7 November 2010

Janji calon BN P-169 Kota Belud akan selesai? sebelum PRU-13

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Semua pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta supaya sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat agar mereka tahu bahawa BN merupakan satu-satunya parti yang terus berjuang untuk kepentingan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata urusan untuk menggerakkan program parti ke peringkat akar umbi adalah tanggungjawab bersama kerana ia juga merupakan langkah persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Saya cadangkan semua parti komponen parti turun lihat keadaan yang ada di bawah, cari jalan penyelesaian masalah mereka dan ambil tindakan yang lebih sesuai untuk bantu rakyat.

"Ini supaya mereka tahu bahawa BN adalah satu-satunya parti yang terus memperjuangkan kepentingan mereka dan akan menjamin masa depan mereka yang lebih baik lagi," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2010 di Dewan Wawasan, Menara PGRM pada hari Ahad.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN sendiri akan turun ke setiap negeri untuk memastikan setiap masalah yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Pimpinan BN komited dengan apa yang nak kita lakukan, tentukan kita bekerja untuk memenuhi tuntutan rakyat, ini teras kepada apa yang kita lakukan, saya berbangga kerana inisiatif sudah bermula, tetapi langkah yang ada di hadapan kita adalah amat jauh sekali.

"Kita tidak boleh persiakan gerakan-gerakan yang dilakukan pihak di sana (pembangkang), masalah-masalah yang timbul hari ini baik ada hubung kait dengan sosial, ekonomi, politik dan pendidikan perkara ini kita akan uruskan, saya beri jaminan bukan saja saya akan dokong tetapi kita akan berusaha bersama-sama," katanya.

Muhyiddin, yang membayangkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam "masa terdekat", berkata yang menjadi ukuran terhadap segala usaha dan inisiatif BN adalah rakyat kerana merekalah yang akan menentukan sama ada parti ini akan terus berkuasa pada masa hadapan.

"Yang penting kita tinggal dua tahun lagi, saya sebut ini bukan sebab saya tahu bila pilihan raya, saya tidak tahu, Perdana Menteri yang lebih tahu, tetapi saya tidak kira tahun tetapi bulan, 30 bulan pun bulan juga.

"Jadi kita sebagai orang politik yang kita ambil kira selalunya kita kerja macam mana kuat sekalipun yang jadi ukuran adalah rakyat di bawah, sampai lima tahun dia pangkah ke tidak BN itu yang kita tentukan," katanya.-- BERNAMA

Janji tertunggak Datuk Rahman Dahalan

1. Bekalan air bersih.
2. Penurapan jalan-jalan kampung

5 November 2010

Pengajaran di Batu Sapi

Peratusan pengundian yang rendah: Mereka yang turun mengundi adalah pengundi yang terdedah kepada maklumat. Bagi pengundi tradisi, pilihanraya bukanlah priotiti mereka. Mereka tidak kesah siapa yang mewakili mereka, kerana bagi mereka apa beza pilihanraya ini dengan yang lalu-lalu?.

Kumpulan pengundi: Pengundi yang masih daif atau miskin masih memilih barisan nasional, namun pengundi yang sudah mapan, memilih pembangkang.

Trend Pengundian: Berasaskan kepada jumlah undi yang diperolehi BN adalah hampir sama antara Pru-12 (2008) dan PRK kali ini, demikian juga jumlah pengundi pembangkang, jumlahnya hampir sama.Ini bermakna, sepanjang 2 tahun kawasan itu diwakili BN, belum ada petanda kepada rakyat untuk melakukan "swing" votes. Melalui petanda ini, benarlah kenyataan Najib bahawa BN-Sabah adalah simpanan tetap BN. Kenyataan ini disokong penuh oleh Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Salleh Said. Salleh malah menambah, "sememangnya BN-Sabah adalah Simpanan Tetap BN"

Kesimpulan: Terlalu awal untuk mengatakan bahawa kemenangan BN di Batu Sapi adalah disebabkan transformasi yang di bawah oleh kerajaan pusat, terutama konsep yang diperkenalkan pada April 2009, yakni 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Pada PRK ini juga belum boleh dikatakan bahawa pembaharuan kerajaan Pusat seperti NEM. ETP,GTP,NKRA dan NKEA telah diendorse melalui kemenangan BN, kerana kita tahu sebahagian besar pengundi Batu Sapi masih bergelut dengan kemudahan asas seperti air bersih, bekalan litrik, serta pendapatan yang sangat rendah yang dikhabrakan tidak sampaipun RM2.00 sehari.

4 November 2010

Gandingan Musa-Salleh terlalu kuat untuk pembangkang

Melihat majoriti yang diperoleh calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin di PRK Batu Sapi, memperlihatkan bahawa gandingan Musa-Salleh diterima dengan baik oleh rakyat Sabah.

Kelebihan 6 ribu lebih undi mengatasi majoriti yang diperoleh mendiang Datuk Edmund Chung Ket Wah pada PRU-12 yang lalu mencerminkan keampuhan gandingan itu.

Melalui kemenangan mutlak calon BN pada PRK yang sulung di Sabah selepas PRU-12 yang lalu mencerminkan bahawa Sabah adalah Simpanan Tetap BN.

Selain ampuhnya gandingan Musa-Salleh, sokongan rumpun USBO juga merupakan faktor penyumbang kepada kemenangan BN kali ini.

Penaung USBO Datuk Safie Apdal, Persiden USBO Datuk Salleh Said telah berkampung di Batu Sapi sebelum penamaan calon lagi PRK Batu Sapi.

Akhirnya kerja keras yang ditunjukkan oleh Pengarah pilihanraya PRK Batu Sapi beserta para pemimpin BN sangat berbaloi. Tahniah

3 November 2010

Jika Bn menang Batu Sapi: Benar lah selagi ada rakyat daif di situ lah BN masih gagah

Jika BN menang di Batu Sapi esok, benarlah dimana ada rakyat daif di situ lah BN masih gagah.

Beberapa kampung di Kota Belud masih lagi seperti keadaan kaum bumiputera Batu Sapi, buktinya Kota Belud adalah kubu kuat BN.

Rupanya pemimpin tahu, bahawa selagi rakyat daif, maka rakyat itu akan terus setia. Mungkin atas sebab itu, rakyat dibiarkan daif dan miskin.

Pemimpin sungguh bangga, kalau ada rakyat saban hari berbaris di rumahnya atau pejabatnya meminta bantuan hanya untuk sambung nyawa. Rupanya fenomena ini menjadi kebanggaan pemimpin.

Kepada rakyat yang serba kekurangan, jangan bermimpi, boleh sampai ke bulan, kerana anda akan dipahat di situ selamanya, agar senantiasa menunggu bantuan ekshan.

Namun, anda masih ada peluang, didik lah anak-anak anda dalam ilmu dan pelajaran, agar suatu hari, di kala pemimpin ini tidak berguna lagi, sekurang-kurangnya anda sempat bersalaman dengannya, ucap terima kasih kerana sudah menjadi manusia tidak dipedulikan lagi, kerana telah kehilangan kuasa. Terlalu ramai pemimpin yang bongkak di masa lalu, di pandang bagaikan anjing kurap oleh generasi kini, kerana di saat ada kuasa,mereka itu hanya tahu memertabat diri sendiri.

2 November 2010

PRK Batu Sapi: Jika BN Kalah apa komen Musa Aman?

 
Konon gandingan Musa Aman-Salleh Said sebagai Pengerusi Umno negeri dan Timbalan merupakan tunjang kepada komponen BN negeri Sabah.

Kedudukan Musa pada hiraki parti juga bukan calang-calang, yakni di no 2 bersama Noh Omar pada AMT Umno.

Pada PRK Batu Sapi Musa dilantik sebagai Pengarah pilihanraya yang biasanya dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Persiden Umno.

Musa dilantik ke jawatan itu atas kapasitinya sebagai Pengerusi Umno Negeri dan Pengerusi BN negeri. Selain itu keupayaan Musa semasa menerajui BN pada PRU-12 juga telah diambil kira.

Pada PRU-12 semua kawasan bumiputera telah dimenangi oleh calon-calon BN dengan bergaya, terutama calon-calon daripada pihak Umno.

Batu Sapi adalah kawasan campuran. Walaupun demikian, kawasan itu berpenduduk majoriti bumiputera islam daripada RUMPUN USBO.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi termasuk 1,615 pengundi pos. Daripada jumlah itu;15,099 atau 59.02 peratus pengundi adalah Bumiputera Islam, 689 Bumiputera bukan Islam (2.69 peratus), 9,737 Cina (38.06 peratus) dan lain-lain, 57 (0.22 peratus).

Melihat kepada jumlah undi bumiputera islam, yang sudah tentunya sebahagian besar ahli Umno, maka OKB tidak nampak, calon BN akan kalah. Lagipun, kedua-dua ADUN yang berada pada kawasan Batu Sapi adalah wakil rakyat BN. DUN Karamunting di wakili oleh Peter Phang, Timbalan Ketua Menteri, manakala Sekong oleh Samsudin Yahya, wakil rakyat Umno penyokong kuat Musa Aman.

Semasa kempen yang bermula sejak 26 Oktober lalu, Selain kehadiran Musa sepenuh masa, juga kehadiran timbalannya dalam umno negeri Salleh Said telah berkampung di Batu Sapi sehingga hari pembuangan undi pada hari khamis, 4 November, 2010. Selain itu, Tan Sri Muhyiddin telah 2 kali turun berkempen di Batu Sapi, selain kehadiran semua naib Persiden Umno.

Jentera BN juga diperkuat oleh semua pemimpin PBS dan pemimpin komponen BN, termasuk persiden LDP, MCA, gerakan dan MIC. Hanya yang tidak sempat hadir adalah perdana Menteri, kerana cuti sakit dan Ketua Menteri Sarawak Pehin Seri Taib Mahmud, kerana kesibukan dalam persidangan DUN Sarawak.

Bagi OKB, ada lah pelik, jika BN kalah di Batu Sapi. Namun, dalam pilihanraya semuanya boleh berlaku. Siapa sangka Datuk Harris Salleh kalah kepada Kadoh Agundung pada tahun 1985 di DUN Tenom.

PRK Batu Sapi ada lah "acid test" kepada gandingan Musa-Salleh. Pada PRU-12, yang berganding adalah Musa-Safie. Gandingan Musa-Safie telah terbukti berjaya, namun gandingan Musa-Salleh ini lah pertama kalinya diuji cuba.

Berjaya kah gandingan Musa-salleh di PRK Batu Sapi dengan bergaya? atau kah gandingan ini gagal? hanya para pengundi Batu Sapi yang boleh menentukannya.

Namun jika BN Kalah, yang ingin OKB nak tahu apa komen Musa? kalau menang, semua boleh meramal komen Ketua Menteri Sabah itu.

Sebagai rekod pada pilihan raya umum 2008,Edmund Chong Ket Wah dariapada PBS suami Datin Linda mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Kini calon bebas itu telahpun masuk PBS semasa PRK ini.

1 November 2010

Sekiranya Kota Belud mempunyai pengundi seperti Batu Sapi

Kota Belud ditakdirkan sebagai kawasan bumiputera, samaada yang beragama islam mahupun bukan. Bayangkan kawasan ini rasio pendudukknya seperti Batu Sapi.

Walaupun kawasan Kota Belud bukan seperti Batu Sapi, namun setiap pilihanraya, rasio antara kaum jadi taruhan.

Tahun 70-an adalah sukar untuk kaum lain menang di Tempasuk mahupun Usukan. Hanya kaum Bajau (sama) yang boleh menang; demikian juga kedamaian, hanya suku KDM yang boleh menang.

Tahun 80-an tradisi itu mula berubah, apabila Pandikar Amin menang di Usukan, mengalahkan kaum tradisi yang selalu menang, yakni "kaum" Salleh Said.

Awal tahun 90-an keadaan di Tempasuk mula berubah, DUN itu mula dimenangi oleh kaum lain selain Bajau (sama). Bermula daripada Robert Minggir (KDM) dan berikutnya Pandikar (Iranun).

Kehadiaran UMNO di Sabah tahun 1991 telah membuka sempadan perkauman. Ertinya parti itu telah membuka peluang kepada individu yang berpotensi merentasi kaum asalnya.

Walaupun Umno mengnyahkan hambatan berasaskan kaum, namun "persepsi" pemimpin yang beranggapan bahawa seseorang itu boleh menjadi hambatan kepada kuasanya menjadi pertimbangan. Ini lah yang berlaku diambang PRU-12 lalu. Para pemimpin Umno seperti Salleh Said, Pandikar Amin dan Amir Kahar Tun Mustapha diketepikan. Diketepikannya 3 pemimpin besar Usbo KONON ada kaitannya dengan gerakan USBO, yang mana pada masa itu "tidak" sehaluan dengan pemimpin negeri, yakni Musa Aman.

Tidak tahu lah percaturan siapa? walaupun Pandikar diketepikan semasa PRU, namun apabila keputusan itu diketahui, di mana BN kehilangan 5 negeri dan kuasa 2/3 di parlimen, maka Pandikar dilantik sebagai speaker dewan rakyat oleh Tun Abdullah Badawi.

Sebaik sahaja Tun Abdullah meletakkan jawatan dan diambil alih oleh Najib, giliran Salleh Said pula diberi peluang. Peluang pertama adalah perlantikan Salleh sebagai Timbalan Perhubungan Umno negeri. Semasa Salleh dilantik pada jawatan itu, mantan ketua menteri Sabah itu hanya sebagai ahli biasa Umno. Demi menseimbangkan kedudukkan sebagai Timbalan Pengerusi Umno negeri, maka Salleh terpaksa bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian Umno Kota Belud. Salleh bertembung dengan mantan Timbalannya semasa menjadi Ketua Bahagian dahulu, yakni Musbah Jamli. Pertandingan itu cukup sengit, walaupun Musbah mendapat pencalonan daripada cawangan-cawangan lebih daripada separuh, namun di masa pengundian, Musbah kalah tipis 47 undi.

Apabila Salleh menang Ketua Bahagian, selepas itu, dia dilantik pengerusi Kraft Tangan Malaysia, kerana masa itu menteri yang bertangungjawab mengenai kraft tangan adalah Safie Apdal, penaung USBO.

Selepas pemilihan UMNO pusat, Safie menang Naib Persiden Umno, membolehkannya ianya dilantik ke kementerian yang "powerful" sekarang ini. Sementara itu, Salleh telah tamat tempohnya sebagai pengerusi kraft tangan Malaysia. Sebagai seorang ahli politik, platform mesti ada untuk bergerak dan nampak "ada kuasa". Pada keadaan "masa berehat" ini lah datang tawaran kepada Salleh, yakni sebagai pengerusi kolej komuniti-juga di bawah naungan Safie. Di sebabkan jawatan itu, bukan berflatform politik, maka Salleh menolaknya. Di saat-saat getir ini lah datang tawaran Musa Aman, yakni Penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri yang bertaraf menteri. Bagi Salleh, orang mengatuk disorongkan bantal. Jawatan seperti ini lah yang diperlukan sebagai Flatform dalam arena politik.

Persepsi persengketaan antara Musa Aman-Salleh dengan cepat terpadam. Salleh meneggaskan, sebagai orang no.2 dalam parti di peringkat negeri, mesti senantiasa berwatakan no. 2. Salleh melakar peranaannya, sesuai dengan amanat yang melantikknya, yakni hubungan antara no.1 dan No.2 dalam parti senantiasa sehaluan.

Ekoran semakin dekat dan rapatnya Salleh dan Musa Aman, maka timbul pula lah persepsi, bahawa Salleh hanya berjuang demi kepentingan dirinya. Ada orang yang membangkitkan bahawa semasa USBO sedang hangat-hangatnya, Salleh-Pandikar-Safie adalah sekubu. Namun apabila flatform politik sudah ditemui dan kawan baru telah dijumpai, maka kawan lama diketepikan. Benar kah demikian? Dalam politik semuanya boleh berlaku. Dalam politik tiada kawan selamanya, demikian juga tiada musuh selamanya. Dalam politik, yang penting, suara majoriti, suara ramai, suara kumpulan besar, itu lah yang tergunapakai.

Berbalik kepada tajuk tulisan ini, sekiranya Kota Belud mempunyai pengundi seperti Batu Sapi? kaum mana jadi rebutan? di Batu Sapi, pada hari ahad, kaum cina adalah rebutan 3 parti yang bertanding. Hari itu disebut "super sunday for chinese" kerana semua "big guns" turun merebut pengundi kaum cina.

Kota Belud,Usukan majoriti suku bajau (sama), Kedamaian suku KDM. Hanya Tempasuk, yang memungkinkan ada suku kaum jadi rebutan. Kawasan DUN Temapsuk, apabila KDM-Bajau(sama) bersatu-maka menang, demikian juga apabila KDM-Iranun bersatu, maka menang, lagi jika Bajau(sama)-Iranun bersatu, maka menang.Ertinya semua kaum di Tempasuk adalah rebutan, tergantung kombinasi mana.

Pada PRU-13 yang dirasakan telah diambang pintu, percaturan apa kah yang akan berlaku di Tempasuk?. Salleh berulang kali bercerita tentang pasukan, bukan kumpulan. Namun di Tempasuk terdapatnya kumpulan.OKB tidak perlu menguraikannya, kerana tatapan tulisan ini hanya khas untuk Kota Belud. Orang Kota Belud telah tahu mengenainya.

30 October 2010

PRK Batu Sapi: Antara SAS dan Vaccum cleaner

Sepatutnya calon-calon yang bertanding perlu menyelesaikan keperluan asas pengundi Batu Sapi, dari titi yang roboh, titi nelayan yang usang, jalan ke perkampungan yang daif dan masalah sampah saraf.

Namun bagi calon SAPP hanya sibuk dengan isu Sabah for Sabahan serta borneozatioan. Selain itu, tuduhan kepada Ketua Menteri Sabah sebagai "vaccum cleaner" projek kerajaan negeri.

Selain itu Yong juga mendakwa bahawa ramai kroni Musa Aman masih dalam siasatan SPRM dengan berbagai masalah termasuk pengubahan wang haram.

Dalam pilihanraya bermacam-macam isu dilemparkan semata-mata untuk menarik sokongan. Bagi AYT, para pengundi yang rasional tidak akan terpengaruh dengan serangan-serangan peribadi ini. Serangan ini hanya merupakan dongengan.

Namun rakyat Sabah telah tahu benar, bahawa Saham Amanah Sabah telah rugi besar, akibat swap daripada saham bluechip kepada saham biasa semasa Yong Teck Lee masih ketua Menteri dan Pengerusi Saham Amanah Sabah. Kenapa rakyat Sabah tahu? sebabnya ramai yang melanggan saham milik kerajaan negeri itu. Harga par value SAS adalah RM1.00 se sesaham, kini bernilai kadang-kadang 18sen, kadang 23 sen sesaham.

Yong cuba mengalihkan isu skandal SAS kepada pemimpin UMNO? Isu SAS telah dibicangkan panjang lebar pada persidangan DUN Sabah yang lalu. Dalam persidangan DUN itu, telah terbongkar bahawa mereka yang terlibat dalam skandal swap saham bluechip MISC milik SAS dengan saham spekulatif seperti saham sugarban adalah para individu yang ada kaitan rapat dengan Yong Teck Lee, bukannya para pemimpin UMNO, bukan Musa Aman atau Salleh Said Keruak.

Isu Yong Sabah for Sabahan dan Borneozation hanya retorik, sebabnya Yong pernah menjadi Ketua Menteri Sabah 1996-1998. Semasa ditampuk kuasa Yong memunji-muji BN, di mana sahaja ada peluang. Slogan Yong masa itu, BN Boleh, Sabah Boleh, SAPP Boleh. Apa sebab Yong kini melupakan semua slogan itu? sebabnya Yong tiada kuasa lagi, Yong tidak dapat projek lagi, Yong tiada keistimewaan lagi.

Pada PRU-12 lalu, Yong mendesak Musa Aman agar dia diberikan kawasan Parlimen Kota Kinabalu, namun Musa Aman enggan; kerana kerusi itu milik PBS. Disebabkan Yong gagal mendapatkan kerusi itu, maka Yong sabotaj calon BN, sehinggakan kerusi Parlimen Kota Kinabalu jatuh ke tangan DAP.

Selain itu, Yong "mengaus" tidak mahu bertanding, walaupun Musa Aman memberinya peluang memilih kawasan-kawasan lain, namun Yong hanya mencadangkan agar dia di lantik sebagai Senator.

Apabila keputusan PRU-12 diketahui, di mana BN kehilangan 2/3 majoriti di dewan rakyat, Yong mendesak Musa Aman melantiknya sebagai senator sekaligus sebagai menteri penuh di kabinet persekutuan. Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri masa itu, tidak bersetuju dengan cadangan itu. Akibat daripada itu, maka Yong keluar BN dengan alasan telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah.

Seebenarnya itu bukan sebab utama Yong keluar BN, sebabnya adalah kerana Yong dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri 2, bagi mewakili Sabah dan Sarawak dan keturunan cina dalam kabinet Anwar Ibrahim, hasil daripada gerakan 16 september 2008.

Yong dalam politik memang bercita-cita besar dan bernafsu besar. Tahun 1990 diambang pembuangan undi Yong dan kuncu-kuncunya memberi kata dua kepada Tan Seri Pairin Kitingan, jika PBS tidak keluar BN, maka mereka akan keluar. Pirin tiada pilihan kerana jumlah kerusi yang ditandingi kuncu-kuncu Yong membolehkan mereka menubuhkan kerajaan. Pairin terpaksa akur. Terjadilah peristiwa Tikam Belakang.

Disebabkan PBS menikam belakang BN, maka Tun Mahathir mengumumkan kemasukkan UMNO ke Sabah, dengan jemputan Tun Mustpaha. Usno dibubarkan dan secara enblok semua ahli USNO akan menjadi ahli UMNO.

Akibat undang-undang anti-lompat DUN Sabah, maka Tun Mustapaha kehilangan kerusi DUN Usukan. PRK terpaksa diadakan di DUN Usukan Kota Belud. Tun Mustapha mewakili UMNO-BN di tentang JAP OMAR calon PBS. Seperti diduga, Tun Mustapha menang mudah, sebab itu lah Kota Belud dipanggil sebagai Tempat lahirnya UMNO Sabah.

Pada PRU (1994)-Sabah, secara tidak diduga, Yong Teck Lee sekali lagi menikam, kali ini menikam Tan Seri Pairin. Yong keluar PBS dan menubuhkan SAPP. SAPP bergabung dengan AKAR-LDP dan UMNO sebagai BN-Sabah.

Pada PRU 1994, gabungan BN itu tidak menang, PBS yang menang. Namun, apabila Datuk Lajim dan Rubin Balang keluar PBS dan seterusnya masuk UMNO, maka tumbanglah kerajaan PBS.

BN menjadi kerajaan Sabah ketika itu. Jumlah parti yang bergabung dalam BN-Sabah telah bertambah: KINI BN-Sabah dianggotai: UMNO-LDP-UPKO-PBRS-MCA-MIC-Gerakan-PBS. PBS dietrima semula pada tahun 2002.

Melalui senario di atas, adalah jelas, YONG berjuang bukan untuk kepentingan rakyat Sabah sepertimana yang digembar-gemburkannya. Yong berjuang dimana ada peluang disitu lah dia berada.

Kepada pengundi Batu Sapi, jangan lah terpancing dakyah Yong Teck Lee. Dipetik dari blog Apa yang tersirat.

27 October 2010

Apakah amanat Najib mampu diterjemahkan pemimpin Umno Kota Belud?

Semasa pengolongan ucapannya semasa penutupan perhimpunan agung Umno Sabtu lalu (23/10/2010), persiden Umno memberi 7 amanat berikut:

1- Utamakan maruah dan kepentingan parti daripada kepentingan diri

2- Pentingkan pasukan bukan kumpulan sendiri

3- Tawan pemikiran, hati dan jiwa rakyat

4- Mahir teknologi maklumat dengan menguasai media baru

5- Tumpu empat juta pengundi baru menjelang pilihan raya akan datang

6- UMNO mesti menuju sifar masalah

7- Dahulukan rakyat dalam sebarang tindakan

Pesanan Presiden UMNO untuk pertahan kuasa orang Melayu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, menggariskan tujuh elemen bertema ‘Mendahulukan Rakyat’ sebagai asas pengisian dalam Model Transformasi UMNO untuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 serta memastikan kuasa orang Melayu terus dipertahankan.

Pertama, kata Perdana Menteri, ahli dan pemimpin UMNO pada semua peringkat mesti menentukan maruah dan kepentingan parti lebih besar daripada kepentingan diri.

Dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO Ke-61, Najib berkata, elemen kedua ialah mengamalkan sikap mementingkan pasukan dan bukan kumpulan sendiri seperti enggan membantu parti apabila tidak dicalon pada pilihan raya.

Elemen lain ialah:

# Ahli dan pemimpin UMNO perlu memenangi pemikiran, hati dan jiwa rakyat supaya parti dilihat inklusif.

# Mahir teknologi dengan menguasai media baru,terutama laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

# Memberi tumpuan kepada empat juta pengundi baru menjelang pilihan raya umum akan datang.

# UMNO mesti menuju sifar masalah, termasuk mengelakkan pertelagahan pada peringkat bahagian; dan

# Amalan mendahulukan rakyat dalam sebarang tindakan.

Najib berkata, tujuh elemen itu yang sebahagiannya diambil daripada pandangan perwakilan ketika perbahasan, berupaya menjadikan UMNO parti yang inklusif dan mendahulukan kepentingan rakyat.

“UMNO perlu kuat kerana orang Melayu dan negara tidak boleh mengharapkan pihak lain,” katanya sambil menegaskan kemenangan UMNO juga berpaksikan kepada empat tonggak utama, iaitu penerimaan rakyat terhadap pimpinan nasional dan hala tujunya, kepemimpinan peringkat negeri diterima ahli, sama ada parti diterima oleh rakyat dan meletakkan calon yang mampu menang dalam pilihan raya.

Perdana Menteri turut mengingatkan orang Melayu jangan terkeliru dengan dakyah pembangkang kononnya orang lain juga boleh mempertahankan Perlembagaan, walaupun UMNO dan Melayu kehilangan kuasa politik.

“Saya tak nampak Raja-Raja Melayu akan pinda Perlembagaan ini. Namun ada pihak, kumpulan yang pakar pusing (mengelirukan rakyat) berkata, jika Perlembagaan (hak istimewa orang Melayu) sudah terkunci dan tersimpul mati, tak perlu UMNO berkuasa sebab orang lain boleh pertahankannya,” katanya.

25 October 2010

Sabah negeri termiskin suatu realiti

Walaupun Sabah kaya dengan sumber alam termasuk minyak, akan tetapi negeri itu adalah negeri termiskin di Malaysia.

Isu kemiskinan negeri Sabah bukan sahaja menjadi isu pembangkang, namun isu besar penduduk di negeri bawah bayu itu.

Kerajaan Sabah yang ditunjangi Umno tidak dapat dipersalahkan, kerana kerajaan Sabah silih berganti diperintah oleh anak watan negeri melalui parti tempatan.

Umno hanya masuk secara rasmi ke Sabah pada tahun 1991, dan hanya membentuk kerajaan bersama parti-parti tempatan pada tahun 1994.

Walaupun Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia, namun kerajaan kini sedang berusaha mengejar jurang yang ada.

Yang pelik, Sabah kaya dengan sumber alam seperti minyak, sama seperti Terengganu, namun kedua-dua negeri itu adalah negeri yang miskin.

Kelantan yang dikuasi PAS sejak tahun 1990, masih di atas Sabah dan Terengganu. Suatu persoalan besar yang perlu dijawab oleh pimpinan BN.

24 October 2010

Ansari Abdullah calon reject Tuaran mencuba Nasib di Rantau Orang

Ansari Abdullah,56, diumumkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat kononya untuk menggalas tugas besar dalam Pilihanraya Kecil P185 Batu Sapi.

Menurut Anwar Ansari dipilih kerana merupakan seorang peguam yang banyak membela kes-kes tanah di Sabah.

Ansari telah beberapa kali masuk bertanding baik DUN mahupun Parlimen sejak zaman Berjaya lagi, namun satu kalipun tidak pernah menang.

Pada PRU-12, dia mencuba nasib di Tuaran baik negeri mahupun Parlimen, namun tidak mampu bersaingpun dengan calon-calon BN.

Kini mencuba nasib di rantau orang, ini lah petanda, bahawa PKR ketandusan pemimpin yang boleh dijadikan sebagai calon.

Pemimpin PKR asal Sandakan, yang juga Pengerusi PKR Negeri Encik Thamrin Zaini diketepikan, menunjukkan walaupun Thamrin sebagai pengerusi parti peringkat negeri, namun Anwar merasakan kepimpinannya tidak dapat dihandalkan.

Pemilihan Ansari yang berasal dari luar Sandakan menunjukkan, bahawa PKR atau PR sebenarnya tidak serius bertanding di PRK kali ini. Mereka meletakkan calon hanya untuk mendapatkan undi simpatisan PKR, agar supaya memberi peluang kepada Persiden SAPP Datuk Yong Teck Lee.

Dengan pemilihan Ansari Abdullah, yang nyata kini persaingan untuk kerusi P-185 Batu Sapi hanya terletak pada calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin dan Datuk Yong Teck Lee.

Datuk Yong sudah tentu mengharapkan sokongan kaum cina, untuk bersaing dengan BN yang mendapat sokongan bumiputera dan sebahagian kecil kaum cina.

Melalui percaturan Yong, dia hanya memerlukan sejumlah 1,000 undi bumiputera untuk menang. Melalui pencalonan Ansari, sudah tentu kaum cina akan memberi undi kepada Yong Teck Lee. Sentimen kaum cina Sandakan, sangat berbeza dengan sentimen kaum cina Semenanjung; di sini lah kemungkinan kelebihan Yong Teck Lee.

Berasaskan perkembangan semasa ini, Datuk Musa Aman sebagai Pengarah Pilihan Raya PRK Batu Sapi mempunyai tugas yang sangat berat untuk mendapatkan undi kaum cina. Peranan parti LDP, MCA dan Gerakan tidak akan banyak membantu. Namun kerana calon BN merupakan calon yang mempunyai jalinan dan net working dengan para pengundi kaum cina, serta mengenang perkhidmatan mendiang suaminya sebagai MP 2 penggal, maka keadaan inilah yang memberinya kelebihan di banding Yong Teck Lee.

BN diperkirakan akan berhadapan dengan isu-isu tanah yang akan dibangkitkan oleh pihak SAPP dan PKR.

Apapun, Datuk Musa, Tan Sri Pairin dan Datin Linda Tsen mempunyai kaedahnya tersendiri untuk memenangi PRK kali ini.

Sejauh mana UMNO bersedia?

Sementara banyak pihak sudah bermain teka-teki sama ada PRU-13 yang akan menjelang tiba dalam beberapa bulan lagi, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat tafsiran.

“Mereka boleh membuat pelbagai tafsiran, tapi apa yang penting ialah bagi kami untuk bertemu dengan rakyat,” kata Najib semalam mengulas sama ada kenyataannya turun padang ke negeri-negeri tahun depan bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai membayangkan pilihan raya umum ke-13 semakin menghampiri.

Najib buat julung kali mengumumkan kepada publik bahawa beliau dan Muhyiddin akan turun padang ke seluruh negara mulai tahun depan, dipercayai antara lain untuk berjumpa dengan rakyat serta menyusun jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Kita boleh lihat program tinjauan (turun padang) Datuk Seri Najib sebagai usaha awal mempersiapkan partinya dan BN untuk menghadapi pilihan raya umum,” kata beliau sambil menimbulkan persoalan sama ada pilihan raya negeri Sarawak dan umum akan diadakan serentak.

Program turun padang pemimpin Umno itu akan mengambil masa tiga sehingga empat bulan untuk dilengkapkan. Tujuannya agar supaya 70% rakyat akar umbi menyokong matalamat Najib mempertahankan Putrajaya. Tanpa sokongan 70% rakyat, UBN agar sukar mempertahankan pemerintahannya. Justuru itu, acara turun padang semua peringkat kepimpinan UBN sangat perlu.

Program turun padang akan mengambil masa sekitar tiga bulan,atas pertimbangan itu, PRU-13 tidak akan diadakan serentak dengan PRU-Sarawak.

Kerajaan negeri Sarawak akan berakhir Julai 2011. Di tengah-tengah spekulasi bila pilihan raya negeri ini akan diadakan, ramai meramalkan pilihan raya umum ke-13 kemungkinan akan diadakan tahun depan selepas PRU-Sarawak.

Selain itu, Umno juga dijadual untuk mengadakan pemilihan pertama tanpa berasaskan sistem kuota tahun depan, susulan pindaan perlembagaan parti itu tahun lepas.

Tanpa menyebut bila pilihan raya umum akan diadakan, Perdana Menteri berkata beliau juga mahukan para pemimpin Umno turut “turun padang dan sentiasa berada di atas padang”.

“Mulai tahun depan, kami akan turun ke negeri-negeri, jumpa dengan Umno dan rakyat.

“Saya nak Umno sediakan sebaik-baik supaya lawatan kami mendapat sambutan sebaik-baiknya. Balik buat persiapan,” tegas arahan kepada kepimpinan negeri dan bahagian.

Selaku Presiden Umno, Najib berkata, beliau juga akan membuat perubahan dalam kepimpinan Umno di peringkat tertentu supaya parti itu lebih bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum kelak.

Keperluan mengubah pucuk kepimpinan negeri khususnya di negeri-negeri yang pengerusinya diimport dari negeri lain juga dibangkitkan perwakilan.

Pada perhimpunan agung tahunan yang sama, Muhyiddin pula berkata Umno perlu meningkatkan kerjasama di kalangan anggota supaya proses transformasi politik dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata inisiatif untuk melakukan transformasi itu merupakan langkah penting yang tidak boleh diabaikan kerana mahu atau tidak, Umno tetap akan berdepan dengan rakyat jelata yang akan menilai dan membuat keputusan dalam menentukan nasib parti pada pilihan raya akan datang.

“Masa yang ada di hadapan kita tidak banyak lagi, saya kurang pasti bila presiden parti nak umum tarikh pilihan raya, tetapi kalau pun tidak diumumkan pasti kita tahu tinggal beberapa bulan sahaja lagi ke hadapan,” kata timbalan perdana menteri.

Esok, Najib akan membuat pengumuman penting mengenai program Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Pun begitu, Dr Mahathir berpendapat pilihan raya umum ke-13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat meskipun terdapat gesaan daripada Najib agar perubahan-perubahan parti dilakukan dengan segera.

“Saya tak ingatlah akan cepat. Ada masa lagi,” katanya.

Mengambil kira kenyataan Najib, Muhyiddin dan Dr Mahathir itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian juga tidak menolak bahawa “tahun 2011 sama-sama penting bagi Najib.”

“Tahun 2011 akan kelihatan tahun persiapan Najib bagi menghadapi pilihan raya umum dan pemilihan parti,” kata beliau.

Mahu tidak mahu, Najib kena turun padang untuk menemui ahli-ahlinya.

Pokoknya, Najib sudah tidak boleh mengharapkan kelebihan sistem kuota, yang sudah pun dimansuhkan.

Jadi beliau tiada pilihan melainkan turun padang lebih awal sebelum mesyuarat cawangan dan persidangan bahagian bersama Muhyiddin untuk mencari sokongan atas faktor gandingan bersama — Najib-Muhyiddin.

“Jadi, bagi Najib sokongan ahli parti perlu diutamakan dalam menghadapi pilihan raya umum,” kata penganalisis ini.

Justeru beliau berpendapat BN memerlukan sekurang-kurangnya setahun sebelum boleh dianggap sudah bersedia.

“Pilihan raya Sarawak tidak wajar diadakan sekali dengan pilihan raya umum. Sarawak boleh menjadi penanda aras walaupun mengadakan pilihan raya negeri boleh memberi kelebihan kepada BN dari segi penyusunan strategi.

“Dalam satu tahun akan datang, BN perlu memahami apa keperluan dan kemahuan rakyat dan menilai cara fikir rakyat untuk memulihkan kepercayaan,” kata beliau yang turut menimbulkan persoalan apakah indikator yang digunakan BN untuk mengadakan pilihan raya dalam waktu terdekat.

“BN perlu bertanya mengapakah rakyat perlu mengundi mereka?

“Apakah keunikan BN yang memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat ke atas mereka?” katanya.

Sivamurugan berpendapat bahawa ia tidak boleh bergantung kepada kelemahan lawan tetapi kekuatan mereka sebagai persediaan pilihan raya.

BN tidak boleh mengadakan pilihan raya sekarang tanpa ada hasil akhir pelan transformasinya (ETP dan GTP).

“Ia boleh dikatakan bersedia jika satu undi Najib diterjemah kepada satu undi kepada BN kerana populariti beliau mampu menjana sokongan terutama di kalangan pengundi bukan Melayu,” katanya.

Kata beliau, kenyataan hak Melayu di bawah perlembagaan mengukuhkan sokongan orang Melayu kepada beliau terutama pengundi tradisi.

Dengan menekankan bahawa Perhimpunan Agung Umno kali ini lebih banyak memfokus soal hak-hak orang Melayu yang tidak wajar dikhuatiri oleh mana-mana sebab ia termaktub jelas dan terkunci sebagaimana dikatakan oleh Najib, Aziz juga berpendapat bahawa Umno mahu memfokus menarik sokongan pengundi atas pagar agar beralih kepada Umno-BN.

23 October 2010

Najib rombak kepimpinan parti untuk menghadapi PRU-13

Demi menghadapai pilihan raya umum akan datang, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berjanji akan membuat perubahan kepimpinan parti itu di peringkat tertentu.

"Dalam masa terdekat ini saya nak buat perubahan pada kepimpinan Umno di peringkat tertentu. Moga akan lengkaplah (barisan kita)," katanya yang juga perdana menteri.

Dalam ucapan penggulungan dalam mesuarat agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini, Najib bagaimanapun berkata akan merundingkannya terlebih dahulu dengan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden parti itu.

"Bincang dengan Jawa, Turki dan lanun semua apa formula terbaik," katanya berseloroh merujuk kepada ketiga-tiga naib presiden - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Shafie Apdal - yang masing-masing mempunyai darah bangsa dan kaum yang disebutkan itu.

Perkara itu ternyata mencuit hari ketiga-tiga pemimpin kanan Umno itu serta perwakilan yang hadir.

Najib bagaimanapun tidak menyebut secara jelas pada peringkat mana perubahan itu akan dilakukan.

Bagaimanapun, kemungkinan besar ia melibatkan jawatan pengerusi perhubungan negeri ekoran beberapa teguran daripada perwakilan sepanjang tiga hari persidangan Umno pada tahun ini.

'Tutup buku' bincang hak Melayu

Najib juga menggesa anggota parti itu "tidak malas untuk menang di Galas dan tidak jadi batu api untuk menang di Batu Sapi."

Sementara itu, menyentuh soal hak istimewa Melayu yang disifatkankannya sebagai "terkunci kemas" dalam perlembagaan sebelum ini, Najib menyatakan kekesalannya terhadap pembangkang yang didakwa memutarbelitkan perkara itu.

Katanya, pembangkang berhujah, oleh kerana perkara itu telah terkunci, maka orang Melayu tidak lagi memerlukan Umno.

"Ini adalah satu pandangan yang tidak benar sama sekali. Walaupun peruntukan itu terkunci kemas tetapi kuasa politik, ia perlu di tangan Umno untuk mengetengahkan prinsip dan semangat perlembagaan itu," katanya sambil disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

"Sebab itu, saya tutup ucapan dasar saya dengan berkata, dalam apa jua keadaaan pun, Putrajaya perlu kita pertahankan."

Sambil menyifatkan pembangkang sebagai bengap dan bangang, Najib sempat memperli PKR - parti utama dalam Pakatan Rakyat - dengan berkata:

"Dia dulu sibuk dengan reformasi, sekarang sibuk baling kerusi (dalam pemilihan cabang)".

Najib juga berharap soal hak Melayu tidak lagi dibangkitkan dan dianggap sudah "tutup buku".

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels