Seribu janji daripada pemimpin telah biasa kita dengar sejak wujudnya negeri Sabah. Janji seperti "Tunggu kalau kita ada kuasa" pasti semua keluhan dan rungutan rakyat akan dipenuhi.
Namun tahun berganti tahun, rancangan 5 tahun telah berganti-ganti, namun rungutan dan keluhan rakyat, hingga kini pun belum terpenuhi.
30 tahun lalu, penduduk yang ada sawah masih mampu menghasilkan padi, kerana kawasan persawahan walaupun tergantung curahan hujan, pun masih bisa menghasilkan. Namun kini, persawahan yang tergantung curah hujan itu tidak lagi dapat menghasilkan apa-apa, kerana perubahan bentuk bumi. Jika dahulu, sungai Tempasuk dipenuhi air jernih, kini bukan sahaja menguning tapi telah menjadi tohor.
Jika dahulu air sawah tidak gantal, kini gatal apabila terkena badan, sebabnya aliran air sungai tidak selancar dahulu. Akibat endapan di muara, maka aliran sungai tidak seperti biasa lagi. Air tertakung, menyebabkan berkembang biaknya bakteria.
Jika dahulu ikan sepat, pahit, banglos,kabulan masih boleh hidup, kini hanya hanya tilapia dan jalak mutasi daripada ikan haruan yang masih menghuni kerana ketahanan jenis ikan tersebut kepada air kotor.
Persekitan telah berubah, namun keadaan penduduk masih ditakuk lama. Memang diakui bahawa telah banyak rumah-rumah mewah diperkampungan, namun itu semua milik mereka yang berkerja dengan kerajaan dan mereka yang mendapat bantuan daripada kerajaan kerana sifat hubungan mereka dengan pegawai-pegawai kerajaan.
Bagi penduduk yang bergantung harap dengan usaha sendiri, tidak dapat dinafikan, masih bisa hidup, tetapi kehidupan mereka masih ditahap primitif, yakni kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Apa kah penyebabnya? Kota Belud tidak mempunyai industri yang boleh memberikan pandapatan kepada penduduk yang bukan kakitangan kerajaan.
Apa yang penduduk Kota Belud Tunggu? Sabah Development Corridor telah pun bermula. Sejak bermulanya SDC telah hampir 500 juta ringgit telah dibelanjakan, namun tiada sedikitpun tertempias ke Kota Belud.
Memang benar kita mendengar projek Jelapang Padi, kita nampak bertimbun-timbun paip PVC bertimbun di kampung Kaguraan, kita nampak bagaimana transformasi persawahan di Kg Tamau Kota Belud yang menelan perbelanjaan 40juta mengikut kontrak, namun semuanya itu adalah kos kontrak, bukan projek yang secara langsung memberikan peluang pekerajaan kepada rakyat. Apabila projek-projek itu siap, maka mereka yang ada sawah sahaja yang dapat menafaatnya, bagi mereka yang tidak bertanah, mungkin juga sebagai kuli? Masih ada kah generasi sekarang mahu jadi kuli?
Kononnya apabila ada pemimpin Kota Belud ada kuasa, maka semua keluhan penduduk akan teratasi? benar Kah? bagi OKB semuanya itu hanya permainan kata-kata untuk menyedapkan telinga siapa yang mendengarnya.
Bagi OKB, setiap kemajuan itu mesti ada perancangan, kerana perancangan itu memperlukan masa yang panjang untuk merealiasinya. Tidak perlu menunggu "ada kuasa dulu" baru merancang, kerana telah terbukti, apabila ada kuasa maka "perancangan" tidak menjadi, kerana kesibukkan luarbiasa. Kesibukan mengatur pengikut yang marah-marah, pengikut yang memaki hamun para pegawai kerajaan dan perbuatan pengikut yang membuat ancaman sana ancaman sini.
Perancangan hendaklah dibuat daripada sekarang. Master Plan mesti ada, dan apabila "kuasa singgah di tangan" maka dengan serta merta master plan itu dapat dilaksanakan.
OKB tidak pasti apa kah para pemimpin daerah ini ada Master plan? Biasanya Master Plan bukan perkara rahsia, kerana ianya melibatkan R&D, dan kalau peringkat negeri sekurang-kurangnya melibatkan Pejabat Daerah atau pihak IDS. Namun hingga kini, OKB belum pun mendengar adanya Master Plan untuk daerah Kota Belud.
Jadi agak-agaknya apa yang penduduk Kota Belud tunggu?