25 September 2012

Politik Sabah: Sentimen Perkauman merugikan bangsa

KITA mengalaminya sendiri, pada awal kemerdekaan, apabila sentimen perkauman melanda politik Sabah. Akibat sentimen perkauman itu, pembangunan Sabah tidak pesat. Malah ramai dikalangan ahli politik beranggapan, untuk apa memajukan kawasan bukan didiami etnik daripada kaumnya.

Sentimen perkauman ini bermula sejak tahun 1967, apabila berlaku persaingan sengit antara kaum bumiputera islam dan bukan pada PRU pertama negeri Sabah.

Pada PRU Sabah tahun 1967, walaupun UPKO, USNO dan SCA dalam satu pasukan- Sabah Alliance Party, namun pada PRU itu berlaku pertembungan sesama sendiri antara UPKO dan USNO.

Sentimen perkauman di Sabah sebenarnya bermula pada tahun 1967 kerana permainan politik. Atas sokongan daripada Kuala Lumpur, USNO yang dipimpin Tun Mustapaha mampu memperkuat cengkamannya kepada rakyat Sabah.

Melihat kepada cengakaman perkauman yang menebal ini, diikuti oleh pengislaman beramai-ramai oleh USIA, kemarahan daripada kaum bukan bumiputera islam membara, ibarat api dalam sekam.

Akhirnya Kuala Lumpur menyedari keadaan ini, atas sebab itu, bagi membendung sentimen perkauman, maka pemimpin Kuala Lumpur, melakukan agenda agar kerajaan Usno perlu diganti ertinya juga mengganti kepimpinan Tun Mustapha.

Untuk mengalahkan Usno pimpinan Tun Mustapha tidak mudah. Hanya melalui pemimpin USNO sahaja, Tun Mustapha boleh ditumbangkan. Atas sebab itulah Parti Berjaya ditubuhkan oleh Datuk Harris Salleh menteri kewangan cabinet Tun Mustapha. Parti Berjaya kemudian diketuai oleh Tun Fuad Stephen selepas meletakan jawatan sebagai TYT Sabah.

Pada PRU-Sabah 1976, Parti Berjaya menang dengan memperolehi 28 kerusi dan Usno 20 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah.

Kemenangan Berjaya, kerana kaum cina berpaling tadah daripada Tun Mustapha. Keputusan ini bertolak belakang dengan keputusan PRU-1967, di mana kaum cina kokoh bersama Tun Mustapaha. Sebagai catatan, kedudukan kawasan DUN Sabah pada tahun 1976 adalah 20 kawasan majoriti bumiputera islam, 20 kawasan bumiputera bukan islam dan 8 kawasan kaum cina.

Semasa kerajaan Berjaya daripada tahun 1976-1985, isu perkauman cuba diruntuhkan oleh Datuk Harris, antaranya apabila Pesta Keamatan dijadikan Pesta Rakyat. Harris mengambil pendekatan membangun kawasan-kawasan tanpa mengira suku kaum yang mendudukinya. Datuk Harris menubuhkan berbagai GLC antaranya KPD, SAFODA, SAMA, Ko-Nelayan dan berbagai agensi lain, semata-mata untuk membangun semua lapisan masyarakat.

Walaupun Harris cuba meruntuhkan tembok perkauman, namun isu itu timbul semula, apabila Datuk Pairin Kitingan (kini Tan Sri) dipecat daripada Parti Berjaya kerana masalah politik dalaman dalam Parti Berjaya.

Isu kaum ditiupkan oleh Pairin bermula pada PRK-Tambunan tahun 1984. Isu perkauman terus dimainkan melalui Parti PBS yang Pairin tubuhkan.

Pada PRU-1985, Parti PBS yang ditubuhkan sebelum PRU-Sabah tahun 1985 menumbangkan kerajaan Berjaya. Keputusan PRU itu, PBS menang 25 kerusi, Usno 16, Berjaya 6 dan 1 calon bebas. Keputusan ini menunjukkan bahawa mana-mana kaum yang disokong kaum cina; parti itulah menjadi pemenang. Ertinya sejak tahun 1967 hingga tahun 1985, kaum cina adalah KING Maker dalam politik Sabah.

Sejak tahun 1985 Parti PBS mengamalkan politik perkauman yang sungguh tebal, walaupun dipertengahan pemerintahannya ada kalangan pemimpin bumiputera islam menyertainya antaranya Lajim Ukin, Baharom Titingan, Hassan Alban Sandukong, Jabar Khan, Salleh said, Abas Ali, Pandikar, Juhar Mahiruddin, Saman Ghulam, Mohamdin Ketapi dan beberapa pemimpin islam lagi. Di antara pemimpin islam itu, hanya Baharom, Lajim, Abas serta Mohamdin yang mampu menang di kawasan-kawasan yang ditandinginya.

Agar PBS kelihatan mewakili semua kaum di Sabah, maka pemimpin Islam dilantik sebagai ADUN dilantik antaranya Saman Ghulam dan Salleh Said. Saman pernah dilantik sebagai Pembantu Menteri. Sementara Pandikar yang membubarkan Parti Bersih untuk menyertai PBS dilantik sebagai Speaker DUN Sabah.

Disebabkan sokongan kaum bukan putera islam dan sedikit kaum bumiputera islam dan sokongan padu kaum cina pada PBS, maka PBS tidak pernah kalah dalam sebarang pilihanraya. Kalau bukan kerana pemimpin cina dalam PBS keluar daripada parti itu untuk menubuhkan parti SAPP, pemimpin PBS seperti Bernard Dompok dan Joseph kurup serta Bumburing keluar menubuhkan parti masing-masing- PDS (kini UPKO), PBRS-oleh Joseph Kurup dan Jeffery Kitingan, PBS tidak mudah kehilangan kuasa.Selain itu, PBS menjadi lemah, ekoran keluarnya Parti itu daripada BN pada tahun 1990 semasa diambang pengudian.
 
Akibat sentimen perkauman yang diamalkan PBS, maka kaum bumiputera islam merasa tertindas. Kaum yang terdiri daripada berbagai suku ini termasuk RUMPUN BAJAU di mana salah satu pemimpin daripada etnik itu adalah Tun Mustapha, Tun Sakaran Dandai, Tan Sri Pandikar, dan kemudian disusuli Salleh, Juhar dan Abdul Gafur Salleh, Karim Ghani mengatur berbagai langkah untuk mengembalikan kerajaan yang bukan berasas perkauman. Tun Mustapha mengambil keputusan membubarkan USNO dan menjemput Umno, kerana pengasas USNO berpandangan, USNO tidak mampu memenangi lagi sebarang pilihanraya, kerana akibat isu sentimen yang dilabelkan pada parti itu.
 
Kemasukan UMNO bertujuan selain untuk menstabilkan politik Sabah juga mengelak agar sentimen perkauman dihentikan. Atas sebab itu, Umno membuka keahlian kepada semua bumiputera atau keturunan tanpa melihat latar belakang kaum itu atau fahaman agama mereka.

Umno mengetuai parti-parti komponen BN pada PRU-1994, namun hanya menang 23 kerusi berbanding PBS 25. Beberapa bulan kemudian, kerajaan PBS tumbang kerana tiga ADUNYA keluar dan menyertai UMNO.

Untuk meredakan sentimen perkauman yang dimainkan selama 9 tahun oleh PBS, maka BN mengwujudkan Pengiliran Jawatan Ketua Menteri- Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Kaum Cina. Akibat pengilirian jawatan Ketua Menteri itu, maka Sabah menyaksikan penggantian Ketua Menteri setiap 2 tahun. Antara mereka yang dilantik dalam sistem penggiliran itu adalah-Tun Sakaran Dandai-Datuk Salleh Said- Datuk Yong Teck Lee, Datuk Bernard Dompok, Datuk Osu Sukam, Tan Sri Chong Kah Kiat dan kemudian Datuk Musa Aman.

Datuk Musa Aman bernasib baik, kerana selepas dilantik, telah berlaku perubahan komposisi ADUN daripada 48 kepada 60.  Pada kedudukan DUN dengan jumlah kerusi 48, taburan kaum adalah: 20 kerusi bumiputera islam, 20 kerusi bumiputera bukan islam dan 8 kerusi kaum cina. Pada kedudukan 60 kerusi DUN, komposisi berubah kepada 32 kerusi bumiputera islam, 20 kerusi bumiputera bukan islam dan cina tetap dengan 8 kerusi.

Berasaskan kepada komposisi baru itu, maka bumiputera islam mempunyai merit untuk menjadi Ketua Menteri, tanpa lagi berasaskan kepada pengiliran. Pada keadaan sekarang, jika bumiputera islam senantiasa bersatu sepertimana sokongan mereka terhadap parti Usno, baik semasa memerintah atau pembangkang, maka tidak mungkin lagi keadaan tahun 1967, 1976 dan 1985 berulang.

Sebenarnya keadaan ini sekarang ini menguntungkan semua pihak, kerana sentimen perkauman bukan lagi keutamaan. Perkara ini terlihat bagaimana Musa memerintah negeri, nampaknya semua kaum terlibat sebagai satu pasukan. Atas sebab itu, Timbalan Perhubungan Umno Negeri8-Datuk Salleh Said senantiasa menekankan, kerana semangat berpasukanlah, kerajaan negeri mampu membangun negeri. Sejak Musa mengambil jawatan Ketua Menteri, perekonomian negeri melonjak dengan cepat, selain kewangan negeri yang kokoh, juga bajet negeri yang membuat rekod, melepasi RM4bilion.

Petanda ekonomi semakin baik, apabila harga hartanah, jika sebelumnya jarang-jarang berharga jutaan, kini adalah fenomena biasa, harga rumah berkisar antara RM600,000 hingga jutaan.

Kemasukan Umno untuk meredakan sentimen perkauman terbukti membawa hasil yang baik kepada rakyat. Permainan politik berkurangan, kecuali mainan politik pembangkang daripada Semenanjung yang menular ke sini, kerana cita-cita Anwar mahu menjadi Perdana Menteri. Jika bukan kerana hasutan parti pembangkang daripada luar negeri ini, kestabilan politik Sabah akan senantiasa baik.

Sebagai contoh hasutan parti pembangkang dan pemimpinnya, SAPP keluar daripada BN selepas PRU-2008, ekoran gerakan 16 September Anwar, kononnya apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Pusat, maka salah timbalan perdana menteri adalah Datuk Yong Teck Lee.

Parti pembangkang juga berjaya menghasut pemimpin BN yang tamak untuk menyertai mereka antaranya Lajim ukin, Bumburing, Ibrahim Menudin, Yahya Lampung dan manakala pemimpin yang kemaruk mahu bertanding adalah Maijol Mahap.

Yakinlah apabila sentimen perkauman dilupakan, adalah pasti pembangunan Sabah berserta rakyatnya akan senantiasa berjalan sesuai dengan Halatuju Pembangunan Sabah.

Soal Ketua Menteri, bukan suatu persoalan, kerana, Musa masih bertenaga dan mampu menggayumi semua kaum di negeri ini. selain itu, Musa mendapat sokongan padu daripada majoriti pemimpin negeri ini. Perkara ini terlihat pada acara majlis berbuka puasa dan sambutan idul fitri baru-baru ini; malah pada sambutan Hariraya BN Kota Belud membawa TEMA- MENYOKONG KEPIMPINAN MUSA AMAN. Fikir-fikirkan lah.

23 September 2012

USBO komited pada perjuangannya

APABILA USBO memohon sebagai ahli BN terus, jelas rumpun bajau itu komited dengan perjuangan BN. Komited dengan strata kepimpinan BN, baik pusat mahupun negeri.

Di Sabah, USBO komited dengan perjuangan BN termasuk menyokong penuh kepimpinan negeri yang diterajui Datuk Musa Aman.

Presiden USBO Datuk Salleh Tun Said yang juga Timbalan Perhubungan Umno negeri, telah berulang kali menyatakan, sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu. Malah, tema Sambutan Hariraya BN Kota Belud yang berlangsung pada 15 September lalu, bertemakan " Menyokong Kepimpinan Musa".

Entah angin mana, yang menyebabkan ada beberapa kerat individu etnik rumpun secara tiba-tiba mempersoalkan kepimpinan Musa, dan menjadikan USBO salah satu isunya. Melihat kepada barisan kepimpinan USBO, nama-nama yang mengeritik Musa itu dan mengambil USBO sebagai batu pijakan bukanpun mereka yang mempunyai merit bercakap bagi pihak pertubuhan rumpun itu.

Kalau yapun mereka mempunyai masalah peribadi dengan Ketua Menteri itu, bercakaplah atas kapasiti peribadi, bukannya mengaitkan pertubuhan USBO.

Suara Rakyat dipahamkan, pihak barisan kepimpinan USBO memandang  berat ke atas penggunaan USBO untuk mengeritik Ketua Menteri, kerana itu bukan pandangan pertubuhan itu.

USBO sejak awal-awal lagi membuat pendirian, bahawa rumpun bajau itu menyokong kepimpinan Musa dan UBN. Jika ada individu etnik rumpun itu mempertikai kedudukan Ketua Menteri itu, ianya hanya pandangan peribadi dan sekali-kali  tidak mewakili pandangan pertubuhan rumpun itu.

Hanya mereka yang tamak tolak Musa

ADA yang mengandaikan bahawa BN akan kalah jika terus diterjaui Musa, sama dengan kekalahan Berjaya pimpinan Tan Sri Harris pada tahun 1985.

Situasi tahun 1985 berlainan dengan situasi masa kini. Berjaya kalah tahun 1985 ekoran pemecatan Tan Sri Pairin daripada Berjaya, memecatnya sebagai ADUN Tambunan dan menurunkan status Daerah Tambunan.

Pairin adalah Huguan Siou kaum KDM. Akibat pemecatan itu, maka kaum KDM marah kepada Harris dan menghukumnya bermula di PRK Tambunan tahun 1984 dan kemudian pada PRU-Sabah tahun 1985.

Musa pula, tidak pernah memecat sesiapa. Malah apabila tercetus spekulasi, bahawa para pemimpin BN yang telah keluar, Musa membuat kenyataan terbuka, pintu pejabatnya senantiasa terbuka untuk berbincang, jika ada masalah.
 
Keluarnya para pemimpin BN seperti Lajim Ukin, Welfred Bumburing, Maijol Mahap, Ibrahim Menudian dan Yahaya Lampong, kerana mempunyai sebab peribadi masing-masing.
 
Lajim keluar kerana mendapat tantangan daripada ahli/penyokong serta beberapa pemimpin akar umbi di bahagiannya sendiri. Oleh kerana tantangan itu, maka Lajim dilaporkan bukan lagi winnable candidate. Berasaskan kepada keadaan itu, Lajim tidak akan dicalonkan lagi pada PRU-13.
 
Selain itu, masalah permintaan projek yang berterusan oleh Lajim demi kepentingan poketnya, merupakan salah satu penyebab beliau keluar. Isu sekolah agama yang bernilai RM50 juta, yang dijanjikan Lajim kepada penyumbang dana, tidak pernah terealisasikan, kerana projek seumpama itu tidak pernah wujud.
 
Manakala Bumburing pula, tidak akan dicalonkan pada PRU-13, meskipun beliau adalah Timbalan Presiden UPKO, kerana perjanjian dengan Madius Tangau-mantan MP Tuaran, bahawa hanya sepenggal sahaja peluang diberikan kepada Bumburing untuk bertanding di Parlimen Tuaran.
 
Majiol pula keluar BN kerana, kalau tidak maka tiada peluangnya bertanding di kampung halamannya, kerana semua kawasan baik parlimen mahupun DUN adalah kawasan PBS.
 
Ibrahim Menudin pula, walaupun di atas kertas sebagai pemimpin Umno dan pernah menjadi Bendahari Umno Sabah, namun tidak pernah bertanding dalam pilihanraya. Ibrahim sebenarnya bukan pemimpin politik, akan tetapi hanya sebagai penyokong/pendokong.
 
Di usia senja, Ibrahim mahu mencuba nasib dalam arena politik, selepas semua jawatan korporatenya di penghujung jalan.
 
Sementara Yahya Lampong adalah pemimpin musiman setiap menjelang pilihanraya. Yahya melompat daripada parti yang satu ke parti yang lain agar boleh bertanding dalam pilahraya. Memang beliau suatu ketika dahulu adalah pemimpin utama kaum bajau, namun sepak terajangnya dalam dunia politik yang senantiasa berpindah-pindah, menyebabkan sokongan terhadap beliau merudum hingga ke dasarnya.
 
Yahya pernah menjadi Ketua Bahagian Umno Tanjong Aru, kemudian kehilangan jawatan itu. Beliau mencuba nasib di bahagian Kota Belud, namun kalah teruk merebut jawatan ketua bahagian.
 
Walaupun Yahya tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Umno, namun beliau tetap diberi peranan oleh Musa sebagai Pengerusi Sedco kemudian Cement Industries.
 
Sesuailah seperti kenyataan Ketua Umno Papar, Datuk Rahim Ismail- dengan keluarnya mereka daripada UBN, tidak akan membawa impak apa-apa, kerana, rakyat Sabah telah tahu siapa sebenarnya mereka-mereka itu.

Pendek kata, mereka yang tamak saja menolak kepimpinan Musa, manakala pemimpin lain seperti Datuk Salleh Tun Said, Datuk Safie Apdal, Tan Sri Pandikar dan lain-lain masih setia pada parti, kerana mereka tahu Musa menjalankan tugas sesuai dengan aspirasi parti dan rakyat.

22 September 2012

Kenapa Persoal Status Musa?

Yong Teck Lee, Chong Kah kiat, Peter Lo pernah jadi Ketua Menteri Sabah- Bumiputera kah mereka? Satu pertanayaan kepada mereka yang mempersoalkan kelayakan Musa Aman menduduki jawatan Ketua Menteri Sabah.

Musa adalah pejuang parti Usno, pejuang parti bumiputera. Beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti untuk mendapatkan kuasa. Beliau setia pada parti Usno, di kala parti itu masih pembangkang.

Semasa Usno dibubarkan oleh pengasasnya Tun Datu Mustapha Datu Harun pada tahun 1991 dan menjemput Umno mengembangkan sayapnya ke Sabah, barulah Musa berpindah ke kapal besar, untuk meneruskan perjuangannya.

Ditakdirkan Umno dan BN membentuk kerajaan pada tahun 1994, Musa meskipun menang sebagai wakil rakyat, tidakpun menyertai kabinet, meskipun beliau salah seorang pemimpin kanan Umno di Sabah.

Mereka yang junior dalam parti diberikan peluang terlebih dahulu, sehinggalah tahun 2001, Musa menyertai kabinet sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan Negeri tahun berikutnya.

Setahun kemudian, Musa diberi peluang sebagai Ketua Menteri, selepas tempoh jawatan Tan Sri Chong Kah Kiat berakhir.

Musa membawa kemenangan besar kepada BN pada PRU-2004 dan diulanginya pada PRU-2008.

PRU-2008 telah berlaku tsunami politik di Semenanjung, namun di Sabah fenomena itu tidak berlaku, meskipun Musa bertindak menggugurkan beberapa pemimpin veteran.

Menghadapi, PRU-13, cabaran kepada Musa tidak kurang mencabar berbanding sebelum PRU-2008. Sebelum PRU-2008, berbagai cabaran dihadapinya terutama dari kalangan etnik bumiputera islam. Pada ketika itu, kasak kusuk berlaku, sebaiknya Sabah diterajui oleh pemimpin yang bernaung dalam etnik besar. Kasak kusuk juga berlaku, sehingga ada pakatan Ketua-Ketua bahagian Umno berjumpa Perdana Menteri, agar melantik sesesiapa sahaja menjadi Ketua Menteri daripada kalangan mereka, asalkan bukan Musa Aman.

Musa pada ketika dan masa itu, bersifat low profile. Beliau tiada tanda-tandapun bakal dilantik sebagai Ketua Menteri. Keadaan ini, serupa di Selangor, apabila Datuk Dr Khir Toyo dilantik sebagai MB Selangor.

Kata orang kalau rezeki tidak akan kemana. Musa akhirnya menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat. Rezki terus menyertainya, dan hingga kini masih Ketua Menteri Sabah. Malah beliau adalah Ketua Menteri yang akan melepasi “jinx” Sembilan tahun, seperti mana diakui sendiri oleh Speaker DUN Sabah- salah seorang mantan Ketua Menteri Sabah- Datuk Seri Salleh Tun Said.

Kenapa ada yang mempertikai Musa? KERANA mereka itu cemburu kepada pencapaian beliau. Musa adalah Ketua Menteri kedua Sabah yang mampu memacu perekonomian Sabah selepas Tan Sri Harris Salleh.

Data perangkaan Sabah tidak berbohong, semenjak Musa menerajui Sabah, lonjakan perekonomian terus meningkat. Simpanan negeri memecah rekod sehingga RM3bilion, bajet negeri juga mencipta rekod di mana untuk pertama kali melepasi angka RM4bilion.

Kemajuan sesebuah negeri, dilihat daripada segi jumlah simpanan kewangan dan bajet tahunannya. Selain itu, pelaburan swasta juga merupakan satu indicator. Swasta tidak akan melabur, jika pelabuarannya tidak akan mendapat pulangan. Swasta melihat kepada peluang-peluang perniagaan yang ada, di mana peluang-peluang itu didokong oleh infrastruktur yang ada. Kerajaan adalah penyedia infrastruktur selain kemudahan orang awam juga kemudahan para pelabur.

Musa bergerak kearah itu, sesuai dengan Halatuju Pembangunan Sabah.

Kalau benarlah Musa rakus-mengapa ekonomi Sabah berkembang pesat?

SATU fakta yang tidak boleh dinafikan, semasa Musa dilantik sebagai Menteri Kewangan Sabah, simpanan Sabah hanya RM200 juta. Sejak itu, dari tahun ke tahun simpanan negeri terus bertambah, sehinggalah mencapai RM3bilion.

Jika benarlah Musa rakus, mengapa simpanan kewangan Sabah terus bertambah?
 
Sejak Musa dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 2003, bajet pembangunan negeri dari tahun ke tahun terus bertambah, malah bajet tahun 2012 mencecah lebih RM4 bilion, berbanding Selangor yang hanya RM1.6bilion.

Jika benarlah Musa rakus dan tidak telus dalam mengatur kewangan, mengapa Ketua Audit Negara memperakui, bahawa pengurusan Kewangan Negeri antara yang terbaik dalam negara bersama Pulau Pinang?

Jika benarlah Musa rakus mengapa pelaburan swasta boleh mencapai RM10bilion untuk suku pertama tahun 2012?
 
Jika benarlah Musa rakus, mengapa kadar kemiskinan negeri terus merudum? pada tahun 2003 semasa Musa dilantik sebagai Ketua Menteri, kadar kemiskinan Sabah berada di atas 24 peratus, kadar itu berjaya diturunkan dan kini kadar kemiskinan hanya 15 peratus. Kadar kemiskinan ini akan terus turun, apabila projek-projek membasmi kemiskinan seperti Jelapang Padi, Agropolitan, PIOC dan Sabah Development Corridor siap dan berjalan sepenuhnya.

Projek mega seperti projek Baja di Siptiang, projek minyak dan gas di Kimanis serta Kota Belud, akan menyumbang peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.Apabila projek-projek ini berjalan sepenuhnya, kadar kemiskinan negeri akan terus merudum.

Sebenarnya mereka yang mengritik Musa dengan berbagai tuduhan yang direka, adalah mereka yang cemburu kepada kejayaan Ketua Menteri itu.

Sebenarnya pembangunan ekonomi negeri begitu pesat bermula tahun 2003, menunggu 18 tahun pembangunan yang dicipta Tan Sri Harris Salleh tahun 1976-1985.

Dalam soal politik, Musa mendapat sokongan padu daripada para pemimpin yang mempunyai perjuangan yang sama dengan beliau, yakni membangun negeri dan rakyat. Musa hanya tidak disenangi oleh mereka yang rakus projek untuk kepentingan diri sendiri.

Musa hanya tidak disukai oleh mereka yang mahu kuasa- walaupun mereka itu suatu ketika telahpun diberi peluang termasuk jawatan menteri, namun, gagal membawa pembangunan di kawasannya khasnya dan umumnya di negeri ini, kerana matalamat mereka itu, hanya untuk mendapatkan projek demi kepentingan poket sendiri.

Apabila jawatan yang diamanahkan ditarik balik, kerana gagal membawa pembangunan untuk rakyat dan negeri, mereka kecil hati, lalu me-reka-reka berbagai alasan, termasuk keluar daripada parti yang memberi sumbangan peribadi kepada mereka.
 
Bagi mereka yang masih bersama parti, sanggup pula menjadi gunting dalam lipatan, untuk menjatuhkan Musa. Berbagai gerak saraf mereka reka, seolah-olah Musa membolot semua projek yang dilaksanakan dalam negeri.
 
Mereka lupa, bahawa Musa lah yang bertanggungjawab mengagih-agihkan semua projek dalam negeri, atas kapasitinya sebagai Ketua Kerajaan dan Menteri Kewangan, namun beliau tidakpun berkuasa terhadap projek-projek yang dilaksanakan kementerian persekutuan, sedangkan kalau diimbas sepintas lalu, peruntukan daripada persekutuan berkali lipat berbanding peruntukan kerajaan negeri yang mengalir ke dalam negeri ini.
 
Menuduh Musa sebagai rakus, hanya mainan politik yang cemburu, mainan politik yang kurang arif mengenai pembangunan negeri.
 
Sikap diam Musa terhadap semua tuduhan ini, menggambarkan bahawa beliau tidak terpengaruh dengan semua tuduhan rekaan itu, kerana beliau tahu apa yang dilakukannya.

20 September 2012

Musbah pemimpin akar umbi?

SEORANG kawan, dan kebetulan ahli politik veteran mengungkapkan kepada Suara Rakyat- Musbah adalah pemimpin akan umbi, atas sebab itu, apabila diberi peluang menjadi calon ataupun tidak, beliau tetap sahaja meneruskan perkhidmatannya kepada rakyat.

Musbah pernah menjadi wakil rakyat bermula tahun 1999 apabila diberi peluang bertanding mewakili BN pada PRU-1999. Dalam pilihanraya itu, Musbah menang mengalahkan calon PBS, di mana ketika itu PBS masih merupakan parti pembangkang.

Musbah tidak terpilih mempertahankan DUN Tempasuk pada PRU-2004, namun dipilih semula pada PRU-2008 dan menang menumpaskan calon PKR.

Kini ADUN Tempasuk itu bertugas sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri. 

Sebaik sahaja dilantik sebagai Pembantu Menteri, beliau berjaya memujuk Kerajaan Pusat mengimplimentasikan Projek Jelapang Padi yang bernilai RM1 bilion di Kota Belud yang meliputi 10 ribu hektar tanah sawah. Selain itu, Musbah juga berjaya meyakinkan Kerajaan negeri, agar Projek Agropolitian dikembangkan di Kota Belud, demi membasmi kemiskinan tegar. Selain itu, RISDA juga semakin aktif di Kota Belud terutama dalam penanaman semula getah klon gajah.
 
Mengapa Musbah dikatakan pemimpin akar umbi? sepertimana diketahui bahawa Kota Belud tidak mempunyai sumber selain daripada pertanian, perkebunan dan perikanan. Sebahagian besar penduduk tergolong sebagai petani, pekebun dan nelayan.
 
Untuk menjadikan petani, pekebun dan nelayan berpendapatan lumayan, maka usaha yang boleh membantu mereka meningkatkan pendapatan perlu diutamakan. justeru itulah, pendekatan pertanian, perkebunan dan kelautan diutamakan, berbanding indiustri yang memerlukan kepakaran teknikal.
 
Kerana pendekatan pembangunan yang mengena dengan aspirasi penduduk, maka atas sebab itulah Musbah dekat dengan akar umbi. Musbah meredah sawah, perkebunan dan laut untuk berkomunikasi dengan rakyat.  Pendekatan demikian menjadikan Musbah dekat dengan mereka. Bak kata orang, tak kenal maka tak sayang.
 
Selain itu, hubungan kemasyarakat ADUN Tempasuk itu sungguh menyerlah. Sebut sahaja majlis kedukaan seperti kematian, Musbah pasti bersama-sama mereka yang berduka. 
 
Majlis perkahwinan atau majlis seperti Hariraya, pesta menuai tidak ketinggalan menjadi keutamaan beliau. Musbah pada suatu ketika, pernah menghadiri sembilan majlis perkahwinan bermula daripada pagi hingga ke tengah malam sehari.
 
Tujuan beliau menyempat diri ke majlis-majlis seumpama itu, selain tidak mahu mengecewakan penjemput, juga sebagai media beliau bertanya khabar dengan penduduk.

Musbah bukan seorang pakar politik, beliau hanya sebagai pemimpin yang menjiwai rakyat yang diwakilinya. Atas sebab itu, walaupun suatu ketika, beliau pernah menjadi ketua Bahagian Umno Kota Belud, namun kalah dalam pertandingan merebut jawatan itu kepada Datuk Salleh Tun Said seorang pakar politik asal Kota Belud.

Kelemahan Musbah adalah dalam permainan politik, kerana beliau sukar mengungkapkan janji-janji yang beliau tidak pasti mampu menunaikannya. Beliau tidak mampu memberi harapan yang menggunung, sebagai tarikan sokongan dalam politik, beliau hanya mampu melakukan janji yang beliau percaya boleh ditunaikan cepat atau lambat.
 
Atas sebab itu, apabila permainan politik menetukan siapa kah bakal calon BN pada PRU-13 akan datang, nama beliau mudah tercicir. Nasib baik, Perdana Menteri telah menggariskan, bahawa calon-calon yang akan dipilih nanti berasaskan kepada individu yang "winnable candidate".
 
Musbah adalah winnable candidate bagi kawasan Kota Belud, samada di DUN Tempasuk, Usukan mahupun Parlimen. Atas asas apa Musbah sebagai winnable candiate-- tulisan di atas menerangkan semuanya.

19 September 2012

Kenapa Musa jadi sasaran?

Dalam arena politik, seseorang pemimpin mempunyai dua tugas. Sanggup memikul amanah yang ditugaskan dan kedua sanggup menjadi penyokong apabila tidak lagi berada di barisan hadapan. Dalam semua parti politik, proses ini perlu berjalan demi peremajaan dan menyuntik tenaga baru.

Apabila timbul seseorang pemimpin tidak lagi terpilih sebagai calon, bukan bererti pemimpin itu dicantas, akan tetapi beliau diberi peranaan lain sebagai pembimbing pula kepada pemimpin baru.

Tiada pemimpin yang boleh memimpin selama-lamanya, dan demikian juga tiada penyokong menjadi penyokong selama-lamanya. Penyokong yang diiktiraf sebagai pelapis akan menjadi pemimpin, dan matan pemimpin akan jadi panutan atau rujukan.

Dalam konteks politik Sabah, parti yang cukup aggresif dalam usaha peremajaan adalah Umno. Saban ada pilihanraya, ada sahaja pemimpin baru diketengahkan.

Pada PRU-2008, telah berlaku berbagai kejutan, apabila para pemimpin veteran dan kebetulan daripada rumpun USBO tidak dicalonkan kerana menampilkan tokoh-tokoh baru daripada etnik itu.

Seharusnya Rumpun perlu berbangga kerana mampu menampilkan tokoh-tokoh baru, dan atas sebab itu  menjadikan rumpun kumpulan etnik yang dinamik.

Kumpulan etnik rumpun perlu melihat kedinamikan organisasinya dalam kontek lebih besar, tanpa menyempitkan atau memfokuskan kepada individu tertentu dalam rumpun itu.

Rumpun perlu mengiktiraf individu daripada rumpunnya yang berjaya menjadi pemimpin, kalau tidak siapa lagi yang mengiktiraf mereka.

Menyempitkan pemikiran, kerana pemimpin veteran rumpun tidak menjadi wakil rakyat yang dipilih sebagai bentuk penindasan, perlu difikirkan semula. Tanggapan itu, seolah-olah tidak mengiktiraf tokoh-tokoh baru kumpulan etnik itu. Jika ini berterusan, maka rumpun akan menjadi satu pertubuhan yang tidak berkembang dan suatu hari kelak akan mati ditelan masa.

Perkembangan sesuatu organisasi terserlah apabila pertubuhan itu luwes dan dinamik. Sebab itu, di Amerika Syarikat misalnya, setiap lima tahun atau 10 tahun ada sahaja tokoh baru dimunculkan samada daripada demokrat maupun republikan.

Di Sabah pemimpin yang mencetuskan fenomina pembangunan hanya berlaku selepas lebih sepuluh tahun. Tan Sri Harris Salleh muncul selepas 13 tahun Sabah merdeka. Musa muncul selepas 18 tahun Harris kehilangan kuasa.

Ketua Menteri Sabah majoritinya dijawat oleh bumiputera Sabah termasuk Tun Fuad, Tun Mustapha, Tun Said, Tan Sri Harris, Tan Sri Pairin, Tun Sakaran, Datuk Salleh Said, Tan Sri Benard, Datuk Osu dan kemudian Datuk Musa. Daripada semua Ketua Menteri itu, hanya dua orang yang memberi impak kepada pembangunan ekonomi Sabah, yakni Harris dan Musa.

Memang tidak adil membandingkan keupayaan semua Ketua Menteri itu, kerana keadaan dan masa yang berbeza-beza. Namun, hakekatnya mereka semua berjaya dalam kapasiti masing-masing sesuai dengan zamannya.

Melihat kepada pengalaman Sabah itu, nampaknya pemimpin silih berganti, ertinya apabila ada yang turun, maka ada yang naik. Apa kah keadaan ini dikatakan bahawa pemimpin yang turun itu dicantas? Apakah Tun Dr Mahathir dicantas kerana mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri? Atau apakah Tun Abdullah Badawi dicantas kerana meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri?

Dalam sebuah organisasi  boleh disinonimkan pada pasukan bolasepak. Apabila sesebuah pasukan ingin menang dalam satu-satu pertandingan, maka kesebelasan utama yang diturunkan adalah para pemain yang mempunyai persefahaman yang kental di lapangan. Tanpa persefahaman yang kuat, adalah sukar untuk menang dalam suatu pertandingan.

Musa memilih para pemimpin yang mempunyai persefahaman yang kental, atas sebab itu beliau mengambil risiko politik, dengan cara menampilkan tokoh-tokoh baru.

Alhasil daripada percaturan itu, di Kota Belud misalnya, telah terwujud projek mega seperti Jelapang Padi, Agropolitian dan pelancongan, dan jika kerana halangan projek minyak dan gas Kimanis sepatutnya dibina di Kota Belud.

Pembangunan Projek Jelapang Padi dan agropolitan sejak dari awal-awal lagi tidak mendapat sokongan daripada pemimpin tertentu Kota Belud dan cubaan untuk menggagalkannya terus berjalan.

Akhir-akhir ini cubaan beberapa individu yang ada kiatan dengan pemimpin tertentu Kota Belud cuba mensabotaj kejayaan Jelapang Padi dan Agropolitan dengan mendirikan rumah dan memaggar kawasan yang sepatutnya lokasi agropolitan.

Mengapi-apikan agar penduduk kampong Tambatuon menentang pembangunan empangan sebagai sumber air jelapang padi kini diambil alih oleh pihak pembangkang. Ironinya pembangkangan awal dilakukan oleh pemimpin tertentu Kota belud sebelum pihak pembangkang mengambil alih peranaan mereka.

Kemunculan pemimpin baru ada kebaikannya. Misalnya isu bekalan air bersih Kota Belud. Penduduk Kota belud menunggu lebih 46 tahun untuk penyediaannya, dan hanya pada tahun 2011 peruntukan sebanyak RM98juta diperolehi bagi maksud penyediaan bekalan air bersih di 99 peratus kawasan Kota Belud.

Demikian juga projek Jelapang Padi hanya terwujud selepas tahun 2008, manakala agropolitan menyusul kemudian.

Membangun sesuatu kawasan bukan berasaskan projek akan tetapi program. Program pembasmian kemiskinan dan mengwujudkan aktiviti ekonomi seperti Jelapang Padi, Agropolitan dan pelancongan, maka infrastruktur yang mendokongnya perlu dibina. Atas sebab itu, kini kita menyaksikan bahawa jalan-jalan di tengah persawahan telah dibina.

Sesebuah program meliputi berbagai projek, antara lain projek jalanraya, projek logistic dan projek –projek lain yang mendokong program itu.

Natijah kepada pembangunan pesat Kota Belud kerana ada tokoh-tokoh baru yang muncul. Sepatutnya rakyat Kota Belud berbangga dengan keadaan ini.
 
Di mana faktor yang boleh menunjukkan bahawa Musa menindas?  sedangkan para pemimpin yang mengetuai Umno/BN Kota Belud adalah daripada rumpun Usbo dan tema Sambutan Hariraya BN pada 15 September yang lalu.. "MENYOKONG KEPIMPINAN MUSA". Fikir-fikirkan lah.

18 September 2012

Politik Sabah: Sampai bila sentimen kaum dimainkan?

SAMPAI bila sentimen perkauman dimainkan? Sabah mundur kerana faktor sentimen kaum. Fakta tidak dapat dielakan, bahawa akibat sentimen kaum yang diamalkan parti-parti politik tertentu mengakibatkan kemunduran dari semua segi.

Datuk Harris Salleh (kini Tan Sri) diiktraf sumbangannya kepada Sabah semasa pemerinatahannya, kerana memerintah dari tahun 1976-1985 merentasi kaum. 

Harris mengambil pendekatan membangun kawasan luar bandar tanpa mengira etnik yang mendudukinya. Fakta membuktikan bahawa kadar pembangunan dari semua segi selama sembilan tahun kerajaan Berjaya, pembangunan Sabah begitu pesat sekali.

Namun disebabkan sentimen perkauman, maka Kerajaan Berjaya pimpinan Harris tumbang pada tahun 1985.

Sentimen perkauman ini terus dimainkan selepas itu, akibatnya Sabah mencatat kadar kemiskinan yang luar biasa tinggi, sehingga mendapat julukan negeri termiskin di Malaysia.

Sentimen perkauman selama sembilan tahun diamalkan begitu ketara sekali bermula daripada tahun 1985-1994, bukan sahaja meliputi bidang politik, malah merebak di sektor awam dan GLC kerajaan negeri. Akibat tekanan sentimen perkauman itu, maka kaum-kaum yang mendapat tekanan terpaksa beraksi. 

Pucuk pimpinan negara melihat bagaimana teruknya sentimen perkauman di Sabah pada masa itu; atas sebab itu demi membela kaum-kaum yang tertindas,maka diwujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) bagi membangun kawasan-kawasan yang dianaktirikan oleh kerajaan negeri, memberi peluang kepada anak-anak kaum-kaum yang tertindas untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Pembelaan pucuk pimpinan negara terhadap kaum-kaum yang tertindas menjadi jelas apabila parti tunjang kerajaan Persekutuan, Umno mengembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991, ekoran tikam belakang kerajaan Parti Bersatu Sabah terhadap BN diambang pembuangan undi pada PRU-1990.

Kemasukan Umno ke Sabah selain membela kaum-kaum yang tertindas, juga bertujuan untuk menstabilkan politik di Sabah, kerana Umno menerima semua suku bumiputra sebagai ahli. Atas sebab itu, keahlian Umno Sabah berlainan dengan keahlian Umno di Semenanjung, kerana keahilan Umno di Sabah meliputi semua kaum bumiputera tanpa mengira fahaman agama.

Dikeranakan konsep Umno yang mensamaratakan semua kaum, maka kaum-kaum yang berasal daripada kelompok minoritipun boleh menjadi pemimpin peringkat negeri malah nasional. Berlainan dengan amalan politik kesukuan, di mana hanya mereka yang berpaksi kepada suku besar sahaja menjadi pemimpin.

Pada akhir-akhir ini terutama di laman sosial dan kedai-kedai kopi dan lobi-lobi hotel malah di kampung-kampung bangkit semula masalah perkauman. Mereka mempersoalkan mengapa mereka yang berasal daripada kaum minoriti menjadi pemimpin kepada kaum-kaum yang majoriti.

Sebenarnya mereka ini, lupa kepada matalamat awal kemasukan Umno ke Sabah, mungkin mereka ini juga tidak terlibat dengan pergerakan itu. Mereka sebenarnya masih pada fikiran ditakuk lama, di mana poliltik mempermainkan kaum untuk mendapat sokongan.

Kumpulan ini, mahu kembali kepada takuk lama, di mana sentimen perkauman adalah pendekatan, dan terbukti pendekatan itu menjahanamkan negeri.

Sebelum keputusan PRU-2008, ramai pemimpin berasaskan suku berfikiran demikian, kerana akibat emosi kerana tidak terpilih sebagai calon pilihanraya, atau selepas terpilih dan menang tidak terpilih menganggoti kabinet negeri.

Namun, selepas mereka mengimbas kembali tujuan kemasukan Umno ke sabah, maka mereka bertaut semula sebagai satu pasukan.

Di peringkat kepimpinan negeri Sabah pada masa ini, kita menyaksikan bahawa semua pemimpin suku kaum bersatu di bawah payung barisan nasional yang diterajui Datuk Musa Aman. Malangnya, ada segelitir pemimpin pelapis masih kurang arif dengan penyatuan ini, sehinggakan fikiran lama, masih lagi membuak-buak.

Yakinlah, pembangkitan sentimen perkauman, lebih banyak mudaratnya daripada kebaikan. Mungkin dalam jangka pendek matalamat akan tercapai, akan tetapi dalam jangka panjang, mudaratnya lebih menggunung.

Sabah, dengan lebih 36 sukuan, tidak mampu  membangkitkan sentimen perkauman, kerana berasaskan strata kaum, tiada satu kaumpun lebih superior berbanding kaum lain. Berasaskan kepada keadaan inilah, mantan Perdana Menteri-Tun Dr Mahathir Mohammad pernah memperkenalkan konsep pengilirian jawatan Ketua Menteri pada tahun 1995.

Namun akibat persempadanan semula kawasan Piliahanraya Sabah yang digunapakai pada PRU-2004, maka sistem tersebut dilupuskan oleh Mantan Perdana Menteri-Tun Abdullah Badawi melalui permintaan semua kaum di Sabah.

Demi kestabilan politik, demi pembangunan Sabah yang berterusan, biarkan pembangkang yang membangkitkan isu perkauman, kerana mereka tiada tempat lagi. Kenapa pula kita terikut-terikut gaya pembangkang?.. cubalah tengok kebelakang demi berfikir semula.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels