu jam 10 pagi.

“Surat bertarikh 12 Oktober itu menyatakan supaya semua ADUN menghantar usul atau soalan-soalan yang akan dibentangkan di Dewan Negeri sebelum 14 Oktober.

“Saya ADUN Pasir Panjang, hanya menerima surat itu semalam (14 Oktober), ada ADUN masih belum terima, ada yang terima 13 Oktober waktu senja dan ada yang terima pada tengah malam,” katanya.

Beliau berkata, kelewatan menghantar surat atau notis tidak mengikut kelaziman Konvensyen Perintah Tetap yang sepatutnya memberikan tempoh 14 hari.

“Surat itu dari segi kedudukannya adalah surat yang haram, tidak ada apa-apa kesan, surat palsu dan surat tidak rasmi dari lelaki yang menyamar sebagai Speaker, surat itu tiada nilai langsung,” kata Nizar.

Bagaimanapun katanya, wakil rakyat PR menerima surat dan notis daripada A Sivakumar yang mengarahkan hadir persidangan pada tarikh tarikh 28 Oktober jam 10 pagi.

Katanya, PR akur dengan notis yang dikeluarkan Sivakumar sekali gus menyatakan kesediaan untuk hadir ke persidangan yang telah diarahkan itu.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels