TINDAKAN keganasan pengganas Sulu yang diketuai oleh adik Jamalul Kiram III Agbimuddin Kiram yang juga disertai Jeneral Haji Musa Abdulla dan Ernesto Sambas, bukan sahaja menjadi beban kepada kaum suluk Sabah, juga kepada kaum tausog, kaum pendatang ke Sabah.
Kumpulan tausog yang datang ke Sabah bertujuan untuk membina hidup baru, kerana di kampung halaman mereka sendiri Tawi-Tawi atau kawasan lain, tiada kerja tersedia, tiada rumah tersedia, malah masa depan yang malap.
Sekurang-kurangnya apabila mereka berada di tanah Sabah, mereka mempunyai pekerajaan walaupun sebagai buruh bangunan atau ladang. Bagi mereka, hanya kudrat yang perlu ditanya, disebabkan jumlah kerja yang melambak, sehinggakan mereka tidak perlu berlapar.
Mereka tidak perlu beralaskan tanah dan berbumbungkan langit, sekurang-kurang majikan menyediakan rumah kongsi; kalaupun tidak bernasib baik-misalnya tertangkap, rumah merah tersedia, di mana makanan, minuman, tempat tidur tersedia sepanjang masa.
Keganasan yang berlaku di Lahad Datu, atas tindakan pengganas sulu, sungguh membimbangkan mereka; mereka khuatir, keadaan yang mereka tinggalkan di tanah air mereka sendiri berlaku di sini. Sebahagian besar daripada mereka mengharapkan krisis Lahad Datu secepatnya berakhir, agar mereka tidak merasa diburu, tidak tenteram dan kemungkinan ditangkap kerana disyaki sebagai simpatisan pengganas sulu.
Setakat ini hampir 200 orang telah ditahan, samaada yang disyaki atau mereka yang ditangkap kerana memasuki kawasan larangan. Mereka yang ditahan itu termasuk mereka yang beruniforam dan pemimpin politik tempatan.
Bagi kaum suluk tempatan pula, kerana tindakan keganasan itu, maka timbul persepsi bahawa kaum itu tidak setia kepada negara ini; walaupun pada zahirnya kaum suluk tempatan, berbeza sekali dengan kaum tausog.
Meskipun suluk dan tausog berbahasa sama, namun lingkungan yang dialami kaum suluk sejak tahun 60-an adalah lingkungan aman damai, sehingga sifat memberontak dan dendam pada kaum itu sedikit demi sedikit telah ludes, berlainan dengan kaum tausog di filipina, di mana mereka terdedah kepada lingkungan perang, kekacauan, sehingga mendorong perlakuan mereka kepada pemberontakan dan keganasan.
Sabah sangat berbangga apabila perjanjian antara MILF dan kerjaan Filipina termeterai pada 29 Oktober 2012; ekoran kepada perjanjian damai itu, pihak perniagaan dan usahawan, membayangkan bagai mana kawasan BIMPEAGA akan menjadi kawasan perekonomian yang berkembang pesat. Malah, cadangan membina CIQ di utara Sabah akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Selain itu, keamanan di kawasan itu, akan muncul bentuk perekonomian baru, terutama daripada minyak dan gas. Menurut kajian industri minyak; kawasan selatan Filipina yang dikuasai Bangamoro, kaya dengan minyak dan gas, di mana setakat ini, masih perawan.
Melalui keamanan, dan apabila Kerajaan autonomi Bangsamoro berkuatkuasa pada tahun 2014, maka akan wujud hub islam terbesar di bahagian pantai timur Sabah dan Selatan Filipina; selain itu, kawasan itu akan menjadi kawasan kerajaan Islam terbesar di kawasan ini, malah lebih besar berbanding dengan Malaysia.
Berasaskan faktor-faktor inilah, ada pihak tertentu, cemburu dan curiga dengan terwujudnya regional ekonomi baru yang dikuasai penganut islam. Atas sebab itu, untuk membendungnya, maka kekacauan perlu diwujudkan. Melalui kekacaun itu, maka akan timbul perasaan dendam, benci, curiga. Dengan adanya kekacauan maka dalang itu akan bertempik.